03 September 2008

Batalkan Serta Merta Surcaj 30 % Tambang Bas Musim Perayaan


Kabinet hari ini bersetuju supaya kuota subsidi diesel untuk bas ekspres sepanjang musim perayaan bermula 15 September ini hingga 15 Oktober depan dinaikkan sehingga 9,000 liter berbanding hanya 2,500 liter sebelum ini.

Justeru itu langkah kerajaan melalui Menteri Pembangunan Usahwan dan Koperasi Datuk Noh Omar sebelum ini untuk mengenakan surcaj 30 % selama sebulan mulai 15 september ini untuk semua bas ekspres dan bas henti –henti perlu dihentikan serta merta.

Dalam hal ini, tidak ada alasan lagi kerajaan ingin membenarkan pengusaha syarikat bas Ekspres dan bas henti –henti meneruskan surcaj 30 %. Bagi penumpang yang telah membeli tiket dengan harga tambahan surcaj 30 % perlu dikembalikan semula wang mereka.

Pihak kerajaan perlu menyedari, mereka yang menjadi pengguna pengangkutan awam sudah pasti majoritinya golongan berpendapatan rendah dan sederhana selain daripada para pelajar. Justeru itu, langkah membatalkan surcaj 30 % dapat mengurangkan bebanan para pengguna yang terpaksa menanggung kos yang tinggi kerana menggunakan perkhidmatan awam ini.


 

YAB TUAN GURU YAKIN AKAN BERLAKU PERALIHAN KUASA


YAB Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat meyakini kerajaan baru akan terbentuk tidak lama lagi. Menurut beliau perubahan ini bukan disebabkan oleh tarikh 16 September 'date line' yang ditetapkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim tetapi dasar dan pemikiran kerajaan yang ada memang perlu diubah.

Malah, Ketua PKR Sarawak, Dominique Ng memberitahu sidang akhbar di Kuching bahawa Pakatan Rakyat kini menjangka lebih 40 ahli parlimen akan melompat dari Barisan Nasional (BN).

Terbaru, 43 ahli parlimen telah menyatakan komitmen untuk 'beralih angin' pada 16 September ini. Dalam 43 orang ini, salah seorangnya adalah seorang bekas menteri yang berada dalam jangkaan saya.

Keyakinan ini berdasarkan maklumat yang saya terima dari seorang rakan yang rapat dengan bekas Menteri berkenaan pada petang tadi. Lama juga kami bersembang dalam telefon membincangkan kemungkinan yang berlaku. Menurut rakan saya, bekas menteri itu lebih cenderung menyertai PAS berbanding dengan Parti Keadilan Rakyat.

Apa –apapun sama –sama lah kita tunggu kedatangan 16 September nanti…


 


 

RAMADHAN: 'PESTA IBADAH' ATAU 'PESTA MAKAN -MAKAN' ?


Ramadhan datang lagi. Bagi mereka yang memahami dan meyakini tentang kelebihan bulan ini, ketibaan Ramadhan adalah sesuatu yang begitu dinantikan.

Pada bulan ini, pahala dilipat-gandakan selain pelbagai tawaran dan gajaran seperti yang disebut dalam Al Quran dan hadis Nabi SAW. Selain itu berlaku pelbagai peristiwa penting kepada umat Islam.Di antaranya bulan ini Al Quran diturunkan, berlakunya Badar Al Kubra dan peristiwa Lailatul Qadar.

Justeru itu, kedatangan Ramadhan disambut dengan penuh kegembiraan dan sepanjang sebulan Ramadhan dijadikan sebagai ‘pesta ibadah’. Pada bulan ini dihiasai denganpelbagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan bacaan al Quran, solat sunat tarawikh, Qiamulail dan berzikir dengan tujuan mencari keredhaan Allah SWT.

Bagi yang merasa diri berdosa, bulan ini adalah bulan yang sesuai untuk menyucikan diri dari dosa –dosa lalu dengan meningkatkan permohonan keampunan kepada Allah SWT.

Bagi mereka yang mempunyai hajat tertentu, bulan ini adalah sangat ditunggu –tunggu untuk memperbanyakkan doa dengan penuh syahdu memohon dari Allah SWT supaya hajat mereka diperkenankan.

Bagi mereka yang berkemampuan, bulan ini digunakan untuk memperbanyakkan sedekah dan infaq kepada mereka yang memerlukan. Di samping itu, terdapat mereka merebut peluang dengan mengerjakan umrah di bulan Ramadhan.
Namun, tidak semua orang menjadikan Ramadhan sebagai ‘Pesta Ibadah’ sebaliknya lebih terserlah sebagai bulan ‘Pesta Makan –makan’.

Bulan ini digunakan untuk menjamu selera dengan makanan yang enak –enak. Sewaktu berbuka puasa, segala macam lauk pauk dan kuih muih memenuhi meja. Tidak termasuk pelbagai jenis air yang pelbagai rupa dan warna.

Akhirnya, bila dah kekenyangan dan beberapa kali sendawa, juadah berlebihan akan ‘disimpan’ di dalam tong sampah. Apabila dah kekenyangan , tersandar di kerusi atau balik pintu.Solat Maghrib mula dillewat-lewatkan. Solat Tarawikh ? Tengok kepada kelaratan.

Ramadhan bulan keberkatan berlalu begitu sahaja. Pada hari pertama atau minggu pertama, surau dan masjid penuh hingga melimpah keluar orang bersolat tarawikh. Malangnya, pada minggu kedua, ketiga dan berikutnya saf orang bersolat bertarawikh makin ada ‘peningkatan’. Mungkin daripada tujuh dan lapan saf, ‘meningkat’ jadi satu saf terutama di hujung –hujung Ramadhan. Tak percaya, tengoklah nanti.

Kita lihat, orang lebih sibuk di bazar – bazaar Ramadhan yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Tak salah…Tapi biarlah berpada –pada. Ini tidak, membeli sampai melebihi keperluan dan kemampuan diri. Akhirnya dibuang, membazir begitu sahaja.
Selain itu, pada minggu kedua dan berikutnya orang mula sibuk berbuka puasa di hotel atau restoran atau memenuhi undangan berbuka. Di samping mula sibuk dengan persiapan juadah hari raya. Semuanya tentang ‘makan –makan’.

Walhal, pada pertengahan dan penghujung Ramadhan adalah waktu kemuncak untuk dilipat gandakan ibadah dan amalan untuk meraih keampunan dan keredhaan dari Allah SWT.
Justeru itu, marilah sama –sama kita merenung dan menghayati bulan Ramadhan yang baru bermula. Semoga amalan yang kita lakukan tidak menjadi adat dengan ‘pesta makan –makan’.sebaliknya Ramadhan dijadikan sebagai ‘Pesta Ibadah’. Mana tahu, Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir bagi kita semua.