05 January 2009

SELAMAT BERJUANG SAHABATKU

Tak sampai 24 jam akan berlangsung penamaan calon Pilihanraya Kecil Kuala Terangganu. Kepada sahabat dari Melaka yang berangkat semalam dan selepas solat subuh tadi selamat berjuang dan bertugas di Kuala Terangganu.

Gunakanlah masa dan kesempatan yang ada untuk menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman dalam pilihanraya dari jentera di Terangganu yang lebih 'senior' dalam gerak kerja pilihanraya bagi memastikan kelahiran anak sulung Pas di DUN Melaka.

Terkilan juga kerana tidak dapat bersama disebabkan kekangan tugas dan tanggungjawab yang masih belum selesai.Harap-harap sahabat-sahabat dari Melaka tidak menjadikan pilihanraya kecil Kuala Terangganu sebagai pakej pelancongan atau makan angin sambil makan keropok losong!

Melaka satu-satunya kubu Umno yang masih lagi belum ditembusi oleh PAS. Masih banyak kerja dan tugas yang perlu dilakukan oleh Pas Melaka untuk melayakkan kemenangan diberi oleh Allah SWT.

Apa yang pasti kemenangan tetap akan tiba satu hari nanti hanya masa dan ketika sahaja yang menentukannya. Takbir!

03 January 2009

RETAK TAK PE ASALKAN TAK BERSEPAI!


Seperti telah dijangka perbezaan dan perselisihan pendapat dalam khususnya dalam PKR Selangor menjadi modal kepada Umno dan BN untuk dicanang ke hulu ke hilir. Seolah-olah apa yang berlaku menjadi 'penawar' khususnya Umno yang sedang berhadapan pelbagai konflik dan pergeseran dalaman menjelang pemilihan Mac ini.

Hari ini Najib, bakal presiden Umno dan Perdana Menteri 'atas kertas' dalam sidang akhbar berkata keretakan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat membuktikan betapa rapuhnya Pakatan Rakyat yang tak sampai setahun diwujudkan.

Bagi saya soal retak ni perkara biasa, macam juga duduk rumah baru kadang-kadang tak sampai seminggu dah retak sana sini. Biasanya boleh ditampal dengan simen atau retak itu akan hilang kalau dicat semula.Kadang-kadang retak itu berpunca dari bahan binaan yang banyak pasir dari simen atau cat yang digunakan kurang berkualiti.

Tetapi apa yang paling merunsingkan kalau roboh atau bersepai. Nak bina semula atau nak cantum satu-satu bukannya mudah. Seperti gelas yang jatuh bersepai.Lebih mudah beli atau tukar aje dengan yang baru!

Itulah yang boleh digambarkan kepada Umno yang ada pada hari ini, bukan sekadar retak aje tetapi dah nak bersepai!Rasuah,politik wang, cantas-mencantas, tikam belakang semua ada dalam UMNO! Elok selamatkan rumah sendiri dulu yang semakin nak roboh dan bersepai dari sibuk-sibuk ambil tahu rumah orang lain yang hanya retak-retak.

Seperti kata Najib tak sampai setahun Pakatan Rakyat dah retak, biasalah tu macam orang baru kahwin. Ibarat kata Allayarham P. Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Tetapi Umno, dah lebih 50 tahun....Tetapi apa yang berlaku sekarang? Sendiri mahu ingatlah....

CUKUPKAH HANYA SEKADAR DOA DAN DEMONTRASI UNTUK UMAT ISLAM PALESTIN?


Sehingga hari ini lebih 400 rakyat Palestin terkorban dan ribuan lagi mengalami kecederaan. Sementara itu ramai yang hilang tempat tinggal dan mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda. Masjid, universiti dan sekolah turut menjadi sasaran tindakan kejam dan biadab regim zionis Israel.

Seluruh dunia terutama negara yang majoriti umat Islam membantah dan berdemontrasi menunjukkan sokongan kepada nasib yang menimpa umat Islam Palestin.

Di negara kita juga tidak terkecuali yang turut menganjurkan bantahan dan demontrasi yang dipimpin oleh PAS dan NGO serta pertubuhan pelajar.

Sehingga hari ini tidak terdengar sebarang program bantahan yang dianjurkan oleh Umno yang turut mendakwa memperjuangkan Melayu dan Islam. Majlis Permuafakatan Ummnah (Pewaris) dan Persatuan Pengguna Islam yang sebelum ini lantang yang mendakwa membela maruah umat Islam juga sunyi sepi.

Di Melaka melalui maklumat rakan-rakan adalah beberapa masjid dalam khutbah Jumaat semalam yang menyentuh nasib umat Islam Palestin dan membaca qunut Nazilah. Tetapi hanya boleh dikira sebelah tangan sahaja, majoriti yang lain seperti tidak ada apa-apa yang berlaku!

Berbalik pada topik, cukupkah sekadar doa dan demontrasi? Adakah itu sahaja yang termampu dilakukan?Bagaimana dengan misi kemanusiaan ke Palestin atau sekurang-kurangnya melancarkan kutipan derma atau mencari dana untuk menyalurkan sumbangan kepada umat Islam Palestin terutamanya bekalan makanan, pakaian dan ubat-ubatan.

Maaflah jika saya tersilap atau tidak mendapat maklumat tetapi setahu saya belum ada lagi usaha seperti itu sama ada dari kerajaan atau pun Pakatan Rakyat.Apa yang kita tunggu dan fikirkan lagi? Kepada mereka yang ada kuasa dan pengaruh buatlah sesuatu.

Saya yakin dalam keadaan sekarang bantuan dan misi kemanusian amat diperlukan oleh penduduk Islam Palestin.Adakah kita hendak menunggu bumi Palestin menjadi padang jarak padang terkukur atau lebih ramai lagi menjadi korban baru kita hendak bertindak? Atau kita hendak menunggu Masjidil Aqsa lenyap dari pandangan diranapkan oleh rezim zionis Israel?

Dalam masa yang sama, teruskanlah doa dan munajat kita kepada Allah SWT supaya umat Islam di Palestin diberi kekuatan dan regim zionis Israel menerima azab tidak terperi dari Allah SWT.

02 January 2009

LAGI CERITA PELIK DI MELAKA: MASJID PULAU JEMAAH SELAMA SETAHUN

Surat Pemulauan dari Lembaga Masjid Tanjung Bidara Melaka

(Klik gambar untuk besarkan)

Dunia akhir zaman, macam-macam berlaku sejak kebelakangan ini. Negeri Melaka, negeri tumpah darahku ini tak habis-habis diselubungi dengan pelbagai cerita pelik dan sensasi.

Terbaru, seorang penduduk yang juga pekerja swasta Aris Sulaiman mendapat surat pemulauan selama setahun dari Lembaga Masjid Tanjung Bidara. Alasannya? Hanya kerana mengadakan majlis kurban di rumah semasa Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini.

Menurut surat berkenaan, mereka sekeluarga di pulau selama setahun bermula 10 Zulhijah 1429-10 Zulhijah 1430.

Tindakan ini telah mencatat sejarah sebagai satu-satunya masjid dalam dunia yang melakukan tindakan pemulauan kepada jemaahnya sendiri.Mungkin juga pertama kali dalam sejarah tamadun manusia. Apa salah buat kurban di rumah?Mana hukum pihak masjid pakai kalau nak buat kurban hanya kena buat di masjid? Nasib baik saya pun tak kena pulau sebab tahun lepas pun buat ibadah kurban di rumah mertua.

Inilah padahnya apabila memilih golongan jahil menguruskan masjid. Pihak kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kena bertanggungjawab dan ambil tindakan sebab perlantikan Ahli Lembaga Masjid adalah dilakukan oleh JAIM bukannya dilakukan oleh qariah di tempat berkenaan. Pengerusi Masjid dan ahlinya perlu mendapat 'restu' JKKK...siapa JKKK??? Fikirkalah sendiri....

Sebelum ini, isu perlantikan jawatankuasa Masjid oleh Jaim sering mendapat bantahan dan rungutan penduduk kerana mereka yang dilantik tidak menepati kreteria yang disenangi penduduk. Malah ada pengerusi masjid yang jarang-jarang sekali menjenguk ke Masjid untuk solat berjemaah hanya nampak batang hidung masa sembahyang Jumaat.Tetapi bila JKKK berkeras nak melantik 'orangnya'...penduduk tidak ada pilihan terpaksa akur.

Aapa yang berlaku di Masjid Tanjung Bidara bukan sahaja mengejutkan tetapi menimbulkan kepelikan hairan bin ajaib!

01 January 2009

YB WAHID ENDOT DIPILIH CALON PAS DI KUALA TERANGGANU


Semua teka-teki siapa calon Pas berakhir apabila Adun wakaf Mempelam YB Hj. Abdul wahid Endot dipilih sebagai calon Pas bagi kerusi Parlimen P 139 Kuala Terangganu.

Apa yang pasti semua spekulasi dan andaian sebelum ini siapa calon Pas meleset terutama di kalangan BN. Hj. Wahid Endot bukanlah asing dalam arena politik Terangganu apabila berjaya mempertahankan kerusi Dun wakaf Mempelam selama lima penggal berturut-turut.

Ini menjadi bukti bahawa ketokohan yang ada kepada beliau yang diterima oleh majoriti pengundi Pas di Terangganu khususnya di Dun ditandingi beliau di Wakaf Mempelam walaupun Pas melalui zaman pasang surut dalam arena pilihanraya di Terangganu.

Kali terakhir saya sempat bersembang dengan beliau ialah pada bulan Mei lalu semasa dalam penerbangan Air Asia dari LCCT ke Kuala Terangganu. Ternyata sikap ramah dan mesra serta low profile beliau masih kekal sepanjang saya mengenali beliau sejak awal 1990an.

Semoga beliau dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi khususnya kepada lebih 82 ribu pengundi di Kuala Terangganu.

31 December 2008

ORANG PAS SOKONG HUDUD?UMNO TOLAK HUDUD?DAP TENTANG HUDUD?


Tajuk yang cukup hangat masa kini. Apabila saya membaca media dari pro atau milik BN dan Umno serta media alternatif sama ada versi cetak, online dan digital itulah isu yang diperkatakan.

Isu ini isu lama. Masa saya sekolah rendah lagi walaupun ketika itu masih buta politik isu ini telah berkumandang. Isu yang dilabelkan sebagai "Amanat Hj. Hadi", Peristiwa Memali dan Peristiwa Lubuk Merbau semua sebenarnya menjurus pada isu dan persoalan yang sama.

Apa pasal isu hudud ini secara tiba-tiba dimainkan semula? Adakah isu ini bermula kerana ada pihak yang mendakwa disebabkan 'keceluparan' pemimpin Pas seperti Dato' Husam Musa atau kegarangan Karpal Singh dari DAP yang mengugut agar 'langkah mayatnya terlebih dahulu' kalau nak laksana hudud di Malaysia?

Isu ini pastinya akan ligat diputarkan semasa pilihanraya kecil Kuala Terangganu nanti. Berbalik pada soalan kenapa isu hudud ini ditimbulkan semula? Jawapannya mudah sahaja hanya mereka yang kurang senang dan tidak bersetuju dengan hudud sahaja yang terdesak untuk membangkitkan isu ini?

Sebelum ini ada pihak tertentu yang cuba lagakan orang Melayu dan cina dengan isu perkauman(siapa yang mulakan...sendiri mahu ingat!) tetapi isu ini gagal untuk mewujudkkan ketegangan kaum. Orang sekarang dah cerdik,hari ini bukan lagi zaman mesin taip dan zaman guna enjin sangkut! Mereka fikir isu seperti 13 Mei, isu kampung Rawa serta operasi lalang 1987 dapat disemarakan sekali lagi pada hari ini. Ternyata telahan dan teori mereka meleset...

Jadi isu hudud dicetuskan semula, isu hudud ini akan berjaya? sama-samalah kita tunggu. Tetapi saya cukup yakin pemimpin politik dan rakyat hari ini cukup matang dan cerdik berpolitik. Mereka dapat beza yang mana kaca dan yang mana permata.

Berbalik pada tajuk...PAS SOKONG HUDUD, UMNO TOLAK HUDUD DAN DAP TENTANG HUDUD...apa pasal yang payah sangat nak faham atau buat-buat tak faham? Baca aje lah buku pelembagaan parti masingt-masing! Buat perbandingan.

Tak faham juga, bacalah buku tulisan ulama tersohor, kalau takut bias baca buku ulama Pas atau ulama Umno bacalah buku karangan seperti Dr Yusof Qardhawi, Abu Ala Al Maududi, Ustaz Said Hawa dan sebagainya. Sama ada orang Pas sokong hudud, Umno tolak hudud dan Dap tentang hudud bacalah ulasan ulama berkenaan.

Cuma sebagai ringkasannya kepada mereka yang tak faham atau buat-buat tak faham tentang isu hudud dan kaitan dengan persoalan akidah. Islam atau lebih jelas lagi aqidah seseorang boleh kekal dan gugur melalui tiga cara:

1.PERBUATAN
2.UCAPAN
3.NIAT

Tak faham lagi? Ok mudahnya...betul ada orang Umno yang tidak pernah sebut dia tolak hudud, main judi dan minum arak. Tetapi apa hukumnya memilih atau pangkah pemimpin dalam pilihanraya yang tolak hudud( Siapa? Janganlah bersikap seperti sudah gaharu bertanya pula...), luluskan lesen judi dan luluskan lesen arak???????Adahkah orang berkenaan ada saham sama?

Saya pinjam kata-kata Nabil Juara Raja Lawak musim lalu....PIKIRLAH SENDIRI.....

30 December 2008

ISU KAPAL SELAM AKAN MENENGGELAMKAN NAJIB?

Di atas kertas Najib sudah boleh menarik nafas lega selaku bakal Presiden Umno dan bakal perdana menteri... ( emmm...yang ke berapa ye?).

Tetapi dalam politik Malaysia macam-macam kemungkinan boleh berlaku. Siapa duga dan jangka sebelum ini DSAI yang dinobatkan bakal pengganti Dr. Mahathir boleh merengkok di penjara Sungai Buloh. Berapa kerat pula yang sebelum ini menaruh harapan DSAI boleh kembali dalam persada politik negara? Malah siapa sangka Rahim Tamby Chik yang diselubungi pelbagai skandal boleh jadi MT Umno dan layak bertanding Naib Presiden Mac depan.

Dalam tempoh sebulan dua ini pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Lebih-lebih lagi apabila kita bercerita tentang Najib yang tidak pernah sunyi daripada pelbagai skandal dan kontroversi.

Terbaru, bekas ketua Umno Bahagian Petaling Jaya selatan, Datuk Kapt. (B) Zahar Hashim yang kini bersama Pas bakal mendedahkan dokumen terbaru yang didakwa baru diperolehi dari bekas pegawai tinggi TLDM.Beliau berjanji akan mendedahkan dokumen itu dalam masa terdekat.

Adakah dokumen itu akan mengaitkan Najib dalam isu pembelian kapal selam tersebut? Jika sebelum ini Najib dilihat masih mampu bertahan dan menepis segala dakwaan yang dikemukakan, mungkinkah karier politik Najib akan tenggelam dengan pendedahan terbaru ini?

Sama-samalah kita tunggu dan nantikan pendedahan terbaru ini. Apa yang pasti laluan Najib masih berliku untuk ke Putrajaya....Perbicaraan Altantuya pertengahan Januari depan pasti menjadikan mimpi Najib sebagai bakal orang nombor satu bakal terganggu.

LAGI RAMAI CALON BEBAS LAGI BAGUS UNTUK PAS...

Menurut sumber SPR sehingga hari ini telah lima borang pencalonan pilihnraya kecil Kuala Terangganu telah dibeli. Dua daripadanya ialah dari Pas dan Umno yang sejak awal-awal lagi menyatakan kesediaan untuk bertanding.

Dijangkakan sekurang-kurangnya terdapat tiga calon bebas akan bertanding. Manakala Datuk Zaid Ibrahim juga diura-urakan akan turut bertanding.

Bagi saya semakin ramai calon bebas bertanding (sama ada ditaja atau tidak)peluang Pas untuk menang adalah lebih cerah. Mungkinkah calon bebas yang bertanding adalah mereka ditaja oleh pihak Umno tertentu di dalam Umno Terangganu yang kurang senang dengan pemilihan Wan Farid sebagai calon BN?

Perlu diingat permusuhan serta konflik Umno di Terangganu masih wujud khususnya di antara Ahmad Said dan Idris Jusoh. Di luar nampak manis wajah bila bertemu tetapi siapa tahu di dalam hati dendam masih membara. Ibarat api dalam sekam.

Dalam sejarah Pas, siapa pun yang mewakili Pas akan mendapat sokongan di kalangan ahli dan penyokong. Mereka tetap tidak berganjak untuk memangkah Pas dulu kini dan selamanya walaupun pemimpin bertukar ganti.Tidak wujud undi protes di kalangan pengundi Pas kepada mana-mana calon Pas yang bertanding.Mengundi selain daripada calon Pas bererti mereka telah mengkhinati jemaah. Jika ini berlaku mereka dialu-alukan untuk keluar dari Pas.

Jika anda tidak setuju dengan pandangan saya, buatlah analisis di mana-mana DUN atau Parlimen yang ditandingi oleh Pas, bandingkan jumlah undi yang diperolehi oleh Pas dengan jumlah ahli dan penyokong yang ada.Mereka tetap tidak berganjak mengundi Pas walupun siapa calon bertanding dan apa isu yang berlaku. Apa yang berubah dan menjadi penentu sama ada kalah atau menang ialah pengundi atas pagar dan undi 'protes' dari Umno sendiri.

Apabila semakin ramai calon bebas bermakna undi BN bakal berpecah. Setiap calon bebas sudah pasti ada penyokongnya sendiri. Sama ada penyokong tegar di kalangan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai.Walaupun kemungkinan besar calon bebas akan hilang wang deposit tetapi kehadiran mereka sebenarnya akan menghakis peluang BN dan membuka ruang yang lebih besar kemenangan kepada calon Pas.

Isu calon Pas sama ada anak tempatan atau tidak akan menjejaskan undi dan sokongan kepada Pas di kalangan ahli dan penyokong tetapi ia sebenarnya membawa implikasi dari pengundi atas pagar dan BN sendiri yang berada dalam dilemma untuk mengundi dalam pilihanraya nanti.

TAHNIAH BUAT PEMUDA PAS TETAPI...

Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) hari ini mengadakan demontrasi aman di depan kedutaan Amerika. Menurut sumber malaysiakini seramai 500 orang terlibat dalam demontrasi tersebut.

Tahniah dan syabas kepada Pemuda Pas Pusat kerana menjadi pertubuhan pertama di negara ini yang tampil membantah secara terbuka kekejaman rejim haram Israel lakanatullah.

Walau bagaimanapun masa yang dipilih oleh DPPP bagi saya adalah kurang sesuai memandangkan pada hari ini adalah hari waktu bekerja. Sudah pasti ramai lagi yang ingin turut sama tetapi tidak dapat hadir dalam demontrasi pada hari ini.

Mungkin DPPP boleh memilih waktu cuti seperti semalam yang merupakan cuti umum seluruh negara. Tidak semestinya demontrasi perlu diadakan di kedutaan Amerika untuk menyerah memorandum bantahan, mungkin ia boleh dilakukan di tempat terbuka yang menjadi tumpuan umum di tengah ibu kota untuk menunjukkan kepada dunia dan menyedarkan masyarakat sekeliling agar prihatin tentang nasib saudara seagama. Memorandum kepada kedutaan Amerika boleh diserahkan pada hari ini sebagai kesinambungan demontras jika ia diadakan semalam.

Walau bagaimanapun saya yakin DPPP ada hujah dan justifikasi mengadakan demontrasi pada hari ini di depan kedutaan Amerika.Apa-apa pun sekali lagi syabas dan tahniah kepada DPPP Pusat....

PEWARIS MEMBELA ISLAM DAN MELAYU???

Apa perlu Majlis Permuafatan Ummah ( PEWARIS) berarak dan berhimpun serta cuba mengganggu majlis anti Isa malam tadi di Stadium Bangi? Apa motif mereka sebenarnya? Adakah mereka benar-benar membela Islam atau hanya menjadi alat dan kuda tunggangan pihak tertentu?

Bagi saya tindakan mereka tidak lebih hanya mencari publisiti dan mempunyai agenda tersembunyi kepentingan pihak tertentu. Jika benar mereka membela Islam dan Melayu kenapa mereka menyokong ISA undang-undang zalim dan tidak bertamadun? Mana kitab dalam Islam atau pendapat tokoh mana-mana agama dalam dunia yang menjadi rujukan Pewaris membenarkan menangkap tanpa bicara tanpa dibenarkan membela dan mempertahankan diri? Bukankah Isa undang-undang yang bercanggah dengan ketamadunan manusia?

Mana suara Pewaris apabila nyawa umat Islam Palestin sedang diratah oleh rejim haram zionis? Bukankah membela dan mempertahankan saudara seagama adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam? Kenapa tidak ada sepatah pun kenyataan yang keluar dari Pewaris tentang isu umat Islam Palestin?