29 September 2008

MASIH RAMAI TAK SAYANG NYAWA...


Dalam perjalanan dari Melaka ke Pahang semalam saya dapat melihat gelagat mereka di jalan raya yang seolah-olah tak nak pulang beraya. Seolah-olah jalan raya itu mak bapak dia yang punya.Bawa kereta seperti pemandu Formula One seperti dialah Michael Schumacher. Kalau dia seorang sahaja yang kena tak mengapa tapi masalahnya mereka ini membahayakan penumpang yang dibawa dan para pengguna lain.

Dalam masa yang sama saya perhatikan OPS SIKAP yang digembar-gemburkan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya tidak lebih dari lawak jenaka alaf baru. Semasa berada di jalan raya, saya seperti berada di Litar Singtel Singapura, gelanggang Formula One yang sedang rancak berlangsung sekarang.Ramai yang bawa kereta seperti berlumba.

Kenderaan berat yang dilarang menggunakan jalan raya semasa musim perayaan ini begitu bermaharajalela. Apabila saya menelefon Balai Polis Segamat melaporkan hal ini, mereka seolah-olah tutup sebelah mata.Apabila berlaku kemalangan maut barulah masing-masing terpinga-pinga.

Nasihat saya sekali lagi, berhati-hatilah di jalan raya. Maut bila-bila masa sahaja boleh menjemput walaupun kecuaian di jalan raya bukan dilakukan oleh kita. SELAMAT BERHARI RAYA...

DALAM KEGEMBIRAAN MENYAMBUT SYAWAL ADA YANG BERGELUMANG DERITA AIR MATA


Dalam tempoh kurang 48 jam umat Islam di negara ini akan menyambut dan meraikan Aidilfitri. Bulan kemenangan dari tunduk kepada segala bentuk godaan dan dugaan untuk meningkatkan ketaqwaan di sisi Allah SWT.

Terdapat juga mereka yang merasa sedih dan sayu apabila madrasah Ramadhan akan berlalu pergi. Kesempatan ini marilah kita bermuhasabah sejauh mana Ramadhan yang kita lalui telah menepati standard dan kualiti iaitu menjana dan membentuk sifat taqwa di sisi Allah SWT.

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
( Al Baqarah : 183 )

Dalam kegembiraan dan keghairahan kita menyambut kedatangan Syawal terdapat mereka yang berduka dan berlinangan air mata terutama apabila bergema takbir Syawal nanti . Di antaranya mereka yang terpisah dari yang tersayang gara-gara undang –undang rimba ISA, yang memisahkan tali persaudaraan tanpa perasaan belas dan simpati.

Bayangkan perasaan seorang anak dan isteri yang dipisahkan bertahun –tahun tanpa mengetahui bila berakhirnya derita. Hanya kesabaran dan ketabahan serta sokongan dan doa mereka yang simpati menjadi azimat menghadapi saat-saat sukar begini.

Di samping itu tidak kurang mereka yang bakal menghadapi Adilfitri dengan seribu macam kesusahan dan kepayahan. Terutamanya mereka yang tinggal di kampung dan golongan berpendapatan rendah yang terkena tempias kemelut ekonomi yang melanda negara.

Persiapan Aidilfitri hanya dibuat ala kadar atau seolah-olah kehadiran Syawal tidak dirasai. Semuanya kesan daripada peningkatan kos sara hidup dan keperluan harian berlipat kali ganda berikutan melambungnya kadar inflasi akibat ‘kecerdikan’ pihak tertentu yang menaikkan harga minyak secara terlampau. Syawal bagi mereka hanya setahun sekali, tetapi meneruskan kehidupan perlu diberi keutamaan daripada persiapan hari raya. Lebih memeritkan apabila penggal persekolahan akan bermula segala-galanya memerlukan wang yang bukan sedikit.

Sebaliknya mereka yang berada dipuncak kuasa hidup bermewah-mewah, mungkin sedang sibuk merancang persiapan rumah terbuka dan membelek –belek persiapan raya yang pasti semuanya berjenama.

Hari raya tahun ini mungkin lebih berrmakna jika kerajaan baru terbentuk lebih awal bagi meringankan dan mengubat kesempitan yang dirasai. Walau bagaimanapun harapan majoriti rakyat Malaysia terutama mereka yang telah lama menderita masih membara dan berkobar melihat perubahan yang bakal berlaku. Semoga Hari Raya tahun hadapan lebih bermakna bagi kita semua. SELAMAT HARI RAYA…