25 April 2009

PRESIDEN PAS CABAR BN BERTANDING DI PENANTI

Presiden Pas, Tuan Guru Dato' Hj. Abdul Hadi Awang mencabar agar Umno@BN bertanding di Dun Penanti. Cabaran ini dibuat semasa Tuan Guru merasmikan Mesyuarat Agong Pas Kawasan Bachok, Kelantan.

Cabaran ini dibuat memandangkan Umno@BN terus berdolak-dalik dan cuba mencari alasan seperti ingin mengelakkan mereka dihakimi oleh rakyat sekali lagi dalam pilihanraya kecil.

Umno@BN kini bersikap defensif serta cuba 'melakonkan' watak baik kononnya tidak mahu membazirkan duit rakyat dengan menyertai pilihanraya di Penanti

Sejak bila pulak Umno@BN pandai berjimat cermat guna duit rakyat? Bayaran pampasan yang tak sepatutnya kepada konsortium yang membina Jambatan Bengkok yang dibatalkan berjumlah lebih daripada RM 200 lebih daripada cukup untuk mengadakan lima kali pilihanraya umum. Begitu juga dengan pembaziran duit rakyat akibat pampasan yang bakal dibayar oleh kerajaan Umno@BN Pahang sebanyak RM 63 juta kepada sebuah syarikat pembalakan. Semua ini menunjukkan kejayaaan dasar jimat cermat kerajaan Umno@BN memerintah negara.

Banyak lagi kejayaan hasil jimat cermat kerajaan Umno@BN yang tak perlu diungkapkan yang sudah muak kita mendengarnya setiap hari.

Jika Umno@BN selama ini begitu mendabik dada dan angkuh mengatakan mereka masih mendapat sokongan rakyat hasil perubahan dalam umno kenapa takut untuk menyertai pilihanraya di Penanti? Adakah mereka bimbang lebih banyak maklumat atau rahsia penyelewengan dan skandal akan diketahui oleh rakyat? Bukankah mereka menguasai rangkaian syarikat telivesyen dan akhbar untuk menjelaskan 'kebaikan' Umno@BN?

Umno@BN perlu belajar sejarah perjuangan Pas yang tetap bertanding dan meletakkan calon walaupun kawasan yang ditandingi sebelum ini adalah kawasan yang menjadi kubu kuat Umno. Malah dalam beberapa siri piliharaya sebelum ini, Pas sering hilang deposit bagi kawasan yang ditandingi seperti di Johor, Sabah dan Sarawak. Tetapi pernah tak Pas menarik diri daripada tidak bertanding dengan memberi kemenangan percuma?

Oleh itu Umno@BN sebenarnya tidak ada alasan untuk tidak bertanding di Penanti. Kalah menang adalah adat dalam pertandingan. Tetapi mengaku kalah sebelum bertanding melayakkan pemimpin Umno@BN yang ada sekarang lebih afdal duduk di dapur daripada cakap bergegar-gegar sampai bergoyang mikrofon!

KETERBUKAAN PAS ASAS KEKUATAN PAS


Pas yang saya sertai kira-kira 15 tahun lalu ketika itu dianggap parti golongan lebai, berkopiah putih dan bertudung labuh. Amat sukar untuk melihat golongan 'rugged' atau 'mat rock' seperti Saudara Sofi blogger Mutaligat berada dalam Pas. Jauh sekali untuk melihat golongan bukan Islam seperti orang Cina dan India menyokong Pas secara terbuka seperti hari ini.

Sehinggalah muncul gagasan baru yang dibawa oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd. Nor iaitu 'Memasyarakatkan Pas'. Di antara sedutan ucapan Almarhum yang saya masih ingat sampai sekarang ' Pas perlu masuk dan larut ke dalam masyarakat, Pas perlu diwujudkan dan dikenali di di setiap jalan dan setiap lorong...'

Hari ini kesinambungan 'Memasyaratkan Pas' diterjemahkan dalam jenama baru ' Pas For All'. Pas hari ini telah berjaya bukan sahaja merentasi sempadan di antara negeri dan negara tetapi melangkaui perbezaan budaya, bangsa dan agama.

Muktamar Pas yang bakal berlangsung 3 hingga 7 Jun ini terus menterjemahkan tentang keterbukaan dan demokrasi yang cukup subur di dalam Pas. Sesiapa sahaja ahli Pas walaupun yang tinggal di pedalaman Sabah dan Sarawak atau di Hulu Pahang, Terangganu dan Kelantan boleh bertanding mana-mana jawatan dalam Pas asalkan mendapat pencalonan dari kawasan. Walupun hanya mendapat satu pencalonan!

Maka hari ini ramailah muka baru dan lama dicalonkan untuk jawatan tertinggi parti. Wujudlah senario kononnya persaingan di antara golongan profesional dan ulamak. Siapa yang melabelkan mereka begitu? Tak lain dan tidak bukan adalah dari parti lawan yang cemburu dengan kekentalan dan perpaduan perjuangan Pas selama ini yang mengalami pelbagai pasang surut dalam arus politik negara.

Jurang di antara profesional dan ulama' yang dikatakan wujud ini terutama di kalangan profesional semakin mengecil apabila ciri-ciri ulamak ada pada golongan profesioanal dan ciri-ciri profesional ada pada golongan ulamak. Ini adalah hasil kejayaan pentarbiyahan di dalam Pas selama ini.

Apa yang paling penting sesiapa pun yang terpilih dalam jawatan tertinggi dalam Pas nanti perlu memiliki sifat dan ciri-ciri pemimpin yang dituntut dalam Islam. Jika mereka cukup syarat mereka layak untuk dipilih untuk menjadi pemimpin dan menerajui Pas. Tidak timbul isu mereka golongan 'ulama'' atau 'profesional'. Apa yang lebih penting lagi mereka bersedia melaksanakan amanah dan meneruskan wadah perjuangan Pas dalam era golbalisasi yang semakin mencabar.