01 January 2010

YDP MAINPP BARU PENYOKONG PERJUANGAN PAS


Ustaz Ellias Zakaria nama yang tidak asing bagi pelajar USM Minden Pulau Pinang. Kuliah dan giliran berkhutbah Jumaat di Masjid Al Malik Khalid USM memang sentiasa dinantikan oleh warga kampus. Walaupun telah lebih 18 tahun meninggalkan bumi Minden tazkirah dan ceramah beliau masih tergiang-giang sehingga hari ini. Beliau juga seorang 'low profile' dan begitu dihormati oleh warga USM. Sebagai bekas pelajar beliau saya cukup mengkagumi ketokohan dan kelimuan yang ada padanya.

Pelantikan Ustaz Ellias sebagai YDP MAINPP yang baru saya kira memang kena pada tempatnya. Ustaz Salleh Man, Adun Pengkalan Pasir yang sebelum ini dijanjikan jawatan itu tidak dilantik ke jawatan berkenaan tetapi tetap dilantik sebagai timbalan YDP MAINPP. Namun pemilihan Ustaz Ellias saya yakini akan diterima baik oleh semua pihak terutama ahli dan penyokong Pas di Pulau Pinang.

Ini kerana bagi mereka yang mengenali latar belakang Ustaz Ellias mengetahui bahawa beliau merupakan seorang yang menyokong perjuangan Pas walaupun jarang dizahirkan secara terbuka. Namun bagi yang lama mengenalinya mengetahui dalam pilihanraya umum era 1980-an dan awal 1990-an van Toyota Delicanya penuh dengan poster bulan.Sudah pasti jawatannya sebagai pensyarah dan kemudian dilantik sebagai Pengarah Pusat Islam USM tidak mengizinkan beliau menyatakan politik kepartian secara terbuka.

Justeru itu saya mendoakan pelantikan beliau sebagai YDP MAINPP akan meningkatkan syiar Islam di Pulau Pinang dalam memastikan rakyat Pulau Pinang mendapat maklumat dan gambaran lebih jelas tentang keindahan dan kesyumulan Islam berbanding sewaktu era Umno-BN di Pulau Pinang.