22 November 2008

HARGA MINYAK MASIH MAHAL?-MALAYSIAKINI


Ramai menarik nafas lega apabila kerajaan menurunkan harga minyak baru-baru ini. Penurunan kali kelima bermakna kini harga petrol RM 2 dan diesel RM 1.90.

Walau bagaimanapun ramai pengguna tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya membayar lebih mahal daripada harga sepatutnya. Berdasarkan harga minyak di pasaran sekarang di bawah paras $US 50 setong, sepatutnya harga minyak di pasaran global adalah RM 1.60. Kemungkinan besar harga minyak akan diturunkan ke paras berkenaan pada 1 Disember ini selepas Mesyuarat Exco Majlis Ekonomi jika harga minyak kekal di bawah paras $US50 setong.

Bermakna kita membayar lebih 40 sen,itupun berdasarkan dengan harga minyak tanpa subsidi. Perkara ini turut diakui oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahril Abd. Samad semalam.

Justeru itu rakyat memang berhak mendapat harga minyak yang lebih murah tanpa perlu kerajaan mereka-reka alasan kononnya hasil kejayaan mengurus ekonomi negara. Kenapa dalam keadaan sekarang kerajaan tidak membuat perbandingan dengan harga minyak di negara lain yang harga minyak yang dinikmati penggunanya jauh lebih murah daripada Malaysia.

Memandangkan harga minyak yang dinikmati oleh rakyat di negara ini adalah tanpa subsidi dan malah lebih mahal, keuntungan yang diperolehi dan duit subsidi minyak yang diperolehi sewajarnya digunakan oleh kerajaan untuk memberi subsidi kepada barang keperluan pengguna. Ini sekali gus akan membantu pengguna menikamati harga barang yang lebih murah berbanding sekarang.

Walaupun, harga minyak mungkin turun ke paras RM 1 sekalipun adalah sukar bagi kerajaan untuk mendesak peniaga untuk menurunkan harga barang dan kos perkhidmatan lain. Alasan 'standard' akan diberikan oleh peniaga, harga barang bukan hanya disebabkan faktor harga minyak sahaja.Alasan ini sudah mula kedengaran malah dari syarikat GLC seperti TNB. Inilah padahnya, apabila kajian terperinci tidak dilakukan apabila minyak dinaikkan secara mendadak Mac lalu. Mungkin subsidi minyak yang selama ini 'disimpan' oleh kerajaan juga boleh digunakan untuk membantu pengguna perkhidmatan awam yang bakal berhadapan kenaikan tambang pada tahun depan seperti yang diumumkan oleh Datuk Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Justeru itu kerajaan tidak boleh menunding jari menyalahkan peniaga atau mengharapkan 'keikhlasan' mereka untuk menurunkan harga barang dan kos perkhidmatan lain,melainkan kerajaan sendiri yang bertindak mengawal harga atau memberi subsidi menurunkan beberapa barang tertentu. Jika ini tidak mampu dilakukan, kerajaan sepatutnya berundur atau mengadakan pilihanraya semula untuk memberi peluang rakyat dapat memilih kerajaan yang benar-benar menjaga kebajikan dan memberi keadilan kepada rakyat

No comments: