10 August 2008

Bicara Malam….


Sudah lebih 2 bulan kita mengalami kesan kenaikan harga minyak. Walaupun kini minyak di pasaran dunia menunjukkan penurunan harga,harga minyak di Malaysia masih tidak nampak tanda – tanda berlaku penurunan dalam masa terdekat.


 

Apa yang saya nak kongsikan pada kali ini ialah nasib yang dialami oleh kakitangan kerajaan, terutamanya golongan pekerja pertengahan dan bawahan yang mengalami masalah ekoran kenaikan harga minyak.


 

Ini berkaitan dengan TNT (tuntutan elaun perjalanan) yang masih di takuk lama walaupun minyak dah beberapa kali naik. Untuk makluman,TNT untuk gred DG 41 hingga DG 48 ialah seperti kadar berikut :


 

  1. 500 KM pertama = RM 0.70
  2. 501-1000 KM = RM 0.60
  3. 1001 dan seterusnya RM 0.50


 

Sebagai contoh jarak dan kadar tuntutan yang dibuat oleh saya untuk menyelia guru pelatih yang sedang praktikal ( PRAKTIKUM ) di daerah Jasin .


 

  • Dari IPPM ke SK Air Barok Jasin ( pergi balik 70 KM X RM 0.70 = RM 49.00 )
  • Kos per KM = Rm 0.30 X 70 = RM 21.00
  • Baki RM 28.00
  • Tolak kos servis, tayar dan lain lain ?


 

Bila dikira kos tersembunyi yang tidak boleh dituntut sebenarnya apa yang tinggal sekadar balik modal je. Dalam keadaan macam ini pun kadang – kadang ada pihak yang kurang senag dengan tuntutan yang dibuat. Seolah – olah menganggap 'tugas luar' sebagai 'core bussines' atau ' side income' selain tugas rasmi.


 

Ada yang mungkin beranggapan, saya berkira dengan kerja, sedangkan sudah menjadi tanggungjawab dalam kerja. Apa yang saya pinta, cukup apa yang dilakukan difahami dan dihormati. Apa yang diperolehi pada hari ini tanpa TNT , Allahamdulillah cukup untuk menampung segala urusan di samping dapat diasingkan untuk simpanan masa depan.


 

Namun, bagaimana nasib kakitangan kerajaan yang lain? Saya pernah menemui kakitangan kerajaan yang pendapatan bulanan tidak cukup pun untuk membeli susu anak. Ada juga, pendapatanya yang baki gajinya yang negatif. Bukan sedikit, agak ramai yang saya temui. Malah ada di kalangan mereka sekadar cukup untuk membayar bil dan hutang piutang.


 

Ada yang menganggap ini berpunca dari gaya hidup bermewah –mewah. Tetapi adilkah kita berpandangan begitu ? Bagaimana dengan kenaikan kos hidup dan kadar inflasi ? Peningkatan kos perkhidmatan dan pengangkutan ?


 

Inilah salah satu bebanan kepada kakitangan awam yang mungkin kurang diberi pembelaan. Sebaliknya, mereka yang sudah berpendapatan tinggi terus diberi pelbagai keistimewaan dan pelbagai insentif. Sebagai contoh, pada bulan Julai baru-baru ini pihak JPA telah meluluskan kenaikan elaun imbuhan tetap dan keraian bagi perjawatan gred khas A,B dan C. Bagi gred khas A: RM6,500.00;Gred khas B: RM 4,550.00 dan gred khas C: RM3,500.00.

Mereka terus senang dan dilimpahi dengan pelbagai keistimewaan. Manakala golongan bawahan terus terhimpit dan kurang mendapat pembelaan. Justeru itu, pihak berkenaan mesti membuka mata dan mempertimbangkan langkah – langkah khusus untuk membantu golongan ini.


 

Saya tidak menafikan langkah – langkah yang diambil oleh kerajaan menangani masalah ini tetapi pada pandangan saya masih tidak memadai dan perlu diambil langkah – langkah segera dengan lebih serius bersesuaian dengan kemampuan yang dimiliki oleh kerajaan.


 

Peningkatan kadar jenayah dan salah guna kuasa yang semakin menjadi –jadi akhir –akhir ini mungkin sebagai petunjuk kesan daripada desakan hidup yang dialami. Manusia sanggup buat apa sahaja dengan mengambil jalan mudah tanpa berfikir panjang bila sudah terdesak.


 

Dalam masa yang sama , Islam sentiasa mengajar umatnya agar terus berusaha untuk mencari rezeki yang halal dengan bersungguh – sungguh. Gunakan segala peluang dan ruang yang ada. Ketepikan rasa malas berusaha, iri hati dan dengki. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Di samping itu, panjatkan doa dengan penuh kudus dan tulus kepada-Nya. Setiap kesusahan ada kesenangan. Setiap Kesulitan ada kemudahan. Meyakini, apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

09 August 2008

Mendidik Bakal Pendidik


Institut Perguruan Malaysia(IPGM) gah sekarang terdengar di sana-sini. Setiap pelajar lepasan SPM tidak lepas untuk mendapatkan pincode di BSN selepas mengetahui keputusan masing-masing. Pelajar matrikulasi yang tidak mahu melanjutkan pembelajaran di universiti turut berbuat demikian dan pelajar universiti yang merasakan beban mereka duduk di universiti adalah berat dan diri mereka masih layak memohon turut mengambil peluang mengisi borang untuk Kursus Pergururan Lepasan SPM atau boleh dikenali juga sebagai PPISMP(Program Persedian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan).

Namun adakah mereka masuk semata-mata kerana:

a.elaun yang tinggi

b. paksaan ibu bapa

c. lari dari universiti kerana takut menganggur

d. atau darah mereka adalah DARAH G "darah Guru"

Atau?????

 Orang yang mempunyai Darah G ini adalah betul-betul mempunyai keinginan untuk menjadi guru. Penulis yakin semua bakal-bakal guru di IPGM memang mempunyai darah G setelah beberapa tahu di IPGM. Cuma perlu diingatkan budaya memilih perguruan sebagai jalan mudah adalah satu pemikiran yang salah

08 August 2008

APA NAK JADI ?


Baru –baru ini berlaku satu peristiwa yang mengemparkan berlaku di sebuah Institusi Pendidikan Guru ( IPG ). Terdapat pihak yang tidak bermoral dan hilang pertimbangan melakukan sesuatu yang mencemar imej IPG.

Terdapat mereka yang tidak bertanggungjawab telah melakarkan gambar lucah di asrama. Asrama guru pelatih perempuan !Walau apa juga alasan yang diberikan tidakan melukis gambar lucah ini sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima.

Jika perkara ini melibatkan golongan remaja dan muda – mudi yang sering terlibat dengan vandalisme yang dilakukan di perhentian bas, tandas awam atau tempat – tempat terbuka ia bukan sesuatu yang pelik. Begitu juga kalau ia berlaku di sekolah pemulihan akhlak, dinding lokap atau penjara ia mungkin sesuatu yang lumrah.

Apa yang mengejutkan, ia berlaku di IPG yang bakal melahirkan bakal guru yang akan mencorak dan mendidik generasi masa depan. Bayangkanlah sikap tidak bermoral dan tidak senonoh ini akan dibawa sampai ke sekolah dan bilik darjah.

Sebagai seorang bakal guru, perbuatan ini adalah melampau dan keterlaluan. Pada pandangan saya, mereka yang terlibat tidak layak menjadi warga IPG. Carilah profesion lain yang boleh ' menghalalkan' tindak mereka ini.

Malah sikap tidak beretika serta tidak akur pada peraturan IPG seperti sering datang lambat ke kuliah dan perhimpunan tanpa sebab munasabah dan berpakaian menjolok mata atau pakai baju 'adik' yang telah lama saya perhatikan di IPPM juga sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh bakal guru.

Bagaimana agaknya nak mendidik murid menjadi insan berguna dengan sikap yang ditunjukkan ini ? Mereka akan menjadi golongan yang ' bercakap tak serupa bikin' atau golongan yang berpura –pura dalam hidup mereka. Ingatlah peringatan Allah SWT yang bermaksud :


 

2. Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

3. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

                                    ( Surah As – Shaff : 2 – 3 )


 

Sekiranya golongan ini tidak berubah dan insaf dari melakukan gejala negatif ini ,maka harapan untuk melihat generasi akan datang menjadi generasi yang menjadi kebanggaan agama, bangsa dan Negara hanya akan tinggal harapan sahaja.

KISAH DUA ORANG PEROMPAK


Kisah ini melibatkan dua orang perompak yang baru – baru ini pergi merompak sebuah bank. Namanya Nuar dan Epol. Beberapa hari kemudian, Epol telah pergi ke Balai Polis melaporkan bahawa dia telah terlibat dalam rompakan Bank bersama dengan Nuar.

Polis telah mengambil laporan yang dibuat oleh Epol. Tak lama kemudian, berdasarkan laporan yang dibuat oleh Epol, Nuar telah didakwa di mahkamah kerana terlibat dalam rompakan. Epol pula telah dilindungi oleh Polis, tak ada apa –apa tindakan dakwaan yang dikenakan. Alasannya, menurut Polis, walaupun Epol turut sama merompak , tetapi Epol telah membuat laporan polis dan Epol dalam hal ini dia adalah pengadu dan menjadi mangsa…..

Moralnya…..fikirkanlah sendiri…..

Kalau tak faham juga...buat - buatlah faham...

07 August 2008

Air Mata Rasullullah S.A.W


Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"

Tak tahulah ayahku,orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah,

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.

Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini."

Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, karena sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyatnya maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku. "Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.

Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat

aimanuku - peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Diluar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. "Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku"

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

06 August 2008

UJIAN PENDERITAAN DAN KESENANGAN



Firman Allah yang bermaksud ;

"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,"

Surah Al-Mulk : Ayat 2

Manusia di dunia ini selalu mendapatkan kenikmatan dan kepedihan. Terkadang mereka menjadi lemah ketika mendapatkan penderitaan hingga mengalami kehinaan. Dan terkadang mendapatkan kenikmatan yang berlimpah sehingga menjadi sewenang-wenang atau melampaui batas. Yang dituntut dari kita adalah tidak menyeleweng dan tidak sombong serta tetap teguh dalam keimanan tatkala menghadapi dua keadaan tersebut.

Selama hidup, kita tidak mungkin terbebas dari ujian yang selalu datang. Allah S.W.T. menguji kita untuk mengetahui sejauh mana reaksi kita dalam mengatasi suatu masalah. Allah S.W.T. memberikan penilaian kepada kita sesuai dengan sikap kita terhadap ujian yang kita hadapi. Hidup ini memang penuh dengan ujian, sebagaimana firman Allah S.W.T. ;

"Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dari setetes mani yang bercampur[1535] yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), Karena itu kami jadikan dia mendengar dan Melihat."

[1535] Maksudnya: bercampur antara benih lelaki dengan perempuan.

Surah Al-Insaan : Ayat 2

Penderitaan yang menimpa kita menunjukkan kelemahan kita sebagai manusia. Sayangnya, ketika tertimpa kesengsaraan, banyak orang yang berburuk sangka kepada Allah. Lalu menjadi kufur, disebabkan menganggap Allah tidak adil dengan memberikan penderitaan itu kepadanya. Na'udzu billahi mindzalik.

Kesenangan hidup merupakan kurnian Allah yang akan dimintai pertanggungjawabanyha. Orang yang menjadi kufur kerana kesenangan lebih banyak lagi dari orang yang ingkar kerana penderitaan. Jadi, keduanya sama berbahaya bagi menstabilkan keimanan seseorang.

Seorang yang sedar akan berhati-hati terhadap penderitaan atau kesenangan, sehingga tidak terperosok dalam kelalaian. Ia melihat setiap yang menimpa dirinya, baik duka mahupun gembira ujian dari Allah dan itu pula merupakan takdir dari Allah.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud ;

"Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (Tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan Telah tertulis dalam Kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."

"(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira[1459] terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,"

[1459] yang dimaksud dengan terlalu gembira: ialah gembira yang melampaui batas yang menyebabkan kesombongan, ketakaburan dan lupa kepada Allah.

Surah Al-Hadid : Ayat 22 – 23

Ujian Penderitaan

Penderitaan merupakan salah satu realisasi ujian Allah. Di saat menderita sebagai orang yang beriman, kita terasa terusik untuk mengetuk pintu Allah dalam erti kata memohon keampunan, keselamatan dan mengharapkan kasih sayangNya. Dengan demikian, setiap penderitaan merupakan saranan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah bersabda ; "Hendaklah seseorang mengucapkan kalimat Irtirjaa' ketika tertimpa musibah (Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un). Sesungguhnya kita ini hanyalah milik Allah dan kepadaNyalah kita kembali." Sekalipun mengenai tali sandal/kasut yang putus kerana hal itu termasuk dalam hal musibah.

Dengan sikap ini seorang muslim sentiasa mengharapkan pertolongan Allah dalam seluruh hidupnya. Cara ini membuat persoalan menjadi mudah kerana dikembalikan kepada yang Maha Berkuasa. Pengaduan terhadap Allah merupakan usaha untuk mendekatkan diri kepadaNya. Ia mengandungi hikmah yang jauh lebih besar dari penderitaan kurniaan Allah baik yang telah ada pada diri kita mahupun yang akan diberikan bagi mereka yang bersabar menanggungnya. Sayangnya banyak orang yang enggan mengadukan masalah kepada Allah untuk memohon perlindungan dan bimbinganNya. Inilah di antara makna sabar yang diajarkan Islam kepada kita.

Ujian Berupa Kesenangan

Sebaliknya kesenangan hidup seringkali melalaikan manusia. Mereka terjebak dengan perangkap yang menipu dan merasa diri sebagai orang yang sukses kerana hasil ilmu atau usahanya sendiri. Padahal tiada daya upaya dan kekuatan kecuali dengan izain Allah.

Orang yang beriman tatkala menghadapi sesuatu yang menyenangkan segera bersyukur kepada Allah. Ia tidak akan lupa kepada Allah Yang Maha Pemberi Nikmat. Dan menyalurkan kurnian Allah itu pada jalan Allah sebagai merealisasikan rasa syukur dan untuk meningkatkan ketaatan kepadaNya. Dengan demikian kenikmatan menjadi pangkal untuk mendekatkan diri kepada Allah pula. Dengan demikian, orang-orang yang mukmin selalu berada dalam dua keadaan ini iaitu sabar dan syukur.

Rasulullah menyampaikan kekagumannya pada sikap orang yang beriman ; "Sungguh mengagumkan urusan kaum mukmin. Seluruh aktivitinya menjadi kebaikan baginya. Dan yang demikian itu hanya ada pada orang yang beriman. Bila ia ditimpa kesulitan ia bersabar. Maka itu baik baginya dan bila ia mendapat kesenangan, maka ia bersyukur dan itupun baik baginya."

Riwayat Bukhari & Muslim

Orang yang mukmin tidak mudah tertipu dengan kesenangan hidup. Ia menyedari bahawa kesenangan merupakan ujian Allah. Dengan ujian ini Allah akan menilai apakah ia bersyukur atau kufur terhadapnya. Nabi Sulaiman diberikan Allah dengan harta, kekuasaan yang luas juga bersyukur kepada Allah untuk mendapatkan ilham supaya tetap mesyukuri nikmat Allah, dan supaya dimasukkan ke dalam golongan hamba-hamba Alah yang soleh.

Dan sebaliknya, sesungguhnya Rasulullah mengajar umatnya untuk tetap sabar serta tabah dan menganggap penderitaan yang dihadapi sebagai ujian untuk memperolehi keredhaan Allah dan kenikmatan akhirat yang jauh lebih kekal.

05 August 2008

Erti Kemerdekaan Semakin Hilang ?


31 Ogos , tarikh kemerdekaan Negara semakin hampir, lebih kurang tiga minggu dari sekarang. Tahun – tahun sebelum ini bila tiba bulan Ogos malah bermula bulan Julai lagi kemeriahan bulan kemerdekaan begitu dirasai. Bendera Kebangsaan berkibar di mana –mana, bangunan kerajaan atau premis pensendirian juga di kenderaan di jalan – jalan raya.

Pelbagai program diatur sama ada organisasi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah dan tadika turut tidak ketinggalan menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan.

Namun, hari ini suasana sambutan kemerdekaan nampak lesu dan muram. Cuma di bangunan milik kerajaan suasana kemerdekaan sedikit dirasai tetapi pada pandangan saya lebih kepada 'menurut perintah' atau 'ambil syarat' sahaja.

Kenderaan yang mengibarkan bendera kebangsaan di jalan raya ? Adalah sebuah dua, jarang – jarang sekali jumpalah sebuah yang memasang bendera.

Media massa pula lebih sibuk mengulas dan memaparkan berita – berita yang memualkan seperti kes liwat pemimpin politik, isu muzakarah dan Muqabalah, rasuah menjelang pemilihan UMNO dan keretakan Jambatan MRR2. Rencana atau berita tentang sambutan kemerdekaan tidak begitu mendapat tempat. Malah, Kementerian Kesenian dan Pelancongan yang bertanggungjawab kepada sambutan kemerdekaan seperti lepas tangan dan membuatnya seperti ala kadar sahaja.

Adakah rakyat Malaysia sudah hilang patriotisme mereka ?

Menurut rakan – rakan, kegawatan politik dan ekonomi kesan kenaikan harga minyak menyebabkan berlaku suasana lesu sambutan kemerdekaan kali ini. Mereka membuat protes secara senyap sebagai bantahan dan manifestasi rasa kurang senang terhadap apa yang berlaku dalam senario politik Negara dan tekanan ekonomi yang mereka alami.

Walaupun ada beberapa insentif seperti bayaran rebat kepada pemilik kenderaan dan bantuan RM 200 kepada nelayan semua ini tidak mampu untuk mengubat luka rasa tidak puas hati mereka.

Semua ini menimbulkan tanda tanya kepada saya. Apakah tahun ini ada sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos ? Atau ada kejutan akan berlaku menjelang 31 Ogos atau sebelum 16 September nanti. Sama – samalah kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku…


 

04 August 2008

Retak Lagi !!!


Pengguna MRR2 terpaksa menempuh kesesakan di bawah jambatan MRR2 yang retak

Perdana Menteri, Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi meluahkan kemarahan disebabkan keretakan terbaru Jambatan MMR2.

"Dulu ketika rosak, kita telah mengeluarkan belanja RM70 juta dan ini adalah satu perbelanjaan yang besar. Dan sekarang ini retak lagi, mengikut apa yang dimaklumkan oleh pengguna jalan raya.


 "Sebenarnya masalah ini boleh dielakkan jika sekiranya pihak yang bertanggungjawab berhati-hati dalam memastikan apa yang telah dibaiki itu sudah teguh dan tidak akan berlaku lagi sebarang keretakan atau kerosakan dalam masa yang singkat," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.

"Menakutkan jika berlaku runtuhan atau kemalangan lagi, jadi, sudah tentulah ini tidak baik," beliau dipetik sebagai berkata ketika mengulas mengenai MRR2 yang dibina dengan kos RM238 juta dan telah dibaikpulih menggunakan belanja tambahan RM70 juta mengalami keretakan sekali lagi.

Kelmarin , lebuhraya jejambat itu yang menghubungkan antara Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur sepanjang 1.7 kilometer serta jalan di bawahnya ditutup kepada semua lalulintas berikutan keretakan baru itu.

Pada bulan Ogos 2004, laluan berkenaan ditutup buat pertama kali berikutan masalah keretakan rasuk tiangnya.

Pada Februari 2006, ia sekali lagi ditutup akibat masalah yang sama yang memerlukan struktur itu dibaik pulih dengan kos RM70 juta.

Rakyat dan pengguna laluan tersebut semestinya lebih marah lagi. Bukan sahaja terpaksa merasai keperitan kenaikan harga minyak baru- baru ini. Kini, mereka terpaksa menempuh kesesakan teruk dan terkandas berjam-jam sewaktu pergi dan balik dari tempat kerja. Bayangkan dengan harga minyak yang mahal, berapa banyak minyak yang terbuang dan terbazir disebabkan kesesakan yang berlaku. Berapa banyak masa pula yang terbuang akibat masalah ini ? Berapa banyak lagi duit rakyat akan digunakan serta dibazirkan kepada perkara yang tidak sepatutnya ?

Cuba kita kira, dengan kos pembaikan pertama sebanyak RM 70 juta seperti yang dimaklumkan oleh PM, apa yang dapat dilakukan dengan wang sebanyak itu.

  1. Membina rumah rakyat miskin yang tidak mempunyai rumah sebanyak 2333 buah dengan kos anggaran RM 35 ribu sebuah.
  2. Memberi biasiswa kepada pelajar miskin yang melanjutkan pelajaran di universiti seramai 4375 orang dengan anggaran kos RM 16 ribu sepanjang tempoh pengajian.
  3. Bantuan kepada penduduk miskin seramai 29166 orang sebanyak RM 200 untuk seisi rumah selama setahun.
  4. Mungkin dapat menyelamatkan nyawa 1750 pesakit kronik yang memerlukan bantuan untuk kos perubatan dan pembedahan dengan anggaran kos RM 40 ribu seorang.

Ini belum lagi termasuk kos gantirugi kerana pembatalan 'Jambatan Bengkok' merentangi Tambak Johor sebanyak RM 238 juta, kos kerugian penjualan saham Agusta yang mencecah RM 500 juta yang terpaksa di tanggung oleh kerajaan ( duit rakyat ) dan banyak lagi.

Masalah ini tidak akan berlaku, sekirannya pihak yang terlibat benar – benar bertanggungjawab dan jujur melaksanakan tugas serta amanah yang diberi. Dalam hal ini yang menjadi mangsa adalah rakyat terutamanya golongan bawahan yang berpendapatan rendah.


 


 

Malam Pertama Setiap Insan


Di antara kata-kata Rasulullah pada setiap kali baginda berkhutbah " Aku tinggalkan tempat tidurku pada suatu hari. Lalu keheningan kubur menghampiriku pada malam pertama. Demi Allah, apakah yang berlaku ?".

Membayangkan malam pertama di dalam kubur, para ulamak akan menangis dan orang-orang bijak akan mengeluh. apa tidaknya kita sedang berada di dua persimpangan dan di dua dunia yang amat berbeza.

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap gulita, lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan berbantalkan tanah.

Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Oleh itu beramallah dan ingatlah kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR.
"

10 Tips Memilih Pasangan


Kebanyakan daripada rumah tangga runtuh yang bermasalah sejak hari pertama tak lain tak bukan adalah kerana kedua-dua orang yang terlibat tersalah pilih pasangan, itu sahaja.

Pilihan pasangan hidup anda adalah lebih penting dari apa jua yang anda lakukan untuk membahagiakan rumah tangga anda. Itu mungkin bunyinya seperti mudah sahaja dilakukan, tetapi anda akan terkejut dengan peratusan tinggi orang yang tidak sabar sabar melangsungkan perkahwinan sehingga mereka tidak menumpukan masa dan usaha yang diperlukan untuk membuat keputusan yang baik.

Jika anda ingin memastikan perkahwinan yang memuaskan dan berkekalan, timbangkan faktor-faktor berikut :

1. TEMPOH MASA PERKENALAN.

Kajian menunjukkan bahawa pasangan yang telah berkenalan selama dua tahun atau lebih kesemuanya lebih berpuas hati dengan perkahwinan berbanding pasangan yang berkenalan dalam jangka masa yang lebih pendek. Apabila pasangan bersedia mengambil keputusan yang melibatkan perkahwinan selepas hanya berkenalan selama beberapa bulan, keputusan itu kebanyakannya lebih berdasarkan khayalan dan kurang berdasarkan hakikat .

2. MEMILIH PASANGAN SENDIRI

Orang sering memilih pasangan semata mata untuk menggembirakan orang lain - ayah , ibu atau kerana orang menyuruh mereka berkahwin. Tetapi amat penting agar orang yang hendak kahwin itu sendiri gembira dengan pilihannya. Keputusan anda hendaklah dibuat berasaskan keperluan dan impian anda sendiri. Anda juga patut mendengar pendapat sahabat handai dan kaum keluarga dengan teliti, tapi jangan sampai biarkan orang lain memilih pasangan hidup anda.

3. HARAPAN YANG TIDAK WAJAR TENTANG PERKAHWINAN

Kebanyakan rumah tangga gagal kerana tidak mendapat apa yang mereka impikan sebelum berkahwin. Ramai lelaki dan wanita memasuki alam perkahwinan dengan sangkaan bahawa pasangan mereka akan memenuhi semua keperluan mereka dan bahawa perasaan romantik mereka semasa bercinta akan kekal abadi. Sebenarnya rumah tangga yang bahagia memerlukan begitu banyak usaha, kesabaran dan ketabahan.

4. MASALAH KEPERIBADIAN DAN TINGKAH LAKU

Keperibadian dan tingkah laku tidak akan hilang apabila anda berkahwin.Jika terdapat cirri-ciri keperibadian dan tingkah laku pasangan anda yang menimbulkan persoalan, seperti cemburu, panas baran, tidak bertanggungjawab, tidak jujur dan degil. Tanya diri sendiri sama anda sanggup untuk menghabiskan masa anda sehingga ke akhir hayat untuk menangani masalah ini. Nyata sekali ,jika pasangan yang dalam pertimbangan itu menghadapi masalah dadah, kaki botol dan sebagainya ,anda sepatutnya memastikan masalah itu telah diselesaikan jauh lebih awal sebelum perkahwinan anda.

5. BANYAK PENGALAMAN HIDUP

Pemilihan pasangan hidup melibatkan ramalan tentang bagaimana anda berdua akan hidup bersama sepanjang tahun tahun akan datang. Pengalaman disini bukan bermaksud usia .Pengalaman yang dilalui tidak bergantung dengan usia seseorang. Pengalaman lelaki dan wanita mengharungi susah senang bersama amat bermakna dalam perhubungan. Jika boleh lalui waktu waktu susah dan senang bersama pasangan anda.

Ambil contoh yang mudah saja ,misalnya melalui lalu lintas yang sesak, jalan jalan kampung yang becak . Dari situ dia akan menunjukkan siapa dirinya yang sebenarnya.

6. BAYANGAN ORANG YANG INGIN ANDA KAHWINI

Bayangan ini tidak anda sedari pada umumnya , namun ia amat mempengaruhi anda. Bayangkan dengan jelas sifat-sifat orang yang ingin anda kahwini. Fikirlah dengan panjang dan mendalam tentang faktor - penampilan, kepintaran, pendidikan , kerohanian dan sebagainya. Pemikiran bawah sedar anda boleh menghantui sesuatu hubungan . Berpeganglah pada bayangan anda ini, jika tidak anda akan menginginkan orang lain buat selamanya.

7. PASANGAN YANG BERSIFAT SEAKAN AKAN DIRI ANDA

Pasangan yang mempunyai terlalu banyak perbezaan sifat nya , akan memerlukan usaha yang lebih untuk memastikan rumahtangga yang dibina kekal bahagia.Lebih banyak memerlukan toleransi dan pemahaman. Tak ramai pasangan mampu bertindak sebegini.

8. MEMPUNYAI CITA CITA YANG SEIRING

Jika orang yang anda kahwini bercita cita jauh lebih rendah atau lebih tinggi daripada anda, mungkin anda berdua akan kecewa. masalah akan timbul jika anda berusaha mendaki puncak kejayaan tetapi pasangan anda telah berpuas hati dengan apa yang telah anda berdua miliki. Perbezaan sifat mungkin menarik hati ketika sedang melamar, tetapi ia akan menyebabkan banyak kekecewaan sepanjang perkahwinan.

9. KEBOLEHAN BERKOMUNIKASI

Kebolehan berkomunikasi sangat penting demi kebahagian rumah tangga.Kesejahteraan perkahwinan bergantung kepada tahap komunikasi suami isteri. Adalah penting kedua dua pasangan menguasai kemahiran bertutur dan mendengar. Banyak rumah tangga hancur kerana masing masing tidak pandai menyatakan hasrat masing-masing dengan cara yang boleh diterima oleh pasangannya. Hasrat dipendam tanpa komunikasi berkesan.

10. KEBOLEHAN MENYELESAIKAN PERTELINGKAHAN

Pasangan perlu tahu yang mereka berkemampuan untuk menyelesaikan pertelingkahan sebelum mereka berkahwin. Jika pasangan tidak tahu cara yang berkesan untuk menangani perselisihan pendapat antara mereka, Rumah tangga mungkin akan runtuh. Banyak rumah tangga runtuh kerana suami isteri tidak tahu menangani perbezaan diri mereka berbanding sebab sebab lain. Amat perlu menilai kemahiran perdamaian masing masing sebelum berkahwin.

Selamat Mencuba !!!! Sekadar Panduan!!!