20 November 2008

MANSUHKAN PTK!-MALAYSIAKINI


Saya menyokong 100% desakan Presiden CUEPACS, Omar Osman yang mendesak kerajaan memansuhkan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK @ Pegawai Takda Kerja?) atau memboikot peperiksaan PTK jika Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih meneruskan peperiksaan itu pada tahun hadapan.

Menurut Omar, proses kenaikan pangkat kakitangan awam yang dinilai mengikut prestasi dan temu duga secara lisan oleh ketua jabatan lebih berkesan berbanding kaedah peperiksaan yang digunakan sekarang.

PTK pada peringkat awalnya baik dari segi atas kertas. Tetapi pelaksanaannya penuh dengan kepincangan dan kepura-puraan. PTK hari ini telah disalah gunakan. Pekerja sanggup bersusah-payah dan bertungkus lumus untuk lulus PTK untuk dapat anjakan gaji. Sebaliknya dari segi kualiti kerja adalah di sebaliknya.

Pekerja hanya dinilai dari segi atas kertas. Semua urusan kenaikan pangkat perlu melalui tapisan PTK. Implikasinya ramai yang telah berpuluh tahun berkhidmat hilang dari segi 'seniority' gara-gara tidak lulus PTK. Mereka yang baru berkhidmat senang-senang dapat anjakan gaji dan melonjak gred kerana lulus PTK. Jadi apa erti sumbangan selama berpuluh tahun selama ini?

Di samping itu, pelaksanaan PTK sendiri banyak kepincangan dan timbul pelbagai persoalan dari segi ketelusannya. Saya mempunyai bukti, beberapa rakan yang tidak pernah menduduki PTK tetapi dapat gred lulus dalam slip yang dikeluarkan. Ini bukan cakap kosong atau tuduhan melulu. Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas dakwaan ini.

Justeru itu, sewajarnya sistem PTK dirombak atau dimansuhkan. Satu sistem penilaian prestasi yang adil dan lebih telus perlu diperkenalkan agar dapat memberi keadilan kepada semua pihak. Apa yang lebih dibimbangi, jika kerajaan terus berdegil untuk melaksanakan sistem sedia ada prestasi dan kualiti kerja kakitangan awam akan terus merosot. Keadaan ini jika dibiarkan akan menjejaskan usaha kerajaan sendiri untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan awam di negara ini.

No comments: