18 August 2008
NILAI SEBUTIR EMAS...
Impian Malaysia untuk memenangi emas Olimpik di Beijing lebur malam tadi dengan tewasnya Lee Chong Wei kepada Lin Dan dalam aksi final perseorangan badminton malam tadi. Bagi acara sukan lain yang masih mempunyai wakil Malaysia di Beijing harapan emas ibarat menanti hujan naik ke langit atau seperti menanti bulan jatuh ke riba.
Maka, ramailah rakyat Malaysia yang kecewa malah ada yang menitiskan air mata dengan kegagalanitu. Terdapat juga rakyat Malaysia yang menyalahlan Lee Chong Wei kerana tidak berjuang bersungguh – sungguh demi mengharumkan nama Negara di pentas dan persada antarabangsa.
Sebutir emas sebagai hadiah paling bernilai sempena kemerdekaan Negara tidak lama lagi nampaknya tidak menjadi kenyataan. Kegagalan itu bermakna rakyat Malaysia terpaksa menunggu empat tahun lagi di Sukan Olimpik London 2012.
Kegagalan ini bermakna jutaan ringgit wang Negara dapat diselamatkan. Timbalan Perdana Menteri mengumumkan ganjaran RM 1 juta kepada mana –mana atlit yang membawa pulang pingat emas. Tidak termasuk habuan dan ganjaran lain yang masih tidak diumumkan. Mana –mana atlit Malaysia yang memenangi emas akan menjadi jutawan segera sekembalinya ke Malaysia nanti.
Bayangkan dengan nilai jutaan ringgit yang menjadi habuan kepada pemenang pingat emas Olimpik dalam senario rakyat mengalami tekanan hidup ekoran kenaikan harga minyak hingga menyebabkan harga barangan pengguna naik melambung.
Bukan bermakna kita tidak boleh menghargai mereka yang berjaya di Sukan Olimpik Beijing, tetapi nilai jutaan ringgit yang dijanjikan dalam keadaan ramai rakyat Malaysia yang menderita dan terpaksa ‘ikat perut’ dengan kenaikan harga minyak dan kadar inflasi adalah tindakan yang kurang bijak.
Adakah emas yang dimenangi itu dapat mengubat keperitan rakyat khususnya petani dan nelayan yang menderita dengan kenaikan harga minyak ? Berapa ramai nelayan yang tidak dapat turut ke laut mencari rezeki kerana tidak dapat lagi menampung kos petrol dan diesel untuk turun ke laut. Maka, jalan pintas yang mereka terpaksa lakukan ialah dengan berhutang untuk membeli barang keperluan harian malah ada yang terpaksa mengambil risiko dengan meminjam Ahlong kerana tidak mampu lagi untuk menyerap tekanan.
Di samping itu dengan nilai jutaan ringgit itu banyak lagi yang boleh dimanafaatkan. Misalnya bantuan kepada fakir miskin serta membantu kepada mereka yang lebih memerlukan seperti pesakit kronik dan pelajar yang layak tetapi tidak mampu untuk menampung kos pengajian yang semakin membebankan.
Di sini saya ingin berkongsi cerita sebenar apa yang berlaku ada di kalangan pelajar Institut Perguruan yang datang dari keluarga yang sederhana dan susah. Ada di kalangan mereka yang terpaksa mengikat perut semasa dalam pengajian dengan makan dua kali saja sehari. Sarapan dan makan tengahari mereka ‘dijamakkan’ pada waktu rehat pukul 10 pagi .Manakala minum petang dan makan malam ‘dijamakkan’ pada pukul 6 atau sebelum pukul 7 petang. Apabila ditanya, mereka memberitahu sebagai langkah berjimat cermat untuk meneruskan pengajian. Elaun yang diperolehi tidak mencukupi untuk menampung kos harian dan pengajian. Ada yang bergantung sepenuhnya kepada elaun diterima setiap bulan tanpa mengharapkan bantuan dari ibu dan bapa dan keluarga di rumah yang hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang.
Ini cuma selingkar kisah yang dalam pengetahuan.Saya yakin lagi banyak lagi kisah kesusahan dan penderitaan rakyat negara ini yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Kalau nak mengharapkan Program Bersamu TV3, berapa kerat sangatlah mereka yang hidup susah dan daif yang dapat didedahkan untuk diberi bantuan.
Dalam hal ini, bukan bermakna kita tidak boleh menghargai atlit negara yang berjaya. Jika kerajaan nak beri berapa juta sekalipun tidak menjadi masalah. Asalkan dalam konteks ini, pastikan dahulu kehidupan rakyat terbela dengan turut sama menikmati kemakmuran dan kekayaan Negara. Kita tidak mahu rakyat Malaysia mengalami nasib seperti ‘menang sorak kampung tergadai’ atau ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment