13 December 2008

ADA SESIAPA NAK SEWA RUMAH RM11,527.77 SEHARI ?

Ada sesiapa yang sanggup sewa rumah semahal itu? Kalau tanya pada orang terkaya di dunia sekalipun pasti mereka akan berfikir panjang walaupun mereka tidur atas duit.

Itulah nilai yang dibayar oleh kerajaan dengan menggunakan duit rakyat untuk mahligai perdana menteri di Putrajaya.

Perkara itu didedahkan semasa sidang Dewan Rakyat pada 10 Disember lalu. Secara keseluruhannya,R6.89 juta dibayar kepada Putrajaya Holdings bagi menyewa Seri Perdana dan Seri Satria iaitu kediaman resmi PM dan TPM kita. Seri Perdana disewa pada kadar RM4.15 juta setahun ataupun RM345, 833.33 sebulan atau RM11,527.77 sehari! Manakala Seri Satria pula RM2.74 juta setahun ataupun RM228 333.33 sebulan atau RM7,611.11 sehari!

Manakala kos penyelenggaraan Seri Perdana sahaja adalah RM1.89 juta setahun bersamaan RM158 051.40 sebulan atau RM5 268.38 sehari. Dan Seri Satria RM1.13 juta setahun bersamaan RM94, 156 sebulan atau RM 3 138.53 sehari!

Dalam sibuk-sibuk menyuruh rakyat berjimat,Pak Lah dan Najib seolah-olah terus memperbodohkan rakyat.Rakyat terhimpit dan menderita dengan kesan inflasi dan kegawatan ekonomi tetapi pemimpin utama negara duduk bersenang-lenang mengikis khazanah negara.

Mungkin inilah kesederhanaan dan perbelanjaan berhemah yang sering dilaungkan oleh Pak Lah. Adakah Pak Lah lupa masih ramai penduduk di negara ini yang masih tidak berumah atau rumah mereka dirobohkan seperti di Kampung Berembang dan Kampung Plentong Tengah? Mana perginya nilai kemanusiaan pemimpin negara. Tergamakkah mereka tidur dengan lena dengan duit dan air mata rakyat?

Walaupun kediaman rasmi itu dibina di era pemerintahan Dr Mahahthir, tetapi sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dan mengutamakan rakyat Pak Lah dan Najib boleh membetulkan semula kepincangan dan pembaziran yang berlaku. Contohilah kepimpinan Pakatan Rakyat yang mengambil keputusan untuk tidak tinggal di kediaman rasmi kerana kos membaiki dan penyelenggaraan yang tinggi.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor misalnya mengambil keputusan menjual semua rumah exco kerajaan negeri yang bernilai jutaan ringgit kerana disifatkan membazir dan menggunakan duit rakyat.

Jika kerajaan yang ada benar-benar mengutamakan rakyat, kerajaan sepatutnya tidak tinggal dikediaman tersebut sebaliknya mungkin boleh mengambil pendekatan yang pernah dicadangkan oleh Almarhum Dato' Fadzil Nor satu ketika dulu untuk melelong kediaman berkenaan jika pembangkang berkuasa memerintah negara.

KES ALTANTUYA TERUS MENGHANTUI NAJIB


Walaupun, Razak Baginda telah bebas dari tuduhan subahat membunuh Altantuya tak bermakna Najib boleh goyang kaki senang hati.

Terkini peguam pemerhati keluarga mangsa,Karpal Singh telah mendapat arahan dari keluarga arwah Altantuya untuk membawa kembali kes Razak Baginda ke mahkamah.

Keluarga Altantuya meminta satu kajian perundangan terhadap Razak Baginda dilakukan kerana dia dibebaskan dari tuduhan membunuh Altantuya.

Permintaan Karpal Singah ini akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam minggu depan.

Dalam masa yang sama Dr Shaaribu Setev ayahanda kepada arwah Altantuya sedang merancang untuk menyamana $100 juta ringgit kerajaan Malaysia, Razak Baginda dan dua anggota polis yang sedang dibicarakan.

Akuan bersumpah pertma penyiasat pensendirian P. Balasubramaniam dengan jelas menyebut bahawa Altantuya merupakan buah hati Najib. Sehingga hari ini akuan itu tidak dicabar oleh Najib.

Perbicaraan kes Altantuya yang bersambung pada pertengahan Januari ini sebenarnya baru memasuku pusingan baru yang pasti akan merancakkan senario politik negara yang juga bakal menyaksikan pertarungan di antara BN dan PR di Kuala Terangganu dalam pilihanraya kecil.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat siapa yang bakal tersungkur sebelum pemilihan Umno mac depan

12 December 2008

TARIK LARANGAN LAWATAN KE KELANTAN:APA MUSLIHAT ALI RUSTAM?

Tiba-tiba tanpa hujan ribut, Ali Rustam mengumumkan menarik balik 'fatwa'larangan kakitangan awam kerajaan negeri membuat lawatan ke Kelantan yang diumumkan pada tahun 2000.

Kalau Ali Rustam tak buat pengumuman menarik balik larangan ke Kelantan hari ini, rasanya tak ada seorang pun yang tahu atau ambil kisah tentang larangan tu.Malah saban tahun berduyun-duyun orang Melaka datang melawat ke Kelantan setiap tahun. Malah terdapat cawangan-cawangan Umno di Melaka yang membuat lawatan ke Kelantan untuk melihat lebih dekat keistimewaan dan melawat tempat menarik di Kelantan yang terkenal sebagai syurga membeli belah terutama kepada orang perempuan.

Apa yang pasti, larangan oleh Ali Rustam tidak sedikitpun penjejaskan sektor pelancongan dan ekonomi Kelantan. Jika kita ke Kelantan hari ini kita dapat melihat orang dari luar Kelantan sentiasa tidak putus dan berpusu-pusu di serata tempat menarik yang ada di Kelantan.

Apa muslihat Ali Rustam menarik semula larangan tu? Eloknya larangan itu berkuatkuasa untuk selama-lamanya, biar generasi akan datang tahu betapa tak cerdiknya ketua menteri mereka dulu.

Adakah ini strategi terbaru Ali Rustam untuk mendapat sokongan menjelang pemilihan jawatan timbalan presiden umno mac depan?

Akhir-akhir ini Ali Rustam dilihat begitu bersungguh-sungguh menonjolkan diri menjelang pemilihan umno Mac depan. Ali Rustam juga semakin 'kemaruk' dengan mencari publisiti walaupun mendapat kritikan dari banyak pihak.Terbaru dalam isu Datuk kepada Shah Rukh Khan.

Begitu juga ketika banyak rumah di Melaka ditenggelami banjir beberapa hari lepas, Ali Rustam tidak bersama meninjau kesusahan rakyat Melaka pada hari itu tetapi begitu sibuk dan prihatin sekali melawat mangsa runtuhan di Bukit Antarabangsa pada hari yang sama. Sama ada dirancang atau kebetulan, Muhyiddin Yassin juga berada di tempat yang sama.

Berbalik kepada larangan melawat Kelantan yang 'ditarik balik' oleh Ali Rustam ia berkait rapat dengan sokongan bahagian-bahagian umno di Kelantan yang banyak memberi undi dan mencalonkan Ali Rustam dalam pemilihan mesyuarat bahagian baru-baru ini.

Jadi adalah sangat penting bagi Ali Rustam untuk mengekalkan sokongan dan menjaga hati semua perwakilan dari Kelantan agar terus memberi sokongan kepadanya pada Mac depan.

Ali Rustam kelihatan semakin terdesak untuk mendapat kepercayaan dan undi daripada perwakilan kerana menyedari peluangnya agar sukar untuk berhadapan dengan dua lagi calon timbalan presiden terutama dari Muhyiddin Yassin. Pemilihan Mac depan ibarat penentu hidup mati kerjaya politik Ali Rustam. Jadi tidak pelik Ali Rustam sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat kepercayaan dari perwakilan Umno.

Saya yakin sepanjang tempoh kempen pilihanraya kecil Kuala Terangganu Ali Rustam akan berkampung siang dan malam di sana untuk memastikan kemenangan calon BN di sana dan kemenangan beliau sebagai timbalan presiden Umno.

11 December 2008

BERTUAH SUNGGUH RAKYAT TERANGGANU


Jika tidak ada aral melintang esok atau lusa rakyat Terangganu bakal dapat duit terpijak, RM 400 juta duit royalti minyak . Banyak tu...

Bertuah sungguh rakyat Kuala Terangganu, lepas ni banyak lagi projek dan bantuan akan diumumkan. Masa ini lah kalau sakit pening, pemimpin kerajaan akan ambil berat. Berkain batik dan berkain pelikat panjat tangga rumah penduduk bertanya khabar.

Kalau ada majlis kenduri kendara di Kuala Terangganu bakal gegak gempitalah dengan siren polis trafik mengirigi sang menteri yang prihatin yang kononnya ambil berat masalah rakyat.

Kalau ada jamban yang roboh, jambatan yang patah dan jalan yang berlopak masa inilah saat terbaik untuk dapat digantikan dengan yang baru, jalan tar berlapis-lapis dan jambatan konkrit.

Kalau ada yang tak cukup duit untuk anak sekolah atau tak ada belanja dapur masa inilah mereka bakal mendapat perhatian dan bantuan mencurah-curah.

Minta apa sahaja semua pasti dapat. Tak macam orang Melaka, banjir dah acap kali tapi kata orang Kedah, Pi mai tang tu juga...Setiap kali hujan lebat ditenggelami air.selain itu masih ada rumah di Melaka yang tak ada elektrik dan bekalan air bersih.

Semalam sambil duduk berbincang di Surau sambil menunggu waktu Isyak tentang nasib penduduk yang menggunakan surau taman yang lecak setiap kali hujan kerana tidak berturap, ada seorang penduduk beritahu kalau nak cepat dapat peruntukan surau kita kena pakat-pakat doa supaya wakil rakyat kita mati cepat..Emmm...logik juga tu...Mungkin lepas ini surau kami boleh buat solat hajat supaya wakil rakyat yang ada mati cepat...Wallahualam

10 December 2008

LAYANAN 5 BINTANG UNTUK MANGSA DI BUKIT ANTARABANGSA?


Saban tahun, pelbagai bencana melanda negara. Di antara bencana dasyat ialah seperti Ribut Greg di Sabah, banjir lumpur di Pos Dipang Perak, Tsunami di negeri utara dan banjir yang berlaku tanpa mengira musim.

Pengalaman menjadi mangsa banjir penghujung tahun 2006, saya ditempatkan di sebuah sekolah dengan kemudahan ala kadar. Sehelai selimut, tikar plastik dan makanan dari menu nasi dan gulai kawah. Walau bagaimanapun, saya bersyukur dengan kemudahan yang disediakan.

Layanan yang hampir sama dinikmati oleh semua mangsa tragedi dan bencana lain dari seluruh negara.

Walau bagaimanapun, hari ini sejarah telah tercipta di negara ini. Mangsa tragedi ditempatkan di hotel! Sungguh pemurah kerajaan kali ini. Setiap kos penginapan dan makanan ditanggung oleh kerajaan! Apa istimewanya mereka dengan layanan sebegitu rupa? Adakah mereka ini datang dari kasta tinggi atau berdarah raja?

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis selangor kepada pemberita hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini menjelaskan hanya mangsa dari 14 banglo yang ranap dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa Sabtu lalu, yang layak mendapat penginapan di hotel.

Beliau berkata kerajaan hanya akan menanggung kos penginapan di hotel bagi mangsa yang berkenaan dan bukan untuk penghuni yang diarahkan supaya mengosongkan rumah mereka.

“Mangsa yang tinggal sehelai sepinggang saja yang akan ditanggung kerajaan. Mangsa yang terbabit diminta mendaftar di pusat operasi Yang Dipertua MPAJ di lokasi kejadian,”


Ketika layanan '5 bintang' untuk mangsa di Bukit Antarabangsa, ramai lagi mangsa banjir di pusat pemindahan sementara yang terpaksa bertarung dengan nyamuk dan melawan kesejukan malam dengan tidur beralaskan tikar dan sehelai selimut. Anak-anak dan golongan tua tidak ada pilihan selain menahan kesejukan malam.

Kenapa kerajaan tidak memberi layanan sama seperti keistimewaan pada mangsa di Bukit Antarabangsa? Malah, kos sehari untuk seorang mangsa banjir adalah lebih rendah daripada kos menanggung seorang banduan di penjara!( Mangsa banjir diperuntukkan kos RM 8 sehari manakala banduan RM 12 sehari).

Apa yang dilakukan oleh kerajaan dan sikap sombong dan ego yang ditunjukkan oleh beberapa mangsa di Bukit Antarabangsa kian menghakis simpati dan menimbulkan kebencian kepada mangsa tragedi. Kita yakin, ramai di kalangan mereka memiliki rumah lain atau cukup kemampuan untuk membeli rumah lain dengan harta yang mereka miliki.

Tetapi bagi rakyat biasa, itulah rumah mereka yang pertama dan terakhir. Itupun terpaksa bergolok bergadai menanggung pelbagai hutang untuk sebuah kehidupan yang ala kadar dan sederhana.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan menunjukkan sikap kerajaan yang hipokrit dalam membantu rakyat yang ditimpa bencana di negara ini. Layanan '5 bintang' untuk golongan atasan tetapi bagi rakyat biasa tidur beratapkan bintang.Ingatlah apa yang dilakukan pasti akan dipersoalkan di akhirat kelak kerana tidak berlaku adil kepada rakyat. Bagi penduduk di Bukit Antarabangsa, bencana yang melanda sepatutnya lebih menginsafkan anda tentang kesusahan dan penderitaan rakyat biasa. Segala apa yang anda miliki hanyalah pinjaman dari Allah, dalam sekelip mata Allah boleh ambil semula segala-galanya.

09 December 2008

OPERASI SAR BUKIT ANTARABANGSA JADI OPERASI LAWAK ANTARABANGSA

Dalam Berita TV 9 sebentar tadi Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa satu lagi 'mayat' telah dijumpai. 'Mayat' itu adalah hasil usaha SAR yang dijalankan selama 24 jam sejak petang semalam.

Rupa-rupanya yang ditemui bukan mayat tetapi bangkai anjing yang telah mati tetimbus.. Ini merupakan insiden yang kedua sebelum ini pasukan SAR yang terdiri daripada SMART, Polis ,tentera, Bomba dan Rela hanya menjumpai ketulan daging dalam peti ais dalam runtuhan bangunan semasa operasi menggali dan menyelamat dilakukan.

Ada sesuatu yang tidak kena di sini. Sama ada anjing pengesan yang tidak dapat beza antara daging manusia atau binatang atau jurulatihnya yang tidak cukup latihan. Adakah peralatan yang digunakan dalam SAR di Bukit Antarabangsa telah ketinggalan zaman?

Operasi yang pada awalnya dihentikan disambung semula tanpa henti-henti tetapi hasilnya hanyalah bangkai anjing. Bayangkan keletihan dan perasaan mereka yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat berdasarkan maklumat yang tidak tepat dengan apa yang ditemui.

Saranan Muhyiddin Yassin supaya mangsa bencana di Bukit Antarabangsa ditempatkan di hotel atau tempat yang lebih sesuai berbanding temapat perlindungan sementara di sekolah Kebangsaan Hulu Kelang juga merupakan lawak terbaru abad ini.

Apa istimewa mereka yang terlibat dengan bencana ini sehingga hendak diberi layanan sebegitu rupa? Adakah mereka sangat istimewa datang dari kasta yang tinggi darjatnya? Dalam masa yang sama mangsa banjir yang terdiri dari rakyat biasa dan orang kampung terpaksa bersesak-sesak dengan kemudahan ala kadar di pusat pemindahan banjir yang disediakan.

Jika kerajaan hendak tempatkan mangsa di hotel atau tempat yang bertaraf 'berbintang-bintang' tidak mengapa dengan syarat semua mangsa banjir juga mesti mendapat layanan sama rata. Ingat mereka juga rakyat dan warganegara ini!

MALANG BERTIMPA BUAT PENDUDUK MELAKA....


Setelah taufan SRK ( Shah Rukh Khan ) melanda Melaka, kini penduduk Melaka sekali lagi menerima nasib malang dengan kejadian banjir terbaru.

Masalah banjir kerap kali dibangkitkan oleh media termasuk di dalam blog ini. Walau bagaimanapun tidak nampak jalan penyelesaian konkrit.

Bagi penduduk di Taman Angkasa Nuri,Taman Merdeka,Taman Tamby Chik,Taman Rambai Utama,Taman Awan Biru dan Taman Seri Bayu serta banyak tempat lain lagi di Melaka hujan lebat sering menimbulkan igauan buruk kepada mereka.

Di Taman Awan Biru dan Seri Bayu, hujan beberapa jam sahaja sudah cukup untuk menenggelamkan kawasan berkenaan. Seorang rakan yang tinggal di Seri Bayu yang juga pensyarah di sebuah IPTA di Melaka memberitahu dalam tahun ini sahaja telah tiga kali kena banjir kilat. Semua ini berpunca daripada sistem pengaliran air yang terhalang akibat pembinaan jalan di depan rumahnya.

Di Taman Awan Biru lebih teruk lagi. Ada penduduk yang berseloroh dengan memberitahu, nama je duduk di awan biru tapi selalu tenggelam dalam banjir.

Apa tindakan dan langkah kerajaan Melaka? Ali Rustam lebih dilihat sibuk-sibuk meninjau mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa tetapi lupa pada derita rakyat sendiri. Semalam segala persiapan hari raya Aidil Adha musnah. Orang lain sibuk ke masjid solat raya dan melakukan ibadah korban tetapi ribuan penduduk di Melaka semalam 'bekorban' membersihkan rumah yang disaluti lumpur.

Ali Rustam sanggup habiskan ratusan ribu ringgit duit rakyat untuk majlis anugerah Datuk pada Shah Rukh Khan tempoh hari berapa pula nilai bantuan untuk mangsa banjir di Melaka?

Sementara itu, ratusan juta ringgit lagi dileburkan untuk program naik taraf dan menyediakan prasarana pelancongan baru di Melaka tetapi apa pula inisiatif kerajaan Melaka untuk mengatasi banjir?

Kejadian hujan lebat kelmrin dan semalam mendedahkan bahawa program tebatan banjir yang sedang dibina di Sungai Melaka bakal menemui kegagalan.Sudahlah projek yang dibuat tidak siap ikut jadual tetapi tidak berkesan untuk hadapi banjir.

Apa guna program tebatan banjir, kalau air dari sungai Melaka terhalang dan lambat mengalir ke laut akibat program tambak laut yang sedang rancak di Pantai Kelebang? Kerajaan negeri sering memberi alasan hujan lebat dan air pasang sebagai punca banjir.

Mereka fikir semua orang Melaka sebodoh mereka, dulu tidak pernah berlaku hujan lebat dan air pasang?

Kerajaan negeri juga sanggup mendesak pihak kontraktor yang sedang menaik taraf lapangan terbang Batu Berendam agar menyegerakan projek dari jadual asal. Desakan kerajaan negeri menyebabkan kerja-kerja dilakukan siang malam, 24 jam!Tetapi untuk projek dan masalah yang melibatkan rakyat kerajaan seperti bersikap sambil lewa sahaja.

Inilah yang dikatakan malang bertimpa untuk rakyat Melaka, sudahlah ditimpa musibah banjir, kerajaan negeri pula tidak peka dengan masalah yang berlaku. Hanya sibuk mencari publisiti dan 'glamour' je...

08 December 2008

MELAKA BAKAL DILANDA BANJIR BESAR?

(KEMASKINI 11.20 am)Hujan lebat melanda Melaka sejak semalam hingga hari ini.Dalam perjalanan beraya ke rumah emak saya dapat melihat beberapa tempat di Melaka telah mula dinaiki air seperti di Bukit Rambai d telah mula dinaiki air. Stesen Petronas di Bukit Rambai juga turut ditutup kerana dinaiki air.

Pasukan Bomba dan penyelamat dilihat bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.Air sungai Melaka di Taman Merdeka sudah mula menghampiri paras tebing. Insyaallah gambar terbaru akan dikemaskini tengahari nanti.

Penduduk di Taman Angkasanuri, Taman Merdeka dan Taman Datuk Tamby Chik Karim berada dalam keadaan bimbang dengan perkembangan yang berlaku.Mereka diminta bersedia menghadapi dengan pelbagai kemungkinan.


RUMAH PENDUDUK YANG DITENGGELAMI AIR

STESEN PETRONAS TURUT TENGGELAM

KAWASAN PERUMAHAN YANG TURUT BANJIR

AIR SUNGAI MELAKA BERADA DI PARAS BAHAYA

PERJUANGAN MENUNTUT PENGORBANAN

Allahu Akhbar...Allahu Akhbar...Allahu Akhbar...
Pada hari ini semua umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidil Adha.
Aidl Adha membawa 1001 pengertian yang cukup besar bagi mereka yang beriman.Semalam umat Islam dari seluruh dunia di Tanah suci mengerjakan wukuf, kemuncak bagi ibadat haji. Mereka datang dari jauh dan dekat berkumpul dan bertemu sebagai simbol pengabadian dan pengorbanan mereka kepada Allah SWT.Kita di negara ini turut sama tidak ketinggalan merai dan merayakannya.

Di Melaka sambutan Aidil Adha tidak semeriah sebagaimana lazim negeri-negeri di Utara dan pantai Timur. Aidil Adha perlu dihayati dan difahami bukan sekadar dari segi makna sahaja tetapi falsafah yang ada di sebaliknya.

Adil Adha bukan hanya sekadar bertakbir dan bertahmid. Bukan juga sekadar menunaikan solat sunat dan mendengar khutbah raya. Juga bukan hanya sekadar binatang qurban semata-mata.

Apa yang lebih penting menghayati pengorbanan umat Islam yang terdahulu yang berkorban segala-galanya untuk memastikan Islam terus subur dan didaulatkan di muka bumi ini. Mereka tidak hanya sekadar bekorban masa, harta dan tenaga malah mempertaruhkan nyawa mereka sebagai galang ganti.

Seperti kata-kata As syahid Sayyid Qutb beberapa ketika sebelum saat kematiannya, Perjuangan ini ibarat mata rantai...Perjuangan ini bukan kita yang memulakannya dan buka kita yang mengakhirinya..

Mari bertanya kepada diri kita apa pengorbanan yang kita lakukan untuk Islam? Pengorbanan kita masih terlalu kecil tetapi dengan keikhlasan dan dilakukan secara konsisten, apa yang kita dan orang lain anggap kecil, nilainya sangat besar di sisi Allah SWT. Berkorbanlah demi agama yang kita sayangi ini mengikut kemampuan masing-masing.


Apa yang pasti satu hari nanti sama ada cepat atau lambat kita pasti akan dipanggil mengadap Allah SWT. Pada ketika itu, hari yang tidak berguna kepada anak pinak, harta benda dan kaum kerabat. Apa yang menjadi taruhan adalah nilai taqwa dan pengorbanan kita selama hidup di dunia di sisi Allah SWT.

Sebesar manapun sekali amalan dan pengorbanan kita, sebenarnya masih tidak melayakkan kita mendapat syurga dari Allah SWT. Hanya kasih sayang dan rahmatNya yang melayakkan kita mendapat anugerah dariNya. Oleh itu, marilah kita terus berjuang dan bekorban dengan penuh keikhlasan agar pengorbanan kita ada nilainya di sisi Allah SWT.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA...Bekorban apa sahaja...Harta ataupun nyawa....Allahu Akhbar...Allahu Akhbar...Allahu Akhbar..

07 December 2008

BERAPA KERAJAAN MELAKA BERHABISAN UNTUK SHAH RUKH KHAN?


Berapa kerajaan Melaka belanjakan duit rakyat untuk majlis Shah Rukh Khan semalam? Kalau samping dipakai SRK je dah bernilai RM 3 ribu,bayangkan berapa banyak duit rakyat dihabiskan semalam. Saya difahamkan dari Kuala Lumpur ke Melaka SRK dibawa dengan helikopter ditempah khas.





Mari kita cuba kira betapa pemurahnya kerajaan Melaka.

1. Kos sewa helikopter RM 2 ribu sejam ( Masa dari 9.30 - 4.30 petang )= RM 14,000.00
2. Jamuan tetamu ( RM 20 X 1000 jemputan ) = RM 20,000.00
3. Kos persiapan tempat dan publisiti = RM 50,000.00 (anggaran )
4. Sewa hotel RM 1000
5. Tambang kapal terbang KLIA - Mumbai (kelas 1 ) = RM 10,000 untuk seorang pergi balik
6. Kos-kos lain ?????

Untuk makluman Ali Rustam, di Melaka terdapat ribuan penduduk yang masih hidup di bawah paras kemiskinan. Malah masih ada rakyat Melaka yang tinggal di daerah Alor Gajah dan Melaka seperti yang didedahkan sebelum ini dalam posting lepas yang tidak mendapat kemudahan bekalan air bersih dan elektrik.

Pengalaman saya terlibat dalam bidang motivasi dan kaunseling masih ramai murid dan pelajar di negeri Melaka yang tidak membawa wang saku dan bekal ke sekolah. Terdapat juga yang gagal membayar yuran persekolahan sehingga akhir tahun. Pada penggal persekolahan tahun depan ramai yang terpaksa memakai uniform dan kasut sekolah yang lusuh dan koyak. Kenapa semua ini berlaku? Tanyalah kaunselor dan pentadbir sekolah-sekolah di Melaka berapa ramai bilangan murid miskin yang ada di sekolah masing-masing? Adakah kerajaan Melaka menghiraukan nasib mereka ini?

Kalau kerajaan Melaka nak beri gelaran datuk pada semua artis sama ada di Hollywood atau Bolyywood berilah. Tak kan nak beri pada SRK seorang je, kecil hati artis luar yang lain nanti. Tetapi sila jawab di Padang Masyar nanti adakah rakyat sendiri mendapat perhatian dan pembelaan yang sewajarnya dari Ali Rustam dan mereka yang sewaktu dengannya?

Setiap pemimpin pasti akan ditanya amanah yang dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Apa yang dilakukan oleh kerajaan Melaka ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.