24 February 2010

SANA UNTUNG SINI UNTUNG TETAPI EKONOMI MERUDUM

MAS diumumkan mencatatkan keuntungan RM 610 juta, Proton syarikat yang tradisinya mencatat kerugian saban tahun sebelum ini dilaporkan turut mencatat keuntungan. Petronas yang selama ini menjadi 'lubuk duit' kerajaan 1Malaysia sudah dijangka terus meningkat dari segi keuntungan. Bila banyak untung maka sepatutnya banyak le kerajaan 1Malaysia menuai hasilnya sama ada dari segi cukai atau 'pinjaman boleh ubah'.

Bila dah banyak untung maka sepatutnya ekonomi negara menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Begitu juga dengan indeks komposit yang terasnya hasil komoditi utama negara seperti getah dan kelapa sawit juga menunjukkan peningkatan harga di pasaran semasa.

Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Harga minyak dalam negara dijangka hanya menunggu masa yang sesuai untuk dinaikkan. Harga tarif elektrik diumumkan ditangguhkan kenaikannya buat sementara waktu. Maknanya naik tetap naik. Paling lewat selepas pilihanraya umum ke 13. Kemenangan besar Barisan Nasional bermakna 'lesen' kepada kerajaan untuk menaikkan apa-apa yang ditangguhkan sebelum ini. Maka kalau nak merasa ' nikmat' kenaikan kos sara hidup ' Undilah Barisan Nasional'.

Dalam situasi yang lain perbelanjaan dan kedudukan kewangan kerajaan menunjukkan situasi yang membimbangkan. Perbelanjaan mengurus yang diluluskan dalam belanjawan sebelumnya dipotong sehingga dua kali ganda seperti perbelanjaan untuk institusi pendidikan.

Dalam pada itu, hari ini Perdana Menteri 1Malaysia mengumumkan ekonomi negara menguncup 1.7 peratus. Tetapi menurut pandangan beberapa pakar ekonomi sebenarnya kadarnya lebih tinggi lagi.

Jadi persoalannya yang untung sini sana tu mana pergi duitnya?

TIBA-TIBA JE MIG29N BOLEH TERBANG SEMULA


MIG29N Pesawat Tempur Pelbagai Guna (MRCA) boleh terbang! Sebelumnya, pesawat itu diumumkan oleh Menteri Pertahanan akan ditamatkan perkhidmatan penghujung tahun ini. Bukan kerana enjinnya hilang atau rosak tetapi kerajaan berkata kos penyelenggaraan RM 260 juta setahun tidak berbaloi ditanggung oleh kerajaan.

Pengumuman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini untuk menamatkan perkhidmatan pesawat MRCA itu mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Tun Dr. Mahathir yang bertanggungjawab memperkenalkan teknologi ketenteraan Russia di negara ini.

Akibat desakan pelbagai pihak akhirnya kerajaan 1Malaysia terpaksa akur untuk menggunakan pesawat berkenaan sekurang-kurangnya untuk tempoh 5 tahun lagi. Walau bagaimanapun, mengulas isu yang sama, Panglima TUDM berkata hanya 10 pesawat yang dapat beroperasi. Manakala bakinya yang 8 buah lagi tidak akan digunakan. Tak tahulah mungkin dijadikan tukun atau dikitar semula untuk dijual sebagai besi buruk. Polis dan SPRM kena siasat juga, mana lah tahu enjin pesawat itu dah hilang!

Bayangkanlah jika rakyat khususnya pimpinan Pakatan Rakyat tidak membangkitkan isu ini berapa banyak lagi duit negara lebur di tengah kegawatan ekonomi. Bagi saya jika betul duit itu 100% digunakan untuk menambah aset ketenteraan baru itu tidak perlu dipertikaikan. Tetapi apa yang mengundang kritikan ialah bayaran komisyen yang tinggi kepada pihak yang tidak sepatutnya yang buat untung atas angin.