15 February 2010

CIKGU MAKAN NASI BUNGKUS...........

Tidak ada lagi makan secara buffet dan ala carte kepada semua guru yang hadir berkursus atau mengikuti apa sahaja program anjuran jabatan dan Kementerian Pelajaran. Ini berikutan langkah penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan 1Malaysia berikutan krisis kegawatan ekonomi.

Maka mungkin ada komen dan ulasan, guru di Malaysia patut bersyukur kerana masih lagi diberi makanan ketika berkursus berbanding dengan guru di beberapa negara lain yang tak diberi makan langsung!

Bagi saya jika benar keadaan negara berada dalam gawat semua pihak tanpa mengira ideologi politik perlu menerima hakikat dasar penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan 1Malaysia. Tapi apa yang saya pelik dalam masa yang sama ketika guru-guru disuruh makan nasi bungkus, kerajaan 1Malaysia terus menunjukkan sikap membazir dan pengurusan kewangan yang tak masuk akal.

Misalnya, gaji dan elaun polis meningkat berkali ganda ketika perkhidmatan kerajaan lain disuruh berjimat cermat dan perbelanjaan mengurus dipotong. Ada yang berkata, bersyukur dan tak usah berdengki itu dah rezeki polis. Ini bukan soal dengki dan sebagainya. Saudara mara saya ada yang jadi pegawai kanan polis. Malah dengan pendapatan saya sekeluarga sekarang mencecah lima angka, apa yang diperolehi lebih dari cukup,Allahamdullillah.

Apa yang saya perhatikan kerajaan 1Malaysia terus menunjukkan sikap membazir dan boros. Contoh program Juara Rakyat yang dijadikan road show ke seluruh negara yang merupakan agenda Umno yang menggunakan duit rakyat sesuka hati. Kos puluhan ribu ringgit untuk mengangkut orang ramai, makan minum, promosi dan persiapan tempat. Program berkenaan adalah program Umno kenapa perlu kerah dan paksa kakitangan kerajaan ke program berkenaan?

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran buat-buat terkejut apabila kajian menunjukkan 60 % pelajaran Tahun 1 tidak menguasai 3M. Kenapa nak buat-buat terkejut, bukankkah kerajaan dah habis lebih 5 bilion untuk laksanakan PPSMI? Sibuk sangat dengan bahasa inggeris sehingga ramai murid Tahun 1 yang pastinya majoriti anak Melayu masih lagi buta huruf.

Apabila murid tak kuasai 3M, guru dikritik kerana tak laksanakan tanggungjawab. Kesian pada cikgu-cikgu sentiasa jadi mangsa bila sesuatu program Kementerian Pelajaran kerajaan 1Malaysia menemui kegagalan. Kepada cikgu-cikgu yang sanggup ke pedalaman, berpisah dan berjauhan dengan suami isteri dan anak tercinta, bawa kerja ke sekolah sehingga ke rumah dan seringkali terpaksa mengorbankan cuti untuk melaksanakan tugas mendidik anak bangsa bersyukurlah kerana masih lagi dapat makan nasi bungkus!