24 February 2009

PILIHANRAYA TIGA BUKIT SATU BATANG


Pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau sudah pasti. Bukit Lanjan 99.99% bakal menyusul. Terkini negara bakal berhadapan dengan satu lagi pilihanraya kecil di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Ai, Dublin Untini meninggal dunia jam 1.25 pagi tadi akibat angin ahmar.

Maka dengan ini pilihanraya kecil kali ini melibatkan tiga bukit dan satu batang.
Kita sama-sama tunggu parti mana yang berjaya menawan tiga bukit atau bakal dihempap oleh tiga bukit dan satu batang! Senario yang menarik dan jarang-jarang berlaku dalam politik negara.

23 February 2009

DVD 'TERLAMPAU' CHUA SOI LEK 'TERPAKSA' DIULANG CETAK


Permintaan yang menggalakkan memaksa 'penerbit' DVD 'aksi terlampau' lakonan Timbalan Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek terpaksa diulang cetak.

Jika sebelum ini, DVD berkenaan hanya meletup di pasaran selatan tanah air tetapi kini mula mendapat sambutan di Lembah Kelang. Amat jarang filem tempatan seperti lakonan Chua Soi Lek dapat bertahan dalam tempoh yang lama dalam arena perfilemen negara lebih-lebih lagi dalam kelembapan ekonomi sekarang.

Chua Soe Lek sendiri turut meramalkan filem lakonannya akan lebih mendapat sambutan selepas Mac nanti. Apa yang menyebabkan beliau meramalkan begitu, itu kena tanya pada Chua Soi Lek kerana dia lebih arif tentang pasaran filem tempatan.

Namun begitu, polis mula menjalankan sisatan kepada pelakon utama ini kerana sambutan yang begitu luar biasa. Apa-apa pun tahniah pada Chua Soi Lek, tahniah pada MCA dan tahniah kepada BN kerana masih 'menyimpan' pelakon yang menjadi sebutan ramai ini. Harap-harap Chua Soi Lek dapat diberikan kembali pos lamanya oleh Perdana Menteri sebagai menteri kesihatan supaya dapat menerbitkan filem-filem yang lebih bermutu.

UMNO PERAK SEMAKIN TERDESAK!

Assalamualaikum dan apa khabar semua.... rindu rasanya bila tak dapat update blog ini. Insyallah blog ini akan kembali mengikuti senario yang berlaku dalam dan luar negara.

Umno Perak semakin terdesak! Itu yang dapat saya katakan. Mereka sedar segala tindakan mereka bertentangan dengan undang-undang cuma 'restu' Sultan yang menyebabkan mereka banyak 'cengkadak'. Tapi itu semua tak akan ke mana!

Ini bukan zaman prasejarah atau zaman purba. Manusia bertindak bebas dan sesuka hati. Zaman kini zaman IT. Manusia ada panduan dan pedoman. Kalau Islam ada ikatan akidahnya. Kalau hidup bernegara ada undang-undang dan peraturannya. Tak boleh le nak main terjah macam itu je!

Terkini "Menteri Besar Istana', Dato' Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya yang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) antara 12 dan 18 bulan, mahu mendapatkan panduan Peguam Diraja berhubung krisis perlembagaan Perak.

Menurut laporan sebuah laman akhbar online beberapa anggota pasukan peguam mereka dijadual berlepas ke London hari ini dengan disertai oleh salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit.
"Pasukan ini terdiri daripada peguam kanan dan muda, dengan salah seorang daripada mereka pernah terlibat dalam kes membabitkan Ketua Menteri Sabah pada 1986," kata sumber

Nampaknya segala peguam dan 'pakar perundangan' Umno pun sudah pening kepala tak dapat menyatakan dengan pasti tentang tindakan Umno di Perak serta tindakan balas kerajaan yang sah di Perak di bawah Pakatan Rakyat mencabar tindakan Umno di sudut perundangan dan pelembagaan.

Pimpinan Umno Perak dan 'barisan peguam handal' terpaksa berangkat ke London untuk mencari 'kitab kuning' dalam muzium London yang boleh menghalalkan tindakan mereka di Perak.

Tindakan dan kejayaan Pakatan Rakyat mencabar Umno Perak bakal memberi tamparan hebat bukan sahaja kepada Umno Perak tetapi masa depan Umno di seluruh negara! Oleh itu 'Kitab Kuning' di Kota London perlu dicari walaupun kos yang mahal terpaksa dibelanjakan.

Guna duit siapa? Guna duit poket sendiri? Naik flight nanti guna kelas ekonomi? Berapa pula kos untuk bayar peguam dari Kota London yang terkenal serba serbi mahal itu? Guna duit rakyat? Sudahlah mendapat kuasa secara pintu belakang secara haram kini bakal guna duit rakyat secara haram! SPRM macam mana tak nak siasat ke nanti?

20 February 2009

TAHNIAH SPRM! CEPAT DAN PANTAS SEPERTI LEMBU DICUCUK HIDUNG!

Apabila Pak Lah mencadangkan mewujudkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) bagi menggantikan BPR sebelum melepaskan jawatan PM, hati saya menaruh curiga. Saya merasakan ada sesuatu motif di sebalik cadangan tersebut.

Ternyata apa yang saya bimbangi dulu berasas. Kes yang melibatkan pemimpin pakatan Rakyat begitu cepat SPRM bertindak. Selepas laporan dibuat oleh pihak Umno sepantas kilat SPRM membuka kertas siasatan dan mencari bukti untuk membuat pendakwaan.

Sebaliknya apabila laporan dibuat oleh pihak PR tindakan begitu lambat dengan pelbagai alasan dan helah. Kononnya bukti tidak lengkap dan maklumat tidak jelas.

Inilah yang berlaku dalam kes lembu dan selenggara kereta Tan Sri Khalid Ibrahim dan speaker Perak V. Sivakumar. Saya bukan untuk membela mereka berdua. Jika benar-benar terbukti bersalah dakwa di mahkamah dengan bukti yang cukup.

Tetapi persoalannya bagaimana dengan laporan yang bertimbun-timbun dibuat oleh PR pada pemimpin Umno dan BN? Bagaimana laporan rasuah melibatkan kos berlipat kali ganda penyelenggaraan dan servis kereta Perdana V6 kerajaan BN di Terangganu? Bagaimana laporan wujud kes rasuah tindakan bekas adun PKR dan DAP Perak yang melompat ke BN? Bagaimana pula dengan laporan yang bersusun-susun melibatkan kes rasuah dalam pemilihan Umno?

Kalau kes yang melibatkan PR, SPRM begitu pantas bertindak seperti lembu dicucuk hidung!

Semua ini menimbulkan keraguan dan kemusykilan kepada SPRM. SPRM tidak boleh melatah kalau dituduh sebagai alat Umno kerana itu yang masyarakat lihat yang berlaku hari ini.

Bagi saya tidak ada cara lain untuk memulihkan wibawa dan kredibiliti SPRM yang teruk tercemar selain merombak secara radikal peranan dan fungsi SPRM dengan menjadi sebuah badan yang benar-benar bebas dari pengaruh kuasa eksekutif sebaliknya proses pemilihan dan pelantikan pengerusi SPRM dipilih oleh suruhanjaya bebas di bawah kuasa DYMM Agong.

Tetapi selagi Umno dan BN berkuasa, semua itu hanya mimpi yang tidak menjadi kenyataan. Hanya mereka yang bergelumang dengan rasuah sahaja yang gentar SPRM menjadi badan bebas.

SEJARAH DERHAKA UMNO KEPADA RAJA



1.Pada tahun 1978, Menteri Besar Perak, Tan Sri Ghazali Jawi enggan meletakkan jawatan sehingga mendorong Sultan Perak, Sultan Idris Shah menyimpan janggut dan jambang. Baginda bernazar akan mencukurnya setelah Ghazali meletakkan jawatan.

2. Tan Sri Annuar Musa tahun 1993 berarak dari Kuala Lumpur membawa Tengku Ibrahim dan menabalkannya di bawah pohon janggus sebagai Sultan Kelantan dalam kawasan padang sekolah, sedangkan Sultan sebenar masih ada.

3. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Muhammad Mohd Taib (juga sekarang Tan Sri) ketika menjadi Menteri Besar Selangor pernah melarikan puteri Sultan Selangor, Sultan Salahuddin, yang lebih dikenali sebagai Ku Yah.

4. Umno juga pernah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983. Kerakusan mahu terus berkuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk meminda peruntukan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Pindaan yang dikemukakan pada pertengahan tahun 1983 itu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan (Pindaan 1983) itu setelah baginda berbincang dengan raja-raja lain.

Dalam demonstrasi di pekarangan rasmi Menteri Besar Sri Iman, Kuala Terengganu pada 23 Mac tahun lalu itu, para pemimpin Umno negeri dan Pusat menderhaka terhadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin apabila secara terbuka berdemonstrasi yang jelas menghina kemuliaan institusi raja dalam isu pelantikan menteri besar.

Penyokong Umno/BN mahu Idris Jusoh kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.Mereka menyanggah pihak istana yang diwakili Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) kerana melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.Tindakan biadap Umno itu memang mengundang kemarahan pelbagai pihak serta menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan rakyat umum, termasuk Istana Tuanku.

Antara slogan pada kain rentang yang menimbulkan ketegangan itu adalah seperti Kami Nak Idris, Natang(binatang) yang disiarkan secara meluas oleh beberapa buah stesen TV negara kita.

5. Pada tahun 1990, Umno sekali lagi bertembung dengan raja-raja selepas ia kalah teruk di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-8. Dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 1991, Umno telah melemparkan kritikan yang pedas, tajam, kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja Melayu.

Istana Kelantan dibidas secara terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah.Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan kata-kata tajam dan pedas, raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan serta mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya.

6.Pindaan Perlembagaan tahun 1993 menunjukkan percubaan Umno untuk menghapuskan kekebalan raja-raja. Keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut tidak disenangi Umno.

Akibatnya, media massa yang dikawal oleh Umno menyiarkan kenyataan tidak bersopan dan beradab beberapa orang menteri mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja serta anggota kerabat diraja tertentu.

19 February 2009

HUJAH 'KELAKAR' DAN 'TAK MASUK AKAL' NAZRI AZIZ

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan tindakan speaker Dewan Undangan negeri (DUN) Perak V. Sivakumar semalam sebagai kelakar. Menurut beliau lagi, speaker itu berkelakuan mempersenda dewan berkenaan.

Nazri berkata, seluruh episod itu adalah satu 'komedi' kerana keputusan oleh Sivakumar itu 'amat tidak masuk akal'.Speaker bertindak sendiri menjadi hakim dan juri sedangkan beliau tidak langsung mempunyai bidang kuasa itu.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang dipengerusikan speaker DUN Perak, Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan anggota exconya dari menghadiri sesi DUN Perak selama 18 bulan berkuatkuasa serta merta.

Apa yang kelakar dan tak masuk akal sila jelaskan? Kalau hujah macam tu orang yang tak ada asas undang-undang pun boleh berhujah dengan lebih baik. Ini kenyataan menteri yang jaga undang-undang!

Sila baca komen, Profesor Dr. Aziz Bari, Pakar undang-undang dan Pelambagaan Malaysia.

Sungguhpun Dato' Dr Zambry Abdul Kadir Zambry tidak berpuas hati dengan Speaker DUN Perak, V Sivakumar atas keputusannya menggantung dan melarang beliau dan enam Exco daripada menghadiri sesi DUN, namun tindakan itu dibuat mengikut peruntukan kuasa yang ada.

Demikian pandangan pensyarah undang-undang Profesor Dr Aziz Bari yang menyatakan bahawa Sivakumar selaku speaker mempunyai kuasa untuk berbuat keputusan tersebut.
"Speaker ialah ketua Dewan...pada asasnya," katanya dan menyatakan terdapat kes penggantungan anggota Dewan Undangan Negeri oleh speaker DUN dan anggota Parlimen oleh speaker Dewan Rakyat sebelum ini.

"Kuasa speaker adalah sama di semua negara Komanwel," katanya dalam sebuah laman web.
Abdul Aziz berpendapat di peringkat persekutuan, Speaker Dewan Rakyat sebelum ini pernah beberapa kali membuat keputusan yang dianggap 'tidak munasabah, menolak usul, menggantung Ahli Parlimen dan sebagainya'.

"Kali ini giliran BN pula merasa," katanya.

Abdul Aziz memberitahu bahawa Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin mempunyai hak untuk membawa kes itu di makamah atas sebab 'posisi kabur kerajaan Zambry.'

Sementara itu peguam Karpal Singh juga turut bersetuju dengan tindakan Sivakumar dan menyatakan bahawa ianya di bawah bidang kuasa beliau selaku Speaker.

18 February 2009

SULTAN AKAN PERKENAN BUBAR DUN PERAK?

Seperti yang telah dijangkakan awal-awal lagi tindakan BN khususnya Umno menggunakan pintu belakang untuk berkuasa di Perak akan memakan diri sendiri.

Terkini Datuk Dr Zambry Abdul Kadir selaku 'menteri besar' Perak digantung daripada menghadiri sidang dewan selama 18 bulan, manakala kesemua enam exconya digantung selama 12 bulan.Beliau dan enam exconya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN itu berhubung dakwaan mereka telah menghina DUN apabila mengangkat sumpah jawatan Selasa lalu.

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.

Ini bermakna BN telah hilang majoriti di DUN iaitu hanya tinggal 24 kerusi itupun kalau campur 'tiga wakil bebas' yang telahpun diistiharkan melepaskan jawatan oleh speaker dun, S. Sivakumar.

Jika sidang Dun diadakan dengan mudah-mudah je usul untuk membubarkan Dun serta 'undi tidak percaya' pada 'kerajaan baru' diadakan.

Dalam hal ini tidak ada cara lain untuk menyelesaikan kemelut yang direka di Perak selain Sultan Perak kena memikirkan kepentingan rakyat dari segi sosio politik dengan memperkenankan pembubaran dun Perak.

Saya menjangkakan Dun Perak akan dibubarkan dalam tempoh terdekat! Apa perancangan Najib yang seterusnya? Najib sudah pasti tertekan dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi sudah wujud gesaan agar Pak Lah menangguhkan proses penyerahan jawatan PM kepada Najib

17 February 2009

AKIBAT KERAKUSAN BERPOLITIK: DUIT RAKYAT BAKAL LEBUR LAGI!


Pilihanraya kecil Bukit Lanjan sudah hampir pasti. Bermakna masa, tenaga dan duit rakyat bakal lebur lagi. Jika di Bukit Gantang memang tak dapat dielakkan kerana takdir Allah telah menentukan.

Tetapi apa yang berlaku di Bukit Selambau dan di Bukit Lanjan adalah sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku jika manusia bertindak matang dan waras. Tak bolehkah berpolitik secara baik dan profesional berlandaskan lunas-lunas demokrasi?

Apa perlu taktik kotor dengan rasuah, ugutan dan pelbagai strategi keji? Siapa yang menjadi mangsa?

Saya yakin pilihanraya 'tiga bukit' ini bukan yang terakhir jika tangan-tangan kotor terus dibiarkan bermaharajalela menyalahgunaklan kuasa dan kedudukan.

Apa yang pasti rakyat menjadi mangsa. Alangkah eloknya kos jutaan ringgit secara 'rasmi' yang bakal digunakan oleh SPR dan 'kos bawah meja' yang pastinya berlipat ganda lebih tinggi untuk pilihanraya kecil yang tidak perlu digunakan untuk manafaat rakyat dalam zaman kegawatan ekonomi.

Bayangkan berapa banyak golongan fakir dan miskin boleh dibantu? Berapa banyak rumah, jalan raya, parit dan longkang boleh dibina untuk keselesaan hidup rakyat? Berapa ramai lagi pelajar di sekolah dan universiti yang boleh dibiayai dari segi biasiswa dengan pembaziran yang tidak perlu ini?

Tidak ada cara lain selain daripada rakyat perlu bangun dengan menghukum mereka yang tamak haloba, gila kuasa dan lebih mementingkan agenda politik dan peribadi dalam pilihanraya 'tiga bukit', pilihanraya kecil seluruh Perak dan Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

16 February 2009

DI ANTARA CHUA SOI LEK DAN ELIZABERT WONG

Satu ketika dulu negara digemparkan dengan klip video 'terlampau' Chua Soi Lek di sebuah hotel di Batu Pahat Johor. Hari ini sekali lagi kita digemparkan dengan gambar 'separuh terlampau' Elizabeth Wong.

Chua Soi Lek telah meletak jawatan sebagai menteri tetapi kekal sebagai ahli parlimen dan kemudian kembali semula dalam politik dan menang dengan 'bergaya' jawatan timbalan presiden MCA.

Adakah Elizabeth Wong akan meletakkan jawatan sebagai Exco Selangor?

Apakah isu Chua Soi Lek dan Elizabeth Wong adalah isu yang sama dan berbeza?

Saya biarkan anda untuk membuat penilaian dan pertimbangan.

Bagi saya tak kira siapa baik dari BN dan Pakatan Rakyat jika isunya melibatkan tingkah laku tidak bermoral maka ia tidak layak untuk menjadi pemimpin.

SAMY VELLU AKAN DILANTIK JADI SPEAKER DUN PERAK?


Spekulasi yang mungkin agak lawak dan tak masuk akal. Tapi dalam Umno semua yang tak logik dan tak terima akal boleh jadi sesuatu yang munasabah.

Apa yang berlaku dalam rampasan kuasa di Perak membuktikan segala-galanya. Umno bertindak beraja di mata bersultan di hati. Membujur lalu melintang patah, tak kira halal haram habis semua diredah!

Orang Umno tak puas hati dan nak marah-marah dengan kenyataan saya? Marahlah...Tapi hakikatnya itulah pemimpin mereka lakukan.

Dalam satu kenyataan semalam, Pak Lah berkata BN Perak akan melantik speaker Dun yang baru menggantikan speaker Dun yang dilantik sebelumnya, V. Sivakumar.

Undang-undang mana yang Umno akan pakai kali ini? Adakah dalam Umno sudah tak ada cerdik pandai yang faham undang-undang? atau pun dah jadi tabiat Umno yang suka langgar dan memperalatkan undang-undang? Apa mereka fikir nak lantik Menteri Besar dan speaker Dun macam melantik pengerusi JKKK?

Jadi tak mustahil kalau Samy Vellu boleh dilantik jadi speaker Dun Perak dalam sistem undang-undang ala Umno. Kita tunggu apa tindakan Umno untuk menggantikan speaker Dun Perak yang sah sekarang.