Perdana Menteri, Dato seri Najib Tun Razak mengumumkan kabinet pembaharuannya petang tadi. Mungkin inilah kabinet 'glokal' yang pernah diutarakan oleh Najib sebelum ini. Kepada menteri dan timbalan menteri yang lama dan baru yang terpilih tahniah diucapkan. Kepada yang terkeluar mereka perlu menerima hakikat bahawa bahawa mereka tidak menepati kriteria 'pembaharuan' yang diinginkan oleh Najib dalam motto 'keramatnya' satu Malaysia, rakyat didahulukan dan prestasi diutamakan!
Maknanya yang tersingkir tidak lagi menepati citarasa rakyat dan prestasi menurut persepsi Najib.
Tidak ada apa yang istimewa dalam kabinet Najib kecuali usaha beliau untuk kembali menarik golongan agama dengan melantik Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom bekas Pengarah Kagat sebagai Menteri Hal Ehwal Agama Islam.
Tetapi ia tidak mampu menggugat pakatan Rakyat dan kembali menarik sokongan rakyat kepada Umno kerana telah terbukti penolakan rakyat kepada Umno adalah penolakan total yang berkait rapat dengan dasar dan idealis Umno yang semakin menyimpang jauh. Malah telah terbukti kemasukan tokoh-tokoh agama dalam Umno sebelum ini seperti bekas Imam Masjid Negara dan Ummu Hadhari, Dr. Mashitah Ibrahim tidak mampu mengubah dasar dan perjuangan Umno yang terang-terang seperti mempermain dan mempersendakan Islam.
Dalam pemilihan Umno di peringkat bahagian dan pusat tokoh-tokoh agama tersingkir seorang demi seorang atau mula menjauhkan diri daripada Umno apabila Pak Lah 'bersara' sebagai presiden Umno dan Perdana Menteri.
Apa-apapun pembentukan kabinet baru Najib bakal menambah kronik perpecahan yang berlaku dalam Umno hari ini. Bukan sekadar retak menanti belah tetapi hanya menunggu masa untuk bersepai.
Tidak melantik Khairy yang menang Ketua Pemuda tetapi melantik Mukhriz yang tewas ibarat halilintar yang bakal menggoncang Umno. Tidak melantik Khairy tidak mengapa jika Mukhriz pun tidak dilantik sama. Tetapi dengan melantik Mukhriz jelas secara terang-terang Najib ingin menunjukkan kuasa dan pengaruhnya. Ini juga satu penghinaan kepada Khairy dan secara tidak langsung kepada Pak Lah dan penyokong-penyokongnya yang masih bertapak dalam Umno.
Apa reaksi Khairy dan penyokong-penyokong Pak Lah? Sama-samalah kita tunggu...
09 April 2009
MISTERI TERUS MENYELUBUNGI KES ALTANTUYA
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman mati kepada Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar kerana didapati bersalah membunuh wanita warga Monggolia Altantuya Sharibu.
Walaupun hukuman telah dijatuhkan, kes ini terus menimbulkan misteri tentang apa yang berlaku di sebalik pembunuhan berkenaan. Menurut peguam pemerhati keluarga mangsa, Karpal singh walaupun sabitan telah dikenakan kepada kedua-dua tertuduh sehingga hari ini masih tidak jelas apakah motif pembunuhan tersebut dilakukan. Adakah kedua-dua yang didapati bersalah bertindak sendirian tanpa arahan daripada sesiapa?
Lebih-lebih lagi pembunuhan tersebut dilakukan dengan begitu sadis dan tragis sehingga menggemparkan bukan sahaja dalam negara tetapi seluruh dunia.
Adakah kedua-dua bekas polis berkenaan membunuh kerana bermotifkan dendam, cemburu atau menjadi pembunuh upahan? Atau adakah kedua-dua pesalah itu membunuh untuk menguji sejauh mana kecanggihan aset senjata dan bom C4 yang dimiliki oleh pasukan keselamatan negara?
Subscribe to:
Posts (Atom)