KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak pernah menetapkan kuota pemilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memasuki institusi perguruan berasaskan kaum, sebaliknya dibuat berdasarkan merit dan jumlah permohonan daripada setiap kaum, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata, daripada 108,394 permohonan diterima untuk mengisi 4,726 tempat di 23 institusi pendidikan tempatan tahun ini, 79,973 adalah Melayu, Cina (7,288) dan India (4,674).
Katanya, sejumlah 13,128 permohonan sudah disenarai pendek dan dipanggil temu duga kerana layak dan mengikut syarat ditetapkan. Daripada jumlah itu, seramai 2,524 adalah kaum Cina dengan 1,284 diterima masuk ke institusi perguruan.
"Justeru, dalam konteks sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC), jumlah kemasukan berkenaan memang tidak mencukupi dan kementerian terpaksa mendapatkan khidmat Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) bagi mengisi kekosongan jawatan guru di sekolah berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang meminta kementerian menetapkan syarat kemasukan ke institusi perguruan berdasarkan merit dan bila masalah kekurangan guru terutama di SRJKC dapat diselesaikan.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sehingga kini sejumlah 3,095 GSTT diluluskan untuk mengisi kekosongan jawatan di SRJKC berdasarkan keperluan ditetapkan pada 31 Januari 2008.
"Sehubungan itu, bagi memastikan lebih ramai bukan Bumiputera mengisi jawatan perguruan, perlu dipastikan lebih ramai kaum itu yang memohon supaya dalam jangka panjang kekurangan guru berkenaan dapat diatasi sepenuhnya," katanya.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) mengenai langkah meningkatkan kualiti latihan perguruan, Hishammuddin berkata, kementerian akan membentangkan satu rang undang-undang untuk memartabatkan lagi kerjaya perguruan.
Katanya, antara aspek yang diberi penekanan dalam usaha menaik taraf institusi pendidikan guru adalah berkaitan kurikulum, perjawatan dan pendekatan latihan supaya selaras dengan kehendak semasa.
Selain itu, institusi pendidikan guru juga membentuk jaringan perhubungan dengan institusi antarabangsa yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam beberapa bidang tertentu, katanya.
No comments:
Post a Comment