19 December 2008

SIAPA DAN APA MOTIF PEWARIS?

Secara tiba-tiba nama Majlis Pemuafakatan Ummah ( PEWARIS) muncul. Kononnya menjadi pembela ketuanan Melayu. Sama ada kebetulan atau tidak, PEWARIS muncul ketika isu ketuanan dan perkauman cuba dicetuskan terutama di kalangan pemimpin Umno.

Datuk Ahmad Ismail, ketua Umno Bahagian Bukit Bendera dilihat di antara individu yang cuba menyalakan api perkauman agar wujud permusuhan di antara orang Melayu dan cina. Tetapi hingga hari ini tidak ada sebarang tindakan diambil malah dianggap sebagai wira Melayu khasnya orang Umno Pulau Pinang.

Berbalik pada isu di atas siapa dan apa motif Pewaris? Adakah Pewaris sebuah pertubuhan berdaftar atau pertubuhan haram? Jika sebelum ini polis bertindak begitu tegas dan pantas kepada NGO seperti Hindraf, Jerit dan GMI yang didakwa pertubuhan haram, kenapa tidak ada apa-apa tindakan kepada Pewaris?Malah polis dilihat bersikap lunak dengan aktiviti pewaris.

Malah dalam demontrasi 'aman' membela ketuanan Melayu bulan lepas, Polis memberi kerjasama dan laluan sehingga laporan polis dibuat.Tidak ada tangkapan, malah menu serta hidangan wajib setiap demontrasi anjuran pembangkang seperti gas pemedih mata dan semburan asid tidak berlaku.

Esok menurut jurucakap Pewaris, satu demontrasi akan diadakan membantah insiden ketiga 'babi sangkut' serta satu memorandum akan diserahkan kepada ahli parlimen Alor Gajah.

Melihat kepada banner yang dinaikkan Pewaris, meremang rasa tengkuk tentang semangat ketuanan dan membela Melayu yang cuba ditonjolkan. Kenapa Pewaris melatah sedemikian rupa? Adakah orang Melayu hendak menghunus keris dengan isu babi sangkut di Melaka?

Apa motif Pewaris sebenarnya? Tindakan seperti sengaja ingin mengapi-api dan melaga-laga isu perkauman di negara ini.

Kepada Pewaris, isu sebenar ialah isu alam sekitar. Masalah bau busuk dan pencemaran air sungai dan laut. Itu sahaja! Bukan isu orang Melayu nak bermusuh dengan orang cina!Jika mereka hendak berdemontrasi juga, sepatutnya mereka pergi berdemontrasi depan pejabat ketua menteri Melaka. Dialah punca segala-galanya. Gagal menangani dan menyelesaikan isu ini. Adakah Ali Rustam juga penyokong kuat di balik tabir Pewaris? Sebelum ini beliau menyarankan agar demontrasi isu babi ini dibuat setiap minggu!

Kepada Ali Rustam dan Pewaris, jangan cuba alih isu sebenar. Rakyat bukan bodoh dengan mainan wayang anda semua.Mereka ini ibarat ayam jantan yang bertaji tajam dan kuat berkokok tetapi hanya berkokok di dalam reban!

Kain rentang Pewaris yang sengaja membangkitkan isu perkauman



RAKYAT TERIMA BENCANA PEMIMPIN DAPAT NAMA


Bencana adalah satu musibah yang juga merupakan satu peringatan dari Allah SWT kepada hambaNya agar berfikir dan bermuhasabah dengan apa yang berlaku. Setiap bencana pasti akan ada yang menderita. Kematian yang tersayang atau hilang harta benda. Apa pun bagi mereka yang beriman musibah adalah satu ujian dari Allah kepada hambaNya.Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

Berbeza dengan pemimpin hari ini bencana kepada rakyat jelata seperti satu peluang dan kesempatan kepada mereka. Menonjolkan pengaruh dan kuasa. Ketika itu mereka menjadi pemimpin yang begitu prihatin dengan nasib rakyat yang menderita. Hakikatnya ramai yang mempunyai tujuan serampang dua mata.

Apa yang berlaku dalam tragedi di Bukit Antarabangsa mendedahkan segala-galanya. Golongan kaya yang menjadi mangsa mendapat perhatian dan layanan istimewa berbanding mangsa yang terdiri dari rakyat biasa dari pemimpin negara.

Terkini isu laporan Jabatan Kerjaraya (JKR) tentang punca tragedi juga turut dipolitikkan. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dinafikan hak untuk mendapat laporan dan hasil kajian dari JKR disebabkan ada tangan-tangan ghaib di sebaliknya. Apa yang berlaku seolah-olah masih tidak menginsafkan kepada semua pihak. Apa yang cuba disembunyikan sebenarnya? Rakyat lebih-lebih lagi mangsa tragedi berhak tahu apa cerita sebenar di sebalik tragedi ini?

Dari segi kelulusan pelan pembangunan dan projek, mereka yang terlibat perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Tidak perlulah menunding jari kepada mana-mana pihak. Apakah hendak menunggu bencana seterusnya baru semua hendak sedar dari lena dan angan-angan politik mereka?

Apa yang berlaku menunjukkan mereka ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi nilai kemanusian dalam diri mereka semakin terhakis demi cita-cita politik untuk mengejar nama dan kuasa.

KESIAN KAT ARTIS MALAYSIA...


Saya bukan nak membela artis dan tidak juga nak memberi publisiti percuma untuk mereka. Lagipun mereka dah cukup glamour dan popular. Tapi kesian kat mereka.Apa tidaknya, David Aramugam yang saya mula kenali sejak zaman kanak-kanak terutama melalui lagu Sampaikanlah Salam dengan bait lirik...


andai aku pergi dulu sebelummu
janganlah kau bersedih hati

...ku nanti kau di pintu SYURGA....

Bayangkanlah menyanyi sejak tahun 1969 dengan kumpulan Allycats yang cukup popular ketika itu ( dulu peminat juge..he..he..) dan masih menyanyi dan bertahan pada hari ini hanya dapat pingat Johan Setia Mahkota (JSM). Tetapi Shah Rukh Khan yang baru berlakon satu filem ( itupun satu klip je di Al Farmosa Resort) di Melaka dapat pingat Datuk! Macam mana ni?

Apa-apa pun tahniah kepada David Aramugam atas anugerah yang bakal diterima hari ini dari DYMM Agong.

Kepada artis-artis Malaysia yang lain, masih nak sokong BN lagi? Contohilah artis seperti Yassin Brothers, Amy Search dan lain-lain...Jom bersama Pakatan Rakyat!