Ramai yang marah-marah, mengetap bibir tanda geram apabila membaca berita dan melihat gambar mangsa kekejaman ah long yang dilayan lebih teruk daripada binatang dalam tajuk-tajuk berita hari ini.
Tiga orang mangsa ahlong yang diselamatkan oleh polis dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Perindustrian Serdang telah dikurung di antara 10 hari hingga dua bulan. Ketika diselamatkan ketiga-tiga mangsa diikat di leher dan kaki dengan menggunakan rantai serta hanya disediakan sebuku roti seminggu dan bergantung kepada air paip untuk terus hidup.
Sampai bila isu ini terus berlaku? Adakah kita hendak menunggu mangsa seterusnya? Sebelum ini sering disiarkan beberapa tragedi pembunuhan dan tindakan ganas yang dipercayai berkaitan dengan ah long.Isu ah long atau ceti haram ini bukan isu baru. Ia telah lama didedah dan dibincangkan. Ahlong ini semakin bermaharajalela dan bertindak sesuka hati gaya samseng seolah-olah mencabar serta tidak gentar dengan pihak keselamatan.
Ini semua menunjukkan pihak kerajaan dan keselamatan seperti bersikap sambil lewa dalam isu ini. Lihatlah di banyak tempat di bandar dan kawasan perumahan, ah long ini begitu terbuka menampal dan mengiklankan skim pinjaman yang mereka tawarkan. Iklan dan poster yang dilekatkan begitu meriah seolah-olah suasana perang poster waktu pilihanraya.
Dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Kerajaan Majlis Tempatan yang kerajaan negerinya Umno@BN jika ada poster ceramah atau bendera parti milik Pakatan Rakyat ditampal dan dinaikkan begitu cepat poster dan bendera berkenaan dibuang. Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Tempatan berkenaan kerana begitu cepat dan proaktif dalam melaksanakan arahan! Tetapi bagaimana dengan poster dan iklan ceti haram ini? Apa tindakan pihak berkuasa tempatan?
Begitu juga dengan pihak bank negara yang begitu cepat bertindak dan mendakwa jika ada individu dan syarikat mengambil deposit dari pelabur tanpa izin dari bank negara. Tetapi bagaimana dengan ceti haram ini? Adakah mereka diberi layan dan keistimewaan untuk menjalankan urusan perniagaan mereka? Begitu juga dengan pihak polis, adakah mereka tidak menyedari kegawatan dan masalah yang berlaku akibat ceti haram yang menjalankan operasi secara terbuka ini?
Kepada pihak polis, jangan hanya sibuk menjaga ceramah-ceramah Pakatan Rakyat tetapi masalah yang lebih besar yang membawa kegawatan sosial dan ketakutan di kalangan masyarakat seperti ceti haram seolah-olah dibiarkan tanpa tindakan sewajarnya.