04 March 2009

KERAJAAN 'PASOLA' DI PERAK

Pernah menonton cerita Laksamana Do Re Mi, lakonan Allahyarham P. Ramlee? Saya menontonnya masa masih di bangku sekolah rendah lagi.

Di antara adegan dalam cerita tersebut ialah kisah Raja Pasir Dua Butir yang terpaksa 'bersidang' di bawah pokok kerana gara-gara diserang oleh Raja Pasola dari Negeri Pasir Berdengung.

Ceritanya mencuit hati menyebabkan ramai yang ketawa geli hati. Ingatkan cerita itu hanya cerita komedi biasa yang mustahil berlaku dalam zaman moden. Ternyata andaian saya dan ramai pihak silap.

Hari ini, skrip dalam cerita itu seperti berulang kembali. Gara-gara rampasan kuasa, maka Speaker DUN Perak, 27 wakil rakyat dan Menteri Besar Perak Dato Seri Ir Nizar Jamaludin terpaksa 'bersidang' di bawah pokok.

Cuma dalam skrip ini, tidak ada 'pertumpahan darah' berlaku. Persidangan 'kerajaan buangan' di bawah pokok ini disebabkan terdapat pihak yang terlalu kemaruk untuk berkuasa. Rampasan kuasa yang dilakukan oleh 'Raja Pasola' dari negeri Pasir Berdengung begitu caca marba sehingga menjadi lawak jenaka dan perhatian dunia. Pertembungan yang melibatkan kuasa dan maruah.

Sekali lagi saya nak kemukakan soalan kepada 'kerajaan Raja Pasola' di Perak, kenapa takut dengan sidang DUN? Kenapa takut untuk membubarkan DUN? Tidakkah anda mempunyai maruah dan harga diri. Menjadi kerajaan yang menjadi bahan kejian dan kutukan rakyat? Tidak malukah kalian? Atau kalian memang tidak mempunyai maruah dan harga diri?

Buktikan secara 'anak jantan' bahawa kerajaan "Raja Pasola' di Perak mendapat sokongan rakyat. Hanya mereka yang dayus dan bacul sahaja yang tidak berani bersemuka dengan rakyat melalui dalam pilihanraya! Mereka tenyata telah melakukan kesilapan besar dengan merampas kuasa tanpa perancangan yang teratur dan teliti. Hanya pilihanraya dengan pembubaran DUN Perak sahaja yang dapat menebus dosa dan kesilapan yang telah dilakukan.

Jika DUN tidak dibubarkan maka selepas ini dunia akan menyaksikan lebih banyak persidangan DUN di bawah pokok macam dalam cerita Laksamana Do Re Mi. Mungkin akan datang bakal diadakan di bawah pokok durian atau pokok ketapang pula!