Sekoyong-koyong Dato' Seri Najib dilantik sebagai memanda Perdana Menteri ke 6, maka beliau mengumumkan langkah yang disifatkan oleh segelintir pihak sebagai tamparan kepada Pakatan Rakyat. Langkah-langkah 'pembaharuan' tersebut di antaranya ialah membebaskan 13 tahanan ISA serta merta termasuk dua tahanan Hindraf, menarik semula 'larangan' terhadap Harakah dan Suara Keadilan serta kajian semula terhadap pelaksanaan ISA.
Bagi saya ia bukan tamparan kepada Pakatan Rakyat tetapi tamparan dan sindiran kepada kepimpinan Pak Lah sebelum ini. Langkah ini menunjukkan bahawa seolah-olah Najib lebih mempunyai sifat 'keperimanusiaan' berbanding Pak Lah.
Apa yang dituntut dan diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat selama ini ialah mansuhkan ISA secara total. Bukan hanya membebaskan 13 orang sahaja seperti tindakan sekarang.Bicarakan mereka di mahkamah terbuka. Masih ramai lagi yang menderita dan terseksa dalam Kem Tahanan Kamunting. Begitu juga dengan penarikan permit Harakah dan Suara Keadilan selama 3 bulan itu memang sudah menjadi hak Pakatan Rakyat dalam negara yang menjunjung prinsip demokrasi.
Adakah Najib berani dengan melaksanakan dasar yang dituntut oleh rakyat sekian lama? Membenarkan himpunan aman dalam negara demokrasi, menghapuskan akta zalim seperti Akta Hasutan, OSA dan AUKU? Adakah Najib bersedia untuk membersihkan namanya dengan mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat isu Altantuya dan komisyen kapal selam?
Adakah itu dinamakan pembaharuan atau projek 'mee segera' sama-samalah kita lihat perkembangan yang seterusnya. Umum mengetahui peribadi Najib yang dipersoalkan bukan sahaja oleh rakyat dalam negara tetapi juga pelbagai media antarabangsa. Lebih-lebih lagi sekarang sedang berlangsung tiga pilihanraya kecil serentak yang menjadi pengukur penerimaan rakyat kepada Najib sebagai PM baru serta isyarat suara rakyat berkaitan isu semasa yang sedang panas di dalam negara.
Justeru itu adalah sangat penting untuk Najib untuk cuba mengikis dan menutup segala dakwaan skandal dan penyelewengan yang dihadapi selama ini dengan melaksanakan dasar yang menunjukkan bahawa segala tuduhan dan dakwaan sebelum ini seolah-olah silap.
Seperti biasa media pro Umno@BN akan berusaha sedaya upaya untuk menggambarkan kebaikan dan 'kewarakan' Najib sebagai Perdana Menteri baru untuk menutup pelbagai dakwaan yang dihadapi.
Walau bagaimanapun saya tetap berterima kasih dengan langkah Najib 'membebaskan' 13 tahanan ISA dan 'membebaskan' media milik PAS dan PKR.