08 October 2009

DAKWAAN AZEEZ DIPUKUL UNTUK MENGHALALKAN TINDAKAN SAMSENG UMNO DI BAGAN PINANG?


Semasa penamaan calon Bagan Pinang Ketua Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa dipukul oleh 9 orang yang didakwanya penyokong Pas. Tetapi sehingga hari ini beliau tidak dapat membuktikan kesahihan dipukul. Tawaran sehingga RM6500 kepada sesiapa yang tampil bersama bukti Azeez dipukul. Polis berkata, suspek telah dikenal pasti. Kalau dah kenal pasti maksudnya ada bukti dan saksi tetapi kenapa tak ambil tindakan sehingga sekarang?

Bagi saya semua ini adalah skrip yang telah sengaja dirancang awal oleh Umno untuk menggambarkan bahawa Pas sebuah parti yang ganas. Buktinya selepas itu dari sebesar-besar tokoh Umno sehinggalah kaki angguk semua membawa cerita yang sama bahawa Pas bertindak samseng di Bagan Pinang. Kalau Berita RTM dan TV3 tak payah ceritalah...malah cerita Azeez dipukul lebih banyak mendapat liputan berbanding tragedi gempa di Padang yang mengorbankan ribuan nyawa.

Semua ini terbukti bahawa selepas itu ada sahaja provokasi yang dilakukan oleh Umno yang bernaung di bawah ketiak SPR dan pihak berkuasa tempatan yang menurunkan bendera rakan Pas dalam Pakatan Rakyat.

Tetapi apa yang berlaku malam tadi makin mendedahkan kebiadapan dan kesamsengan penyokong Umno yang pastinya tidak bertindak tanpa arahan dari pihak atasan yang menyerbu bilik gerakan Pemuda Pas Pusat di Bagan Pinang. Tindakan menetak dengan parang dan membelasah petugas Pas sehingga cedera parah merupakan tindakan tidak bertamadun yang dilakukan oleh Umno.

Kenapa akhbar tak buat liputan dan menyiarkan gambar pemuda yang teruk dibelasah? Tetapi Azeez yang kononnya dibelasah sehingga terbaring dan kemudiannya bangun semula disiarkan secara meluas.

Saya yakin menjelang hari pengundian lebih banyak tindakan provokasi dan samseng akan dilakukan oleh Umno dan saya mengingatkan semua jentera Pas dan Pakatan Rakyat terutama petugas keselamatan agar bersiap sedia dengan provokasi yang bakal dilakukan. Semua ini menunjukkan bahawa Umno cukup terdesak untuk menang di Bagan Pinang.

07 October 2009

1DUNIA DAH TAHU...

Apabila idea 1Malaysia diperkenalkan maka semua kaki angguk di bawah turut bercakap idea yang sama. Sehinggakan ucapan Assalamualaikum pun dah bertukar kepada Salam 1Malaysia. Sahabat saya yang belajar di Timur Tengah kata dia pun tak tahu macam mana nak jawab salam tu...

Maka semua program, tema dan kain rentang semuanya memuji-muji idea 1Malaysia sehingga Islam Hadhari tak kedengaran lagi. Semua kadi dan mufti yang berkhidmat di bawah telunjuk Umno@BN tidak lagi bercakap Islam Hadhari semua kini bercakap tentang gagasan Islam 1Malaysia.

Begitulah penangan yang dibawa oleh idea 1Malaysia. Semalam dalam Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-35 di Paris, Datuk Seri Najib ingin 'menjual' pula gagasan 1Rantau,1Dunia.

Bagi saya tak perlu jual pun sebab 1 dunia dah tahu apa yang berlaku di 1Malaysia. Perasuah boleh jadi pemimpin. Ada rasuah halal dan ada rasuah haram. Seperti ada rasuah yang boleh dimaafkan dan ada rasuah yang tiada maaf bagimu.

1Dunia tahu apa yang dilakukan oleh Umno@BN di Perak. 1Dunia juga dah tahu apa yang berlaku kepada Altantuya. 1Dunia juga dah tahu apa yang berlaku dalam 1Malaysia yang sistem kehakimannya caca marba. IDunia juga dah tahu bahawa ada hakim di 1Malaysia boleh 'diajak berunding', dibawa melancong dan sebagainya.1Dunia juga dah tahu ada orang tak semena-mena tanpa gempa bumi dan taufan boleh jatuh tiba-tiba dari bangunan SPRM. 1Dunia juga tahu SPR kini menjadi alat kepada Umno@BN.

Kesimpulannya....tak perlu jual idea 1Malaysia....1Dunia dah tahu....Orang kampung saya pun tahu jugak......

06 October 2009

NAJIB: ISA PERLU DIBERI PELUANG....UNTUK SONGLAP DUIT RAKYAT?

Perdana Menteri 1Malaysia meminta agar pengundi di Bagan Pinang memberi peluang kepada Tan Sri Isa Samad untuk diplilih sebagai wakil mereka dalam pilihanraya kecil berkenaan.

Apa tak cukup lagi tempoh 22 tahun sebelum ini sebagai wakil rakyat dan Menteri Besar? Orang Negeri Sembilan mengakui sepanjang tempoh Isa Samad jadi Menteri Besar, Seremban contohnya yang menjadi ibu negeri Negeri Sembilan dikenali sebagai bandar mati berbeza dengan hari ini.

Apa tak cukup lagi Isa Samad songlap duit rakyat sepanjang jadi wakil rakyat dan Menteri Besar? Nak bagi peluang apa lagi? Nak tunggu sehingga khazanah dan duit rakyat habis licin?

BAGAN PINANG IBARAT MEDAN PERANG

Mantan Perdana Menteri, tun Dr. Mahathir terus melancarkan peperangan terhadap Tan Sri Isa Samad calon Umno di Bagan Pinang. Semalam Dr Mahathir menegaskan dia akan terus boikot untuk berkempen di Bagan Pinang. Beliau tidak mahu berkempen kerana ia seperti menyokong pelaku rasuah. Perasuah menurut beliau tidak layak dipilih menjadi pemimpin walaupun telah menjalani hukuman. Hari ini kempen hari ketiga pilihanraya kecil Bagan Pinang terus dicemari dengan rasuah sama ada secara terang dan nyata. Dalam masa yang sama beliau menyalahkan Pak Lah yang menjadi punca rasuah berluasa dalam Umno sekarang.

Golongan yang paling banyak mendapat habuan pastinya tentera atau bekas tentera yang dikatakan menjadi nyawa kepada Umno untuk menang di Bagan Pinang. Pelbagai bantuan, sumbangan dan janji mula ditabur untuk meraih undi. Poket penduduk dan pengundi Bagan Pinang dijangka akan terus bergegar tidak henti-henti seperti gempa bumi di Padang Sumatera.

Bagi saya memang bertepatan Port Dickson diistiharkan sebagai Bandar Tentera Darat sempena pilihanraya kecil Bagan Pinang. Tentera tidak dapat dipisahkan daripada peperangan. Dalam erti kata lain, Pakatan Rakyat berperang melawan rasuah yang kini didaulatkan dan menjadi kiblat Umno. Apabila sebut tentang perang, tentera yang ramai, senjata yang canggih dan duit yang banyak belum tentu menjamin kemenangan. Ini semua bergantung kepada strategi peperangan.

Oleh itu kepada semua jentera Pakatan Rakyat, mantapkan strategi, serang dan bertahan dengan cara yang betul, Insyallah kemenangan akan menyusul.

04 October 2009

CONFIRM! KETUA PUTERA UMNO PEMBOHONG!


Saya dah lama tak menonton Buletin Utama TV 3. Cuma hari ini tertengok apabila bertandang ke rumah jiran. Kalau semalam Ketua Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa beliau dipukul oleh penyokong Pas semasa penamaan calon semalam dengan menunjukkan 'merah-merah' di leher dan badannya. Dalam hati saya apabila berita beliau dipukul sebelum ini disiarkan, saya berkata macam mana 'Putera Umno' yang berlagak samseng semasa bertanding di Parlimen Baling dalam pilihanraya umum lalu dan menjadi juara membela mat rempit boleh kena pukul? Saya langsung tak percaya kerana walaupun 'dibelasah' oleh lapan lelaki seperti didakwa beliau masih kelihatan sihat waalafiat seperti yang dirakamkan oleh media dalam sidang akhbarnya semalam.

Naib Presiden Pas, Saudara Shalehudin Ayub menyifatkan Abdul Azeez seorang pembohong kerana sengaja ingin menimbulkan provokasi untuk memberi imej negatif kepada Pas.

Tiba-tiba hari ini dalam Buletin Utama disiarkan Abdul Aziz terbaring di hospital dalam keadaan cukup lemah dan tak bermaya. Ehhh...rupa-rupanya Abdul Azeez mengalami kecederaan serius selepas 24 jam...Mungkin orang yang memukul Abdul Azeez ilmunya hanya mujarab selepas sehari! Hebat betul lakonan! Kalau tak silap saya masa pilihanraya kecil di Terangganu Abdul Azeez turut mengemukakan dakwaan yang sama seperti di Bagan Pinang. Bila keluar berita ni sekali lagi muncul di Bagan Pinang saya nasihatkan agar Abdul Azeez lebih layak bertanding jawatan Ketua Puteri Umno pada pemilihan akan datang.

GEMPA DI SUMATERA TETAPI YANG RUNTUH BANGUNAN DI TERANGGANU

Masjid Kampung Batu Putih Kerteh Kemaman yang runtuh semalam

Kehilangan nyawa dan bangunan runtuh dua perkara yang berlaku setiap kali berlakunya gempa bumi seperti terbaru yang berlaku di Padang Sumatera Barat. Banyak nyawa yang terkorban dan bangunan yang runtuh atau tertimbus.

Tetapi lain pula yang berlaku di Terangganu, gempa bumi tidak, taufan tidak dan ribut pun tidak tetapi sering sahaja berlaku bangunan runtuh. Kalau sebelum ini bumbung sekolah dan stadium yang runtuh kali ini bumbung masjid pula yang runtuh.

Kejadian terbaru berlaku di Masjid Kampung Batu Putih tiba-tiba runtuh dan menimpa tiga buruh warga Indonesia yang datang untuk membaiki binaan itu di Kemaman, semalam. Kebetulan kejadian ini berlaku dalam parlimen Kemaman yang Menteri Besarnya berasal dari sana.

Pakar kaji bumi pastinya pening kepala dengan 'misteri' dan ' peristiwa pelik' yang berlaku di Terangganu. Selalu benar bangunan runtuh di Terangganu. Tak pasti le pulak sama ada masjid ini dibina era Datuk Idris Jusoh atau Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Jika begini keadaannya tidak mustahil 'tsunami' juga boleh melanda Terangganu bila-bila masa lebih-lebih lagi apabila senario politik di Terangganu di dalam Umno yang 'gempanya' tidak pernah berhenti menggoyangkan kepimpinan Ahmad Said sekarang.

03 October 2009

PEMUDA UMNO BOIKOT BAGAN PINANG?


Awal-awal lagi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin tidak bersetuju dengan pencalonan Tan Sri Isa Samad sebagai calon Umno. Berbeza dengan Tun Dr. Mahathir yang akhirnya 'bersetuju' Isa sebagai calon.

Tetapi Khairy nampaknya terus berpatah arang berkerat rotan apabila kelibatnya tidak kelihatan di Bagan Pinang pada penamaan calon hari ini. Walhal Bagan Pinang dan Rembau bukanlah jauh mana. Boleh jadi juga Khairy sibuk dengan menghadiri majlis rumah rumah terbuka.Berbeza dalam pilihanraya kecil sebelum ini, Khairy dengan lagak juara sering menjadi jurucakap Umno.

Apa maknanya tu? Maknanya jelas Isa bukan sahaja berhadapan dengan Pas dan Pakatan Rakyat di Bagan Pinang tetapi berhadapan dengan protes dan bantahan pemuda Umno yang diketuai oleh Khairy. Mungkin Khairy akan hadir selepas ini tapi bagi saya hanya sebagai memenuhi syarat dan mencukupkan korum je...Tak lebih dari itu.

TAK PERLU BOM NORDIN MAT TOP CUKUP ALLAH UJI DENGAN GEMPA BUMI...


Tempoh seminggu ini banyak peristiwa yang berlaku di sebalik kerancakan pilihanraya kecil di Bagan Pinang. Dalam sibuk-sibuk berpolemik dan berspekulasi apa yang berlaku di Bagan Pinang, kita turut merasa tempias dengan nasib saudara seagama kita di Padang Sumatera Barat. Dikhabarkan lebih 1000 ribu terkorban dan ramai yang masih hilang. Usaha mencari dan menyelamat sedang dilakukan. Pelajar kita yang berada dibawa pulang supaya tidak ada sesuatu yang buruk berlaku.

Gempa bumi itu turut mencetuskan kebimbangan berlaku Tsunami yang menyebabkan nelayan di negara kita tidak berani turun ke laut seperti di Kuala Muda dan Balik Pulau yang masih trauma dengan Tsunami yang melanda negara.

Dalam suasana panik itu, semalam jenazah Nordin Mat Top dibawa pulang dan selamat dikebumikan di kampung halamannya di Pontian Johor. Lebih 500 orang diberitakan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham semalam. Bagi saya cukuplah, usahalah kita terus berpolemik dan menghukum Allahyaryam dan keluarganya. Allah SWT lebih mengetahui segala-galanya.

Nordin diburu dan akhirnya dibunuh kerana 'gempa' yang dilakukanya. Nordin dan pengikutnya dikatakan mencipta dan menghasilkan bom yang sofistikated yang menyebabkan suasana panik dan menggerunkan bukan sahaja kerajaan Indonesia tetapi negara-negara yang lain.Ini menyebabkan beliau diburu selama 9 tahun sebelum ditewaskan. Kematian Nordin melegakan ramai pihak yang menjejakinya sekian lama.

Tetapi belum sempat saudara serumpun kita menarik nafas lega, Allah SWT menguji dengan gempa bumi yang agak dasyat yang pastinya jauh lebih kuat daripada bom yang pernah dihasilkan oleh Nordin Mat Top. Namun berapa ramai yang bermuhasabah bahawa gempa bumi dasyat ini amaran dan peringatan dari Allah SWT?

Di negara ini, maksiat berluasa, halal haram tak tahu nak beza, hukum hakam Allah SWT dipersenda, ulama dihina, perasuah dianggap mulia semua ini menjadi isyarat yang cukup jelas bahawa semuanya bakal mengundang bala dan balasan dari Allah SWT. Jadi selagi hayat dikandung badan dan nadi masih berdenyut...Beringatlah...

01 October 2009

GEMPA BUMI DI SUMATERA, TSUNAMI DI BAGAN PINANG


Gempa bumi yang melanda Sumatera Barat pada 7.6 skala richter turut menimbulkan suasana panik di negara ini termasuk di Melaka. Beberapa kawasan dan bangunan turut merasa gegaran walaupun jauh dari kawasan gempa.

Sehingga hari ini angka tak rasmi kira-kira 600 orang dipercayai terbunuh dalam tragedi berkenaan di Sumatera Barat. Sebelum ini ribut dan gempa bumi turut melanda Samoa yang mencetuskan ombak Tsunami yang telah menelan ratusan orang menjadi korban.

Dalam suasana panik dan menakutkan itu, ombak 'Tsunami' yang bakal melanda Bagan Pinang lebih digeruni oleh Umno@BN. Kekalahan atau menang dengan majoriti yang kecil bermaksud 'Tsunami' politik benar-benar melanda Umno@BN. Penolakan rakyat dalam pilihanraya umum ke 12 lalu merupakan 'Tsunami' yang tidak diduga sama sekali. Kekalahan dalam 7 siri pilihanraya kecil pasca pilihanraya umum itu mungkin lebih kepada 'ombak tujuh beradik' yang juga menakutkan tetapi tidak segerun 'Tsunami' yang melanda Umno@BN dalam piliahnraya umum lalu.

Tetapi jika tewas di Bagan Pinang Umno@BN pastinya akan lebih terpukul mengalahkan hempasan ombak Tsunami yang menakutkan itu yang membawa maksud Umno@BN boleh bersiap sedia menggali liang lahad untuk dikuburkan dalam pilihanraya umum ke 13.Umno perlu bersedia untuk menggali kuburnya sendiri daripada ditelan ombak Tsunami yang menyebabkan sehingga kini ramai yang hilang dan ghaib tanpa bernesan. Wallahu'alam.

30 September 2009

BAGAN PINANG: KUBUR UNTUK ISA ATAU UMNO?


Pagi tadi saya bersarapan dengan isteri di sebuah restoran berhampiran dengan Universiti Teknikal Melaka (Utems). Di meja sebelah berberapa orang pensyarah Utems rancak berborak dalam bahasa Inggeris tentang pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon di Bagan Pinang.

Apa yang mereka bualkan hampir sama dengan apa yang dinyatakan dalam blog ini dan kebanyakan blog lain. Umno tak ada pilihan selain mencalonkan Isa dan Umno tak boleh kalah lagi dalam pilihanraya kecil walaupun orang tahu Isa terlibat dengan rasuah. Umno terpaksa melutut untuk memilih Isa yang suku sakat, ahli keluarga dan penyokongnya cukup ramai di Bagan Pinang.Biarlah Umno dikatakan parti rasuah atau membela perasuah. Itu tak jadi hal, apa yang penting Isa ada peluang lebih besar untuk menang berbanding dengan calon-calon lain.

Benarkah begitu? Adakah pengundi Bagan Pinang hanya tunggul kayu yang akan memilih siapa sahaja calon tanpa mengira latar belakangnya? Adakah pengundi pos dari tentera yang berjumlah kira-kira 4 ribu orang akan termakan dengan pengistiharan Port Dicksons Bandar Tentera Darat oleh Perdana Menteri semalam?

Adakah pemilihan Isa bertujuan untuk menguburkan kerjaya politik Isa buat selama-lamanya? Isa dilihat mempunyai impian untuk mendapatkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini. Pemilihan Isa merupakan satu perjudian besar dilakukan oleh Umno. Pemilihan Isa sebenarnya menjadikan persaingan dalam pilihanraya kecil di Bagan Pinang adalah seimbang walaupun undi pos merupakan penentu kepada Pas atau Umno.

Bagi Pas yang mencalonkan Persuruhjaya Pas Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Bin Omar yang mendapat sokongan padu dari Pas dan Pakatan Rakyat, ketokohan calon akan membantu meningkatkan sokongan pengundi di Bagan Pinang. Jika Isa mampu ditewaskan maka bermakna 'tsunami' politik kedua melanda Umno@BN. Lebih-lebih lagi Umno cukup bermegah bahawa Bagan Pinang adalah kubu kuat mereka ( sebenarnya sebab ada undi pos). Jika Pas berjaya mengurangkan majoriti Umno@BN di situ itu sudah cukup sebagai satu kemenangan Pas dan Pakatan Rakyat.

Sekiranya semua pihak dalam Pas dan Pakatan Rakyat berkerja kuat untuk kemenangan calon Pas atau dapat mengurangkan majoriti undi Umno@BN yang diperolehi dalam pilihanraya umum lalu sebelum ini, ia sudah cukup jelas sebagai isyarat bahawa kerjaya politik Isa dan hayat politik Umno akan dikuburkan.