17 April 2009

SPR TERUS BERSIKAP 'SENGET SEBELAH'

Sejak dulu kini dan selamanya SPR sering kali dilihat bersikap senget sebelah dalam mengendalikan pilihanraya di negara ini khususnya apabila melibatkan pembangkang.

SPR dilihat sering menjadi alat dan hanya mengikut telunjuk Umno@BN dalam melaksanakan hal-hal berkaitan dengan pilihanraya di negara ini.

Terkini menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yuso, badan itu sedang memikirkan dengan serius untuk menghadkan bilangan penyokong sewaktu hari penamaan calon. Ini berikutan kehadiran penyokong Pakatan Rakyat yang jauh berlipat kali ganda menenggelamkan 'gelombang biru' yang cukup dimegahkan oleh Umno@BN. Kehadiran penyokong Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu dan lima pilihanraya kecil selepas itu ternyata cukup menggerunkan Umno@BN.

Maka pelbagai tuduhan dilemparkan dengan mengatakan penyokong Pakatan Rakyat tidak terkawal, ganas dan membuat provokasi. Andai kata penyokong Umno@BN mengatasi kehadiran penyokong Pakatan Rakyat semasa hari penamaan calon saya yakin SPR tidak berani untuk bertindak atau mengakaji untuk menghadkan kehadiran penyokong.

Jika SPR benar-benar adil dan telus, SPR sepatutnya bertindak tanpa menyebelahi mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pembangkang. Kenapa Umno@BN dibiarkan memanipulasi dan memonopoli media dan jentera kerajaan tanpa sebarang tindakan dari SPR? Begitu juga dengan gejala rasuah yang melibatkan Umno@BN tidak termasuk sogokan lain seperti projek 'mee segera' yang dilihat sebelah mata sahaja oleh SPR.

MAHKAMAH MALAYSIA MENJADI BAHAN LAWAK JENAKA

Mahkamah Persekutuan semalam membuat keputusan sebulat suara bahawa tindakan Speaker Perak V. Sivakumar menggantung Menteri Besar Kudeta Datuk Zamry Abdul Kadir dan enam 'exco' sebagai tidak sah dan menyalahi peruntukan undang-undang.

Sejak bila pulak V. Sivakumar menggantung mereka? Keputusan menggantung Zamry dan 'Exco' adalah dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun Perak pada 18 Febuari dan kemudian disahkan oleh sidang Dun Perak pada 3 March lalu. V.Sivakumar tidak pernah membuat keputusan menggantung mereka! Ringkasnya, tindakan menggantung Zamry dan yang lain adalah mengikut prosedur Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak.

Bagaimana kes begini penting tidak disedari oleh Peguam Negara, sebagai Ketua Pendakwaraya? Bagaimana mahkamah boleh membuat keputusan dengan fakta kes yang silap? Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam menunjukkan kejahilan Umno@BN dalam memahami undang-undang di peringkat negeri dan persekutuan.Memang layaklah mereka terus ditolak oleh majoriti rakyat di negara ini.

KENAPA WUJUD LAYANAN BERBEZA DI ANTARA KES ZAMRY DAN KES NIZAR DI MAHKAMAH ?

Pernah tak kita terfikir kenapa perbicaraan yang melibatkan saman dan injuksi yang dikemukakan oleh Dato Seri Ir Nizar Jamaludin dan Speaker V. Sivakumar agak lewat dan bertangguh-tangguh? Manakala kes yang yang melibatkan Datuk Zamry dibicara dan diputuskan begitu cepat dan efisen?

Kes Nizar dan Sivakumar masih lagi diperingkat mahkamah Tinggi manakala kes Zamry terus sahaja dibicarakan di Mahkamah Persekutuan? Adakah ini satu kebetulan atau konspirasi terancang?

Akhbar perdana yang dikuasai oleh Umno@BN begitu mendabik dada dengan keputusan semalam. Menyifatkan sebagai keputusan bersejarah dan menyelesaikan krisis pelembagaan di Perak. Adakah mereka fikir semudah itu? Apakah mereka fikir Speaker yang dipilih hanya tunggul kayu? Bagaimana pula dengan Keputusan Persidangan Dun Perak pada 3 March lalu? Bagaimana pula dengan keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan? Apa yang diputuskan oleh mahkamah semalam sebenarnya hanya menambah lagi kekalutan di tengah-tengah keributan krisis yang melanda Perak sekarang.

Memetik kata-kata Pengerusi DAP Perak,

Mahkamah tidak membuat apa-apa keputusan mengenai 'Persidangan Bawah Pokok' yang dibuat pada 3 Mac 2009. Dalam persidangan itu, keputusan Jawatankuasa Hak & Kebebasan untuk menggantung 7 orang ahli Dewan Negeri itu telah diterima dan diluluskan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan menimbulkan lebih banyak keraguan kerana ianya telah campur tangan dalam prosiding Dewan Negeri.

Menurutnya lagi, apa sahaja keputusan yang dibuat pada hari ini boleh diabaikan oleh Dewan Negeri kerana ia hanya merupakan satu deklarasi dan bukannya mandamus atau certiorari. Beliau menegaskan bahawa deklarasi itu hanyalah pendapat yang tidak menguatkuasakan tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Dewan Negeri mempunyai undang-undang tersendiri. Undang-undang itu hanya boleh ditafsirkan oleh Speaker. Samada Speaker bertindak secara betul ataupun tidak, hanya dewan sahaja yang boleh membincangkan hal ini melalui usul yang dibawa. Keputusan Speaker hanya boleh dicabar dalam Dewan itu sendiri.

Dato' Ngeh juga mengatakan bahawa Mahkamah telah mentafsir kuasa -kuasa Speaker, adalah tidak baik jika Dewan Negeri juga memberi pendapatnya mengenai keputusan-keputusan Mahkamah. Beliau mengatakan bahawa deklarasi yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan adalah 'akademik dan tidak perlu'.

( dipetik dari http://idhamlim.blogspot.com )