05 August 2009
RONIE VS HASSAN: SATU LAGI WAYANG POLITIK?
Ternyata isu ini menarik minat pemimpin Umno@BN yang sebelum ini menyifatkan 'pergeseran' atau 'pergolakan' dalam Pakatan Rakyat hanyalah sebagai satu strategi politik.
Bagi saya isu ini boleh diselesaikan dengan baik tanpa membawa kepada pergolakan yang boleh menyebabkan keretakan hubungan dalam Pakatan Rakyat. Jika masalah pusat sembelihan babi di Alor Star yang digembar-gemburkan oleh media Umno@BN dapat diselesaikan dengan suasana harmonis kenapa tidak isu ini? Menteri Besar Kedah menyifatkan apa yang berlaku umpama 'ribut dalam cawan' mengulas apa yang berlaku di Kedah sebelum ini.
Apa yang berlaku mungkin disebabkan salah faham atau isu lain yang sebenarnya boleh diselesaikan di meja rundingan. Isu ini merupakan isu sensitif jika gagal ditangani dengan baik.Isu ini perlu diselesaikan segera agar Umno@BN tidak mengambil kesempatan lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya kecil Permatang Pasir. Kemenangan tipis Pas di Manek Urai lalu dikatakan mempunyai kaitan dengan pergeseran di antara PAS-DAP di Kedah ketika itu.
KES UGUT BUNUH PENGARAH SPRM CUBAAN ALIH ISU KEMATIAN TEOH BENG HOCK?
Hari ini bersambung kembali inkues menyiasat punca kematian pembantu Exco Selangor Teoh Beng Hock. Tumpuan pasti terarah kepada penemuan dua DNA misteri di tubuh simati.
Tidak semena-mena hari ini secara 'mengejut' Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) melaporkan beliau menerima ugutan bunuh berdasarkan surat misteri. Ternyata berita berkenaan telah menenggelamkan inkues yang bersambung hari ini.
Adakah ini bertujuan untuk mengalih isu kematian Teoh Beng Hock. Wallahu'alam.
KANAK-KANAK 3 TAHUN MANGSA KEMATIAN KEDUA H1N1 DI MELAKA
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun yang baru menyambut hari lahirnya 26 Julai lalu merupakan kes kedua kematian berkaitan H1N1 di Melaka.
Menceritakan detik-detik menyedihkan itu,bapa mangsa Samsuddin Abdul Hamid, 27, beliau telah merujuk anaknya ke klinik pakar dan sebuah hospital swasta di Ayer Keroh, Khamis lalu.
Beliau berkata, anaknya itu kemudian dimasukkan ke wad sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka.
''Saya langsung tidak menyangka anak saya dijangkiti H1N1 kerana tidak pernah membawanya keluar kecuali menyerahkan kepada pengasuh di Taman Bertam Jaya, Cheng dekat sini Februari lalu,'' katanya.
Samsuddin yang ditemui bersama isterinya, Siti Suhaila Ahmad, 27, berkata, masih terngiang-ngiang suara Iffah Syazwina menyanyikan lagu selamat hari jadi seminggu sebelum dia diserang demam tersebut.
Katanya, kali terakhir beliau membawa anaknya bersiar-siar adalah pada Februari lalu dan langsung tidak menyangka dia meninggal dunia semalam akibat jangkitan virus selesema babi.
Menurut beliau, dia hanya mengetahui anaknya itu positif influenza A (H1N1) setelah disahkan doktor menerusi khidmat pesanan ringkas malam Ahad lalu.
Bagaimanapun, menurutnya, keadaan Iffah dilaporkan semakin tenat sebelum meninggal dunia pada pukul 4.30 petang di Hospital Melaka, semalam.
"Memang sukar untuk saya terima kenyataan itu kerana tidak pernah membawa arwah ke mana-mana kerana bimbang dijangkiti H1N1," katanya ketika ditemui di rumah keluarga isterinya, di Kampung Parit Putat Benteng, Sungai Rambai di sini, hari ini.
Iffah Syazwina merupakan mangsa kesembilan maut akibat wabak itu setakat ini.