15 May 2008
TAZKIRAH : MENEPATI JANJI
Islam mengajar penganutnya agar sentiasa memperlihatkan kematangan dalam segenap tindak-tanduk. Ini termasuk penampilan diri, cara bermuamalah, berpendidikan, berkeluarga, berpolitik, berekonomi, berjiran, bersahabat, tidak kurang juga pengamalan kepada akhlak-akhlak terpuji seperti menepati janji.
Ini kerana orang yang memungkiri janji termasuk dalam kategori manusia yang dilabelkan sebagai talam dua muka. Tindakan itu dilarang keras oleh baginda Rasulullah s.a.w., justeru mereka yang terbabit dalam kategori ini jelas disebut sebagai golongan munafik, wal 'iyazu billah.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Empat ciri jika seorang Muslim itu memilikinya, maka dia menjadi seorang munafik tegar melainkan selepas itu dia meninggalkannya: "Jika diberikan sesuatu amanah dia cabulinya, jika dia bercakap dia berdusta, jika dia berjanji dia memungkirinya dan jika dia bertelingkah dia celupar."
Jelas daripada apa yang ditegaskan Nabi melalui hadis ini, membayangkan kepada kita betapa memungkiri janji adalah satu perbuatan negatif yang melayakkan seseorang Muslim itu digelar munafik. Apa yang membimbangkan kita ialah golongan munafik ditempatkan Allah di bawah sekali dalam api neraka, tempat yang paling dekat dengan api yang membakar.
Sesungguhnya apabila seseorang Muslim itu mampu menunaikan sesuatu janji terhadap saudara Muslimnya yang lain, maka sebenarnya dia telah melakukan satu tuntutan agama yang amat besar dalam hidupnya, malah dia berhak mendapat naungan daripada Allah dalam segenap aktiviti kehidupan hariannya sebagai Muslim yang baik.
Bagi membuktikan kesahihan kenyataan ini, berikut disebut satu kisah benar berhubung nilai seseorang Muslim yang berusaha untuk menunaikan janjinya seperti yang disebut oleh Syeikh Taha Abdullah al-'Afifi dalam kitabnya 'Wasiat-wasiat Rasulullah':
Terdapat seorang lelaki beriman pada zaman silam yang amat memerlukan wang untuk berbelanja dan mahu meminjam sejumlah wang daripada orang lain, namun si pemiutang tidak dapat membawa seorang saksi dalam urusan peminjaman wang.
Walau bagaimanapun pemberi hutang itu reda dan sedia untuk memberikan sejumlah wang yang diminta dan berkata bahawa cukuplah Allah sebagai saksi.
Dengan niat yang baik kerana Allah, pemiutang berjanji pada dirinya sendiri akan membayar hutang-hutangnya apabila ada wang yang mencukupi untuk berbuat demikian, niat baiknya itu dibantu Allah dan memperkasa dirinya untuk sedia membayar.
Dengan niat baik untuk membayar, maka Allah SWT memudahkan urusannya berbuat demikian. Suatu hari dia bertekad untuk bertemu dengan pemberi hutang bagi melunaskan segala hutangnya, tiba-tiba takdir Allah mengatasi segala-segalanya, jambatan yang menghubungkan dua kampung dan memisahkan antara pemiutang dan pemberi hutang roboh akibat banjir besar.
Kerana takut jika dia (pemiutang) tidak menunaikan janji, maka dia telah meletakkan sejumlah wang yang dipinjam dahulu dalam sebatang kayu berlubang dan tertulis padanya daripada pemiutang kepada pemberi hutang, kayu itu pun dihanyutkan ke dalam sungai dan dia terus berdoa semoga hutang-hutang yang dilunaskannya diselamatkan Allah.
Kehendak Allah mengatasi segala-segalanya apabila pemberi hutang yang jarang turun ke sungai tiba-tiba muncul di situ dan mendapati ada sebatang kayu yang dihanyutkan tertulis namanya daripada pemiutang. Beliau bersyukur kepada Allah atas pertolongan-Nya.
Walau bagaimanapun pemiutang masih dibelenggu keadaan sugul sama ada hutangnya sampai ataupun tidak. Setelah jambatan itu dibaiki, pemberi hutang terus mencari pemiutang di kampung bersebelahan bagi mengkhabarkan berita baik itu, masing-masing gembira dan bersyukur kepada Allah kerana niat baik untuk menunaikan janji dikabulkan Allah.
Daripada kisah benar ini, dapatlah disimpulkan bahawa menepati janji itu boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian:
Menunaikan janji terhadap Allah
lebih kepada janji seorang Muslim itu untuk melaksanakan segala hukum Allah dalam al-Quran seperti hukum-hukum hudud, qisas, mendirikan solat, puasa, zakat, haji agar tidak dilabelkan Allah sebagai orang munafik.
Menunaikan janji terhadap Rasulullah - Iaitu berjanji untuk mengikut segala tunjuk ajar baginda, menghidupkan sunnah-sunnahnya bagi meraih tempat terbaik di sisi nabi pada hari kiamat.
Menunaikan janji terhadap kedua ibu bapa - Untuk menjadi anak-anak yang solih semasa kehidupan kedua-duanya ataupun selepas kematian mereka.
Menunaikan janji sesama manusia - Menepati waktu ketika berjanji dengan tidak melewatkan masa, kerana kelewatan masa akan menjejas kredibilitinya begitu juga dalam perkara berhutang, hendklah dia berniat untuk melunaskannya dan niatnya itu akan ditunaikan Allah.
Menunaikan janji pada diri sendiri - Berjanji untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik, bukan sahaja sebagai seorang Islam, malah berusaha untuk meningkatkan diri untuk menjadi insan yang beriman dan seterusnya bertakwa kepada Allah dalam tingkah lakunya, ibadatnya, seluruh hidupnya, matinya adalah hanya untuk Allah SWT sahaja.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Tahniah buat cikgu khairul atas kejayaan mewujudkan blog ni.Kewujudan blog ni pastinya akan banyak membantu kami guru2 BK terutamanya yang baru ingin meraih pengalaman memantapkan perkhidmatan demi kemajuan anak bangsa.Di harap blog ini akan dapat memaparkan isu2 dan info semasa kes BK di sekolah,pendekatan dan penyelesaian masalah tersebut.kami juga mengharapkan kepelbagaian terapi yang boleh digunakan dalam proses kaunseling. Ni kerana di barat, mereka telah 'well verse' ngan terapi ni.Kita juga yang masih ketinggalan dari segi praktikalnya.SELAMAT HARI GURU!!!!
Post a Comment