06 June 2009

MUKTAMAR PAS MENYERLAHKAN KEMATANGAN PAS

Muktamar Pas ke 55 akan melabuhkan tirainya esok. Pelbagai isu dikupas dan dibahaskan oleh perwakilan untuk menentukan hala tuju Pas dalam persada politik negara. Muktamar kali ini buat julung-julung kalinya menyaksikan pertandingan tiga penjuru untuk kerusi nombor dua dalam Pas. Kesudahannya telah diketahui, Ustaz Nashrudin Mat Isa masih diperlukan oleh majoriti perwakilan sebagai gandingan kepada Tuan Guru Dato seri Hj. Abdul Hadi Awang dalam menongkah arus politik negara yang semakin mencabar.

Kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah khususnya kepada tiga calon timbalan presiden yang bertanding sama ada yang menang atau kalah. Pertandingan ini sebenarnya telah menyerlahkan kematangan dan keterbukaan Pas dalam berpolitik. Setiap calon walaupun dilihat dari aliran yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama untuk memastikan perjuangan dan kesinambungan perjuangan Pas yang telah melewati usia lebih setengah abad dalam arus politik negara.

Pertandingan ini sebenarnya bukan hanya melibatkan tiga individu tetapi menyerlahkan hasrat dan kehendak akar umbi agar Pas terus relevan dalam menangani perubahan dan kehendak masyarakat tanpa mengadaikan prinsip dan akidah perjuangan.

Sesuai dengan usianya 55 tahun, Pas telah melalui pahit manis dan sepak terajang dalam politik. Walaupun dikatakan wujud beberapa unsur yang kurang sihat sepanjang pertandingan berlangsung saya anggap itu adalah sebahagian daripada proses tarbiyyah, asam garam serta lumrah dalam proses kematangan.

Apa yang pasti pertandingan dan apa yang berlaku dalam Muktamar Pas pada hari ini menunjukkan bahawa Pas jauh lebih matang berpolitik berbanding dengan Umno yang semakin menuju penghujung riwayatnya

Selepas berakhirnya muktamar, budaya dalam Umno seperti cakap belakang, tikam dari belakang serta perpatah Melayu rumah dan siap pahat masih berbunyi mesti dicampak jauh-jauh ke tengah lautan kalau boleh ke dasar Atlantik yang menelan pesawat Air France yang gagal ditemui hingga kini. Pas mesti dilihat berbeza dengan Umno sama sekali bukan sahaja dari segi dasar tetapi daripada sudut dan kaedah untuk mencapai matlamatnya.

Jika Pas dilihat setara atau lebih kurang dengan Umno dari segi cara dan prinsip perjuangan yakinlah Pas tidak akan pergi lebih jauh berbanding apa yang dicapai pada hari ini dan sebelumnya. Sejarah perjuangan Pas telah membuktikan hanya mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan sahaja yang mampu kekal sehingga hari ini berbanding mereka yang mempunyai agenda peribadi dan tersembunyi yang lambat laun tidak mampu kekal dan bertahan dalam perjuangan Pas yang dipenuhi dengan mehnah dan tribulasi sesuai dalam sunatullah perjuangan.

KEPUTUSAN RASMI PEMILIHAN MUKTAMAR PAS KE 55


Ustaz Nasharuddin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan timbalan presiden PAS dalam pemilihan parti itu semalam.Ustaz Nasharuddin mendapat 480 undi, Datuk Husam Musa (281) dan seorang lagi calon, Mohamad Sabu mendapat 261 undi.

Bagi jawatan naib presiden pula, pemenangnya - seperti yang dijangkakan - ialah Salahuddin Ayub yang mendapat 824 undi, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man (871) dan Mahfuz Omar (636).Dua lagi calon - Mujahid Yusof Rawa mendapat 277 undi manakala Nik Amar Nik Abdullah memperolehi 333 undiMujahid bagaimanapun berjaya terpilih menganggotai Jawatankuasa Pusat PAS.

Seramai 18 ahli jawatankuasa yang terpilih pula ialah:

1. Dato Seri Ir Hj Mohamad Nizar Jamaluddin - 854 undi.
2. Ustaz Idris Ahmad - 799 undi.
3. Datuk Kamaruddin Jaafar - 769.
4. Dato seri Azizan Razak - 653.
5. Dato Dr. Hassan Ali - 642.
6. Dr Mohd Hatta Ramli - 638.
7. Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin - 637.
8. Dato Abu Bakar Chik - 622.
9. Hanifa Maidin - 619.
10.Hj. Amiruddin Hamzah - 606.
11. Dr Lo Lo Ghazali - 598.
12. Ustaz Ghani Abdul Rahman - 584.
13. Dr. Zulkefli Mohamad - 576.
14. Dr. Syed Azman Syed Mohamad - 530.
15. Hashim Jasin - 522.
16. Mazlan Aliman - 513.
17. Ustaz Taib Azmuddin Mohamad Taib.
18. Mujahid Yusuf Rawa.

HUSAM MENANG JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN?


Maklumat terkini daripada beberapa sumber berita yang tidak disahkan sehingga awal pagi tadi memberitahu bahawa Datuk Paduka Husam Musa menang jawatan Timbalan Presiden Pas dengan majoriti undi yang tipis.Sementara itu, menurut sumber itu lagi tiga calon pilihan iaitu Ustaz Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar memenangi jawatan Naib presiden.

Saya tidak tahu bagaimana maklumat ini boleh bocor. Jika maklumat ini benar menunjukkan bahawa ada mereka yang terlibat dengan jawatankuasa pemilihan muktamar ini tidak amanah kepada jemaah sehingga maklumat dan rahsia jemaah boleh diketahui oleh pihak luar.Saya rasa ini satu trend dan perkembangan yang kurang sihat yang berlaku dalam PAS.Jawatan dalam PAS bukan sesuatu yang direbut-rebut atau berlaku unsur lobi melobi untuk dibangga-banggakan. Jawatan dalam PAS adalah amanah dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Siapa pun yang terpilih yang bakal diumumkan pagi ini ia merupakan suara dan kehendak akar umbi dan pimpinan di semua peringkat kepada jemaah. Lupakan istilah golongan Erdogan atau ulama yang menjadi mainan media luar. Adakah kita hendak mengatakan bahawa pengasas yang juga mantan Presiden PAS Allahyarham Dr Burhanudin Helmy juga termasuk golongan Erdogan?

Bagi saya siapa pun layak sama ada menjadi presiden, timbalan, naib dan jawatan-jawatan lain dalam PAS asalkan ia cukup syarat seperti yang ditetapkan dalam Islam. Malah tidak mustahil pada masa akan datang Ketua Dewan Ulama Pas merupakan seorang doktor atau jurutera yang hafal Al Quran dan arif dalam ilmu hadis serta cabang ilmu Islam yang lain.

Saya berharap tidak ada yang merasa menang atau kalah dalam keputusan pemilihan pada hari ini. Setiap yang bertanding saya yakini mereka sebenarnya memenuhi hasrat dan amanah ahli di peringkat bawahan. Masing-masing ingin menyumbang untuk kepentingan ummah. Tidak timbul soal berehat, undur kebelakang atau merajuk jika tewas dalam kamus pejuang PAS yang sebenar. Jika sifat ini ada dalam diri mereka yang mendakwa pejuang dalam PAS maka saya menyarankan agar mereka menyertai parti lain seperti PPP atau MIC.

Kepada mereka yang berjaya, selamat memikul amanahdan tanggungjawab ... Kepada yang tidak terpilih...Teruskan perjuangan...