28 August 2009

SPRM MULA KEPANASAN DALAM INKUES TEOH BENG HOCK


SPRM mula merasa bahang berkaitan Inkues kematian Teoh beng Hock. Hari ini Peguam pemerhati mewakili badan itu , Datuk Abdul Razak Musa memohon mahkamah koroner menghalang tindakan pihak-pihak yang membuat ulasan di luar mahkamah berhubung prosiding inkues dengan memberi kenyataan media yang boleh menjejaskan nama baik SPRM.

Walau bagaimanapun Koroner, Azmil Muntapha Abas tidak mengeluarkan sebarang perintah dengan alasan apa yang berlaku adalah tidak mampu dikawal oleh mahkamah. Beliau bagaimanapun mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan agar ia tidak bertentangan dengan fakta yang direkod oleh mahkamah.

Dalam masa yang sama hari ini Peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, berkata, beliau akan mendedahkan laporan polis yang telah dibuat oleh saksi SPRM berhubung dakwaan penderaan yang dilakukan oleh pihak SPRM semasa siasatan dijalankan. Antaranya terdapat saksi yang didera, dipukul dengan batang besi dan dibogelkan untuk mendapatkan maklumat dari saksi. Menurut Gobind lagi beliau akan mengemukakan dakwaan itu bersama-sama bukti gambar kecederaan dialami mangsa ketika disoal siasat di pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, Plaza Masalam di sini.

Gobind mendakwa antara pegawai SPRM yang terlibat melakukan penderaan fizikal itu ialah saksi ke-19, Penolong Penguasa SPRM Selangor Mohd Ashraf Mohd Yunus, yang memberi keterangan dalam prosiding hari ini.

Maklumat yang bakal dikemukakan ini menyebabkan koroner menangguhkan inkues pada 8 September depan bagi memberi peluang pegawai SPRM terbabit mendapatkan peguam kerana pendedahan itu bakal mengheret pegawai SPRM berkenaan terhadap tuduhan jenayah.