Jika 20 tahun lalu golongan pelajar sekolah hanya dikaitkan dengan jenayah kecil-kecilan seperti mencuri, kini keadaan jauh berubah apabila mereka semakin `garang' apabila dikesan turut terbabit kes jenayah rogol, samun bersenjata api, pecah rumah dan rusuhan.
Dakwaan ini dibuktikan melalui statistik tahun lalu di mana 86 kes jenayah kekerasan dan 198 kes jenayah harta benda, dikaitkan dengan penjenayah di kalangan pelajar.
Walaupun statistik itu menunjukkan hanya dua peratus pelajar di ibu kota yang terbabit, kegiatan jenayah yang bermula seawal usia 12 hingga 18 tahun itu sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan kepada pihak berkuasa.
Pembabitan pelajar dalam kegiatan jenayah ini dikatakan berkemungkinan didorong kepesatan pembangunan yang sekali gus menyaksikan tuntutan kehidupan yang semakin mendesak dan serba moden.
Statistik terbaru dibentangkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, semalam menunjukkan jenayah kekerasan dicatatkan sebanyak 86 kes manakala bagi jenayah harta benda sejumlah 198 kes dilaporkan berlaku. Bagi jenayah kekerasan yang membabitkan pelajar pada tahun lalu, merusuh dicatatkan paling tinggi dengan 39 kes, manakala samun berkawan tanpa senjata api (14) diikuti samun (12), mendatangkan cedera (tujuh), samun berkawan bersenjata api dan ugutan jenayah masing-masing (lima) dan pemerasan serta rogol masing-masing mencatatkan (dua) kes.
Bagi jenayah harta benda yang membabitkan pelajar pada tahun lalu pula, curi motorsikal mencatatkan kes tertinggi iaitu 109, curi (63), pecah rumah siang dan malam (21), dan ragut (lima).
Sehubungan itu, Muhammad Sabtu meminta masyarakat mengamalkan kembali amalan tegur-menegur antara satu sama lain yang kini kian dilupakan bagi membendung kegiatan jenayah terbabit.
Katanya, amalan ini perlu dihidupkan supaya masyarakat saling mengambil berat selain dapat mengekang aktiviti jenayah.
"Sikap seperti ini semakin dilupakan kerana masing-masing sudah tidak mahu ditegur dan menegur sesama sendiri apabila melihat masyarakat melakukan jenayah," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Dialog Guru Disiplin, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Polis dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), semalam
No comments:
Post a Comment