Semasa Datuk Sharil Samad dilantik menggantikan Datuk Shafie Afdal sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna ( KDHEP) saya menaruh sekelumit harapan beliau akan membela dan menjaga nasib pengguna di negara ini.
Sebaliknya, apa yang berlaku bukan dua kali lima malah lebih teruk dengan Shafie. Shafie yang sebelum ini saya kira gagal membendung kenaikan harga barang terutama barang kawalan. Di zaman beliau juga berlaku kekurangan barang keperluan di pasaran seperti minyak masak, gula dan tepung yang tidak sepatutnya berlaku.
Apa yang berlaku semasa Shahril menjadi menteri semakin teruk dengan peningkatan harga barang yang semakin tidak terkawal yang gagal ditangani dengan berkesan. Manakala janji untuk mengumumkan penurunan harga barang semalam hanya omong-omong kosong.
Hari ini beliau berkata, penurunan harga minyak seperti dijangka pada penghujung bulan ini atau awal bulan depan tidak boleh melebihi 15 sen. Alasannya untuk mengelakkan pengusaha stesen minyak mengalami kerugian.
Sharil mungkin terlupa dengan kenyataannya sebelum ini, bahawa kerajaan akan menurunkan harga minyak kembali pada harga asal seperti pada Jun lalu iaitu sekurang-kurangnya RM 1.92 untuk petrol jika harga minyak di pasaran global di bawah $ US 72. Hari ini harga minyak di pasaran ialah $ US 65 setong !
Inilah jadinya kalau kerajaan tidak menghiraukan nasib rakyat. Masa nak naik harga minyak dulu pelbagai justifikasi dan hujah diberi oleh kerajaan. Seolah-olah orang lain tak pandai ekonomi. Sebaliknya bila rakyat mendesak harga minyak diturunkan berdasarkan fakta dan pasaran global, nampak perwatakan sebenar mereka yang dikatakan pandai mengurus ekonomi dalam kerajaan.
Alasan yang sama diberikan, kalau turun harga minyak kepada kadar yang lebih munasabah, pengusaha stesen minyak akan mengalami kerugian.Dulu alasan ini juga yang digunakan. Carilah alasan lain yang lebih sesuai, jangan cuba hendak perbodohkan rakyat. Sekarang bukan lagi zaman mesin taip. Hari ini zaman langit terbuka dan dunia tanpa sempadan.