10 January 2009

BENARKAH PILIHANRAYA KECIL KUALA TERANGGANU 'SEJUK'?


Benarkah pilihanraya kecil di Terangganu agak 'sejuk'?Tidak sehangat seperti pilhanraya kecil Permatang Pauh dan pilihanraya umum lalu?

Saya tak berkesempatan nak ke sana tetapi itulah maklumat yang diterima. Sama ada melalui kawan-kawan yang bertugas di sana atau sumber berita dari pelbagai media.

Dalam posting yang awal saya pernah menggambarkan dari riak pemimpin Umno mereka merasakan bukan pilihan walaupun menang dalam Pilihanraya Umum lalu. Walaupun menang di kerusi Parlimen, Umno hanya menang 1 dari 5 kerusi dun di parlimen Kuala Terangganu.

Jika ini turut sama dirasakan oleh jentera Pas, bahawa Pas adalah calon pilihan lebih-lebih lagi dengan ketokohan dan kewibawaan calonnya YB Hj. Abdul Wahid Endut, Pas sebenarnya sengaja mengundang padah dan bakal kempunan di Kuala Terangganu.

Sikap terlalu yakin pada kemenangan akan menyebabkan jentera parti kurang bersungguh-sungguh. Kalau setakat dengar cakap-cakap orang Kuala Terangganu bahawa mereka akan pakat undi Pas kerana tidak suka kepada calon BN, Dato Wan Farid seperti yang diberitakan Pas seperti sengaja mengundang penyakit.

Apakah kita lupa apa yang berlaku di Pilihanraya kecil Pendang? Pas tewas di kubunya sendiri. Dalam post mortem dikatakan di antara puncanya adalah kelemahan jentera pas sendiri dan Umno menipu serta menggunakan taktik kotor dalam pilihanraya. Saya tak pelik kalau Umno menipu dan guna taktik macam tu dalam pilihanraya kerana itu sudah sebati dengan mereka.Tetapi Pas sendiri yang perlu dipersalahkan nanti kerana kelemahan jenteranya mengekang penipuan dan taktik kotor mereka. Umno guna wang rasuah pengundi? Itu pun dah sinonim dengan mereka. Maaflah jika ada yang tak setuju, tetapi itulah pengalaman saya sepanjang terlibat secara langsung dalam gerak kerja pilihanraya dalam tiga siri pilihanraya umum sebelum ini.

Nampak gaya Pas seperti terperangkap dengan perang psikologi Umno yang kali ini tidak bertindak agresif seperti sudah-sudah. Rasanya mereka pun tahu taktik provokasi dengan menggunakan mat rempit bawa bendera Pas, bakar bendera BN dan Umno sambil pakai tshirt logo Pas sudah ketinggalan zaman.

Bagi saya suasana sejuk yang berlaku dalam negara berkaitan rapat dengan perkembangan politik negara. Kegagalan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan juga perlu dilihat sebagai salah satu faktor yang mungkin menyebabkan rakyat sudah hilang minat dan selera dalam pilihanraya ini.

Rakyat sebelum ini begitu mengharapkan kerajaan baru terbentuk dalam PRU lalu dan juga selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh. Tetapi itu semua tidak berlaku. Sebelum ini juga rakyat begitu ghairah untuk mengajar kerajaan BN yang menaikkan minyak secara terlampau Mac lalu tapi hari ini harga minyak telah kembali murah akibat kejatuhan minyak global. Tapi mana orang kampung tahu itu semua? Mereka kata BN yang turunkan harga minyak bukannya Pakatan Rakyat.

Harga barang naik? Rasanya isu ini sukar untuk memikat pengundi khususnya golongan tidak berparti (atas pagar). Jawapan standard yang saya kira sukar hendak dipatahkan dari golongan ini ialah 'siapa-siapa yang perintah atau menang, sama aje".

Kemelut yang berlaku dalam Umno juga merupakan isu yang menyebabkan pilihanraya kecil kali ini agak sejuk. Masih ingat lagi permusuhan Idris Jusoh dan Ahmad Said? Masing-masing ada pengikut dan penyokongnya? Agak-agak penyokong Idris Jusoh nak kempen sungguh-sungguh dalam pilihanraya ini? Saya yakin masing-masing ada jawapannya.

Pemilihan Umno bahagian baru-baru ini turut menambahkan keretakan yang kronik dalam Umno. Ibarat retak menunggu belah atau retak yang menunggu nak bersepai! Kumpulan Umno yang tewas dalam pemilihan lalu pasti akan menggunakan pilihanraya kecil Kuala Terangganu ini sebagai medan membalas dendam. Sama ada mereka berkempen ala kadar atau tidak terlibat langsung atau mereka akan boikot pilihanraya ini. Nak harapkan mereka beri undi protes kepada Pas? Situasi ini sukar diramalkan. Tetapi bagi saya mereka lebih rela tidak keluar mengundi atau buat undi rosak atau memilih calon bebas dari memangkah calon PAS dan BN.

Justeru itu, 'kesejukan' pilihanraya kali ini merupakan cabaran besar kepada Pas dan BN untuk menghangat dan merancakkan suasana pilihanraya di Kuala Terangganu. Dalam suasana begini sukar diramalkan siapa yang akan menang dalam pilihanraya kali ini. Peluang Pas dan BN agak seimbang. Apa-apa kemungkinan pun boleh berlaku.

Kepada jentera Pas khususnya pada sahabat-sahabat seperjuangan doaku dari jauh mendoakan kalian. Ingatlah kalah dan menang itu nombor dua apa yang paling penting usaha untuk menyampaikan mesej dakwah sesuai sebagai sebuah gerakan Islam untuk mencari keredhaan Allah SWT.Kemenangan akan diberikan oleh Allah SWT jika kita memenuhi segala syarat-syaratNya. Jika kemenangan sebagai pengukur kejayaan dan syarat utama perjuangan kita akan menjadi orang yang kecewa bila menemui kekalahan. sebaliknya kita menjadi orang yang takkabur dan lupa diri bila kita diberi kemenangan. Kegagalan Pas mengekalkan kemenangan dalam pilihanraya 1999 sehingga hampir menyapu bersih negeri Terangganu ketika itu dan kemudian tewas dalam pilihanraya 2004 perlu dijadikan renungan kita bersama. Wallahualam.