02 July 2009

INDONESIA LANCAR ROKET SENDIRI, ROKET MALAYSIA ?


Indonesia berjaya melancarkan roket buatannya sendiri ke angkasa lepas hari ini, iaitu sebahagian daripada rancangan menghantar satelit ke orbit menjelang 2014, kata pegawai rasminya.

Roket RX-420 dilancarkan daripada tapak pelancaran di daerah Garut, wilayah Jawa Barat kira-kira jam 8 pagi tadi.

“Roket RX-420 berjaya dilancarkan pagi ini, Kami sangat gembira,” kata jurucakap Agensi Aeronautik dan Angkasa lepas, Elly Kuntjahyowati di sini, hari ini.
Beliau berkata, satu lagi roket yang berjaya diuji tahun lalu akan digabungkan dengan RX-420 bagi membawa satelit ke orbit menjelang 2014.

Roket Malaysia? Roket di Kedah nampaknya seperti ada masalah tidak dapat dilancarkan kerana masalah yang berlaku di bumi Alor Star. Roket di tempat lain bagaimana? Harap-harap roket di tempat lain dapat dilancarkan menuju ke bulan dengan jayanya. Bagaimana pula dengan cerita angkasawan Malaysia yang naik roket Soyuz dulu?Apa cerita hasil kajian yang dibuat hasil tambang RM 120 juta untuk naik roket dulu? Adakah lepas ni ada lagi rakyat Malaysia yang akan naik roket?

ISU HUBUNGAN PAS-DAP DI KEDAH DAN PELAWAAN DIALOG BUKTI PAS SEMAKIN MATANG BERPOLITIK

Saya bukanlah orang yang layak untuk menulis berkaitan isu yang berlaku. Tetapi polemik ini menyebabkan saya rasa terpanggil untuk menyatakan pendapat dan ulasan. Dua isu besar berlaku dalam Pakatan Rakyat khususnya PAS semalam. Pertama, DAP Kedah membuat keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat di Kedah kerana tidak berpuas hati tindakan Majlis Bandaraya Alor Star(MBAS) yang dinaungi Pakatan Rakyat menutup pusat sembelihan babi di bandaraya berkenaan. Kedua, surat dialog terbuka yang dikemukakan oleh Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nashrudin Tantawi kepada pemuda Umno di Lobi parlimen semalam.

Saya melihat isu yang berlaku di Kedah adalah kes terpencil yang boleh diselesaikan secara perbincangan. Walaupun isu berkenaan dimanipulasi sepenuhnya oleh media pro Umno hari ini, saya melihat isu ini akan memberi manafaat dan pengajaran kepada Pakatan Rakyat pada jangka masa panjang sekiranya ia dapat diselesaikan secara baik. Apa yang berlaku, sebenarnya lebih kepada soal emosi dan perasaan tidak puas hati individu tertentu dalam DAP.

Dalam isu ini sebenarnya menyerlahkan kematangan PAS yang dipimpin oleh YAB Ustaz Dato Azizan Razak menyelesaikan salah faham yang berlaku. Adakah PAS Kedah menjadi dalang utama kepada penutupan pusat sembelihan babi berkenaan? Penutupan ini dilakukan mengikut prosedur, budi bicara dan rundingan tanpa menafikan keperluan dan kepentingan mana-mana pihak. Tindakan menutup bukan dilakukan secara membabi buta. Di sini menunjukkan bahawa kepentingan majoriti rakyat menjadi keutamaan tanpa mengira pengaruh dan tekanan politik. Malah saya cukup yakin bahawa MBAS sedia menyediakan tempat yang lebih sesuai, teratur dan lebih moden berbanding tempat sekarang untuk memastikan keselesaan hidup rakyat tanpa menafikan hak kaum lain.Terpulang kepada mana-mana pihak untuk memanipulasi isu ini, saya cukup yakin dan optimis rakyat akhirnya akan mendapat maklumat dan gambaran sebenar apa yang sebenarnya berlaku.

Berkaitan pelawaan dialog yang dikemukakan oleh Pemuda PAS, saya melihat isu ini memperlihatkan keterbukaan dan kematangan PAS berpolitik. Syabas dan tahniah kepada Dewan Pemuda Pas Pusat.Pelawaan ini membuktikan bahawa PAS menyerlahkan keterbukaan walaupun Umno merupakan musuh politik PAS nombor satu. Semua ini dapat mengikis salah faham dan pemesongan fakta bahawa PAS duduk dalam kepompongnya sendiri. PAS boleh bekerjasama dengan DAP dan PKR dan PAS juga boleh berbincang dan bermuzakarah dengan UMNO untuk kepentingan rakyat. Dalam masa yang sama PAS tidak mencabuli perjanjian bersama rakan dalam Pakatan Rakyat serta menggadaikan prinsip perjuangan PAS yang selari dengan tuntutan Islam yang mengutamakan kepentingan rakyat dan masyarakat berbilang kaum mengatasi sempadan politik.

Dalam menangani 'gelora' politik yang dikatakan berlaku saya melihat PAS memiliki ketahanan dan kekuatan dalam meyelesaikan semua isu yang berkaitan. Sejarah dan perjalanan perjuangan PAS lebih setengah abad telah membuktikan bahawa PAS terus utuh dan berdiri gagah dalam persada politik negara. PAS tidak perlu menekan butang kecemasan untuk meneruskan survival politiknya kerana PAS memiliki aset yang sangat besar iaitu pimpinan dan ahli yang memiliki kesetiaan, wala' dan asas tarbiyyah yang mantap. Mereka yang berkepentingan dan berjiwa goyah tidak mampu duduk dan berdiri mengharungi mehnah dan tribulasi yang menjadi asam garam dan sunatullah dalam perjuangan.