25 November 2008

MALAYSIAKINI ANGGAP POLITIK PAS DAN UMNO SAMA

Ibarat langit dengan bumi. Itu yang saya dapat gambarkan perbezaan amalan berpolitik dalam Pas dan Umno. Dalam Pas setiap ahli dan kepimpinan telah sekian lama dididik, dan ditarbiyyah konsep amal jamai' terutama konsep wala'atau ketaatan kepada pemimpin.Ahli telah dididik kuasa dan kedudukan adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Amanah sebagai pemimpin, bermakna masa dan wang ringgit dari poket sendiri terpaksa dikeluarkan. Masa bersama dengan anak isteri semakin terhad kerana tanggungjawab terhadap jemaah. Berbeza dengan Umno, jawatan menjanjikan kuasa dan pengaruh serta peluang untuk mengumpul kekayaan.

Di dalam Pas,parti atau jemaah mengatasi segala-galanya dari semua kepentingan individu. Justeru itu mengejar kedudukan dan pengaruh sama sekali tidak wujud dalam Pas. Jika ada mereka yang bersikap demikian lambat laun mereka akan gugur dan terpencil dengan sendirinya. Pemimpin datang dan pergi tetapi perjuangan perlu diteruskan.

Malaysiakini semalam cuba menggambarkan bahawa wujud konflik dalam Pas selangor sehingga menyebabkan Pesuruhjaya Pas selangor menggugurkan Iskandar Abdul Samad dan Shaari sunggip sebagai timbalan pesuruhjaya Pas Selangor.

Untuk makluman Malaysiakini golongan yang gila jawatan dan kuasa hanya wujud dalam Umno sahaja. Seorang pejuang Islam sejati di dalam Pas tidak timbul istilah kecewa, merajuk malah jauh sekali untuk berpaling tadah dari perjuangan jika tidak memegang sebarang jawatan atau digugurkan dari kedudukan dalam parti atau jemaah. Keikhlasan dalam perjuangan mengatasi segala-galanya.

Kisah Khalid Ibnu Walid panglima Islam terbilang yang dipecat oleh syaidina Umar Al Khattab sewaktu sedang bertarung di medan perang dijadikan contoh bahawa jawatan bukan alasan untuk berhenti berkhidmat dan berbakti kepada Islam.

Hari ini jelas apabila tindakan seperti ingin melaga-lagakan kepimpinan Pas di selangor tidak menjadi kenyataan apabila Khalid Abdul Samad yang kononnya dipecat mengingatkan ahli Pas tidak terperangkap dengan helah musuh berkaitan dengan diri beliau yang tidak dilantik semula sebagai timbalan pesuruhjaya Pas Selangor dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Harakah Daily.

Kenyataan Timbalan Pesuruhjaya 11 PAS Negeri Selangor, Iskandar Abd Samad:

"Saya berharap rombakan pimpinan PAS Selangor yang dibuat pada Mesyuarat Perhubungan 21 November lepas dengan persetujuan ahli-ahlinya akan dapat memberi nafas baru kepada PAS di Selangor.

"Saya juga berharap tenaga-tenaga baru ini akan dapat membawa ide-ide baru. Kita perlu berani membuat perubahan.

"Rombakan seperti ini adalah satu perkara biasa dan tidak patut dipertikaikan. Kepimpinan adalah satu amanah dan bukan hak mana-mana individu. Setiap individu mempunyai peranan dan tugas masing-masing di dalam jemaah. Masanya adalah untuk melihat ke hadapan.

"Saya menyeru ahli-ahli PAS agar memberi tumpuan kepada tugas utama untuk mengembangkan dan mengukuhkan pengaruh PAS di Selangor.

"Janganlah ahli-ahli terperangkap dengan permainan politik musuh yang mahu melihat PAS berpecah dengan mengeksploitasi rombakan ini.

"Masanya adalah untuk bekerja dan bukan untuk bercakap semata-mata. Tanggungjawab kita adalah besar. Kita mungkin ada hanya tiga tahun sebelum pilihan raya umum yang akan datang. Tumpukan usaha untuk membuktikan kemampuan PAS di dalam kerajaan dan menambah kerusi-kerusi PAS.

"Sejak mula menjadi ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor dalam tahun 1993 dan merasai pimpinan tiga Pesuruhjaya, saya telah melihat segala-galanya dan seperti biasa saya berkeyakinan ahli-ahli PAS di Selangor matang menghadapi sebarang cabaran."


Ini semua menjadi rahsia kenapa Pas terus gagah berdiri dan melangkah sehingga hari ini walaupun telah lebih setengah abad melewati usia. Keikhlasan, perjuangan dan pengorbanan kerana Allah SWT mengatasi segala-galanya.

2 comments:

Anonymous said...

jangan pernah kata PAS itu sempurna.jangan pernah kata UMNO itu sempurna.UMNO dan PAS sama sahaja.masing-masing ada cacat celanya.

siapa kata tak boleh cari kekayaan dalam berpolitik?Islam tak melarangkan dalam mencari kekayaan jika betul pada caranya?.nak berkecimpung dalam politik bukannya murah.nak bertanding dalam pilihanraya kena pakai duit yang tak sedikit.

politik tetap politik.ada taktik kotor yang digunakan.ingat tak kita pada seorang penceramah PAS dulu yang merujuk Mahathir sebagai "atuk yang melihat video lucah bersama cucunya"?dalam PAS juka ada yang "rotten".tiada siapa yang sempurna.

"Hari ini jelas apabila tindakan seperti ingin melaga-lagakan kepimpinan Pas di selangor tidak menjadi kenyataan"...jangan lupa juga ada orang PAS yang cuba melaga-lagakan orang UMNO.

tiada siapa yang sempurna.tak semestinya yang buruk itu UMNO dan yang baik itu PAS.masing-masing ada kekuatan dan kelemahan.cuma antara mahu atau tidak untuk mengakui fakta tentang kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Anonymous said...

Selagi manusia mempunyai perasaan hasad dengki selagi itulah mereka sentiasa terdorong untuk melakukan dosa. Tiada yang sempurna di kalangan kita. PAS juga manusia biasa. UMNO juga manusia biasa. Masing-masing tak pernah terlepas dari buat angkara. Masing-masing sama saja...