28 July 2008

KEMBALI KEPADA AL QURAN…


Akhir – akhir ini, pelbagai isu berlaku dalam Negara. Pergolakan politik, dakwaan rasuah, tuduhan liwat, muzakarah @ muqabalah ? dan isu pembelian mercedez. Manakala masalah sosial seperti rompakan, bunuh, ragut dan masalah keruntuhan remaja semakin terpinggir dan kurang mendapat tempat dalam media massa. Malahan kehadiran pasukan Chelsea ke Malaysia dan demam sukan Olimpik Beijing lebih mendapat perhatian. Seolah – olah masyarakat sudah lali atau sensitiviti masalah ummah sudah semakin layu dan terhakis. Ini belum lagi menyentuh isu serantau dan saudara seagama seperti masalah rakyat Palestin dan di Negara – Negara lain yang tertindas.

Dalam menangani, memahami dan menyelesaikan semua isu dan konflik yang berlaku, dalam Islam cara yang terbaik adalah kembali kepada Al Quran.

"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (An-Nisa': 59)



Orang yang mukmin akan mendapatan berita yang sahih dan benar:

Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)


Tegurlah pemimpin dengan baik. Untuk mendamaikan bukan untuk mengeruhkan suasana :

"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (Al-Hujuraat :ayat 10)


"Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200).

27 July 2008

Minyak dunia dah turun harga… Malaysia bila lagi ?


Kerajaan sedang memantau perkembangan naik turun harga minyak mentah global, tetapi tidak membincangkan atau memutuskan sama ada untuk menurunkan harga minyak di pasaran domestik, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini.

Beliau berkata walaupun harga minyak mentah di pasaran antarabangsa kini turun kepada di bawah US$125 setong, harga itu perlu kekal stabil atau lebih rendah lagi sebelum kerajaan boleh mengambil langkah menurunkan harga petrol dan diesel.

"Kita berharap harga akan kekal atau turun lagi. Kita akan dapat menjimatkan subsidi. Semasa kita menguatkuasakan harga baru minyak pada Jun, hargnya lebih tinggi daripada US$125 setong sekarang. Kami berharap harga di pasaran dunia akan stabil dan turun lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Pengguna peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Katanya sebelum ini kerajaan bercadang menyemak harga semasa petrol dan diesel menjelang akhir tahun tetapi jika harga di pasaran global mencatatkan penurunan drastik, dengan itu semakan harga minyak domestik boleh dilakukan lebih awal.

"Kita perlu memantau perkembangannya...awalnya kami mahu membuat semakan harga pada akhir tahun ini tetapi keputusan untuk semakan itu dibuat ketika harga minyak dunia mengalami trend meningkat. Malahan penurunan harga ini hanya berlaku dalam masa tiga hari lepas...kita akan tunggu dan lihat," katanya.

Masa menaikkan harga minyak baru – baru ini, alasan yang diberikan kenaikan harga global pasaran dunia. Sekarang harga minyak global dah turun. Bila lagi nak turunkan harga minyak ? Malah dengan penemuan sember minyak terbaru seperti yang diumumkan.

Menurut pakar saintis geologi Amerika , mereka menemui 90 billion barrel minyak terpendam di dasar utara Artik yang meliputi kawasan Amerika, Kanada dan Rusia. Ini meliputi 13% minyak, 30% gas asli, dan 20% gas asli cecair.

Apa yang ingin saya fokuskan disini ialah penurunan harga minyak dunia iaitu (crude oil price) dunia telah menurun sehingga $125 sebarrel kemarin dan hari ini jatuh lagi sebanyak $123 seberrel. Dengan kejatuhan harga tersebut haruslah diingat…kita telah merana kerana kenaikan harga minyak juga iaitu $130-$145 seberrel pada Julai lalu. Ketika itu kerajaan telah mengambil langkah drastik untuk menaikkan minyak sehingga RM 2.70 selitter.

Dalam keadaan macam ini, saya teringat bila bersembang dengan seorang pemandu teksi berbangsa cina di KL tak lama dulu, dia kata kat Malaysia ini semua naik. Barang naik, minyak naik, tambang naik…semua naik. Yang turun satu je..hujan….Itu sebab yang selalu banjir kilat …


 


 

26 July 2008

Jadikan Hari Anda Hari Yang Hebat

Tahukah anda bahawa permulaan hari baru anda dipengaruhi oleh sikap anda sewaktu anda mula terkejut dari tidur.,

Tidur merupakan mati yang sementara di mana sewaktu kita tidur Allah memegang nyawa kita dan Dia kembalikannya nyawa kita lalu kita terjaga dari tidur

Apakah sikap anda sewaktu terjaga dari tidur? Adakah anda bangun dalam keadaan lesu, atau tiba-tiba terfikirkan masalah dan bebanan yang digalas tiada berkesudahan?

Apabila anda bangkit dengan perasaan yang tidak bersemangat maka situasi ini akan menggangu mood dan emosi sepanjang hari dan berlanjutan sepanjang hidup anda.

Bermula hari anda dengan rasa tertekan , sedih dan tidak bersemangat menyebabkan keadaan ini akan terbawa-bawa sepanjang hari anda pada hari tersebut dan anda benar-benar rasa tidak bersemangat, rasa malas dan rasa hidup yang penuh kebosanan yang mana sikap ini akan sering menjadikan anda adalah dalam golongan orang yang gagal.

Apa yang patut anda lakukan untuk kehidupan yang lebih ceria, bahagia dan penuh bermakna ialah apabila bangkit dari tidur anda perlu mengucapkan rasa bersyukur yang amat sangat kerana anda terlalu istimewa pada hari itu kerana anda masih lagi bernyawa dan sihat tubuh badan.

Doa bangun tidur mesti dilafazkan yang bermaksud Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku dari mati dan padanya jua aku dikembalikan.

Apa perasaan anda jika anda berada di tengah-tengah lautan tiba-tiba kapal yang anda tumpangi dihempas badai yang amat kuat dan kapal anda hampir-hampir akan tenggelam. Dalam keadaan huru hara dan malapetaka yang besar anda benar-benar bermohon pada Allah memohon diri anda diselamatkan. Akhirnya doa anda dimakbulkan dan anda terselamat dari badai dan akhirnya anda berada di daratan...masih lagi dapat meneruskan kehidupan.. ah ..alangkah indahnya suatu perasaan kesyukuran yang amat sangat. Begitulah anda benar-benar menghargai sebuah kehidupan!

Begitulah yang patut anda rasa setiap kali terkejut dari tidur kerana anda masih lagi berpeluang untuk meneruskan kehidupan bagi perjuangan anda untuk berlumba-lumba melakukan kebajikan dan memohon keampunan pada Allah kerana apabila nyawa telah sampai ke halkum maka pintu taubat telah tertutup.

Senyumlah sewaktu anda bangun dari tidur dan genggamlah kedua-dua tangan anda berazam untuk melakukan yang terbaik untuk diri anda pada hari itu Bangunlah dengan penuh motivasi dan bersemangat.Mandikanlah minda anda dengan kata-kata positif. Emosi yang positif akan mengecas tubuh badan anda seterusnya mengalirkan bendalir penawar dalam tubuh anda.

Rasakan kehebatan dapat memiliki nyawa (kehidupan) itu. Setiap hari adalah hari yang baru penuh dengan sinar dari Allah yang memancar ke dalam jiwa anda.

Selepas menunaikan solat subuh hendaklah anda menikmati hidangan bagi roh anda iaitu zikir, istiqfar dan membaca ayat-ayat suci Al Quraan. Rasakanlah nikmat hidangan dari Allah yang akan membuatkan roh anda kenyang dan kuat dan hari tersebut menjadikan anda benar-benar bersemangat, ceria dan yang penting anda menjadi INSAN YANG TAHU BERSYUKUR KERANA ANDA AKAN KEMBALI ke TEMPAT ASAL DALAM MEMPEROLEHI KEREDHAAN ALLAH. jumpa lagi salam penuh kasih sayang dari hati kerdil ini

BERMULANYA HARI YANG MENYIBUKKAN…

Hari ini merupakan hari yang agak sibuk berbanding hari – hari biasa. Sebelum ini semua urusan rumah tangga kebanyakannya disediakan oleh 'bibik'. Tetapi, kini tidak lagi. Saya terpaksa menghantarnya pulang ke Indonesia disebabkan beberapa perkara yang dilakukannya sukar untuk diterima. Untuk mengambil 'bibik' baru ? Saya kata pada isteri, biar dahulu. Tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Bayangkan selama 20 bulan dia berada bersama kami, bila celik mata dan pulang dari kerja semuanya telah siap sedia. Termasuklah urusan anak – anak dan rumah tangga. Walau bagaimanapun saya melihat hal ini dari sudut positif. Seperti dalam 'posting' sebelum ini sebagai manusia biasa dan hamba-Nya, kita kena melihat apa juga yang berlaku dalam hidup ini sudah pasti ada hikmah di sebaliknya.

Hal menguruskan anak – anak dan rumah tangga bukanlah asing bagi saya dan isteri. Kami telah menguruskannya bersama lebih sepuluh tahun tanpa ada bantuan ' bibik'. Dalam situasi ini pengurusan masa dan pengurusan diri serta emosi penting walaupun banyak kerja perlu dilakukan, supaya kehidupan kekal bahagia dan ceria. Cuma kena ubah sedikit 'gaya hidup'. Misalnya untuk akses internet dan memikirkan 'posting' baru, kena cari masa yang sesuai. Kalau dulu lepas solat subuh , boleh terus terpaku depan komputer.Kini mungkin kena cari waktu lewat malam ketika anak – anak sudah tidur dan segalanya sudah beres. Insyallah ini akan terus memberi kekuatan kepada saya. Seperti yang saya katakana sebelum ini, saya sukakan cabaran dan tidak tunduk pada cabaran. Semoga Allah terus memberi kekuatan dan tubuh badan yang sihat waalafiat untuk menghadapi semua ini…

25 July 2008

CARILAH KETENANGAN….

Tidak ada tempat lebih baik di bumi ini selain rumah-rumah Allah yang dikenali sebagai masjid ataupun surau. Ini kerana di situlah terbit segala ketenangan yang diimpikan oleh segenap insan, iaitu insan yang berusaha membentuk dirinya menjadi hamba Allah yang terbaik sepanjang hidup dengan amalan-amalan yang bersifat peribadatan hanya kepada-Nya.

Tidak ada tempat di bumi ini yang mampu menjanjikan ketenangan dan kedamaian hidup, melainkan rumah Allah. Justeru terdapat sebuah hadis Nabi s.a.w. menegaskan bahawa rumah Allah menjanjikan bukan sekadar ketenangan, malah beberapa nikmat lain sebagai dorongan berbuat kebaikan.

Hal ini telah disebut menerusi hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah maksudnya: "Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid/surau), membaca kitab Allah (al-Quran) dan berdiskusi mengenainya sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, mereka diselubungi dengan rahmat Allah, dikelilingi dengan para Malaikat (menulis segala kebaikan mereka) dan Allah akan sentiasa mengingati mereka (kerana mereka juga mengingati-Nya)."

Segala janji yang ditaburkan oleh baginda Rasulullah dalam hadis di atas, bukanlah satu perkara retorik seperti janji-janji dalam pilihan raya, ia janji yang akan ditunaikan sendiri oleh Allah SWT, iaitu agar umat Islam menjadi umat terbaik dengan mengecapi ketenangan, kedamaian hidup, rahmat Allah serta yang paling penting mereka diingati oleh Allah selaku Pencipta manusia.

Janji-janji tersebut diberikan apabila ada di kalangan insan Muslim yang memiliki ciri-ciri kebaikan seperti membaca dan mendiskusikan al-Quran, dalam erti kata mereka bersedia untuk mengkaji isi-isi kandungannya untuk dijadikan bahan rujukan, pegangan, kefahaman menuju jalan sempurna.

Justeru, Allah SWT menegaskan bahawa golongan Muslim yang sanggup memakmurkannya rumah-Nya adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar memiliki kualiti iman yang sempurna.

Hal ini ditegaskannya menerusi ayat 18 surah at-Taubah maksudnya: "Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat Yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa keimanan yang kental, kepercayaan teguh berpegang kepada hari akhirat, melaksanakan tugas utama dengan bersolat, mengeluarkan zakat serta takut hanya kepada Allah dan tidak yang lain selain-Nya, adalah senjata utama bagi mengekalkan seseorang yang beriman itu menjadi pemakmur rumah Allah yang setia.

Di mana remaja dalam hal ini?

Remaja Muslim pada hari ini lebih tersohor dengan kumpulan 'mat/minah rempit', menjadi golongan yang suka membuang masa seperti terlibat dalam budaya lepak di sana sini, terlibat dengan program-program hiburan melampau, menjadi penyokong kelab bola sepak negeri dan bermacam-macam lagi.

Remaja Muslim hari ini tidak berusaha meningkatkan prestasi kefahaman mereka dengan Islam, sehingga sanggup menjadi golongan penagih dadah, golongan perosak agama dengan penampilan yang tidak sama sekali memperlihatkan 'Islamik', malah ada ketikanya memalukan Islam itu sendiri.

Ada di antara mereka sanggup menjadi golongan yang membuat angkara terhadap program-program masjid, dengan bertindak liar menghalang mereka yang mahu ke masjid atau surau, atau pun terdapat di kalangan mereka yang bersukan berhampiran dengan masjid, tetapi tidak mengendahkan azan yang berkumandang pada waktu Maghrib, berhenti apabila ada teguran daripada pihak tertentu.

Inilah yang dikatakan tindakan bagaikan meroboh masjid, banyak pihak merasa bimbang dengan tindakan seumpama itu, apatah jika tindakan itu boleh dikaitkan dengan firman Allah menerusi ayat 114 surah al-Baqarah yang membawa maksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara apa mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar."

Itu semua tidak melambangkan mereka hidup dengan Islam secara serius, malah hala tuju hidup mereka pun masih kabur, justeru apa yang amat diharapkan dari golongan remaja muslim ini adalah tercetus rasa kesedaran yang amat mendalam terhadap Islam, di ketika Islam diinjak, difitnah, dimahkamahkan, dituduh dengan pelbagai pendekatan negatif, oleh itu remaja seluruhnya disaran agar menjadi remaja seperti yang pernah disebut oleh al-Quran dengan istilah 'Ashabul Kahfi' dan 'Ashabul Ukhdud'.

Ketahuilah bahawa pada usia remaja ini juga tidak akan terlepas daripada dibuat perhitungan di sisi Allah pada hari akhirat. Ia pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang bermaksud: "Sebelum kedua-kedua kaki anak Adam (manusia) tergelincir untuk dimasukkan dalam syurga atau pun neraka, maka dia akan ditanya dengan empat perkara: Waktu remajanya apa yang telah dia habiskan, seluruh umurnya apa yang telah dibuat (untuk kebaikan dirinya), tentang hartanya daripada mana sumber ia diperolehi dan bagaimana pula ia dibelanjakan, tentang ilmunya, apa yang telah dia lakukan." (Hadis riwayat Mu'az Bin Jabal).

Remaja hari perlu mencontohi remaja-remaja silam khususnya di kalangan para sahabat dan lain-lain, mereka juga ada perasaan untuk bersuka-ria, rasa nak 'enjoy', tetapi semuanya dikekang kerana ia tidak memberi apa-apa kepada Islam, justeru remaja hari ini juga perlu mentelaah sejarah itu untuk mengembalikan keyakinan diri dengan Islam.


 

23 July 2008

Mercedes VS Proton Perdana : Percayakah Anda ?


Kos menyenggara Proton Perdana V6 Executive yang dibayar oleh kerajaan Terengganu pernah mencecah RM175,229.97 dan RM132,357.76 sebuah untuk tempoh empat tahun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Menteri Besar di sini hari ini, ia merupakan kos tertinggi yang terpaksa dibayar oleh kerajaan negeri untuk servis sebuah kereta model itu sejak tahun 2004 hingga sekarang.

Harga sebuah kereta Perdana V6 Executive dianggarkan dalam lingkungan RM130,000.

"Kerajaan Terengganu tidak mampu lagi membiayai kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive.

"Sekiranya diperlukan, kerajaan negeri sedia mengemukakan bukti terperinci kos penyenggaraan dan kerosakan sejak mula Proton Perdana V6 Executive digunakan sebagai kereta rasmi," kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah memberitahu Utusan Malaysia, semua kereta Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri Terengganu dibeli terus daripada syarikat pengedar kereta Edaran Otomobil Nasional (EON).

"Penyenggaraan kereta-kereta itu terbuka untuk dilakukan di mana-mana bengkel kerana tidak semua daerah di Terengganu mempunyai pusat servis Proton," katanya.

Menurut kenyataan pejabat Menteri Besar, pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan kereta Proton Perdana V6 sedia ada selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II).

Pekeliling itu mensyaratkan penggunaan kenderaan rasmi hanya terdiri kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD). Kenyataan itu menyebut, penggunaan Mercedes E200 Kompressor memenuhi syarat berkenaan kerana model CKD itu dipasang di kilang di Pekan, Pahang.

Kerajaan negeri baru-baru ini telah membeli 14 buah kereta mewah tersebut dengan kos RM3.43 juta sebagai menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.

Pembelian itu dipertahankan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menjadikan kualiti kereta keluaran Proton sebagai alasan pembelian tersebut.

Kereta-kereta Mercedes itu bakal digunakan oleh Menteri Besar, Exco dan para pegawai kanan kerajaan negeri.

"Pembelian kereta Mercedes ini adalah telus serta wajar dan tidak sekali-kali menggunakan wang royalti minyak. Kewajaran pembeliannya adalah berdasarkan kelasakan serta kos penyenggaraan yang rendah," ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan negeri berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan Mercedes E200 Kompressor. Setiap sebuah Mercedes yang dibeli berharga RM 245,00

Dalam kegawatan ekonomi dan pengenalan langkah berjimat cermat ekoran kenaikan harga minyak, pembelian mewah seperti ini merupakan langkah yang kurang bijak. Persoalannya lagi, kenapa kos membaiki yang terlalu mahal ? Adakah wujud unsur penyelewengan dan rasuah ? Pihak Badan Pencegah Rasuah ( BPR ) perlu beri perhatian kepada isu ini. Hal ini penting supaya rakyat yang cukup terbeban dengan kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang tidak rasa terpedaya dan teraniaya.

‘PULAU’ VS ‘SEKETUL BATU’


Hampir semua akhbar utama memaparkan isu tuntutan terkini singapura terhadap Zon Ekonomi Ekslusif ( EEZ ) di perairan Pulau Batu Putih yang telah menjadi milik Singapura seperti yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa ( ICJ ).


 

Menteri kanan republik itu, Balaji Sadasivan berkata, Singapura mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika dan EEZ yang konsisten dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pada 10 Disember 1982, di mana Singapura adalah salah satu pihak yang menandatangani konvensyen berkenaan


 

Ramai yang melenting dan menyatakan rasa terkilan dan tidak berpuas hati kerana Singapura tidak berbincang terlebih dahulu dengan Malaysia sebelum mengutarakan tuntutan itu. Di antara pihak yang melahirkan kembimbangan ini ialah golongan nelayan tempatan yang sering mencari rezeki di perairan berhampiran Pulau Batu Putih.

Persatuan Nelayan Kawasan Pengerang tidak bersetuju dengan tindakan Singapura untuk menuntut kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) di sekitar Batu Puteh.

Pengerusinya Abu Bakar Mohamad menyifatkan hasrat republik itu sebagai langkah terdesak, seolah-olah mahu meluaskan kawasan sempadannya dan nelayan di Pengerang yang akan menerima kesannya.

"Jika dilihat, perairan (di situ) lebih kepada kita. Kalau terpesong sedikit, mereka (Singapura) akan masuk perairan kita.

"Kalau ia (Singapura) tuntut, ia tidak bimbang masuk perairan Malaysia," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, terdapat kira-kira 2,000 nelayan yang berdaftar di bawah persatuan nelayan kawasan tersebut.

Tuntutan tersebut, kata Abu Bakar, dilihat sebagai usaha untuk memonopoli kawasan itu dan berat sebelah.

"Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan, cukup strategik kerana sumber perikanan banyak di kawasan itu," tambah Abu Bakar.

Di samping itu, terdapat juga pimpinan kerajaan yang melahirkan kebimbangan dan meluahkan rasa kurang senang serta melenting dengan tuntutan terbaru Singapura.

Persoalannya kenapa perlu marah – marah atau nak melenting dengan tuntutan terbaru Singapura ini ? Malah ada usaha untuk mengheret institusi beraja agar campur tangan dalam isu ini. Bukankah dulu seorang Menteri memberitahu bahawa keputusan ICJ adalah situasi 'menang – menang'. Singapura dapat sebuah pulau dan Malaysia dapat 'seketul batu'. Adil namanya. Adakah kita semua tidak sedar implikasi daripada keputusan ICJ tempoh hari ? Mana ada pulau atau Negara yang berada di lautan yang tidak memiliki hak Zon Ekonomi Ekslusif ( EEZ ).

Kesimpulannya,pada pandangan saya, kehilangan sebuah pulau yang digantikan dengan 'seketul batu' akan meneruskan polemik dan perdebatan pada masa akan datang. Bukan soal pulau atau 'seketul batu'. Tetapi ia lebih kepada soal kedaulatan dan maruah. Melainkan kita rakyat yang tidak bermaruah dan tidak memiliki harga diri.Natijahnya, mungkin terpaksa ditanggung tujuh generasi berikutnya.



 

22 July 2008

KENAPA ‘GOYANG GERUDI’ HARAM ?

Alhamdulillah buat masa ini konsert goyang gerudi Inul Daratista tidak berjaya diadakan di Johor Bahru melainkan mungkin ditunda ataupun digantikan di Stadium Bukit Jalil hujung minggu ini.

Inul Darastista atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah 29 tahun, telah dilabelkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) sebagai penari lucah pada Ogos 2002 kerana tarian gelek gerudinya.

Yang peliknya disini Inul berkata "Saya merasakan usaha saya hanya sia-sia. Apa salah saya hingga diperlakukan seperti ini? Mungkin dugaan Tuhan untuk menguji keimanan saya. Pun begitu, saya tetap ingin mendengar penjelasan sebenar. Saya tidak pasti sama ada akan menerus konsert melainkan mampu berkata Insya Allah," kata Inul lagi.

Inul terpaksa pulang ke Jakarta dan berjanji akan kembali ke Kuala Lumpur untuk menghiburkan peminatnya di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 27 Julai ini.

Apa yang kita lihat sekarang ini ialah manusia begitu ghairah berhibur sehinggakan lupa persoalan dan batas halal haram sesuatu perbuatan itu. Menurut Pengarah Urusan IMS Prima, Nasir Abu Bakar beliau sendiri kerugian kira-kira RM 300,000 gara-gara Majlis Bandaraya Johor Bahru yang tidak mengeluarkan permit.

Selepas ini rakyat negeri Selangor mesti bertindak, apa logiknya memindahkan sesuatu kemungkaran itu dari satu negeri ke negeri yang lain? Adakah itu akan menunjukkan orang Selangor lebih liberal dari Johor?

Perkataan InsyaAllah begitu mudah keluar dari ahli maksiat dan tidak mustahil perogol dan perompak sendiri dengan mudahnya akan mengucapkan InsyaAllah dalam melakukan maksiat dan mungkar.

Inul pernah dikecam di Indonesia gara-gara kenyataan beliau yang ingin bergambar untuk majalah Playboy dan pernah ditegur oleh penyanyi dangdut veteran Indonesia, Rhoma Irama yang mengganggap aksi goyang pinggul Inul erotik dan berbaur pornografi.

Akhirnya, perbuatan manusia lambat laun semakin jauh dari rahmat Allah lantaran kealpaan manusia dalam mencegah kemungkaran.


 

GURU DISIPLIN DIPUKUL DI KL : SALAH SIAPA ?

Saya bersimpati dengan nasib seorang guru disipilin di sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang dilaporkan ditampar oleh seorang bapa murid. Kejadian berlaku adalah lanjutan dari seorang guru wanita yang cuba melaksanakan peraturan sekolah yang telah ditetapkan kepada semua murid termasuklah anak-anak kepada bapa tersebut.

Tindakan guru disiplin yang cuba mempertahankan guru wanita tersebut atas alasan menguatkuasakan peraturan sekolah akhirnya menjadi mangsa 'libasan tangan' bapa murid bertindak samseng. Kesan kecederaan yang dialami, guru disiplin tersebut membuat laporan polis selanjutnya.

Guru disiplin seumpama ketua penguatkuasa dalam sebuah sekolah. Beliau dibantu oleh guru-guru lain yang berada dalam jawatankuasa disiplin yang dilantik oleh Pengetua/Guru Besar.

Tugas guru disiplin cukup mencabar dan cukup memeningkan kepala untuk dipikul. Saya yakin, tidak semua guru yang sanggup dan bersedia untuk menjadi guru disiplin melainkan atas amanah dan kepercayaan yang diberi oleh pihak sekolah.

Lebih-lebih lagi jika bilangan murid yang terlalu ramai dan berbagai bangsa serta latar belakang, tentunya mengundang banyak masalah yang sukar diatasi.

Tapi sayangnya, pengorbanan guru dalam mendisiplin anak-anak tidak pula dihargai. Selain guru disiplin ditampar atau dicederakan, mereka juga turut dicemuh dan kenderaan mereka dibakar, dirosak, digores dan macam-macam lagi.

Siapa yang perlu disalahkan?

Adakah kurikulum yang masih tak menepati kerana gagal membentuk insan yang berilmu dan berakhlak ?

Adakah kerana masyarakat yang mengamal hidup bebas dan tidak lagi menggunakan 'social control' sebagai kaedah membentuk akhlak anak-anak.

Adakah media-massa atau dunia terlalu global dalam meneroka maklumat sehingga sukar dibendung kesannya terutama kepada anak-anak remaja?

Adakah guru-guru yang diamanahkan dalam mendidik murid gagal memainkan peranannya yang sebenar?

Adakah ibubapa/penjaga murid sememangnya belum bersedia memberi kepercayaan sepenuhnya kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka?

18 July 2008

MACAM – MACAM….


TANAH MERAH - Tertekan dengan kenaikan harga minyak, seorang penduduk bertindak meletakkan kereta Toyota miliknya di atas gelong di hadapan rumah di Kampung Bukit Nangka, Jeli.

Mohd. Yusuff Mamat, 45, yang berniaga kecil-kecilan memberitahu, beliau terpaksa berbuat demikian lantaran tidak mampu lagi mengisi minyak dan kini bertukar menggunakan motosikal sahaja.

Beliau mengambil keputusan mengupah jentolak menggantung keretanya dua minggu selepas kenaikan harga petrol diumumkan.

Sebelum ini, beliau sering berulang-alik dari rumah ke bandar Tanah Merah sejauh 40 kilometer sehala untuk membeli barangan keperluan untuk gerai makanannya dan mengakui kos perjalanan itu kini semakin tinggi.

Semoga selepas ini kita tidak mendengar lagi perkara yang pelik seperti ini. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi , berita seperti ini mungkin sesuatu yang melucukan. Namun bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana kenaikkan harga minyak dan seterusnya membawa kepada peningkatan kadar inflasi sesuatu yang memeritkan.


 

Rakan saya yang bertugas di Kementerian Pelajaran di Putrajaya, sebelum kenaikan harga minyak beliau berulang seminggu sekali menjenguk keluarga di Melaka dengan berkereta. Tetapi, bila harga minyak naik melambung, dia tak mampu lagi berulang dengan kereta sebaliknya memilih menaiki motorsikal berulang seminggu sekali dari Putrajaya ke Melaka. Baru – baru ini, bapa mertuanya meninggal dunia. Bayangkan dia beritahu saya, terpaksa meredah hujan lebat sepanjang perjalanan dari Putrajaya untuk sampai ke Melaka.


 

Mungkin ini yang dikatakan oleh orang atasan supaya mengubah gaya hidup. Mungkin selepas ini mereka akan mencadangkan agar rakyat pergi bekerja dengan menaiki basikal pula.