18 October 2008

BELA HAK SETINGGAN PUN KENA ISA ?


Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ) kembali mengganas! Tak pasal -pasal seorang sukarelawan dan aktivis hak asasi bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang membela hak dan nasib setinggan ditahan akta zalim berkenaan.

Cheng Lee Whee, seorang sukarelawan wanita di sekretariat Suaram Johor Bahru ditahan menurut Seksyen 28 pada 10.45 malam tadi di balai polis Seri Alam.

Menurut penyelaras Suaram Johor, Nyam Kee Han, aktivis badan hak asasi itu kemudian dibawa ke balai polis Pasir Gudang tidak lama selepas itu.

Cheng dipercayai disiasat berhubung aduannya berkaitan perobohan rumah di Kampung Baru Plentong Tengah, Johor Bahru semalam.

Pada mulanya, Cheng hadir di Seri Alam untuk memberikan keterangan berhubung laporan polisnya di balai polis Permas Jaya semalam mengenai penangkapan terhadap 27 penduduk dan pemimpin PAS di Plentong Jaya.

Kira-kira dua jam kemudian, tambah Nyam, beliau dimaklumkan bahawa Cheng ditahan polis malam ini bawah akta kontroversi tersebut.

ketika berkumpul bersama beberapa pemimpin pembangkang dan aktivis di Balai Polis Pasir Gudang awal pagi ini, Nyam berkata beliau dimaklumkan Cheng akan dibawa ke Johor Bahru pagi esok.

Semalam, kesemua 27 yang ditahan kerana menghalang kerja-kerja perobohan di kawasan setinggan itu dibebaskan setelah berada di balai polis kira-kira lapan jam.
Mereka - termasuk ahli jawatankuasa perhubungan PAS Johor Syed Othman Syed Abdullah -dibebaskan dengan jaminan RM1,000 setiap seorang.

Mereka diarahkan melaporkan diri di balai polis Johor Jaya, tempat mereka ditahan, pada 30 Oktober depan jam 8 pagi.

Mereka, termasuk tiga wanita, ditangkap sewaktu mengadakan benteng manusia di jalan masuk ke kampung itu dengan memegang tangan antara satu sama lain.

Dalam kejadian tersebut, pengerusi jawatankuasa bertindak penduduk kawasan itu Jameon Abdullah pengsan sewaktu ditahan, dipercayai akibat pergelutan dengan pihak berkuasa.

Apa alasan polis dan Hamid Albar selaku Menteri Dalam Negeri kali ini apabila sekali lagi menggunakan ISA secara sewenang-wenangnya ? Adakah beliau cuba untuk mengertak rakyat dengan undang-undang rimba ini menjelang proses peralihan kuasa yang dilaungkan oleh Pakatan Rakyat? Adakah mereka dalam Umno cuba menutup dan mengalihkan isu 'peperangan' yang sedang berlaku semasa pemilihan Umno sekarang?Apakah Umno semakin terdesak untuk mempertahankan kuasa sehingga menggunakan ISA secara membuta tuli dan membabi buta? Adakah ini juga strategi beliau dan pemimpin Umno lain untuk mendapat undi perwakilan menjelang pemilihan Bahagian Umno dan jawatan tertinggi Umno?

Kepada ahli komponen BN seperti MCA dan Gerakan dan parti lain yang turut menentang ISA, tinggalkanlah BN yang diterajui oleh Umno yang terus memperalatkan dan menghina sistem demokrasi dan hak dan kedaulatan serta kebebasan rakyat.
Hal ini kerana, tahanan terbaru di bawah ISA kali ini ternyata tidak masuk akal dan bersifat luar biasa. Ternyata mereka semakin terdesak dengan menggunakan sisa-sisa kuasa yang ada.

17 October 2008

PANTAI PENGKALAN BALAK DICEMARI KEPALA DAN DAGING BABI OLEH PIHAK TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

Berita TV 9 sebentar tadi menyiarkan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang membuang guni yang berisi kepala dan daging babi di Pantai Peranginan Pengkalan Balak sehingga menimbulkan kegemparan kepada penduduk terutama peniaga gerai makan di sepanjang pantai peranginan popular berkenaan. Masih terlalu awal untuk membuat andaian. Walau bagaimanapun perkara ini berkait rapat dengan masalah penternakan babi yang tak terkawal di Paya Mengkuang sehingga mencemarkan pantai berkenaan dan pantai Telok Gong yang masih gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Walaupun kerajaan negeri sebelum ini berjanji untuk mengambil tindakan terhadap pemilik lada ng babi di Paya Mengkuang tetapi sikap lembut dan membisu dan terlalu memberi muka menyebabkan para pengusaha ladang babi di paya Mengkuang berani mencabar tindakan kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun semua pihak perlu berhati-hati kerana tidak mustahil terdapat pihak tertentu cuba mewujudkan provokasi dan ingin mewujudkan permusuhan kaum serta menangguk di air yang keroh melalui isu yang berlaku.

DEKATILAH PERGAULAN BEBAS !



Sepatutnya itulah yang tertera pada papan tanda yang dipasang di sekitar Bandaraya Kuala Terangganu apabila kita melihat gambar tidak senonoh yang terpampang. Mungkin ini yang dimaksudkan oleh "Islam Hadhari Terangganu Bestari". Tahniah pada Ahmad Said, MB Terangganu.

INSTITUSI KEHAKIMAN NEGARA TERUS MALAP


Majlis Raja-Raja Melayu hari ini memutuskan untuk mencalonkan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi sebagai ketua hakim negara yang baru untuk menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Mohamad yang akan bersara.

Keputan tersebut dibuat hari ini dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung di Kuala Terengganu semalam

Abdul Hamid akan bersara esok dan Zaki, yang terkanan dalam badan kehakiman, akan dilantik memegang jawatan tersebut.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Majlis Raja-Raja melantik ketua hakim negara atas nasihat perdana menteri.

Perlantikan tersebut, yang belum dimumkan secara rasmi, dijangka mencetuskan kontroversi ekoran kaitan Zaki sebelum ini dengan Umno. Zaki sebelum ini merupakan pengerusi Lembaga Disiplin Umno.

Pelantikan Zaki secara ‘ekspres’ ke jawatan tertinggi ini menimbulkan pelbagai teka-teki dan persoalan. Beliau hanya dilantik ke Mahkamah Persekutuan September lalu dan dua bulan kemudiannya, dilantik sebagai presiden Mahkamah Rayuan.Mengenepikan hakim-hakim yang lebih senior daripada beliau.

Zaki kini berusia 63 tahun dan akan memegang jawatan tersebut sekurang-kurangnya selama tiga tahun kecuali perkhidmatannya dilanjutkan oleh kerajaan.

Pelantikan tersebut dibincangkan dalam mesyuarat hari, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan semua menteri besar dan ketua menteri.

Pelantikan Zaki dijangka akan memalapkan lagi institusi kehakiman Negara ini yang sebelum ini diselubungi dengan pelbagai isu yang kontraversi.Di antaranya campur tangan politik dalam sistem kehakiman yang membawa kepada pemecatan beberapa hakim kanan termasuk Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abbas di bawah regim Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Selain itu, konspirasi terancang yang didakwa turut melibatkan badan kehakiman dalam isu pemecatan DSAI tahun 1998 yang akhirnya menghumban DSAI ke Penjara Sungai Buloh.

Instusi kehakiman negara ini turut dikejutkan dengan isu Pita Linggam yang membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Diraja yang turut melibatkan ketua hakim Negara ketika itu dan pihak tertinggi dalam bidang kehakiman.

Terkini, isu yang turut melibatkan Peguam Negara, Ghani Patail yang didakwa bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memalsukan bukti isu mata lebam DSAI semasa terlibat dalam prosiding siasatan kes berkenaan.

Langkah Datuk Zaid Ibrahim yang sebelum ini menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk membawa reformasi dalam sistem kehakiman tidak kesampaian apabila beliau akhirnya meletak jawatan secara terhormat apabila mendapati terdapat pihak tertentu terus memperalatkan perundangan negara untuk kepentingan politik sempit.

Pelbagai kontraversi yang berlaku menyebabkan sistem kehakiman negara mendapat kecaman pelbagai pihak dari dalam dan luar negara yang sering dijadikan bahan lawak jenaka.Keadaan ini menyebabkan kepercayaan terhadap sistem kehakiman negara semakin terhakis dan merudum.

Mungkin inilah pembaharuan yang ingin dibawa oleh Pak Lah menjelang ‘persaraan’ beliau pada bulan Mac nanti. Apa yang berlaku menunjukkan bahawa Pak Lah seolah-olah ada strategi tertentu dalam berhadapan dengan sebarang kemungkinan tentang proses peralihan kuasa yang diumumkan baru-baru ini.

Pelantikan Zaki menyebabkan harapan rakyat Malaysia untuk melihat imej badan kehakiman negara dipulihkan dan benar-benar dilihat bebas serta kembali dimertabatkan dan dihormati tidak kesampaian.

16 October 2008

KEMEWAHAN WAD KENAMAAN DI HOSPITAL MELAKA...

Dalam posting yang lepas saya ada menyiarkan tentang masalah kekurangan wad dan parking yang semakin kritikal di Hospital Besar Melaka. Masalah itu masih berterusan sehingga hari ini. Malah saya difahamkan masalah wad semakin serius sehingga wad-wad biasa semakin sesak apabila katil-katil tambahan terpaksa dibawa masuk akibat wad yang ada tidak mampu menampung pesakit yang ramai.

Dalam kesesakan dan kesulitan serta penderitaan yang dialami oleh rakyat di negeri dengan kemudahan kesihatan yang di Hospital Besar Melaka pemimpin atasan menikmati kemewahan ala hotel lima bintang di wad kenamaan yang ditempatkan di tingkat 4 Blok A hospital Melaka. Mungkin kemewahan ini menyebabkan mereka lupa penderitaan yang dialami oleh rakyat bawahan.


PINTU MASUK WAD KENAMAAN SAJA BERNILAI RIBUAN RINGGIT


LALUAN MASUK DIHIASAI KEMEWAHAN

MENGALAHKAN HOTEL LIMA BINTANG

BANJIR LAGI...

Semalam sekali lagi beberapa tempat di Melaka di landa banjir kilat kali ini melibatkan beberapa kampung di Asahan, Jasin Melaka. Di antara kampung yang terlibat ialah kampung Rim sehingga menyebabkan air naik hingga ke paras pinggang di rumah penduduk kampung. Banjir yang berlaku semalam menyebabkan sepanjang jalan ke kampung Rim hingga ke Asahan ditenggelami air.

Kepada Datuk Ali Rustam lupakanlah hasrat cita-cita besar untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Umno dengan terlebih dahulu menyelesaikan masalah banjir yang semakin kerap melanda Melaka akhir-akhir ini

BERPULUH KENDERAAN YANG TERKANDAS

RUMAH PENDUDUK KAMPUNG YANG DINAIKI AIR

15 October 2008

NAJIB TAK SEMPAT JADI PERDANA MENTERI ?


Sewaktu Pak Lah dalam proses membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak jawatan Presiden Umno, di sekitar Lembah Kelang sudah mula terdapat banner yang dinaikkan mengecam Najib sebagai penjenayah yang terlibat dalam pembunuhan Altantuya.

Beberapa hari lepas melalui sumber dalam kerajaan sendiri, surat tawaran berkaitan pembelian helikopter Eurocopter yang boleh dikategorikan sulit disebarkan kepada umum yang membabitkan keraguan dan penyelewengan yang dilakukan oleh Najib semasa berada di Kementerian Pertahanan.

Semalam, dalam perbahasan belanjawan DSAI mengemukakan fakta dan maklumat yang disifatkan oleh sesetengah ahli parlimen BN dan menteri kabinet sebagai input yang didedahkan oleh sumber dalaman kerajaan sendiri.

Dalam masa yang sama skrip sms yang didakwa di antara Najib dan peguam Datuk shafee Abdullah tersebar luar yang membuktikan Najib terlibat secara langsung dalam misteri pembunuhan Altantuya.Maklumat itu dikatakan dibocorkan oleh orang dalam di syarikat Maxis Communication Sdn. Bhd.

Apa yang berlaku merupakan satu usaha terancang untuk memastikan Najib yang sehingga hari ini calon tunggal jawatan presiden Umno dan bakal perdana Menteri akan kempunan untuk menduduki kerusi no. 1 negara.

Apa yang pasti segala maklumat dan fakta berkaitan isu-isu panas yang dibongkarkan bukan datang dari Pakatan Rakyat, tetapi maklumat itu diperolehi dari sumber terdekat dalaman Umno dan kerajaan sendiri.

Najib sekarang mula terasa bahang dan dijangka akan terus berdepan dengan pelbagai pendedahan skandal dan penyelewengan melibatkan beliau. Musuh-musuh beliau dalam Umno hanya menunggu masa untuk meledakkan bom C4 untuk memastikan impian beliau ke Sri Perdana akan berkubur.

14 October 2008

KADAR BARU HARGA MINYAK MASIH MEMBEBANKAN


Kerajaan mengumumkan untuk menurunkan harga minyak mulai malam ini pada kadar 15 sen untuk petrol RON 97, 10 sen untuk petrol RON 92 dan 20 sen untuk diesel mulai tengah malam ini.Apa yang lebih menghairankan kenapa kerajaan mengambil pendekatan menurunkan secara beransur-ansur harga minyak berbanding kenaikan mendadak yang dilakukan pada Jun lalu walaupun harga minyak pada hari ini telah berada jauh lebih rendah berbanding kenaikan terlampau pada bulan Jun lalu ( Ketika itu harga minyak di pasaran dunia $ US 130 -135 setong ) jauh lebih rendah pada hari ini iaitu harga minyak di bawah paras US $ 75 setong.

Kadar baru ini masih membebankan kerana menurut penganalisis ekonomi negara, harga minyak di negara ini sepatutnya telah diturunkan di bawah RM 2 berdasarkan harga minyak di pasaran dunia sekarang.

Penurunan harga minyak ini dijangka tidak mampu untuk membantu kerajaan mengawal atau membendung pesta kenaikan harga barang yang berlaku sekarang. Begitu juga langkah ini tidak berupaya mempengaruhi penurunan kadar inflasi 8.5 % yang sedang dialami oleh negara.


 


 

ISU 'DATUK' SHAH RUKH KHAN : ALI RUSTAM SENGAJA CARI PENYAKIT ?


Undian melalui sms di TV3 melalui Buletin Utama malam tadi mendapati 91 % tidak bersetuju anugerah datuk diberikan kepada Shah rukh Khan manakala 9 % lagi bersetuju. Sementara itu, Persatuan SENIMAN yang diketuai oleh Datuk Mustapha Maaruf turut mengutuk dan mengecam pemberian gelaran berkenaan dalam kenyataan kepada media.

Setakat ini belum ada lagi kenyataan mana-mana pemimpin UMNO yang menyatakan sokongan atau mempertahankan tindakan kerajaan negeri Melaka yang diketuai oleh Ali Rustam menganugerahkan gelaran tersebut.

Dalam suasana hangat-hangat suam pemilihan UMNO sekarang yang menyaksikan Ali Rustam turut menawarkan diri bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO, tindakan mencetuskan isu kontraversi ini sekaligus akan menutup segala peluang beliau untuk mendapat lebih pencalonan daripada bahagian-bahagian Umno yang lain. Kecuali bahagian Umno berkenaan turut sama tidak cerdik atau dua kali lima macam Ali Rustam.

Apa yang dilakukan oleh Ali Rustam ibarat membunuh kerjaya politiknya sendiri dalam UMNO. Pasti Tan Sri Muhyidin dan Tan Sri Md Taib adalah orang yang paling gembira sekarang dengan isu yang berlaku. Dalam kata lain Ali Rustam sengaja cari penyakit atau menambah penyakit dari pelbagai penyakit yang sedang menyerang Melaka sekarang. Mungkin dalam isu ini akan turut menutup peluang beliau untuk dicalonkan sebagai anggota Majlis Tertinggi. Melainkan beliau akan mendapat kuota simpati untuk menjadi ahli Majlis Tertinggi dari presiden Umno selepas tamat pemilihan nanti.

13 October 2008

MASALAH KEKURANGAN WAD DAN PARKING SEMAKIN KRITIKAL DI HOSPITAL MELAKA


Dalam seminggu ini dua kali saya berurusan di Hospital Besar Melaka. Pertama disebabkan anak yang kecil demam sehingga terpaksa dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut selama dua hari dan hari ini emak pula dimasukkan ke hospital kerana masalah kekurangan gula kritikal dalam badan.

Sepanjang berada di Hospital Besar Melaka saya mendapati masalah kekurangan wad dan parking semakin kritikal. Jumlah katil dan wad yang tidak mencukupi menyebabkan ramai pesakit yang tidak mendapat rawatan yang sempurna.

Dalam kunjungan yang pertama kebetulan saya bertemu rakan saya, Hj. Salamat S/U Kawasan Pas Bukit Katil yang membawa emaknya ke hospital ini memberitahu saya dia dah dua hari terpaksa berulang alik dari rumah ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana tidak ada katil kosong di wad. Malah ada pesakit yang masih belum sembuh sepenuhnya telah diarahkan balik oleh pihak hospital bagi memberi laluan kepada pesakit yang baru tiba. Ramai lagi pesakit yang mengadapi masalah yang serupa.

Emak saya pula masih 'tersadai' di wad kecemasan dari pagi tadi kerana masalah yang sama. Saya dimaklumkan oleh doktor yang bertugas ada pesakit dah beberapa hari terpaksa menunggu di bahagian kecemasan kerana masalah wad yang kritikal. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa selain memberi rawatan yang terbaik sementara menunggu katil di wad kosong.

Di samping itu, perkarangan parking Hospital Melaka juga semakin sesak sehingga berlaku 'jammed' di dalam kawasan hospital terutamanya pada waktu melawat. Ada pengunjung terpaksa meletak kereta beberapa kilometer dari kawasan hospital disebabkan masalah parking ini. Tadi saya sempat melihat banyak kereta disaman oleh Polis Trafik kerana meletak kereta di bahu jalan dan garisan kuning.

Dalam hal ini, pemilik kenderaan tidak harus disalahkan 100%. Saya dapati mereka tidak ada pilihan akibat parking yang disediakan adalah sangat terhad. Justeru itu, tindakan menyaman adalah sesuatu yang kurang wajar. Lainlah, kalau parking dah disediakan masih meletak kenderaan secara sesuka hati.

Apa penyelesaian Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri? Jika di Hospital Tunku Jaafar Seremban, masalah parking selama ini diatasi dengan pembinaan sebuah parking bertingkat bernilai lebih 200 juta ringgit, di Hospital Melaka Kerajaan Melaka khususnya seolah-olah hanya melihat sebelah mata terhadap masalah yang berlaku.

Begitu juga dengan masalah kekurangan wad, apa tindakan kementerian kesihatan dan apa inisiatif kerajaan negeri bagi mengatasi masalah ini ?

Alangkah baiknya,jika peruntukan projek-projek yang tidak berfaedah dan tidak perlu disegerakan seperti pembinaan Eye On Malaysia di Melaka, Aerospace dome dan skrin air terbesar dunia bernilai 43 juta ringgit, pembinaan muzium-muzium baru yang tidak perlu disegerakan digunakan dan disalurkan untuk projek pembangunan yang dapat meningkatkan dan membaiki kemudahan di Hospital Melaka atau ditempat -tempat lain.

Tapi itu pandangan saya, sebaliknya kerajaan Melaka lebih sibuk dengan projek-projek mega yang hanya membawa keuntungan dan manafaat kepada pihak tertentu seperti penambakan laut di pantai Klebang, Projek Pulau Melaka yang kini terbengkalai dan projek pengindahan sungai Melaka yang setiap satunya bernilai ratusan juta ringgit daripada melaksanakan projek dan pembangunan yang dapat dinikamati oleh semua rakyat Melaka.