12 November 2009

Kickdefella : SEPERTI MELEPASKAN ANJING YANG TERSEPIT...

Saya melihat ada usaha berterusan dan terancang untuk memburukkan imej kepimpinan dan Pas secara keseluruhan menjelang pilihanraya umum ke 13. Pihak tertentu cuba menggambarkan imej Pas yang bertelagah sesama sendiri, menyimpang dari landasan Islam dan lebih jelik lagi kononnya terlibat dengan makan rasuah, skandal dan penyelewengan.

Dalam menjayakan misi ini mereka menggunakan pelbagai sumber misalnya maklumat 'orang dalam' untuk meyakinkan masyarakat.

Serangan ini cuba dilakukan bertubi-tubi setelah usaha memecah belah dan melaga-lagakan kepimpinan Pas menemui kegagalan.

Terkini, selang sehari dengan mendakwa Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat mendapat 'rasuah haji' dari VVIP tertentu perhatian dialihkan pula kepada menantu beliau Mohd Ariffahmi Abd Rahman yang juga Pengerusi Eksekutif Pejabat Perbadanan Menteri Besar.

Kali ini tindakan itu dilakukan oleh senior saya masa di USM dulu Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Kickdefella. Semalam beliau mengancam dan mengugut untuk mendedahkan segala 'penyelewengan' yang berlaku dalam PMBK. Kenyataan itu keluar setelah beliau dipecat dari jawatannya Pegawai perhubungan korporat di situ.

Tindakan pemecatan itu adalah wajar kerana tindakan untuk memburukkan imej PMBK yang dinaungi oleh Kerajaan Negeri Pas Kelantan di bawah anak syarikatnya. Tindakan yang saya sifatkan lebih kepada didorong oleh pihak tertentu dan mempunyai agenda peribadi untuk membalas dendam dan umpama melepaskan anjing yang tersepit.

Sebelum ini ketika beliau ditahan reman dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan dengan isu kempen kibar bendera Malaysia terbalik, Kerajaan Negeri yang bersusah payah dalam urusan jaminan dan menyediakan khidmat guaman terbaik untuk beliau.

Isu penyelewengan ini sengaja dicipta untuk memburukkan imej Pas dan pimpinan mereka khususnya Tuan Guru Nik Aziz agar rakyat hilang kepercayaan kepada Pas dalam pilihanraya umum akan datang. Cerita ini samalah dengan cubaan memburukkan EXCO dan ADUN Pas di Kelantan sebelum ini seperti yang dialami oleh Datuk Husam Musa yang akhirnya wakil rakyat Umno terlibat terpaksa memohon kemaafan kepada Husam kerana keceluparan mulut mereka yang menuduh tanpa asas dan bukti yang jelas.

Akhirnya saya ingin mengingatkan semua pihak dalam Pas di semua peringkat agar berhati-hati dengan agenda musuh ini untuk memberi imej negatif dalam usaha untuk menewaskan Pas dan pakatan rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.Apa yang dilakukan ini tidak lebih dari usaha untuk mengalih pandangan dan perhatian masyarakat tentang skandal, perpecahan dan penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan Umno@BN semakin gawat dan kronik.

11 November 2009

TOK GURU PERGI HAJI GUNA DUIT HARAM?


Saya rasa ada yang tak bersetuju dengan tajuk ini. Tetapi itulah yang cuba digambarkan oleh media milik Umno@BN kepada Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila Tuan Guru mengakui bahawa beliau ke Mekah kerana ditanggung sepenuhnya oleh seorang begelar VVIP dengan kos RM 65,000.

Menurut Tuan Guru ' Orang nak bawa saya ke Makkah, kenapa saya nak tolak. saya pergi ke Makkah jarang belanja saya sendiri. Orang tolong bayar. Semua orang berebut ( nak bawa ke Mekah). Selipar saya pun orang ambil. Dia kata bukan curi nak ambil berkat. Selipar saya di rumah saya tak boleh letak bawah, letak habis tak dok (hilang)".

Jika saya dalam situasi berkenaan, saya juga tak akan tolak. Tetapi siapa saya orang nak taja. Saya bukan Tok Guru dari taja saya baik bagi duit pada anak bini mereka ada juga faedah dah lebih besar pahalanya. Cuma bila ada jawatan di surau di kawasan perumahan biasalah kadang-kadang ada orang bagi kain pelikat dengan harapan orang yang beri sedekah supaya mereka boleh tumpang pahala bila digunakan beribadah.

Berbalik kepada kisah Tuan Guru yang ditaja mengerjakan haji adakah menjadi rukun Haji perlu menggunakan duit poket sendiri? Walaupun saya mengakui guna duit poket sendiri hasil titik peluh itulah yang paling afdal. Mufti Perak, datuk Harussani Zakaria juga mengakui bahawa dari segi hukum, Haji yang ditaja adalah sah.

Orang yang menaja pastinya ingin menumpang keberkataan dan mengharapkan ganjaran pahala apabila menaja pemergian Tok Guru ke Makkah. Tok Guru pastinya menyelidik dan mengenali latar belakang individu berkenaan. Jika orang ingin menaja adalah kaki rasuah, mengharapkan ganjaran atau projek dari Tuan Guru sebagai Menteri Besar Kelantan saya yakin awal-awal lagi Tuan Guru akan tolak.

Soalan saya sebagai penutup jika anda berkemampuan dan mempunyai kekayaan siapakah yang anda akan taja untuk mengerjakan haji ?

a. Datuk Seri Zambry Abdul Kadir
b. Datuk Seri Muhd. Ali Rustam
c. Datuk Adnan Yaakub
d. Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat

10 November 2009

AHLI DAN PENYOKONG PAS TERUS MELOPONG


Seminar Memperkasakan Pas telah mengariskan beberapa resolusi untuk memantapkan hala tuju pejuangan Pas dulu kini dan pada masa akan datang. Resolusi yang saya anggap cukup kemas dan mantap dalam menyelesaikan segala kekalutan dan konflik yang berlaku.

Tetapi saya tertanya-tanya adakah ahli dan penyokong akar umbi mendapat input dan gambaran yang jelas hasil seminar berkenaan. Ini memandangkan yang hadir dalam seminar berkenaan adalah pimpinan dari peringkat negeri, dewan-dewan dan kawasan. Apakah yang dilakukan setiap peserta atau wakil seminar berkenaan apabila balik ke tempat masing-masing?

Berbeza dengan Muktamar Tahunan Pas, selepas muktamar berlalu akan diadakan Munaqasah Ucapan Dasar Presiden di peringkat negeri dan kawasan supaya ahli dan penyokong di peringkat bawahan memahami dasar dan hala tuju parti untuk diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja untuk memperkasakan jemaah.

Satu perkara yang perlu disedari bukan semua orang di peringkat bawahan memahamai hasil resolusi seminar. Rasanya ada yang tak tahu tentang wujudnya resolusi berkenaan. Bukan semua ahli dan penyokong yang melayari internet untuk mendapat maklumat dan gambaran jelas apa yang berlaku. Kalau nak suruh baca Harakah rasanya ramai yang 'tumpang baca' dari membeli.Itu pun baca tajuk-tajuk yang dianggap sensasi dan panas. Kalau tajuk bercorak ilmiah seperti hasil resolusi rasanya golongan yang bawah-bawah tu tak baca pun!

Sekiranya tidak ada satu arahan yang jelas, pimpinan negeri, dewan-dewan dan perwakilan kawasan yang hadir perlu mengambil inisiatif untuk sekurang-kurangnya membuat satu majlis penerangan kepada ahli supaya tidak ada lagi orang diperingkat bawahan yang keliru dan terus melopong perkembangan yang berlaku dalam Pas. Wallahualam.

08 November 2009

SEMINAR BUKTI PAS LEBIH TERBUKA DARI UMNO@BN

Seminar Memperkasakan Pas telah membawa satu dimensi baru kepada dunia baru Pas. Walaupun masih ada kedengaran cakap-cakap belakang selepas berakhirnya seminar ini semalam.

Apa yang pasti Pas hari ini berjaya membuktikan keterbukaan dan ketelusan Pas untuk membina kekuatan dan imej baru merentasi persepsi negatif yang sering dilontarkan oleh media dan pemimpin parti lawan.

Pas bersedia dan berani menjemput tokoh profesional yang tidak berkaitan dengan Pas untuk 'membedah' bagi mencari sebarang punca atau wabak penyakit yang mungkin berlaku. Pas memberi peluang sebebas-bebasnya tanpa syarat kepada dua tokoh akademik iaitu pensyarah Universiti Islam Antarbangsa (UIA) Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan pensyarah dari Universiti Malaya (UM) Dr. Abu Hassan Hasbullah untuk memberi pandangan kritikal mereka tentang hala tuju dan perjuangan Pas masa kini.

Dalam masa yang sama Pas membenarkan semua media tanpa mengira latar belakang politik untuk membuat liputan tanpa halangan atau syarat. Media yang sering memberi laporan senget sebelah dibenarkan membuat liputan tanpa had dan batasan.

Apa yang dibuktikan dalam seminar yang dianjurkan oleh Pas semalam membuktikan Pas adalah sebuah parti yang terbuka dan bersedia mendengar pandangan dan kritikan berbeza dengan persepsi negatif sebelum ini bahawa Pas sebuah parti yang tertutup dan jumud.

Sebaliknya ia sebagai tempelakan kepada Umno yang sebenarnya tertutup dan jumud yang tidak sanggup serta gentar berhadapan dengan media selain dengan media pro mereka. Buktinya dalam Persidangan Agong Umno yang terbaru bukan sahaja media yang tidak sehaluan seperti Harakah dan Siasah tidak dibenarkan membuat liputan tetapi media berkecuali seperti Malaysiakini, Malaysia Insider dilarang sama sekali memasuki dewan untuk membuat liputan.

Semoga segala resolusi seminar akan segera diterjemahkan untuk memastikan Pas terus mewarnai arus perdana politik negara untuk menamatkan riwayat politik Umno@BN.

KELANTAN TEWAS...PAS PUN BOLEH TEWAS JIKA...

Malam tadi setelah sekian lama tidak menyaksikan aksi sukan boleh sepak tempatan saya menonton siaran langsung Pelawanan Akhir Kelantan-Negeri Sembilan. Atas kertas segala-galanya memihak kepada Kelantan. Semangat pemain dan jumlah penyokong yang saya kira lebih tiga kali ganda mengatasi Negeri Sembilan di stadium Bukit Jalil.

Saya bukan penyokong Kelantan atau Negeri Sembilan malah tidak menyokong mana-mana pasukan bola sepak tempatan. Atas pagar le tu...Tetapi berdasarkan perkembangan dan publisiti Kelantan pastinya pasukan pilihan. Tetapi apa kesudahannya Kelantan tewas 3-1 dalam perlawanan yang saya sifatkan berat sebelah.

Jika Kelantan pasukan pilihan untuk menang boleh tersungkur menelan kepahitan ditewaskan oleh Negeri Sembilan adakah Pas tidak boleh mengalami nasib yang sama?

Pas kini semakin mendapat tempat di mata masyarakat. Dulu Pas dikenali parti golongan 'pak lebai' kini Pas telah melepasi batas dan tembok itu. Malah orang cina dan India sudah tidak segan-segan dan secara terbuka menyatakan sokongan kepada Pas. Wakil rakyat Pas ada di semua negeri di Semenanjung kecuali Melaka. Program Pas di mana-mana mendapat sambutan hebat dan menggalakkan. Dari tukang kebun sehinggalah saintis dan koporat terkenal ada di dalam Pas. Ringkas kata dalam Pas...Semua ada...

Tetapi sikap tak apa, mengabaikan program parti terutama pembinaan diri dan tarbiyyah serta sikap terlalu yakin boleh memakan diri. Pilihanraya umum boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang. Apakah dengan isu yang berlaku dan imej Pas hari ini mampu mengekalkan momentum sokongan rakyat kepada Pas?

Bagi ahli dan penyokong teras Pas, sokongan kepada Pas pastinya tidak berbelah bahagi walaupun apa jua yang melanda tetapi cabaran Pas ialah mengekalkan sokongan rakyat tidak berparti khususnya sokongan bukan Islam.

Justeru itu semua pihak dalam Pas perlu melipat gandakan usaha dan meningkatkan sokongan dan momentum kepada Pas dalam usaha menjadikan Pas sebagai alternatif dan pilihan terbaik.

07 November 2009

DR ASRI SERTAI PAS, DR AZIZ BARI SERTAI UMNO?

Spekulasi ini mula belegar di kalangan ramai berdasarkan perkembangan yang berlaku. Dr. Asri diajak ( disuruh kata Ustaz Harun Taib) dalam satu pertemuan di rumah beliau di Kuala Lumpur. Isu JAIS menyebabkan tak pasal-pasal saham Dr. Asri melambung. Isu saman menyaman menyebabkan indeks saham beliau terus naik mendadak. Semasa seminar yang saya hadiri di Palace Of The Golden Horses kelmarin, slot Dr. Asri audien sampai terpaksa berdiri dan melimpah keluar dewan.

Andainya Dr. Asri ditakadirkan menyertai Pas dalam tempoh terdekat sudah pasti ia memberi pukulan maut kepada Umno@BN dengan populariti beliau sekarang. Sekaligus memberi momentum dan kekuatan kepada Pas sekarang yang berhadapan dengan situasi yang berlaku dalam kepimpinan Pas yang didakwa oleh pihak di luar Pas. Sekaligus memberi tonik terbaik kepada Pas setelah tewas di pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Begitu juga kepada Profesor Dr. Aziz Bari yang kebelakangan ini begitu 'celupar' mengkritik kepimpinan Pas. Beliau sebelum ini dilihat pro Pakatan Rakyat terutama dalam menyentuh isu-isu berkaitan dengan undang-undang dan pelembagaan. Maka tulisan dan ulasan beliau dijadikan 'fatwa dan hujah' Pakatan Rakyat untuk berhadapan dengan isu penyelewengan undang-undang khususnya dalam krisis yang dicipta Umno@BN di Perak.

Andainya Dr. Aziz menyertai Umno@BN ia pastinya akan memberi kekuatan kepada Umno@BN yang sekarang sedang berhadapan pelbagai krisis kronik sama ada dalam Umno sendiri atau melibatkan komponen mereka dalam BN khususnya MCA,MIC dan Gerakan.

Bagi saya kepada pimpinan dan penyokong Pas agar tak payahlah fikir spekulasi ini. Pas perlu bina kekuatan dari dalam bukannya mengharap orang luar memantapkan perjuangan Pas. Jika berlaku, anggaplah ia sebagai bonus dan bukan faktor penentu kepada kemenangan dan kemantapan jemaah. Berkaitan dengan keceluparan Dr. Aziz Bari dan kemungkinan menyertai Umno biarkanlah, Pas hari ini melangkah dan berdiri gagah kerana iltizam, keikhlasan dan pengorbanan pimpinan dan semua lapisan dalam Pas sehingga Pas begitu digeruni dan dicemburi pada hari ini. Seperti saya sebutkan sebelum ini individu boleh datang dan pergi. Mereka yang hidup akan menempuh saat mati tetapi perjuangan meneruskan kesinambungan dakwah yang dibawa oleh Nabi SAW perlu diteruskan. Berundur tidak sama sekali!

06 November 2009

SELAMAT MENGADAKAN EGM...ehhh...SEMINAR

Esok Kepimpinan Pas Pusat, Dewan-dewan serta saf utama Pas di peringkat negeri dan Kawasan akan berseminar untuk mencari formula dan titik persamaan menyelesaikan segala isu berlaku dan seterusnya memantapkan perjuangan Pas sebagai wadah dan alternatif kepada rakyat Malaysia yang begitu dahagakan perubahan dan pembaharuan setelah sekian lama diperintah regim Umno@Barisan Nasional yang penuh dengan skandal, krisis, rasuah yang mencengkam kehidupan rakyat.

Semoga pertemuan di Dewan Dato Fadzil Nor akan membawa lembaran baru kepada perjuangan Pas. Semoga pertemuan di dewan yang mengambil nama Allmarhum bekas presiden Pas akan kembali memarakkan semangat dan roh perjuangan Allamarhum yang banyak membawa dimensi baru kepada Pas hari ini.

Sebagai orang kecil dalam jemaah saya ingin melihat kemesraan, ukhuwwah dan semangat perjuangan yang selama ini sukar digugat akan kembali bertaut untuk meneruskan visi dan misi perjuangan Pas untuk meneruskan tradisi dan kesinambuangan perjuangan membawa mesej dan dakwah Islam kepada masyarakat.

Saya begitu mengharapkan agar semua pihak yang berseminar akan mencari formula terbaik dan bukan menunding jari kepada mana-mana pihak 'ribut dalam cawan' yang melanda Pas hari ini. Apa yang berlaku hari ini adalah satu proses tarbiyyah untuk memastikan Pas tidak menyimpang dari landasan perjuangan.

Kepada semua pimpinan yang hadir dalam EGM ehhh seminar esok...Selamat Berseminar.

04 November 2009

DR. ASRI AKAN DITANGKAP LAGI?

Saya baru sahaja mengikuti satu majlis ceramah dan perbincangan 'circle talk' bersama Dr. Asri di Palace Of Golden Horses di The Mines Seri Kembangan Selangor. Majlis itu bersempena dengan satu persidangan di peringkat kebangsaan.

Peserta program terdiri dari golongan profesional dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Ada juga pegawai kanan PDRM berpangkat supritandent di majlis berkenaan. Dari jabatan agama juga ada, tak pasti pulak dari JAIS ada atau tidak. Tetapi yang pastinya Dr. Asri masih lagi belum dapat 'tauliah' dari JAIS. Bermakna ceramah yang disampaikan adalah 'haram' bagi pihak JAIS.

Memandangkan Dr. Asri sekali lagi telah melanggar undang-undang memberi ceramah tanpa tauliah mungkinkah beliau sekali lagi akan ditangkap oleh polis dan JAIS?
Sedang menyampaikan ceramah secara 'haram', JAIS kena bertindak!

KENAPA WANG EHSAN DAN BUKAN ROYALTI UNTUK KELANTAN?

Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa Kerajaan Pusat setuju memberi 'wang ehsan' kepada Kelantan hasil daripada hasil petroleum dari pesisir perairan Kelantan. Perkara itu diumumkan dalam jawapan kepada ahli Parlimen dari Kelantan di Dewan Rakyat. "Pembayaran' itu akan dibuat melalui projek pembangunan dan projek membasmi kemiskinan setelah berbincang dengan kerajaan negeri.

Pengumuman ini sekali gus mengesahkan bahawa Kelantan memang layak memperolehi hasil petroleum dari bumi Kelantan.

Persoalannya mengapa wang ehsan dan bukan royalti? Wang ehsan bermakna diberi berdasarkan budi bicara dan bila-bila masa boleh ditarik semula. Adakah satu jaminan bahawa pembayaran itu akan dilakukan dengan telus dan adil? Adakah wang ehsan ini mengulangi episod wang ehsan seperti yang berlaku sewaktu Pas memerintah Terangganu? Apa yang berlaku? Kerajaan Pas Terangganu terpaksa mengemis dan terpaksa memfailkan tuntutan dan saman di mahkamah untuk mendapatkan hak wang royalti seperti yang termaktub dalam perjanjian dengan Petronas. Duit yang dinamakan wang ehsan itu diberi kepada 'wakil kerajaan pusat' di Terangganu.Pemberian wang ehsan itu ternyata satu pengkhianatan kepada rakyat Terangganu kerana wang ehsan itu diberi kepada mereka yang tidak berhak dan lebih bertujuan mengayakan kroni dan syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan Umno@BN kononnya atas nama pembangunan. Sebaliknya apabila Umno@BN kembali berkuasa di Terangganu status wang ehsan itu boleh berubah semula menjadi royalti.

Justeru itu perjuangan menuntut royalti untuk rakyat oleh kerajaan negeri Kelantan perlu diteruskan untuk memastikan hak rakyat Kelantan akan dapat dikembalikan untuk menikmati kemakmuran dan kekayaan ini dapat diagih dan diuruskan secara adil dan telus.

SATU LAGI PROJEK RUNTUH KERAJAAN BARISAN NASIONAL

Setelah jambatan runtuh meragut nyawa 3 murid di Kuala Dipang, Umno@BN meneruskan kecemerlangan mereka dengan satu lagi projek runtuh. Kali ini berlaku di Jalan persekutuan di KM 12 Jalan Rawang-Selayang di Bukit Kanching, Rawang yang terpaksa ditutup kepada semua lalulintas hari ini akibat cerun runtuh pada 2.45 pagi tadi.

Bayangkan jika berlaku ketika waktu puncak atau waktu sibuk, tidak dapat dibayangkan berapa lagi tragedi ini akan meragut nyawa. Seperti biasa maka keluarkan kenyataan-kenyataan...Siasatan akan dijalankan, laporan akan diberikan...Kerajaan akan menyalahkan pemaju..pemaju menyalahkan kerajaan...Rakyat? Dengar je lah.....Insyaallah anda mampu mengubahnya dalam PRU ke 13 akan datang.