04 October 2008

LALUAN BERLIKU MENANTI PAK LAH, NAJIB DAN DSAI


Dalam tempoh seminggu dua ini suasana dalam negara terutamanya dari segi politik dijangka kembali hangat setelah agak sedikit reda sepanjang Ramadhan yang lalu. Ada beberapa faktor saya menjangkakan ini berlaku :
Pak lah sedang membuat pertimbangan sama ada tunduk kepada desakan MT dan akar umbi dalam UMNO untuk menyerahkan kuasa kepada Najib atau tetap dengan pendiriannya untuk kekal mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Sudah pasti kem Pak Lah yang disokong oleh 'menantu kesayangan' akan bermati-matian untuk memastikan Pak Lah tidak menyerahkan kuasa kepada Najib. Sekiranya Pak Lah tunduk pada tekanan untuk menyerahkan kuasa kepada Najib sudah pasti maruah dan imej beliau akan tercalar. Di samping itu, mereka yang selama ini bergantung kepada Pak Lah akan terjejas dengan pelan peralihan kuasa ini. Justeru itu, mereka juga akan bergabung tenaga untuk memastikan Pak lah terus kekal berkuasa. Lagipun, belum pernah berlaku dalam sejarah UMNO seorang presiden terpaksa meletak jawatan akibat desakan dari dalam UMNO. Pengumuman dijangka akan dibuat selewat-lewatnya Khamis ini.


 

  • Najib yang disebut-sebut menggantikan Pak Lah sudah pasti akan mendapat tentangan sengit dari Tengku Razaleigh Hamzah yang masih 'bermimpi' kerusi presiden UMNO. Perlu diingat, jika Pak Lah menyerahkan tugas kepada Najib sebagai Pemangku Presiden UMNO, beliau masih perlu melalui ujian getir menjelang pemilihan UMNO pada bulan Mac tahun depan ? Khairy dan kem Pak Lah yang lain akan berdiam diri ? Sehingga bulan Mac tahun depan dijangka berlaku peperangan sengit dalam UMNO . Dalam masa yang sama perlu diingat, jika Najib menjadi Pemangku Presiden UMNO dan Perdana Menteri tindakan tersebut dialu-alukan oleh Pakatan Rakyat, seperti yang dikatakan oleh Naib Presiden Pas, Tn. Hj. Md. Sabu. Apa maknanya itu ? Bermakna Najib akan berhadapan dengan serangan bukan hanya dalam UMNO tetapi juga dari Pakatan Rakyat ? Isu Altantuya, komisen kapal selam serta banyak isu moral yang melibatkan Najib masih hangat diperkatakan.


     

  • DSAI mempunyai masa yang semakin suntuk untuk membentuk kerajaan baru. Peluang terdekat ialah pada 13 Oktober ini pada sidang parlimen akan datang untuk mengemukakan usul tidak percaya kepada kerajaan BN. Ada kemungkinan ahli parlimen BN yang sebelum ini dipinggirkan oleh Pak Lah sama ada dalam pembentukan Kabinet atau kepentingan lain yang bercadang untuk menyertai Pakatan Rakyat akan mengubah semula keputusannya untuk terus kekal dalam BN jika Pak Lah menyerahkan kuasa kepada Najib pada 9 Oktober ini . Justeru itu, satu tugas yang agak sukar bagi DSAI untuk menyakinkan mereka agar kekal dengan keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat atau menganggotai kerajaan baru yang ingin dibentuk.

  •  

    Secara langsung atau tidak langsung semua ini akan mewujudkan ketidakstabilan dalam negara sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Senario ini pasti akan menyebabkan Indeks Komposit dan saham-saham utama di BSKL berada dalam keadaan tidak menentu. Para pelabur dalam dan luar sudah pasti akan menangguh buat sementara waktu membuat pelaburan baru sehingga suasana dalam negara kembali reda.Adalah sesuatu yang kurang bijak jika terdapat pelabur yang melabur dalam skala yang besar dalam tempoh ini. Sudah pasti mereka akan memikirkan risiko yang terpaksa ditanggung. Kehadiran pelancong luar juga dijangka terjejas sehingga suasana dalam negara benar-benar pulih dan stabil.

    Walau bagaimanapun, keadaan tidak menentu dalam sosiopolitik dan ekonomi negara diramalkan tidak menjejaskan keutuhan dan sokongan kepada PAS dan DAP dalam persada politik negara. Apa-apa pun kita tunggu dan lihat adakah ramalan ini akan berlaku atau berlaku sesuatu di luar kotak pemikiran kita.Wallahualam.

    RUMAH TERBUKA MEDAN MENUNJUKKAN PENGARUH ?

    Saya yakin selepas ini ramai lagi akan menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan tertinggi dalam UMNO pada pemilihan akan datang. Maka selepas ini masing –masing sibuk mengulas siapa dan apa akan berlaku dalam UMNO bila calon –calon ini mengumumkan kesediaan atau memberi bayangan untuk bertanding. Bagi saya apa yang berlaku dalam UMNO hari ini hanyalah satu sandiwara untuk mengalihkan isu sebenar.Kita tunggu ajelah pada 9 Oktober ini Pak Lah kata akan buat keputusan sama ada mempertahankan jawatan Presiden UMNO atau pun tak.

    Tapi bila menyaksikan 100 ribu atau 200 ribu ? yang datang ke rumah terbuka beliau di PWTC kelmarin dan dijangka lebih 100 ribu hari ini di majlis yang sama di Kepala Batas ini sebenarnya akan menguatkan azam Pak Lah untuk kekal bertanding .

    Sudah pasti sambutan hangat ini menyebabkan Pak Lah 'perasan' bahawa beliau masih lagi popular sama ada di kalangan rakyat atau pun dalam UMNO. Sekaligus memberi amaran kepada mereka yang berangan-angan untuk bertanding melawan beliau agar berfikir masak-masak berdasarkan sambutan hebat di majlis rumah terbuka beliau. Sebab tu lah akhbar milik kumpulan NST cuba mengambarkan bahawa bilangan yang hadir ke rumah terbuka Pak Lah adalah sesuatu di luar jangkaan serta luar biasa.

    Kepada semua pemimpin dan penyokong serta mereka yang bersimpati kepada Pakatan Rakyat, semoga tidak leka dan berhati-hati dengan apa yang berlaku dalam UMNO sehingga kita juga 'hanyut' dari isu yang lebih besar iaitu peralihan kuasa kerajaan baru yang diperkatakan sebelum ini. Isu ini semakin 'tenggelam' kerana masing-masing 'seronok' apa yang berlaku dalam UMNO. Seolah-olah mereka yang berkobar-kobar dan begitu bersemangat dengan isu pembentukan kerajaan baru turut 'mabuk' lemang dan ketupat yang dimakan bersama rendang dan kuah kacang sempena hari Raya.