06 November 2008

RM 10.5 JUTA NILAI HAKIM YANG DIPECAT?- MALAYSIAKINI


Kerajaan hari ini mengumumkan bayaran sebanyak RM 10.5 juta telah dibayar kepada enam orang hakim kanan yang dipecat pada era Dr. Mahathir menjadi perdana menteri. Dari jumlah tersebut,turut menerima saguhati itu ialah Tun Salleh Abbas bekas Ketua Hakim Negara sebanyak RM 5 juta.Perkara ini dimaklumkan di Dewan Rakyat oleh Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bayaran ini walaupun ada sesetengah pihak menganggap sebagai jumlah yang besar tetapi ia sama sekali tidak mampu untuk menebus kesilapan yang telah dilakukkan oleh kerajaan. Lebih-lebih ada di kalangan mereka telah meninggal dunia.

Saya yakin, semua hakim dan ahli keluarga mereka sama sekali tidak boleh melupakan episod hitam yang berlaku kepada mereka selama ini.Mereka dipecat dan dimalukan. Maruah mereka dijaja. Kredebeliti mereka musnah sama sekali. Gara-gara tangan-tangan kotor yang mencemar kesucian institusi kehakiman di negara ini.

Apa yang berlaku menyebabkan sanjungan dan penghormatan yang diberi kepada mereka yang selama ini menabur jasa dan berkhidmat untuk negara, bangsa dan agama menjaga neraca keadilan negara hilang ditelan zaman.

Walaupun ada generasi muda hari ini tidak mengetahui titik hitam yang pernah berlaku, ia tetap akan menjadi ingatan dan sebutan dalam lipatan sejarah negara. Biarlah berapa pun jumlah yang ditawarkan kepada hakim-hakim ini saya yakin maruah dan penghormatan mereka tidak dapat dikembalikan semula selagi kerajaan tidak memohon maaf untuk mengakui 'dosa-dosa' yang dilakukan kepada semua hakim-hakim ini.

ISU CANSELOR UNISEL: SEMUA PIHAK PERLU RASIONAL-MALAYSIAKINI


Sehari dua ini agak kecoh juga apa yang berlaku di Selangor. Sejak Selangor berada di bawah Pakatan Rakyat, negeri ini agak sedikit 'berkocak' berbanding negeri lain yang turut dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

Isu ternakan babi di Sepang, pelantikan kontroversi ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan, isu Himpunan 1 juta Protes di stadium Kelana Jaya, isu azan dan nama jalan, pelantikan pemangku pengerusi PKNS dan terkini isu Datin Rosmah Mansor, isteri TPM sebagai Canselor Unisel sebahagian yang mewarnai negeri Selangor selepas mengambil alih kerajaan dalam PRU yang lalu.

Semalam, Pemuda Pakatan Rakyat menghantar surat bantahan mendesak agar menteri besar, Tan sri Khalid Ibrahim menggugur Rosmah dari jawatan canselor yang dilantik di bawah kerajaan BN sejak Ogos 2006.

Dalam hal ini semua pihak khususnya kepada pimpinan kerajaan negeri Selangor perlu bertindak matang dan rasional dalam tindakan supaya tidak memberi ruang dan peluang kepada pihak yang kecewa selepas Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat mengambil kesempatan.Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak.

Isu penukaran jawatan Datuk Jamry Pengarah Jabatan Agama Islam Perak oleh kerajaan negeri Perak yang turut dikuasai Pakatan Rakyat perlu dijadikan ikhtibar supaya pihak lawan tidak mengambil kesempatan yang akhirnya memburukkan imej kerajaan negeri.

Setiap pelantikan, penukaran dan pengguguran sesuatu jawatan selain perlu mematuhi segala prosedur, undang-undang dan bidang kuasa ditetapkan 'kesopanan' dan 'budi bahasa' juga mesti diberi perhatian. Lebih-lebih lagi melibatkan jawatan utama dan mereka yang menjadi perhatian masyarakat.Walaupun saya sama sekali tidak bersetuju dengan Rosmah sebagai Cancelor Unisel.

Pihak kerajaan negeri perlu berhati-hati dan bertindak bijak dalam menyelesaikan masalah ini. MB bertangungjawab dan menjadi milik semua rakyat Selangor dan bukan milik PKR,PAS atau DAP sahaja. Kematangan berpolitik akan memastikan rakyat selangor akan terus memberi undi untuk mengekalkan kerajaan yang ada pada PRU akan datang.

Dalam masa yang sama, Rosmah sepatutnya berundur secara terhormat. Pelantikan beliau adalah semasa kerajan BN. Apabila Pakatan Rakyat memerintah, jika beliau mempunyai prinsip dan harga diri telah berundur awal-awal lagi. Tindakan berundur adalah langkah terbaik agar beliau tidak terus didesak dan dimalukan oleh golongan akar umbi dan pimpinan Pakatan Rakyat yang tidak terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Saya merasakan Rosmah memang sengaja menyuruh kerajaan negeri memecat atau menggugurkan beliau. Secara tidak langsung isu ini akan dimanipulasi oleh BN dan media untuk menghentam kerajaan negeri. Buat seketika jika Rosmah digugurkan, akan sedikit sebanyak menaikkan imej beliau dan menyebabkan isu Altantuya yang dikaitkan denganya akan dialihkan kepada isu jawatan canselor Unisel pula.