30 May 2011

UMNO TAWAR PAS JAWATAN MENTERI NIKAH KAHWIN?

Semakin hampir pilihanraya macam-macam perang saraf yang cuba dilakukan oleh Umno. Terbaru pendedahan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat Umno berjumpa dengan beliau beberapa kali untuk mewujudkan kerajaan perpaduan.

Nampak sangat Umno sudah cukup terdesak dan gila talak. Sebelum ini Umno cubaan menyunting DAP tidak dilayan. Bukan sekadar bertepuk sebelah tangan tetapi umpama pungguk rindukan bulan.

Sudah acap kali Umno cuba memujuk rayu agar Pas menerima tawaran pinangan mereka. Seolah-olah Umno lupa bahawa Pas telah dikhianati sejak 1978. Malah sehingga kini Umno tidak henti-henti menabur fitnah dan menyerang Pas.

Tawaran tiga jawatan menteri kepada Pas seperti yang didedahkan oleh YAB Tuan Guru seolah-olah ingin menggambarkan betapa bersungguh-sungguhnya Umno untuk mewujudkan kerajaan perpaduan kononnya demi perpaduan Melayu.

Persoalanya apakah tiga jawatan menteri yang ingin ditawarkan kepada Pas? Adakah Umno akan ambil kuota dari MCA, MIC dan Gerakan? Adakah Umno berani menarik semula jawatan menteri ahli parlimen parti komponen Sabah dan Sarawak? Mungkinkah juga ada menteri Umno yang akan korbankan jawatan mereka? Siapa menteri yang sanggup berkorban itu? Jawapannya tak ada! Pilihan yang yang ada Umno wujudkan jawatan menteri baru yang tak perlu dan tak penting antara jawatan yang sesuai ialah Menteri Nikah Kahwin, Menteri audio video ( hitam putih ) dan Menteri Ukur Jalan!

HIMPUNAN 'SEJUTA BELIA' BOLEH MENGAPA TIDAK DENGAN HIMPUNAN BERSIH?

Kelmarin berlangsung di Putrajaya, Perdana Menteri menjadi 'tekong' himpunan sejuta belia. Walaupun terpaksa mengerah belia khususnya pelajar kolej dan IPTA serta IPTS dari seluruh negara anggaran yang hadir tidak lebih dari 10 ribu orang. Seperti biasa kehadiran mereka kerana mendapat arahan daripada pihak atasan.

Pelbagai acara diadakan, daripada persembahan artis, pameran dan ucapan. Kemuncak acara ialah Perdana Menteri sekali lagi berhimpun dengan ' sejuta belia' menyaksikan pasukan kegemarannya Machester United dibelasah 1-3 oleh Barcelona. Sepanjang majlis itu pastinya ramai yang terpekik terlolong menyokong pasukan pilihan mereka. Maka riuh rendah suasana dinihari pagi di Putrajaya seperti orang kena sampuk hantu polong.

Apa yang menarik himpunan itu mendapat 'permit polis'. Tidak timbul pulak isu keselamatan, gangguan ketenteraman awam dan istilah menganggu lalu lintas. Walaupun saya difahamkan oleh rakan di Putrajaya, beberapa jalan utama ditutup untuk memberi laluan kepada himpunan tersebut.

Jika polis boleh membenarkan himpunan 'Sejuta Belia' mengapa tidak himpunan '100 ribu' Bersih pada bulan Julai nanti? Kalau tidak dibenarkan berhimpun di tengah Bandaraya Kuala Lumpur saya yakin penganjur Himpunan Bersih ke 2 sedia untuk menimbangkan alternatif jika diberi permit berhimpun di Putrajaya. Sehingga hari ini setiap himpunan anjuran pakatan Rakyat berlangsung dengan aman dan tertib, provokasi polis yang sering menjadikan keadaan huru hara.

Adalah sangat tidak adil kalau polis dan pihak keselamatan tidak membenarkan Himpunan Bersih. Ini kerana rakyat yang bakal berhimpun untuk menuntut pilihanraya adil dan bersih juga adalah pembayar cukai serta turut menyumbang kepada ekonomi negara.