19 November 2008

CHUA SOI LEK SEMAKIN HAMPIR MENJADI MENTERI-MALAYSIAKINI


Datuk Chua Soi Lek dijangka akan dilantik menjadi menteri penuh dalam rombakan kabinet yang bakal diumumkan oleh Pak Lah sekembalinya beliau dari lawatan kerja ke luar negeri.

Datuk Ong Tee Keat tidak mempunyai banyak pilihan dengan melantik Chua Soi Lek sebagai menteri berikutan beliau merupakan orang nombor dua kanan dalam MCA. Walaupun Ong Tee Keat sendiri sukar dengan pelantikan tersebut memandangkan 'filem lakonan' Chua soi Lek masih hangat di pasaran.

Desas-desus kemungkinan ini semakin kencang apabila akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily melaporkan bahawa bekas setiausaha agung, Datuk Ong Ka Chuan telah menghantar surat meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet kepada Ong Tee Kiat. Walau bagaimanapun Ong Tee Kiat masih membisu dengan berita ini.

Pelantikan Chua Soi Lek bakal mewujudkan kontroversi dalam kabinet Pak Lah yang bakal diambil alih oleh Najib memandangkan 'lakonan' Chua Soi Lek sebelum ini mendapat kritikan hebat dari pelbagai lapisan rakyat walaupun beliau telah meminta maaf atas aksi terlampau yang telah dilakukan sebelum ini.

AYAH PIN AKAN DITANGKAP PADA WAKTU TERDEKAT?-MALAYSIAKINI


Jabatan Agama Islam Terengganu (JHEAT) telah berjaya mengesan lokasi persembunyian ketua kumpulan Ajaran sesat ayah Pin dan akan bekerjasama dengan pihak polis untuk membawanya keluar dari lokasi tersebut dalam jangka masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah menerima maklumat tentang lokasi tersebut daripada pegawai-pegawainya awal pagi tadi.

Jelas beliau, ayah Pin akan didakwa setelah berjaya dijumpai nanti.

"Laporan terbaru yang saya terima setakat pukul 10 pagi tadi, pegawai saya melaporkan mereka sudah tahu di mana ayah Pin berada dan disembunyikan.

"Mereka akan bekerjasama dengan pihak polis untuk tarik dia keluar," katanya pada sidang media ketika melawat ke Institut Penyelidikan Produk Halal di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

PERALIHAN KUASA ATAU GILA KUASA?-MALAYSIAKINI

Setelah Pak Lah bersetuju proses peralihan kuasa kepada Najib dipercepatkan pada Mac depan ingatkan segalanya telah berakhir dalam Umno. Rupa-rupanya banyak isu lain yang timbul.

Pelbagai spekulasi dan desas-desus mengatakan bahawa Pak lah sebenarnya didesak dan terpaksa berundur. Pak Lah dikatakan menjadi mangsa konspirasi politik Umno yang dicatur oleh Najib melalui kuncu-kuncunya.

Justeru itu, macam-macam cerita wujud selepas itu bahawa kem Pak Lah akan melakukan sesuatu bagi memastikan impian Najib untuk menjadi orang nombor satu tidak kesampaian.

Belum reda isu peralihan kuasa Pak Lah Najib muncul pula teori peralihan kuasa dalam wanita Umno yang melibatkan Rafidah-Sharizat-Kamilia. Pada awalnya masing-masing sebulat suara bersetuju peralihan kuasa pada 2009. Namun, perkembangan terkini melalui pencalonan yang diperolehi oleh Sharizat dan Kamilia daripada bahagian-bahagian wanita Umno wujud desakan dari akar umbi (ubi kayu?) agar peralihan kuasa dipercepatkan atau akan berlaku pertembungan di antara Rafidah-sharizat bagi jawatan Ketua Wanita. Kegawatan dalam Umno berjangkit pula kepada sayap kirinya kerana merebut kuasa.

Apa yang berlaku dalam Umno hari ini sebenarnya menyimpang dari istilah peralihan kuasa yang digembar-gemburkan oleh media. Apa yang berlaku sebenarnya merupakan sikap gila kuasa yang kronik berlaku dalam Umno. Masing-masing sanggup melanggar janji dan sumpah serta ikrar untuk mendapat kuasa. Kuasa adalah segala-gala bagi mereka. Walaupun Pak Lah sebelum ini menyifatkan Najib sebagai teman setia waktu susah dan senang tetapi kerana kuasa teman bertukar menjadi lawan.

Akhirnya apa yang berlaku, budaya rasuah dan permainan politik kotor yang menjelik dan memualkan semakin sebati dengan perjuangan Umno. Impian untuk berkuasa menyebabkan perjuangan Umno telah tersasar jauh yang satu ketika dahulu begitu berbangga dengan menghunus dan mencium keris mendakwa sebagai pembela nasib Melayu.

Masing-masing dalam Umno semakin lupa bahawa kuasa adalah satu amanah yang cukup berat yang pasti akan ditanya oleh Allah SWT. Mereka yang menyedari hakikat ini pasti akan berfikir panjang dan merasa berat untuk diberi kuasa.Hanya mereka yang gila kuasa sahaja sanggup bertelagah sesama sendiri demi mengejar nama dan kedudukan untuk mengumpul harta dan kekayaan

CHUA SOI LEK KEMARUK NAK JADI MENTERI?-MALAYSIAKINI


Timbalan Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek disifatkan terlalu 'kemaruk' untuk memegang jawatan menteri Kabinet sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan pelantikan beliau sebagai Pengerusi Biro Pemantau Dasar Kerajaan tidak memberikannya peluang untuk berbakti kepada parti.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata beliau tidak mempunyai niat negatif apabila melantik Dr Chua ke jawatan itu, sebaliknya percaya pengalaman serta pengetahuan yang dimiliki bekas Menteri Kesihatan itu amat diperlukan untuk menyelesaikan pelbagai isu dan kembali kukuhkan parti.

"Dia terlalu obses. Apa yang saya maksudkan ini tidak ada kurang dan tidak lebih," katanya apabila ditanya sama ada sebagai orang nombor dua dalam MCA, Dr Chua mempunyai alasan kukuh memegang sebarang jawatan menteri Kabinet.

Ong berkata, sesuatu isu yang wujud dalam parti bukan datang sekelip mata tetapi sudah bertapak sekian lama.

"Selepas penyusunan semula Kabinet selepas Pilihan Raya Umum lalu, ramai menteri Kabinet adalah muka baru.

"Dia (Dr Chua) orang paling sesuai untuk memaklumkan kepada pucuk pimpinan MCA langkah yang perlu diambil bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti," katanya.

Nampaknya, perpecahan dalam Umno sudah berjangkit ke komponen BN lain seperti MCA dan MIC. Jika dibiarkan golongan ini terus berkuasa habis haru biru negara ini. Asyik bercakaran dan bergaduh sesama sendiri kerana inginkan kuasa dan kedudukan. Menjadi mangsa adalah rakyat yang tersepit akibat pecaturan politik yang begitu memualkan.

Dalam senario kegawatan ekonomi, mereka yang berkuasa sepatutnya lebih serius untuk mencari formula memulihkan ekonomi negara yang disifatkan oleh penganalisis ekonomi lebih teruk dari tragedi pada 1986.

Berbalik kepada 'kemaruk' Chua Soi Lek nak jadi menteri, beri sahaja jawatan lamanya sebagai menteri kesihatan supaya lebih banyak 'eksperimen' dapat dilakukan.

UNIVERSITI DI MALAYSIA SEMAKIN TIDAK SELAMAT?-MALAYSIAKINI

Tidak cukup dengan imej buruk yang terpalit akibat merudumnya ranking Intitusi Pengajian Tinggi Awam(IPTA) di Malaysia dari senarai 200 universiti terbaik di dunia, keadaan itu bertambah memalukan apabila kejadian jenayah di IPTA di negara ini semakin membimbangkan.

Jika sebelum ini negara pernah dikejutkan dengan rompakan bersenjata di bank yang terletak di Perdana Siswa dalam kampus induk Universiti Malaya beberapa tahun lalu tetapi kejadian itu seolah-olah tidak diambil ikhtibar oleh pihak pentadbiran universiti untuk mengetatkan kawalan keselamatan.

Misalnya kejadian pecah masuk ke kediaman pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) yang menyebabkan ramai pelbagai kehilangan harta benda seperti laptop dan barang berharga yang lain.

Sebelum ini, banyak kes jenayah yang dilaporkan berlaku di kampus berkenaan termasuklah rogol, orang minyak, kecurian motorsikal dan yang terbaru, kecurian komputer riba.

Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dalam satu kenyataan menyifatkan kejadian jenayah lebih kepada kawalan keselamatan yang longgar di samping ciri fizikal kolej kediaman yang memudahkan penjenayah sama ada orang luar atau mahasiswa sendiri, untuk melakukan jenayah tersebut.

Terbaru apa yang berlaku di kampus induk UiTM Shah Alam kelmarin. Kali ini perompak terlibat lebih berani dan nekad dengan memasuki kediaman pelajar di waktu siang hari ketika pelajar sedang tidur.

Salah seorang pelajar menceritakan bahawa dia mengalami trauma akibat peristiwa tersebut.Sollehin Adnan, 20, memberitahu bahawa dia diikat kaki dan tangan serta diugut bunuh dalam kejadian rompakan di bilik asramanya pukul 11.40 pagi kelmarin.

Kejadian yang berlaku tidak boleh dianggap kes terpencil kerana ia berlaku di institusi yang menjadi lambang kejayaan dan kemegahan negara. Sampai bila perkara ini akan terus berlaku? Apa yang Datuk Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi lakukan bagi mengatasi masalah ini dari tidak berlaku pada masa akan datang? Adakah hendak menunggu ada nyawa pelajar melayang baru terhegeh-hegeh nak bertindak?

DISKAUN PLUS TIDAK PRAKTIKAL-MALAYSIAKINI


Pada awalnya rakyat Malaysia khususnya pengguna yang sering menggunakan lebuhraya PLUS menarik nafas lega apabila ura-ura pemilik konsesi lebuhraya itu bercadang menurunkan kadar tol.

Namun, apabila kadar baru tol itu ( diskaun) selama setahun mulai tahun depan bermula 1 Januari 2009 ramai yang merasa pelik dan tertanya-tanya dengan langkah PLUS yang dianggap tidak praktikal.

Dalam hal ini,PLUS seolah-olah bersandiwara dalam membantu mengurangkan beban pengguna lebuhraya berkenaan. Saya tidak nafikan, ia menggurangkan sedikit beban tetapi berapa kerat pengguna yang mendapat manafaat? Langkah PLUS ini bakal mengundang isu lain jika kita perhalusi untuk jangka masa setahun tempoh diskaun yang diberikan. Di antara isunya ialah :

1. Tidak ramai pengguna yang berulang alik ke tempat kerja pada waktu malam. Untuk makluman pihak PLUS, waktu bekerja adalah bermula dari 8.00 pagi - 5.00 petang. Adakah pengguna kena tunggu pada waktu malam untuk balik ke rumah baru dapat diskaun berkenaan?

2. Diskaun pada waktu malam akan mendorong pengguna untuk menggunakan lebuh raya pada waktu malam terutama bagi perjalanan jauh. Memandu di waktu malam, pengguna lebih terdedah kepada risiko seperti mengantuk dan jarak pemandangan terhad yang boleh mengundang kemalangan.

3. Kadar diskaun hanya untuk kenderaan kelas 1 adalah tidak praktikal bagi membantu pengguna berjimat cermat dan pemulihan ekonomi negara khususnya bagi pengguna pengangkutan awam dan pengendali syarikat pengangkutan. Bermakna tidak ada inisiatif kepada syarikat bas ekspres dan syarikat lori. Sekali gus mereka sukar untuk mengkaji mengurangkan kadar tambang dan mengurangkan kos pengangkutan.

4.Memandu pada waktu malam, terutama kepada wanita yang memandu bersendirian bakal menimbulkan masalah keselamatan diri dan terdedah kepada pelbagai kemungkinan.

Namun begitu, kadar diskaun ini mungkin memberi sedikit faedah terutama pada musim perayaan iaitu pemandu terutama warga kota gemar untuk pulang beraya dan bercuti dengan memandu di waktu malam. Walau bagimanapun faktor di atas masih tetap mempengaruhi.

Ajal maut memang di tangan Allah, tetapi manusia perlu berhati-hati dengan tidak mendedahkan diri kepada musibah.Pandu Cermat Jiwa Selamat. Jangan biarkan orang tersayang menyambut anda pulang dengan tangisan.