29 August 2008

Kita Masih Dijajah..


Merdeka, suara keramat yang bergema setiap kali tiba tanggal 31 Ogos. Merupakan hari yang cukup istimewa kepada Negara terutama mereka yang terlibat dalam perjuangan membebaskan negara dari cengkaman penjajah.

Merdeka, bermakna bebas. Namun, kebebasan dalam erti kata merdeka sering disempitkan skopnya iaitu bermaksud bebas dari penjajahan dari ditakluk dan diperintah oleh negara lain sahaja.

Walhal, makna bebas dan merdeka adalah sangat luas dari erti dan nilainya. Apa erti merdeka, sekiranya pemikiran masih dijajah, kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan di sekat dan hak berhimpun secara aman tidak dibenarkan dalam Negara yang mendakwa telah merdeka.

Pelbagai akta dan undang –undang yang merantai kebebasan diperkenalkan. Misalnya ISA,OSA, AUKU dan Ordinan Darurat diperkenalkan kononnya untuk menjaga keamanaan, perpaduan dan keharmonian.

Terkini, kebebasan menyatakan pandangan dan pendapat serta menyuarakan rasa tidak setuju melalui dunia siber cuba disekat. Misalnya, pengendali blog Penarik Beca dan Malaysia Today baru –baru ini ditahan kerana pandangan dan hujah kritis yang dikemukakan kepada pihak tertentu dalam kerajaan. Malah Blog Malaysia Today disekat aksesnya oleh Syarikat TM Net atas arahan pihak tertentu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk seri syed Hamid Albar turut bersetuju langkah yang dikenakan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( SKMM ) menyekat blog Raja Petra Kamarudin ( RPK ). Malah sebelum ini sering kali memberi amaran kepada pengendali blog lain yang tidak sehaluan dengan kerajaan untuk bersedia dikenakan tindakan. Merdekakah ini namanya ?

Walaupun Negara bakal meraikan kemerdekaan ke 51 beberapa hari lagi, sebenarnya kita masih dibelenggu dan dirantai dengan penjajahan alaf baru. Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara ke 51 !

No comments: