08 February 2009

ORANG CINA DAN INDIA TIDAK "MENDERHAKA"?

Dalam media pro Umno seolah-olah hanya orang Melayu dalam Pakatan Rakyat sahaja yang menentang tindakan Umno merampas kerajaan Perak.

Gambar orang melayu baring depan kereta, merempuh sekatan FRU dan berarak digembar-gemburkan oleh media. Lalu mereka dicap sebagai penderhaka dan biadab.

Apa yang menghairankan tidak perlu ditunjukkan gambar orang Cina dan India turut sama protes membantah apa yang berlaku di Perak. Hanya Karpal Singh seorang sahaja yang di kalangan bukan melayu disebut sebagai penderhaka. Kenapa media tak berani sebut orang Cina dan India juga menderhaka menentang sultan dan tindakan tak bertamadun Umno di Perak? Ada apa-apa ke?

Tetapi yakinlah walaupun media dan pemimpin Umno hanya menunding jari pada orang Melayu dalam Pakatan Rakyat sahaja yang menderhaka, majoriti orang Cina dan India hari ini bukan sahaja di Perak tetapi seluruh Malaysia semakin benci meluap-luap kepada Umno. Mereka tidak boleh menyembunyikan kebangkitan rakyat yang disebut sebagai reformasi kedua. Apa yang lebih menarik kebangkitan rakyat dalam reformasi kedua hari ini merentasi budaya dan kaum di negara ini. Inilah yang semakin merunsingkan Umno hari ini. Mereka tidak mampu untuk menutup bangkai gajah!

Jadi Umno akan buat apa sahaja untuk memastikan tidak ada pilihanraya kecil atau umum akan diadakan dalam tempoh terdekat kerana tahu nasib yang bakal menimpa mereka.

Orang Melayu hari ini pun sudah semakin cerdik tidak seperti zaman dalam kitab Sejarah Melayu atau zaman Hang Tuah yang hanya taat secara membuta tuli walaupun sultan ketika zaman itu beraja di mata bersultan di hati. Orang Melayu hari ini sudah moden kata Tun Dr. Mahathir.

Jadi raja-raja Melayu menjadi talian hayat Umno untuk memastikan mereka dapat bertindak untuk mengekalkan kuasa dan merampas hak dan pilihan rakyat walaupun terpaksa 'melanun'.

KARPAL SINGH AKAN MELOMPAT MENYERTAI BN?

Belum pun reda isu hendak saman sultan Perak berkaitan dengan rampasan kuasa di BN di Perak, YB Bukit Gelugor Karpal Singh buat kejutan lagi kali ini meminta agar Dato Seri Anwar Ibrahim berhenti memimpin Pakatan Rakyat dan bertaubat.

Beliau menyalahkan ketua umum PKR itu kerana mempromosikan budaya lompat parti serta mencetuskan masalah dalam gabungan tersebut.

Bercakap dalam sidang akhbar di Georgetown, Karpal berkata tindakan mengalu-alukan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Bota melompat menyertai Pakatan, sebelum beliau balik semula ke BN, telah mencetuskan ketegangan dalam Pakatan sehingga menyebabkan Perak jatuh ke tangan BN.

Pemimpin DAP itu berkata, Anwar telah menimbulkan cukup masalah dan sudah tiba masanya bagi beliau (Anwar) bertaubat.

Ini bukan kali pertama Karpal Singh mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan keputusan PR. Ini termasuklah dalam isu negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas yang ditentang oleh beliau. Namun kenyataan itu lebih bersifat peribadi dan tidak melambangkan pendirian DAP dalam pakatan Rakyat.

Dalam situasi begini adalah tidak sesuai untuk masing-masing tuduh menuduh di antara satu sama lain. Semua pimpinan PR perlu bergabung dan bersatu untuk terus mendesak dan mencabar BN yang telah menubuhkan kerajaan 'Jack Sparrow' di Perak.

Mungkinkah ini merupakan peluang BN untuk memujuk Karpal Singh menyertai mereka? Mana tahu semua kemungkinan boleh berlaku dalam musim lompat melompat ini.Tapi saya yakin, kata-kata Karpal Singh hanya sekadar meluahkan perasaan geram dan marah yang teramat sangat kepada BN yang membuat onar di Perak.

Dalam kuliah Dhuha oleh Ketua Dewan Ulama Pas Melaka, Ustaz Zulkifli Ismail pagi tadi beliau menjelaskan hanya perjuangan yang berpaksi kepada aqidah dan ilmu sahaja yang mampu bertahan dan berhadapan dengan semua cabaran dan rintangan. DAP dan PKR perlu belajar daripada Pas bagaimana Pas mendidik sesama pimpinan dan ahlinya dalam memberi teguran kepada pimpinan iaitu penuh dengan adab dan tertib. Wallahualam.

MANA HUJAH DAN FAKTA "KERAJAAN BN' SAH?

Sehingga hari ini saya masih belum menemui dan membaca sebarang hujah dan fakta bahawa 'kerajaan BN' di Perak adalah sah. Semua media dan blog pro umno sehingga hari ini masih belum dan gagal mengemukakan fakta dan peruntukan undang-undang serta pelembagaan tentang 'keabsahan' 'kerajaan BN' di Perak. Setakat ini hanya logik akal dan pandangan yang bersifat emosional sahaja untuk mengesahkan 'kerajaan BN' di Perak.

Kalau setakat berhujah, Sultan dah restu dan BN dapat lebih kerusi itu hujah budak-budak sekolah. Begitu juga kalau setakat berkata, rakyat tak boleh menderhaka pada raja-raja Melayu itu hujah dalam kitab Sejarah Melayu yang saya belajar dulu!

Cabaran saya kepada mereka yang mengatakan 'kerajaan BN' adalah sah sila nyatakan dan kemukakan hujah berdasarkan undang-undang dan pelembagaan.

Jadi apa lagi yang ingin dipertahankan? Mereka tidak boleh melenting kalau dikatakan 'kerajaan BN' di Perak kerajaan Lanun, kerajaan zionis, kerajaan samseng atau menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai kerajaan haram kerana BN dan Umno sehingga hari ini masih tidak mampu berhujah dari segi fakta dan pelembagaan untuk menghalalkan tindakan mereka di Perak.

Syabas dan tahniah kepada media alternatif dan bloggers yang dapat berhujah dengan fakta dan ilmiah.