01 July 2009

ISU KEPALA BABI VS ISU CONTENG DINDING DI UM


Tahniah kepada Polis Diraja Malaysia kerana begitu pantas bertindak menangkap dan akan mengheret pelajar yang didakwa terlibat dengan isu menconteng dinding di dewan Universiti Malaysia.

Sebenarnya isu conteng dinding ini bukan baru di negara ini.Di perhentian bas, tandas awam, bangunan sering kelihatan contengan dan lukisan yang memualkan. Cuma kali ini, polis bertindak pantas kerana contengan yang dilukis umpama menconteng arang ke muka isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Rosmah Mansor. Polis begitu agresif dan proaktif menangkap dan memburu mereka yang terlibat. Beberapa rumah kediaman pelajar di luar kampus digeladah tanpa waran untuk mendapatkan bukti.

Dua pelajar yang ditangkap dari Akademi Pengajian Islam itu dituduh bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

Bermakna silap haribulan pelajar berkenaan boleh meringkuk dalam penjara sepanjang masa mudanya. Hukuman yang berat bakal menanti kerana kesalahan menconteng dinding.

Dalam masa yang sama saya tertanya-tanya bagaimana perkembangan siasatan Polis ekoran kepala babi yang diletakkan di dalam surau Fakulti Akademi Islam tidak lama dulu. Kes yang begitu menggemparkan dan menghina umat Islam di negara ini. Siasatan dan perkembangan kes ini begitu perlahan ditenggelamkan dengan kes menconteng dinding yang disensasikan hari ini seperti satu dosa dan kesalahan yang sangat besar.

Saya melihat seperti ada agenda tersembunyi di sebalik kes ini yang bertujuan untuk melumpuhkan gerakan mahasiwa khususnya golongan mahasiswa yang selama ini menyokong perjuangan untuk kebajikan dan keadilan serta mengembalikan proses demokrasi sebenar di negara ini. Maka sebab itulah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya yang dari dahulu dikenali sebagai golongan pro Pas dan Pakatan Rakyat menjadi sasaran dalam kes ini.

Cuma saya masih menaruh sekelumit harapan agar polis dan pihak penguasa undang-undang serta pihak unviversiti akan melaksanakan keadilan dalam kes ini tanpa tekanan dan desakan daripada tangan-tangan ghaib yang begitu berminat dalam kes ini.