Kalau Tun Dr. Mahathir tidak berkata Umno busuk sehingga ke ususnya, ramai yang maklum bahawa Umno hari ini memang busuk lagi membusukkan. Menyedari Umno sudah busuk maka mereka cuba menggambarkan bahawa orang lain dan parti lain yang busuk dan bukan mereka. Umno cuba menggambarkan segala yang keluar dalam usus mereka wangi-wangi belaka tidak ada yang busuk.
Usus yang busuk berpunca daripada apa yang masuk ke dalamnya. Fungsi usus ialah memproses segala sisa dan benda-benda yang busuk. Hakikatnya tidak ada usus siapa-siapa pun yang harum dan wangi. Tetapi kebusukan itu akan bertambah-tambah kalau yang masuk ke dalamnya adalah segala macam kotoran dan benda-benda yang meloya dan membusukkan.
Dr. Mahathir berkata Umno kini busuk sehingga ke ususnya. Tetapi beliau mungkin terlupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa kebusukan terlampau yang berlaku dalam umno hari ini mencapai kemuncak kebusukannya pada zaman beliau menjadi presiden Umno dan perdana menteri selama lebih dua dekad. Sejak bila rasuah berluasa dalam Umno? Sejak bila rakyat mula hilang kepercayaan dan meragui sistem perundangan, kehakiman, institusi seperti polis dan SPRM (BPR)? Semuanya bermula dari zaman beliau. Hakim boleh dibawa melancong dan didedahkan dengan pelbagai skandal. Tilam bertompok-tompok boleh diusung ke mahkamah. Negara rugi berpuluh billion di zaman Dr. Mahathir kerana langkah menyelamatkan anak-anaknya dan kroni di sekelilingnya. Mereka yang tidak sebulu dan sehaluan dengan Dr. Mahathir akan dicantas dan dikenakan pelbagai tuduhan yang mengaibkan. Untuk berkuasa dan duduk di atas, orang Umno diajar wang adalah segala-galanya. Jadi untuk dapat duit untuk membela orang bawahan, mereka terpaksa makan rasuah dan beri rasuah walaupun ia sesuatu yang membusukkan.Segala kebusukan yang berlaku adalah berpunca dari guru yang terdahulu dan tak lain dan tak bukan adalah Dr. Mahathir sendiri.
Dr. Mahathir mungkin berharap dengan mendedahkan kebusukan yang terlampau sehingga ke ususnya akan menyebabkan orang dalam Umno serta orang ramai akan menunding jari serta memandang jijik mereka yang menjadi punca Umno membusuk. Maka mereka yang terlibat dengan rasuah akan terus terpinggir dalam Umno. Siapa lagi kalau bukan Khairy Jamaludin. Desas desus bertiup kencang bahawa Khairy bakal dilantik ke jawatan timbalan menteri. Sudah pasti berita itu tidak disenangi oleh Dr. Mahathir. Maka isu kebusukan ke usus Umno ini dibangkitkan agar Khairy Jamaludin serta yang sewaktu dengannya akan terus kempunan jawatan penting dalam kerajaan dan kabinet. Apa yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir sebenarnya kena atas batang hidungnya sendiri dan sekaligus mendedahkan lagi segala kebusukan yang berlaku dalam Umno.
Semua ini jelas bahawa kebusukan yang menular dalam Umno sehingga ke ususnya harinya sudah terlambat untuk dirawat dan diubati. Umpama pesakit kanser kronik yang menghitung hari dan saat kematian.