24 June 2009

UMNO UMPAMA PUNGGUK RINDUKAN BULAN


Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat telah buat keputusan muktamad bahawa PR menolak idea Kerajaan Perpaduan. Keputusan itu telah menamatkan segala teka teki, salah faham dan konflik yang dikatakan berlaku dalam Pakatan Rakyat berkaitan dengan isu berkenaan. Keputusan menolak idea Kerajaan Perpaduan ternyata melegakan ramai pihak kecuali Umno dan mereka yang sewaktu dengannya.

Sehingga hari ini Umno terutamanya terus mengungkit-ungkit dan seperti menaruh harapan agar Pas meneruskan perundingan kononnnya untuk perpaduan orang Melayu. Maka pimpinan Umno seperti YAB Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd. Ali Rustam menuduh kononnya Pas tunduk kepada tekanan dari DAP dan PKR. Malah banyak lagi kenyataan seumpamanya oleh pimpinan Umno lain yang ternyata kecewa kerana tidak lagi boleh mempergunakan isu Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan survival politik Umno.

Tindakan Umno dengan mengungkit seperti meratap dan merintih agar Pas kembali menerima kerajaan Perpaduan samalah seperti cerita pungguk rindukan bulan. Tetapi cuma kali ini Umno merindukan bulan purnama yang semakin mengambang penuh yang mendapat sokongan mantap dan padu bukan sahaja di kalangan orang Melayu yang beragama Islam tetapi juga dari kaum lain terutama Cina dan India. Maka Umno akan terus merayu dan berharap agar bulan jatuh ke riba tanpa mempedulikan apa pun orang nak kata. Kesian ke pungguk...