12 June 2008

Renungan Pagi….

Berlaku 2 pengumuman penting semalam oleh PM semalam :-

  1. Harga minyak tidak akan dinaikkan pada tahun ini lagi walaupun harga minyak dunia mencecah US 200.
  2. Kakitangan awam akan mendapat 2 kali bayaran gaji iaitu pertengahan dan hujung bulan mulai Ogos ini.


 

Pada pandangan saya kedua – dua pengumuman oleh PM ini tidak banyak mengubah kemelut dan tekanan hidup kenaikan harga barang keperluan dan perkhidmatan serta terbaru kenaikan harga minyak hingga 41 % ( RM 1 untuk diesel dan RM 0.78 untuk petrol ). Bank Negara meramalkan inflasi akan meningkat hingga 6 %.

    Ini bermakna kemungkinan harga minyak naik lagi pada jam 1201 am 1 Januari 2009 akan berlaku. Tinggal kira – kira 6 bulan je lagi. Begitu juga bayaran gaji 2 kali dalam sebulan, jumlah gaji yang diterima tetap sama mungkin ia akan sedikit membantu dari aspek pengurusan kewangan dan aliran tunai isi rumah.

    Persoalannya adakah kita semua sudah bersedia untuk berhadapan 'Tsunami' atau "Nargis' yang bakal melanda Negara…Sehari dua ni cukup terasa bila mula mengisi minyak 'mahal' ke dalam kereta Toyota Vios yang dikategorikan antara kereta yang 'jimat minyak'. Bayangkanlah sebelum ini ke Johor Bahru untuk menyelia praktikum kos minyak pergi balik JB – Melaka hanya lingkungan RM 60 kini dah mencecah RM 100. Kereta Toyota Unser yang masuk kateogori " sedut minyak" dah 3 hari dalam garaj…

Semalam bila bersembang dengan seorang penjual pisang goreng dia memberitahu mungkin tak lama lagi dia 'pencen'. Semua kos berkaitan perniagaannya seperti minyak masak dan harga pisang sudah mula naik tak kanlah dia kata nak jual harga pisang goreng 2 keping RM 1. Siapa yang sanggup beli, katanya. Begitu juga katanya dengan pengumuman bayaran rebet untuk pemilik kenderaan yang akan mula dibayar pada Sabtu ini, bagi yang ada kereta dan motor mungkin dapat le sedikit untuk menampung kos hidup. Tapi katanya…macam mana petani,nelayan atau orang kampung yang tak mampu nak memiliki kereta dan motor. Apa yang mereka dapat ? Ini semua membuat saya termenung dan berfikir sehingga sekarang…Bagaimanalah agaknya nasib golongan bawahan yang menghadapi kesan kegawatan ekonomi ini…..