29 November 2009

BERDOA PUN PERLU TAULIAH?


Senyap sekejap isu tauliah yang membabitkan bekas Mufti Perlis, Ustaz Dr. Asri Zainal Abidin. Kini timbul pula isu doa yang melibatkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hari ini pemimpin Umno dan 'ulama' Umno mempertikaikan doa TGNA terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno agar dibinasakan Allah jika mengkhianati rakyat Kelantan dalam isu tuntutan royalti.

Ikut suka TGNA nak doa kepada Allah SWT, yang pemimpin Umno sibuk-sibuk apa pasal? Dalam era 1Malaysia bukan sahaja tokoh agama perlu tauliah nak berceramah, nak berdoa pun kena dapat tauliah dari Umno dulu!

NAJIB DAN UMNO TAK PERLU TAKUT DENGAN DOA TOK GURU


Perdana Menteri Dato Seri Najib dan Umno tidak perlu risau dengan doa Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tak perlulah Datuk Hishamudin gundah dengan menuduh tindakan TGNA tak masuk akal.Jika mereka berada di pihak yang benar mereka tak perlu bimbang dan risau. Allah SWT lebih mengetahui segala-galanya. Tetapi jika mereka menipu, merampas hak rakyat Kelantan dan terus menindas rakyat maka patut bersedia menanti akibatnya. Doa mereka yang dizalimi tidak ada hijab di sisi Allah SWT.

28 November 2009

Ayah Kickdefella ialah Kolonel Mat yang Dimaksudkan TGNA?


Blogger Kickdeflla atau Syed Azidi Syed Aziz mengesahkan bahawa ayahnya yang juga kolonel bersara Syed Abdul Aziz Syed Razak yang juga dikenali sebagai 'Kolonel Mat' adalah individu yang dimaksudkan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai perancang konspirasi menjatuhkan kepimpinan Tuan Guru. Berita lanjut sila baca dalam Malaysian Insider.

KENAPA PEMIMPIN UMNO BERIA-IA MEMPERTAHANKAN BTN?

Sehari dua ni polemik tentang BTN hangat diperkatakan. Setakat ini pimpinan Pakatan Rakyat sama ada dari PAS, PKR dan DAP sebulat suara dan senada meminta BTN dimansuhkan. Bagi mereka yang pernah menghadiri kursus BTN mengakui bahawa BTN merupakan program perkauman dan propaganda politik murahan Umno. Jadi langkah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengharamkan BTN ibarat menggugat segala kempen dan kempen murahan Umno terutama terhadap pelajar pengajian tinggi yang baru menamatkan pengajian atau kepada kakitangan kerajaan yang baru berkhidmat.

Saya merupakan pelajar IPTA yang terselamat dari program BTN. Walaupun sebelum ini pernah diugut oleh pihak pentadbiran universiti bahawa jika tidak mengikuti kursus BTN akan berhadapan kesukaran untuk mendapat kerja. Ternyata itu semua cuma pembohongan dan taktik lapuk semata-mata. Bagi rakan-rakan yang pernah mengikuti BTN rata-rata meluahkan rasa kesal kerana BTN dijadikan alat UMNO untuk 'membasuh' pemikiran supaya menyokong Umno.

Jadi tidak hairanlah hanya Umno sahaja yang beria-ia dan bermati-matian mempertahankan BTN. Manakala pimpinan MCA,MIC dan Gerakan serta komponen BN yang lain hanya membisu dan tidak mengulas apa-apa tentang kewajaran BTN diteruskan.

Gelagat pemimpin Umno menggunakan BTN untuk kepentingan politik sempit sebenarnya tindakan terdesak dan menyalah gunakan duit rakyat yang menjadi pembayar cukai. Tindakan berkenaan bukan sahaja tidak beretika tetapi juga melampaui batas. Jika mereka berani sila buat kajian atau tinjauan berapa peratus rakyat negara ini yang bersetuju kursus BTN diteruskan dan berapa peratus yang setuju Umno menggunakan duit rakyat sebagai sumber menyebar propaganda mereka.

Untuk makluman pembaca blog dan pemimpin Umno yang beria-ia mempertahankan BTN, saya baru-baru ini telah diundang untuk menyertai satu kumpulan 'think tank' untuk menjadi penceramah kepada kakitangan kerajaan yang baru berkhidmat dan pelajar universiti yang sedang mengikuti pengajian di pusat pengajian tinggi. Apa yang lebih melucukan saya melepasi tapisan keselamatan dan senarai penceramah yang 'black list' pro pembangkang.Saya diminta agar 'membasuh' pemikiran kedua-dua golongan ini supaya menyokong kerajaan (Umno@BN). Insyaalllah saya akan guna kesempatan ini untuk menjelaskan betapa teruknya kerajaan umno@BN yang ada sekarang yang menjadi penyumbang kepada pelbagai masalah dan kegawatan sosial, politik dan ekonomi yang melanda negara.

27 November 2009

MB NEGERI SEMBILAN DISIASAT ISU DUIT RM 10 JUTA


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Muhamad Hassan disiasat oleh Bank Negara berkaitan pemindahan wang berjumlah RM 10 juta yang dilakukan melalui Pengurup wang, Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd pada tahun 2008 ke London. Tindakan tersebut ternyata melanggar undang-undang negara kerana setiap pemindahan wang ke luar negara melibatkan jumlah yang besar perlu melalui prosedur dan kebenaran Bank Negara. Malahan pemindahan wang melibatkan jumlah yang besar menimbulkan persoalan iaitu dari mana Mohamad Hassan dapat duit sebanyak itu dan apa tujuannya duit tersebut dihantar ke London?

Bank Negara dalam satu kenyataan semalam mengesahkan syarikat pengurup wang itu, Salamath Ali telah melanggar Seksyen 30 Akta Pengurupan Wang 1998 dan lesennya telah dibatalkan pada 26 Oktober.

Isu terkini melibatkan Mohamad Hassan seperti mengulangi episod bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhamamad Taib yang pernah ditangkap ketika sedang pikul guni duit di Brisbane Australia. Cuma Mohamad Hassan cerdik sedikit dari Mohamaad Taib kerana tidak pikul duit ke luar negara tetapi melalui orang tengah. Saya yakin isu ini akan tenggelam dan hilang macam tu sahaja melainkan ada pihak tertentu yang tidak mahukan lagi Mohamad Hassan menjadi MB Negeri Sembilan.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA EIDUL ADHA


Kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Menyambut Hariraya Eidul Adha kepada semua muslimin/ muslimat pengunjung blog ini. Marilah sama-sama kita tingkatkan pengorbanan untuk meningkatkan keimanan dan menjana taqwa di sisi Allah SWT. Lakukan pengorbanan dalam pengertian yang lebih luas dalam kehidupan kita. Insyaallah walaupun pengorbanan itu dilihat kecil tetapi sekiranya dilakukan dengan niat yang tulus ikhlas nilainya tinggi di sisi Allah SWT. Pengorbanan yang besar perlu dimulakan daripada pengorbanan yang kecil-kecil. Latih dan biasakan diri untuk melakukan pengorbanan Insyallah kita akan dapat merasakan nikmat dan kemanisan iman.

25 November 2009

ANWAR MENANG SAMAN: AKHBAR PRO UMNO DISERU TINGKATKAN FITNAH

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari memerintahkan NSTP membayar RM 100 ribu kerana artikel berunsur fitnah yang disiarkan pada tahun 2002. Kemenangan saman fitnah ini merupakan yang ketiga bagi pimpinan Pakatan Rakyat. Sebelum ini, Dato Mahfuz Omar dan Datuk Mustafa Ali turut Berjaya dalam kes saman fitnah pada akhbar yang sama pada tahun ini. Banyak lagi kes saman fitnah yang telah difailkan dan sedang dibicarakan di mahkamah termasuk saman yang dibuat oleh YAB Tuan Guru Dato Nik abdul Aziz Nik Mat terhadap akhbar Utusan Malaysia.

Selepas ini saya menyeru akhbar-akhabr pengampu dan penipu meningkatkan fitnah mereka kepada pimpinan Pakatan Rakyat supaya dapat memberi dana kepada Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan Umno@BN dalam pilihanraya umum akan datang. Kemenangan demi kemenangan kes saman fitnah terhadap akhbar pro Umno@BN ini membuktikan bahawa akhbar berkenaan tidak mempunyai integriti dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan telus kepada rakyat di negara ini. Sekaligus mendedahkan bahawa segala berita yang disiarkan tidak mempunyai nilai berita dan selayaknya edisi cetak akhbar berkenaan perlu diboikot. Daripada perabis duit beli akhbar pengampu dan penipu ini ada baiknya duit itu digunakan untuk beri pada fakir miskin atau sara anak isteri makan, ada juga faedah dan Insyaallah ada juga pahalanya.

24 November 2009

'HANTU' BAKAL BERKELIARAN DI KOTA SIPUTEH

Walaupun Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pilihanraya kecil Kota Siputeh ia tidak sama sekali mengubah keputusan asal Mahkamah Tinggi yang telah mengisitharkan bahawa DUN tersebut kosong. Bagi saya keputusan Mahkamah Rayuan boleh diumpamakan seperti sebuah rumah yang telah tinggal kosong dan tak berpenghuni tetapi masih lagi didapati 'berpenghuni'. Bila rumah kosong didapati berpenghuni maka boleh jadi yang berpenghuni itu adalah penunggu atau hantu.

Bermakna hantu-hantu itu hanya menunggu masa untuk keluar menyakat dan mengilai. Boleh jadi hantu-hantu itu akan keluar beramai-ramai pada hari pengundian nanti. Macam mana hantu ini boleh bebas berkeliaran? Pastinya hantu-hantu itu ada tuan dan pemiliknya. Jadi jangan memandai dan cuba menyakat dan menghalau yang bakal banyak berkeliaran di Kota Siputeh nanti kerana pastinya tuannya akan mengamuk nanti....Siapa pemiliknya? Mudah je nak kenal walaupun tak ada orang yang akan mengaku.Siapa yang menafi dan marah-marah bahawa wujud hantu di Kota Siputeh dialah pemiliknya. Biasanya pemilik hantu akan marah kalau ada orang yang membuat upacara menghalau hantu...Tak percaya nanti tengoklah...

23 November 2009

MUSIM ORANG JUMPA BOMOH, PAWANG DAN DUKUN?


Saya ingatkan hanya orang Malaysia je yang suka berbomoh. Apa tidaknya sikit-sikit jumpa bomoh. Kena sampuk, cari jodoh, nak laris meniaga malah terdapat tokoh politik nak jadi calon pilihanraya atau nak jatuhkan orang lain sanggup jumpa bomoh. Dalam bab bomoh, soal akidah halal haram jatuh nombor 2.

Di Serbia, bomoh juga menjadi rebutan dan tumpuan. Pihak berkuasa kesihatan Serbia sedang mencari bomoh misteri yang baru-baru ini menyembuhkan beberapa pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) yang cedera melalui rawatan termasuk urutan dengan uri kuda.

Marijana Kovacevic telah menghilangkan diri selepas pegawai kesihatan bersama anggota polis ingin mengunjungi klinik persendiriannya di Belgrade minggu lalu.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, Kovacevic yang merupakan doktor farmakologi tidak mempunyai lesen untuk mengamalkan rawatan fisioterapi.

Reputasinya sebagai bomoh ajaib untuk merawat kecederaan akibat bersukan tersebar meluas di EPL dengan pemain Arsenal, Robin van Persie dan pemain Liverpool, Yossi Banayoun, Albert Riera dan Glen Johnson dilaporkan mengunjungi Belgrade awal bulan ini.

Mungkin pasukan Bola sepak Malaysia juga boleh jumpa bomoh supaya ranking bola sepak tak merudum seperti tangga 159 sekarang.

Mungkin banyak benda pelik yang berlaku dalam Malaysia juga sebab guna bomoh, dukun dan pawang. Boleh buat magik. Ingat lagi kisah DUN Perak yang didedahkan oleh YB Idham Lim bahawa bomoh telah dibawa masuk sebelum sidang DUN bermula.

Agaknya keputusan Kota Siputeh yang bakal diumumkan oleh Mahkamah tinggi tentang penangguhan kekosongan hari ini juga boleh berubah. Kalau itu berlaku boleh jadi hakim juga tidak terkecuali sudah kena bomoh! Begitu juga jangan terkejut kalau bedah siasat kedua Teoh beng Hock tidak menemukan apa-apa. Boleh jadi semua pakar patologi dari Malaysia dan luar juga sudah kena bomoh!

Inilah juga yang berlaku dalam PKFZ, SPRM juga barang kali sudah kena bomoh sehinggakan laporan audit mendedahkan bahawa wujud penyelewengan tetapi SPRM seolah-olah tak nampak apa juga yang berlaku. Begitu juga dengan penyiasat pesendirian yang pernah dilantik oleh Altantuya tak mustahil juga sudah kena bomoh. Mana tidaknya dalam 24 jam boleh pusing 360 darjah kata Dato Deri Najib tidak terlibat dalam kes berkenaan.Lebih magik lagi P Balasundram boleh ghaib selama lebih 6 bulan tanpa dapat dikesan oleh polis Malaysia yang terkenal dengan kehandalannya.

Mungkin Hakim Mahkamah Persekutuan juga bakal kena bomoh berkaitan kes rayuan Dato seri Ir Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak. Oleh itu kalau banyak lagi benda pelik berlaku dalam negara kita selepas ini kita jangan terkejut boleh jadi semua itu gara-gara bomoh.Wallahualam.

22 November 2009

TEOH BENG HOCK DAN KOTA SIPUTEH MENGHANTUI UMNO@BN


Hari ini bedah siasat kedua Teoh Beng Hock akan diadakan oleh pakar patologi dari Malaysia dengan disaksikan oleh pakar patologi Thailand mewakili Kerajaan PR Selangor dan pakar patologi England mewakili SPRM.

Bedah siasat kedua ini sangat penting untuk mencari punca sebenar apa yang berlaku kepada Beng Hock. Sama ada dibunuh atau membunuh diri. Jika didapati membunuh diri segala-galanya tidak akan berbangkit lagi. Tetapi jika didapati dibunuh, akan muncul persoalan siapa yang membunuh atau yang mengarahkan Beng Hock dibunuh?

Walaupun terlalu awal untuk membuat spekulasi apa yang sebenarnya berlaku tetapi saya yakin tindakan SPRM menyiasat dan menyelongkar sehingga bawah tikar dalam kerajaan PR Selangor dan cubaan Umno@BN untuk menjatuhkan kerajaan PR akan dikaitkan sebagai dalang utama jika ia satu konspirasi terancang. Tidak dapat tidak Umno@BN pastinya gelisah ataupun tidak boleh berpura-pura atau buat-buat tak tahu dengan apa yang berlaku.

Manakala esok, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan sama ada membenarkan atau tidak rayuan SPR menangguhkan kekosongan Dun Kota Siputeh. Jika ditolak maka bukan sahaja imej SPR tercalar, imej Umno juga turut terpalit sama. keputusan itu sudah cukup menyebabkan bukan sahaja imej Umno Kedah buruk tetapi imej Umno@BN seluruh Malaysia juga rosak sama.

Kesimpulannya jika keputusan bedah siasat Beng Hock dan Kota Siputeh tidak memihak kepada kerajaan Umno@BN ia bakal satu malapetaka dan tsunami besar bakal melanda Umno@BN. Kedua-dua kes ini pastinya akan dijadikan sebagai senjata untuk melancarkan serangan balas terhadap isu-isu remeh temeh yang selama ini dilancarkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Akhirnya, jika Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Dato Seri Ir Nizar Jamaludin kekal sebagai Menteri Besar Perak ia umpama senjata pemusnah untuk memastikan Umno@BN bakal berkubur dan tinggal dalam lipatan sejarah. Namun, Umno@BN akan melakukan apa sahaja untuk memastikan mimpi ngeri berkenaan tidak menjadi kenyataan.