23 November 2008

ISU BABI SANGKUT BERLARUTAN-MALAYSIAKINI

Isu kepala babi yang disangkut di rumah seorang AJK Umno Masjid Tanah masih menemui jalan buntu. Begitu juga dengan kes pembuangan kepala dan daging babi di Pantai Kamunting pada 17 Oktober lalu.

Ini berikutan apabila tiga orang suspek yang disyaki terlibat dengan kedua-dua kes berkenaan telah dibebaskan daripada tahanan reman apabila polis mendapati mereka tidak terbabit dengan dua kejadian berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (KJSJN), Pemangku Senior Asisten Komisioner (P/ACP) Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi berkata polis tidak menyambung tahanan reman empat hari terhadap semua suspek yang berakhir semalam kerana siasatan mendapati mereka tidak terbabit.

“Hasil soal siasatan dijalankan didapati suspek tidak mempunyai kaitan dengan kes berkenaan, justeru mereka dibebaskan. Polis masih meneruskan siasatan kes ini bagi mengenal pasti suspek sebenar yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu,” katanya.

Isu ini dijangka akan terus menimbulkan kesangsian dan boleh mencetuskan isu perkauman. Lebih-lebih ada pihak yang sengaja menangguk di air keroh yang menaikkan banner untuk mengapi-apikan penduduk.

Dalam hal ini saya tetap menyalahkan sikap kerajaan negeri yang lemah dari aspek pengawasan dan penguatkuasaaan menyebabkan isu ini semakin rumit dan sukar untuk diselesaikan. Jika sebelum ini isu yang ditimbulkan hanya berkaitan dengan isu alam sekitar seperti bau busuk dan pencemaran pantai pelancongan berhampiran. Hari ini ia telah menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

TARIF LETRIK KEKAL:BUKTI KERAJAAN TIPU RAKYAT-MALAYSIAKINI

Keengganan kerajaan menurunkan kadar tarif elektrik berikutan kejatuhan minyak di pasaran global yang kini mencacah di bawah paras $AS 50 setong menunjukkan bahawa selama ini kerajaan telah menipu rakyat.

Semasa mengumumkan kenaikan tarif elektrik 10% pada Julai lalu alasan yang diberikan ialah beban yang terpaksa ditanggung TNB berikutan kenaikan harga minyak yang ketika itu sekitar $AS 130 setong.

Hari ini Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata kerajaan melalui TNB tidak akan menurunkan tarif elektrik kerana TNB tidak bergantung kepada sumber minyak semata-mata untuk menjana tenaga elektrik di negara ini.

Di Semenanjung Malaysia kita dapat tenaga elektrik daripada tiga punca iaitu dihasilkan oleh gas 60 peratus, arang batu (30 peratus), enam hingga tujuh peratus dari tenaga hidro dan bakinya dari sumber lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian program Sehari Bersama Pelanggan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Dewan Alamanda,Jasin Melaka semalam.

Pulak dah! Hari tu tak sebut pun semua ini. Apabila TNB mendesak kerajaan menaikkan kadar tarif alasan yang diberikan ialah disebabkan oleh kenaikan harga minyak. tak berbangkit langsung tentang harga arang batu, gas dan sebagainya.

Ini semua menjadi bukti bahawa selama ini rakyat telah dipermainkan dan ditipu hidup-hidup untuk merelakan TNB menaikkan kadar tarif elektrik. Menteri yang bercakap memang lidah bercabang! Tak layak menjadi menteri. Rakyat hari ini menjadi saksi sandiwara yang sedang dimainkan oleh kerajaan.

30% ADUAN POLITIK WANG FITNAH-MALAYSIAKINI

Menurut Lembaga Disiplin Umno , Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili pengerusi lembaga itu Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail, daripada lebih 900 aduan politik wang ke badan itu 30% aduan itu adalah fitnah. Terutama daripada pihak yang tewas semasa pencalonan di peringkat bahagaian baru-baru ini.

“Menerusi penelitian saya, daripada sejumlah aduan yang kita terima, 30 peratus adalah berunsur fitnah atau `frame up’ iaitu orang yang kalah nak aniaya calon yang menang dan sebagainya,” kata beliau.

Ini bermakna 70% dakwaan atau kira-kira 630 aduan adalah berasas. Satu jumlah yang agak besar. Ramai penganalisis dan pemerhati politik sedang menunggu sejauh mana ketelusan dan kesungguhan Umno untuk membanteras gejala rasuah yang begitu kronik. Begitu juga aduan yang dikemukakan kepada BPR, apa tindakan susulan selepas ini atau aduan yang diterima hanya sekadar memenuhi koleksi peti siasatan fail BPR yang bertimbun-timbun.

DR. MAHATHIR:UMNO SUDAH TIDAK RELEVAN-MALAYSIAKINI


Tun Dr Mahathir menyifatkan Umno hari ini sudah tidak relevan walaupun siapa yang bakal menerajui Umno dalam proses peralihan kuasa yang dicanangkan.

Ini disebabkan oleh budaya mahukan jawatan, amalan rasuah dan politik wang yang semakin tidak terkawal yang sedang berlaku dalam Umno.

Demikian penegasan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dalam majlis wacana 'Dilema Melayu' anjuran Gapena semalam.

Menurut Tun Mahathir, seandainya Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, masalah rasuah tidak akan dapat diatasi kerana telah menjadi satu budaya dalam Umno.

Beliau sekali lagi mengulangi bahawa Najib sebagai pengganti Pak Lah akan gagal untuk memulihkan Umno yang semakin parah dan kronik sekarang.

"Apakah dengan peralihan kuasa itu dapat memulihkan parti? Saya tidak boleh yakin lagi kerana saya belum lagi nampak Najib mampu menyelesaikan masalah rasuah dan politik wang.

Katanya, apabila ia sukar dibendung dan dikawal maka ia secara tidak langsung akan menyebabkan Umno akan menjadi parti yang tidak relevan lagi pada perjuangan orang-orang Melayu.

Katanya lagi, seandainya ada pemimpin sendiri yang terlibat dengan rasuah, maka janganlah memilih pemimpin berkenaan sambil merujuk kepada pemilihan Umno yang akan diadakan pada tahun hadapan.

"Kita tak boleh harap pembaharuan boleh dilakukan dalam Umno dan mereka harus ingat, kalau orang tidak memberi undi mereka tidak boleh menang atau sekiranya mereka menang dalam pemilihan parti, tak semestinya mereka akan menang pilihan raya," katanya.

Telah acap kali kita mendengar bahawa Umno semakin hanyut dari agenda perjuangannya. Malah ini turut diakui oleh mereka yang masih berada di dalam Umno. Umno ibarat sebuah kapal yang hampir karam. Apakah masih terdapat sekelumit harapan untuk kita mengharapkan Umno mampu memulihkan kemelut politik dan ekonomi yang sedang melanda negara? Bolehkan kita hendak mengharapkan Umno memulihkan negara kalau dalam keluarga dan rumah tangganya sendiri sedang berkecamuk dan kacau bilau?

Jika Umno sudah tidak relevan, siapa lagi yang kita dapat harapkan? Adakah kita hendak harapkan orang luar atau asing memulihkan negara?Selain memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk memulihkan negara agar kembali stabil dalam sosioekonomi dan politik.