28 January 2009
SUMPAH vs IKRAR POLITIK
Tetapi selang beberapa minit lepas baca ikrar, pelajar di dataran perhimpunan mula buat onar. Ada yang usik kawan dan mula buat bising. Itu baru lepas baca ikrar. Walaupun guru bertugas atau guru disiplin terjerit-jerit di depan perhimpunan ada yang buat dek aje...Lepas perhimpunan dan sepanjang sesi persekolahan macam-macam lagi peraturan sekolah yang dilanggar. Pada hal baru je berikrar pada sebelah pagi.
Bagi saya sama lah seperti ikrar yang dilafazkan oleh Adun Umno Perak dalam pertemuan dengan Najib semalam. Hanya sebagai formaliti yang tidak menjamin apa-apa.Sekadar mengikut arahan yang dikeluarkan.
Jika 'Sumpah Keramat' pun dipermainkan, inikan pula sekadar baca ikrar! Begitu juga sebelum ini mudah-mudah je orang bersumpah mengalahkan sifat sesumpah!
Terbukti ikrar dilafazkan semalam tidak membawa apa-apa makna.Hari ini wujud angin yang semakin bertiup kencang bahawa ada lagi Adun Umno dari Perak yang akan menyertai Pakatan Rakyat kerana perasaan tidak puas hati dengan pergolakan yang sedang berlaku dalam umno sekarang.
Terkini wakil rakyat Lintang pula Datuk Ahmad Fakeh Adam sedang menimbang untuk meninggalkan Umno "beberapa hari lagi"."Ketika ini 50-50. (Niat) nak kekal (dalam Umno) dengan masuk pembangkang sama banyak."Orang PAS, PKR dan DAP hari-hari telefon dan hantar SMS. Yang dah datang jumpa pun ada, yang nak jumpa pun ada lagi," katanya kepada satu kenyataan hari ini.Beliau bagaimanapun belum memutuskan parti pembangkang yang bakal disertainya jika meninggalkan BN.
Kita tunggu apakah selepas ini ada lagi majlis ikrar atau upacara bersumpah. Rasanya mungkin ada tapi sekadar nak menyedapkan hati sahaja. Tapi dalam hati cukup berdebar-debar bila menyaksikan perkembangan yang berlaku. Adakah ini semua petanda-petanda awal bahawa Najib tidak sempat menjadi perdana menteri?
27 January 2009
PEWARIS NASIHATKAN SAMY VELLU JANGAN KASI ORANG INDIA DEMONTRASI?!?
Ada jugalah dengar nama Pewaris dalam isu Palestin, itu saya sokong 100%.
Tetapi kenapa menarik sangat dengan Pewaris?Malah ada kawan-kawan komen apa pasal macam marah kat Pewaris? Tak marah tapi kadang-kadang agak loya dengan sikap yang ditunjukkan oleh Pewaris.
Hari ini Pewaris dalam satu kenyataan meminta agar Presiden MIC, Datuk Samy Vellu nasihat kat orang India supaya jangan demontrasi dan jangan mainkan isu perkauman dalam kematian dan pengekebumian A.Kugan esok.
Timbalan Pengerusi II Pewaris, Rahimuddin Md Harun berkata, ini perlu bagi membuktikan bahawa Samy Vellu serta dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah dan Datuk K. Devamany, merupakan pemimpin yang peka dengan sensitiviti perkauman di negara ini.
“Mereka perlu membuat pengisytiharan itu kepada masyarakat India agar tidak berkumpul beramai-ramai atau berarak sehingga menimbulkan huru-hara pada majlis pengebumian mendiang esok,” katanya kepada pemberita di sini hari iniPewaris nak nasihatkan orang lain tak berdemontrasi dan jangan mainkan isu perkauman??? Soalan saya siapa yang bermain dengan api perkauman? Siapa yang berdemontrasi dalam isu babi yang sengaja mengapi-apikan orang Melayu agar seperti membenci dan memusuhi orang Cina?Saya tak kata demontrasi tak boleh, tapi dalam bab isu perkauman dan nasihatkan orang lain Pewaris kena tengok diri sendiri dulu.
PAS MELAKA OK,CUMA TAK MENANG JE LAGI
Saya tertarik dengan tulisan rakan-rakan tentang Pas Melaka. Menurut mereka Pas Melaka perlu melakukan perubahan kalau hendak mencapai kejayaan.
Bagi saya Pas Melaka tidak jauh ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain yang telah berjaya menghantar wakil ke DUN dan Dewan Rakyat. Tidak adanya wakil di sidang Dun dan Dewan Rakyat menyebabkan Melaka kini mendapat jolokan sebagai kubu umno yang paling kuat dalam dunia yang sebelum ini disandang oleh Johor dan Negeri Sembilan. Sehingga ada lawak dari kawan-kawan, kalau Umno letak tunggul kayu bertanding di Melaka pun boleh menang!
Sebenarnya dalam beberapa aspek, Pas Melaka agak mendahului negeri-negeri lain.Program tarbiyyah juga agak mantap. Misalnya usrah Pas kawasan di tempat saya berjalan dengan baik sekali mengikut jadual. Setiap hujung minggu apabila saya hadir bersama keluarga ke kuliah dhuha mingguan yang diadakan oleh Ustaz Zulkifli , Ketua Dewan Ulama Pas Melaka di Baitul Qura kehadiran ahli dan penyokong Pas begitu menggalakkan terutama golongan muda dan profesional.Begitu juga dengan aktiviti pemuda yang banyak melibatkan program kemasyarakatan dan menjadi pelopor dalam isu kemasyarakatan dan isu semasa. Misalnya isu babi di Paya Mengkuang dan isu Palestin. Malah dalam beberapa aspek lebih baik berbanding dengan negeri-negeri lain. Misalnya aktiviti pengedaran risalah dan misi dakwah pada malam ambang kemerdekaan. Begitu juga dengan aktiviti riadah untuk golongan muda seperti kejohanan bowling yang diadakan baru-baru ini.
Persoalannya kenapa Pas Melaka tak menang atau payah nak menang dalam pilihanraya? Apa yang saya perhatikan Pas Melaka memiliki gabungan yang mantap adunan di antara golongan profesional dan orang lama atau veteran dalam Pas. Cuma apa yang saya perhatikan gerak kerja Pas Melaka masih lagi kurang berfokus. Strategi taktikal dan ilmu pilihanraya masih lagi jauh ketinggalan. Misalnya penculaan dan latihan kepada petugas pilihanraya sudah ketinggalan zaman. Pas Melaka masih terumbang-ambing dalam gerak kerja pilihanraya yang sistematik.
Di samping itu apa yang saya perhatikan kepimpinan Pas Melaka segelintir daripada mereka masih berada dalam zon selesa dan masih mengekalkan gaya kepimpinan 1980-1990-an yang tidak sesuai dengan senario masyarakat sekarang. Untuk membuat perubahan besar Pas Melaka perlu berani membuat perubahan. Perubahan sikap, perubahan organisasi, perubahan strategi dan perubahan dari segi cara dan gaya berfikir. Wallaualam.
26 January 2009
ALI RUSTAM DAH KERING MODAL

Dalam sibuk-sibuk berita orang Umno masuk ke Pakatan Rakyat , Ali Rustam menggunakan pendekatan yang berbeza untuk menonjolkan pengaruh dan popularitinya.
Ali Rustam masih menggunakan pendekatan 'tradisional' untuk menonjolkan imej menjelang pemilihan jawatan timbalan presiden umno yang ditandinginya.
Masih ingat 'zaman dulu-dulu' media pro Umno akan menyiarkan berita hampir setiap hari berita pemimpin dan ahli Pas masuk Umno terutama menjelang pilihanraya sama ada umum atau kecil. Beratus-ratus kadang kala beribu-ribu angka yang dikemukakan. Tetapi strategi itu tidak digunakan lagi sekarang. Malah satu yang 'ajaib' dalam sibuk-sibuk orang semakin menolak Umno ada orang yang masih sudi dan teringin masuk Umno.
Hari ini Utusan Online melaporkan ketua dan 40 ahli cawangan Pas Kampung Musai di Melaka telah menyertai Umno dan borang permohonan keahlian telah diserahkan pada Ali Rustam.
Ali Rustam mungkin boleh temberang orang yang tinggal di luar Melaka, tetapi tidak orang Melaka seperti saya. Malah Kampung Musai adalah 'port' saya minum setiap pagi kalau tak out station. Mana ada cawangan Pas kat Kampung Musai???? Kalau ada cawangan dan ahli Pas kat situ, itu adalah ahli hantu! Saya cabar Ali Rustam atau mana-mana pihak untuk mengesahkan di Pejabat Agong Pas di Jalan Raja Laut wujud atau tidak cawangan Pas Kampung Musai.
Kepada Ali Rustam saya nasihatkan gunakanlah taktik lain untuk pancing undi dan bina pengaruh. Buat malu kat orang Melaka je...
GILIRAN ARIF SHAH OMAR PULA SERTAI PKR?

Dato Seri Najib, TPM menafikan akan berlaku lagi wakil rakyat BN yang akan melompat ke PKR atau mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.
Kemasukan Datuk Nashrudin Hashim Adun Bota ke PKR disifatkan oleh Najib sebagai sesuatu yang tidak diduga. Kalau tak diduga ringkas kata tak pernah terfikir langsung akan berlaku. Jika yang tak terduga dan terfikir sudah pun berlaku bagaimana pula sesuatu yang telah diduga?
Khabar dari Utara melaporkan bahawa Adun Bayan Baru, Datuk Arif Shah Omar sedang mempertimbangkan secara serius dengan tawaran yang dikemukan oleh PKR. Semalam dalam satu wawancara beliau menyatakan kekesalan yang amat sangat apabila dipencilkan oleh Umno Permatang Pauh walaupun telah 20 tahun berkhidmat di bahagian berkenaan.
Jika ini berlaku, BN bukan sekadar seperti sudah jatuh ditimpa tangga tetapi turut dihempap pasu bunga! Saya tetap optimis dan yakin banyak lagi berita yang tidak diduga akan diterima oleh Umno menjelang perhimpunan agung mereka Mac ini.
TAJOL ROSLI KENA BUKTIKAN PKR MERASUAH ADUN BOTA!
Dalam sidang akhbar malam tadi di kediaman Tan Sri Tajol Rosli Ghazali , beliau mendakwa bahawa adun Bota telah dirasuah oleh PKR. Saya kira tuduhan yang perlu beliau laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seberapa segera. Jika tiada laporan dan bukti dikemukakan, Tajol Rosli bermakna telah melemparkan fitnah dan membuat tuduhan jahat tanpa bukti. Beliau kena kemukan bukti bila dan berapa jumlah sogokan yang diterima oleh Adun Bota itu.
Jika tidak Tajol Rosli hanya pandai baling batu sembunyi tangan dan tidak layak menjadi ketua pembangkang di Perak. Ini akan menyebabkan imej BN khususnya Umno akan semakin buruk di mata masyarakat. Sebelum ini beliau begitu angkuh dan sombong bahawa kerajaan PR Perak akan tumbang sebelum 31 Ogos tahun lepas. Tetapi apa yang berlaku sekarang? Beliau terpaksa menelan kembali kata-kata yang pernah dilontarkan. Dijangkakan kemasukan Nasarudin ke dalam PKR akan merintis jalan penghijrahan lebih ramai adun dan ahli parlimen BN ke dalam PR.Jadi tidak hairanlah kenapa Najib cukup bimbang dengan perkembangan terkini yang berlaku.
25 January 2009
OBAMA AKAN TERUS MEMUSUHI UMAT ISLAM?
Osama Bin Laden dilabel musuh nombor satu Amerika oleh presiden Amerika ketika itu Geogre W.Bush selepas tragedi rempuhan pesawat yang meranapkan World Trade Centre. Serangan ke atas Afganistan dilancarkan untuk memusnahkan kekuatan dan rangkaian Al Qaeda yang didakwa menjadikan negara itu sebagai pengkalan.
Sehingga hari ini bayang-bayang Osama pun masih belum ditemui menyebabkan Amerika dan sekutunya sentiasa hidup dalam ketakutan.
Barack Obama yang baru menjadi presiden Amerika dilihat tidak akan membawa apa-apa perubahan drastik berkaitan isu Osama. Malah sebelum mengangkat sumpah sebagai presiden mengistiharkan Osama kekal sebagai musuh utama Amerika.
Ini semua membayangkan gerakan ketenteraan yang dilabel sebagai memburu pengganas akan terus menjadi dasar Obama.
Tidak banyak yang mampu dilakukan oleh Obama untuk memulihkan imej Amerika di peringkat antarabangsa. Penutupan kem Guatanamao Bay sebelum penghujung tahun ini seperti yang diumumkan tidak lebih daripada tindakan populis untuk meraih publisiti dan sokongan.
Malah sikap Obama tidak banyak bezanya dengan presiden Amerika sebelum ini terutama dalam isu Palestin. Adakah Obama mengecam tindakan regim zionis yang telah membunuh lebih 1300 rakyat Palestin? Obama berterusan menyatakan sokongan padunya bahawa Amerika akan terus membantu dan menjadi sekutu rapat Israel.
Gesaan Obama kepada Raja Abdullah, pemerintah Arab Saudi agar membantu menyekat penyeludupan senjata ke Palestin merupakan satu tindakan yang berat sebelah. Rakyat Palestin hanya ingin mempertahankan diri dan hak kedaulatan mereka! Kenapa Israel tidak dikecam dan diminta untuk melakukan perkara yang sama? Adakah Obama berani meminta Ehud Olmert presiden pengganas Israel untuk melucutkan senjata nuklear yang dipercayai memiliki simpanan nuklear di antara yang terbesar di dunia.
Kepada semua Negara yang majoriti umat Islam diminta bersatu dan mengenepikan segala perbezaan ideologi politik dalam isu Palestin. Hanya umat Islam yang mampu menyelamatkan nasib saudara seagama. Tindakan bergantung harap kepada Amerika dan PBB membuktikan sikap umat Islam yang terus rela dipermainkan oleh mereka yang memusuhi Islam.
KEMENANGAN RAKYAT SEMAKIN HAMPIR..

Pilihanraya umum ke 12, pilihanraya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terangganu memberi isyarat jelas bahawa momentum kuasa rakyat bakal mengubah lanskap politik negara daripada kerajaan BN kepada PR.
Terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Dato' Nasarudin Hashim mengisyhtiharkan keluar Umno sekaligus menyertai KeADILan hari ini. Sekaligus memberi pukulan maut kepada Umno yang masih tercari-cari punca dan alasan mengapa mereka ditolak oleh majoriti pengundi di Kuala Terangganu.
Penyertaan Nashrudin ke dalam PKR dijangka akan mewujudkan kembali spekulasi bahawa ramai lagi wakil rakyat daripada BN akan melompat ke Pakatan Rakyat. Dato Seri Anwar telah berulangkali menyatakan kemungkinan ini, malah Tuan Guru Dato' Hj. Abdul Hadi Awang juga sebelum ini ada mengesahkan bahawa sudah ada wakil rakyat dari BN yang menyertai PR secara senyap-senyap.
Mungkinkah akan berlaku lagi acara melompat secara beramai-ramai sebelum pemilihan Umno atau paling lewat selepas pemilihan Umno Mac ini? Ramai pihak dalam BN menganggap cita-cita PR tak ubah seperti cerita angan-angan Mat Jenin. Tetapi perkembangan yang berlaku mukhtahir ini cukup membimbangkan mereka ia menjadi kenyataan.
Bagi saya penyertaan Adun Bota dari Perak ke PKR hari ini baru satu permulaan daripada perubahan yang lebih besar yang bakal mengubah sejarah dan senario politik negara.
24 January 2009
SIAPA LAGI BERANI LAWAN SAMY VELLU?

Jika ada anugerah pemimpin politik yang dianggap mempunyai 'daulat', Samy Vellu layak menggondolnya. Siapa pun tak boleh kacau dan lawan presiden MIC ini. Siapa-siapa yang berani buka mulut nak cabar Samy Vellu seperti mencari penyakit.
Itulah kehebatan Samy Vellu, walaupun sebelum ini kata tak kisah biarpun 100 orang nak bertanding jawatan presiden MIC. Tapi ternyata MIC cakap tak serupa bikin!Bikin tidak serupa cakap!
Terbaru bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthuppalaniappan yang mengumumkan hasrat untuk mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu dalam pemilihan Presiden Mac ini telah dipecat berkuat kuasa serta-merta.
Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan itu dipecat atas beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang didakwa telah memudaratkan parti itu.
Muthuppalaniappan mengesahkan yang beliau telah menerima surat pemecatan itu daripada Jawatankuasa Disiplin MIC hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti, Tan Sri G. Vadiveloo juga mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan surat bertarikh 21 Januari lalu berhubung pemecatan kepada Muthuppalaniappan.
Bagus juga Samy Vellu bersikap macam tu, biar lebih ramai orang India menyertai Pakatan Rakyat. Samy Vellu seperti tidak pernah belajar gelombang 'Makhal Sakhti' yang melanda MIC dalam pilihanraya umum lalu. Apa-apapun tahniah dan syabas kepada Samy Vellu yang berani mempertahankan kedudukannya tidak seperti ada sebuah parti di dunia ini, presidennya baru kena gempak sikit dengan timbalannya terpaksa mengalah!
NAJIB AKAN JADI PM KE 6,TETAPI...
Kes Altantuya yang sebelum ini diramalkan bakal memaksa Najib melupakan jawatan presiden Umno dan PM juga tidak menampakkan sebarang tanda-tanda bahawa Najib akan dikaitkan dengan tragedi pembunuhan itu. Namun, perbicaraan ini masih terlalu awal.
Walaupun Pak Lah dilihat agak kurang senang dengan prestasi Najib akhir-akhir ini, itu tidak bermakna pula Pak Lah akan menangguhkan pelan peralihan kuasa yang telah 'dipersetujui' bersama. Jika Pak Lah mengubah proses peralihan kuasa, Pak Lah seperti sengaja mengundang penyakit.
Pandangan saya agak kontra dengan andaian dan pandangan Dato Kamaruddin Jaafar, Setiausaha Agong Pas yang meramalkan Pak Lah akan menangguhkan buat seketika pelan peralihan kuasa atas perkembangan muktahir yang berlaku. Dipercayai berkait rapan dengan masalah ekonomi global, sisasatan kes rasuah dan paling penting prestasi Najib semasa mengetuai jentera BN di Permatang Pauh dan Kuala Terangganu.
Walau bagaimanapun Najib bagi saya bakal menjadi PM yang paling singkat dalam sejarah! Rakyat jelas menunjukkan sikap menolak BN dalam erti kata lain menolak kepimpinan Najib. Walaupun Najib agak 'kebal' dengan pelbagai dakwaan dan skandal yang dikemukakan ini tidak bermakna Najib akan berhadapan laluan yang selesa di kerusi nombor satu negara.
Paling lewat saya meramalkan BN hanya mampu bertahan selewatnya-lewatnya sehingga pilihanraya umum ke 13. Ini bakal berlaku jika BN dan UMNO terus dengan lagak dan gaya sekarang yang menafikan kuasa dan pengaruh rakyat yang semakin muak dengan BN. tetapi pemimpin Umno seperti tidak mengakui hakikat ini dan seperti masih selesa dengan kedudukan sekarang.
Namun saya menjangkakan apabila Najib menjadi PM, PR akan berhadapan dengan ranjau apabila dasar pemerintahan yang lebih menekan dan menghimpit PR akan dilaksanakan oleh Najib. Hanya itu sahaja yang mampu dilakukan apabila semua yang dilakukan oleh BN dan UMNO untuk menambat hati rakyat dan memulihkan keyakinan masyarakat serba serbi tidak menjadi.
Dalam hal ini PR perlu bersedia dengan segala macam persiapan dan penerangan kepada semua ahli dan penyokong tentang kemungkinan yang bakal berlaku. Apa-apapun sama-sama kita tunggu sama ada ia menjadi kenyataan atau sebaliknya.
