02 February 2010

ADEGAN YANG INGIN DILIHAT:MELIWAT SECARA ON LINE

Kisah ini berlaku di sebuah 1Negara di sebuah benua yang gemar betul dengan tuduhan liwat meliwat. Hakim sedang mendengar hujah peguam bela dan pendakwaraya berkaitan dengan satu kes liwat.

Peguambela : Kami membantah kes ini yang arif.

Hakim : Kenapa pulak, bukankah mangsa mengaku dirinya telah diliwat, siap bersumpah dalam masjid lagi.

Peguambela: Tapi yang arif...3 laporan perubatan dari doktor dan hospital berbeza menunjukkan bahawa pengadu tidak diliwat.

Hakim: Kita dengar dulu bagaimana pengadu diliwat, lagipun tak kan dia sengaja nak reka-reka cerita.

Peguambela: Tetapi yang arif pada tarikh kejadian yang didakwa, yang tertuduh ada bukti alibi bersama dengan 13 orang yang lain.

Hakim: Pendakwaraya macam mana, nak teruskan kes atau sebaliknya?

Pendakwaraya: Kami tetap nak teruskan kes, kerana kami ada bukti DNA.

Hakim: Tetapi masa kejadian yang dituduh tidak ada di tempat kejadian.

Pendakwaraya: Kita buat pindaan sedikit yang arif.

Hakim: Pindaan macam mana tu?

Pendakwaraya: Tertuduh didakwa kerana MELIWAT SECARA ON LINE.

Hakim:??????!!!!??
Peguambela:????!!!??
Tertuduh:%?!#!!??#

01 February 2010

TEMBELANG UMNO PECAH!

Cukup rancak sehari dua ini Umno menyerang Pakatan Rakyat dengan memberi gambaran bahawa PR sedang mengalami krisis keyakinan dan umpama retak menanti belah. Tidak dinafikan wujud sedikit masalah seperti 'pendarahan dalaman' menurut Lim Kit Siang tetapi tidak sampai mengalami komplikasi.

Isu melibatkan YB Khalid Samad, Dato Dr, Hassan Ali, Zuklifli Nordin dan beberapa ahli parlimen daripada PKR lebih kepada proses 'pendidikan' kepada PR. Tetapi apa yang berlaku kepada Umno-BN menyebabkan mereka sebenarnya dalam kepanasan. Tengku Razaleigh secara terbuka berada di pentas rakyat bersama kerajaan Pas Kelantan, Khairy didesak secara terbuka melepaskan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno menyebabkan parti 'juara rakyat' cukup tertekan.

Oleh itu tidak ada cara lain kecuali mengalih isu dan cuba menyogok wakil rakyat PR sama ada di parlimen dan Dun untuk berpaling tadah untuk 'memulih semangat' Umno-BN. Mereka tahu kalau mempelawa sekadar guna 'air liur basi' tak berkesan maka ratusan juta ringgit ditawarkan untuk wakil rakyat PR melompat parti. Dato Seri Anwar mendedahkan bahawa Dato Dr. Jamaludin Jarjis mengetuai komplot untuk menumbangkan PR. Siapa tak kenal JJ, bagi penduduk Rompin cukup mengenali beliau bahawa rasuah sudah sinonim dengannya untuk memastikan beliau kekal sebagai ahli parlimen Rompin. Maka saya tak pelik tugas untuk 'membeli' wakil rakyat PR diketua oleh JJ. JJ cukup dekat dan rapat dengan Presiden parti juara rakyat. sudah pasti beliau bukan bertindak bersendirian kalau tak buat apa susah-susah perabis bil telefon untuk menghubungi wakil rakyat PR dari Amerika!

Apa yang berlaku mendedahkan tembelang sebenar Umno yang bukan parti juara rakyat tetapi parti juara rasuah!

30 January 2010

DUA HOTEL DI MELAKA DAPAT ANUGERAH HOTEL TERKOTOR DI ASIA


Apakah malangnya rakyat Melaka. Rakyat melaka dimalukan sekali lagi! Selepas Eye On Malaysia disita hari ini rakyat Melaka diaibkan sekali lagi apabila dua buah hotel terkemuka di negeri ini mendapat anugerah hotel terkotor di Asia. Dua hotel berkenaan diletakkan kedudukan ke 4 dan ke 9 paling kotor di Asia berdasarkan satu kajian antarabangsa melalui maklum balas mereka yang pernah menginap di hotel berkenaan.

Perkara ini dinyatakan oleh Penasihat Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Chua Kim Tee.

Kini imej Melaka semakin merudum di kalangan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara. Dalam hal ini kita wajar berterima kasih kepada pihak hotel dan kerajaan negeri yang bekerja keras serta berganding bahu sehingga melayakkan Melaka mendapat anugerah yang cukup berprestij ini. Maka benarlah slogan yang terpampang apabila memasuki negeri Melaka ' Melawat Melaka bermakna melawat Malaysia'.

Jika Hotel Water City sebelum ini diarah tutup oleh kerajaan negeri kerana tunggakan hutang bil air kepada Syarikat Air Melaka dan hutang lain kita tunggu apakah tindakan kerajaan negeri dalam hal ini. Adakah kerajaan negeri akan bertindak terhadap hotel berkenaan yang salah sebuah daripadanya dimiliki oleh bekas pemimpin kanan Umno negeri ini.

PILIHANRAYA KAMPUS BAYANGAN APA YANG BAKAL BERLAKU DALAM PILIHANRAYA UMUM

Pilihanraya kampus yang sedang hangat sekarang dicemari dengan pelbagai insiden yang cukup memalukan. Belum pernah dalah sejarah, golongan terpelajar ini bangun menyatakan hak mereka secara beramai-ramai apabila demokrasi kampus cuba dicabuli dan dikhianati.

Kemenangan beberapa calon Pro Mahasiswa di UPM dibatalkan kerana didakwa berkempen dalam Facebook. Kemenangan Pro Aspirasi di UM dan UKM dibantah secara besar-besaran kerana dakwaan penyelewengan yang berlaku. Di UM bantahan secara luar biasa pelajar memaksa pihak Universiti menangguhkan keputusan yang diumumkan sebelum ini.

Kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Khaled Nordin bahawa pelajar yang membantah pilihanraya kampus sebagai tidak matang sebenarnya kena pada batang hidung beliau sendiri.Bercakap dan mengeluarkan kenyataan tanpa berdasarkan fakta dan menyiasat terlebih dahulu dakwaan dilakukan oleh pelajar. Adakah menteri ini fikir mereka yang membantah ini budak tadika atau pra sekolah? Mereka adalah golongan yang cukup cemerlang dalam pendidikan lebih-lebih lagi kejayaan mereka memasuki antara IPT yang terelit di negara ini.

Khalid Nordin mungkin cukup tertekan dengan apa yang berlaku di kampus sekarang kerana sudah pasti beliau akan terpaksa menjawab kepada orang atas kenapa berlaku kegawatan yang mencemar imej negara yang sebelum sudah cukup banyak dipalit aib.

Dalam hal ini saya memuji naib cancelor UM yang bersedia berunding dan mendengar serta akan menyiasat semua dakwaan yang dilakukan oleh pelajar.

Sebagai bekas pimpinan pelajar di IPTA di negara ini, diskiriminasi, penyelewengan dan manipulasi serta ugutan kepada pelajar yang tidak pro HEP (Umno-BN) bukan perkara baru. Pelbagai peraturan pelik akan dibuat untuk memastikan gelombang pelajar yang menyokong suara mahasiswa yang menjadi cerminan suara rakyat tidak berlaku di kampus. Pelajar akan diugut dengan pelbagai taktik seperti disingkirkan dari kolej kediaman dan dikenakan tindakan tidak masuk akal. Bagi kami bekas pelajar yang pernah memperjuangkan suara mahasiswa di kampus kalah menang adalah perkara biasa. Kami boleh menerima dengan terbuka apa juga keputusan jika proses pilihanraya dilaksanakan secara adil dan telus.

Apa yang berlaku dalam pilihanraya kampus sekarang memberi isyarat kepada Pakatan Rakyat untuk bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai taktik dan strategi yang lebih kotor yang bakal dilakukan untuk pihak Umno-BN dalam pilihanraya umum akan datang. Maka dalam hal ini pimpinan dan jentera Pakatan Rakyat di semua peringkat perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan. Isu remeh temeh, perselisihan pendapat dan kenyataan yang memberi gambaran negatif kepada Pakatan Rakyat perlu dielakkan. Agenda rakyat dan nasional perlu diberi keutamaan. Ini kerana penyertaan dalam pilihanraya akan datang adalah sebagai 'kerajaan dalam penantian' dan bukan lagi sebagai pembangkang.

29 January 2010

PROGRAM GEGAU 1 MALAYSIA: UMNO-BN TIRU PAS MELAKA

Banner GEGAU ANJURAN Umno-BN

PAS Melaka gegau lama dah...

Pada 4 Febuari ini dijadualkan akan dilancarkan program GEGAU 1MALAYSIA. Majlis itu akan dirasmikan oleh Presiden Umno Dato Seri Najib Tun Razak di Dataran Klebang. Katanya kehadiran dijangkakan 50 ribu orang. Saya dimaklumkan pihak sekolah, IPTA dan jabatan-jabatan kerajaan serta syarikat swasta di Melaka telah diberikan arahan untuk hadir ke program berkenaan.

Apa yang saya nak utarakan ialah Umno-BN Melaka seperti sudah tandus idea dengan meniru PAS Melaka yang telah melancarkan program GEGAU MELAKA pada 16 Disember 2007. Apa-apapun kita ucap terima kasih kepada kerajaan Melaka yang meniru idea PAS Melaka yang terbukti cukup berkesan 'mengegau' Melaka dalam pilihanraya umum lalu walaupun masih belum memenangi sebarang kerusi.

Kita tunggu siapa yang bakal 'bergegau' dalam pilihanraya umum akan datang. Apa yang pasti Umno-BN cukup 'bergegau' dengan sambutan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat di Melaka

UMNO GELABAH BILA AHLINYA DIKAITKAN SERANGAN GEREJA


Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali secara terbuka mendedahkan bahawa beliau mempunyai maklumat tentang serangan terhadap gereja yang dilakukan berkaitan isu kalimah Allah turut didalangi oleh ahli Umno.

Jika sebelum ini, pihak polis begitu mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mendapat maklumat agar mereka yang terlibat diburu sehingga ke lubang cacing. Malah, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sendiri mendedahkan bahawa pihaknya akan meneliti semua maklumat termasuk yang disiarkan di dalam blog.

Tetapi apa yang menghairankan, apabila Azmin mendedahkan dia mempunyai maklumat pihak yang terlibat dengan serangan gereja itu pihak polis hanya mendiamkan diri. Menteri Dalam Negeri, Datuk seri Hishamuddin Hussein awal-awal lagi mengeluarkan kenyataan bahawa pihak polis tidak memerlukan maklumat yang didakwa dimiliki oleh Azmin. Malah pemimpin Umno senada seirama menyifatkan kenyataan Azmin adalah kenyataan politik.

Belum lihat hujung pangkal dah kata kenyataan politik. Kalau ya pun, siasat le dulu baru keluar kenyataan sama ada ia berasas atau sebaliknya.Kata nak siasat tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik. Kenapa Hishamudin tidak mengarahkan polis untuk siasat atau dakwa Azmin jika tuduhan Azmin adalah palsu dan berunsur fitnah?Kengganan dan sikap berdolah dalih Hishamudin dan pemimpin Umno dalam hal ini akan menguatkan spekulasi bahawa Umno memang terlibat dalam serangan gereja!

27 January 2010

NIZAR USAH BERMIMPI JADI MB


Setelah beberapa bulan ditangguh, akhirnya Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan pada 9 Febuari ini untuk memuktamadkan siapa Menteri Besar Perak sama ada Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin atau Dato Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Bagi saya Nizar tidak perlu bermimpi untuk jadi Menteri Besar kerana beliau memang sudah jadi Menteri Besar Perak yang sah.Biasanya orang bermimpi kerana terlalu memikirkan atau teringinkan sesuatu. Mimpi juga dikatakan mainan dalam tidur.

Apa perlu Nizar bermimpi kerana sememangnya beliau Menteri Besar Perak yang sah dipilih oleh rakyat melalui proses pilihanraya berdasarkan prinsip demokrasi. Mana ada sejarah mana-mana tamadun dan negara era moden ketua sesebuah negara atau negeri dipilih oleh mahkamah. Kalau macam tu lebih baik tak payah buat pilihanraya. Bukan sahaja buang duit rakyat tetapi juga membazir masa.

Lagipun yang bakal membuat keputusan nanti ialah mahkamah Malaysia yang diselubungi dan dikaitkan dengan pelbagai isu serta skandal yang tak selesai-selesai. Apapun keputusan mahkamah nanti pada 9 Febuari ini tidak mampu menyelesaikan konflik politik di Perak. Ini kerana pemilihan Menteri Besar kali ini telah mengikut lunas di luar tabie.

Jika Nizar menang, adakah orang Umno@BN akan berdiam diri? Begitulah sebaliknya jika Zambry menang. Inilah padahnya bila sistem demokrasi dalam negara dikhianati dan dicabuli.

Tetapi sekurang-kurangnya apabila Nizar menang akan mengembalikan semula hak rakyat untuk memilih siapa Menteri Besar mereka yang sah kerana Nizar dan Pakatan Rakyat Perak cukup konsisten dengan pendirian untuk memohon perkenan Sultan untuk membubarkan DUN.

26 January 2010

ZULKIFLI NORDIN TERUS MENDEDAHKAN TEMBELANG SEBENARNYA


Sejak awal-awal lagi saya mendapati ada yang tidak kena di sebalik perwatakan sebenar Zulkifli Nordin ahli parlimen Kulim Bandar Baru yang semakin kerap beritanya dalam media-media milik Umno@BN.Akhir-akhir ini nada beliau senada dan seirama dengan pemimpin Umno, malah kadang-kadang bercakap seperti juru cakap Umno.

Beliau cuba menampil imej seorang pejuang Islam tetapi hakikatnya sikap yang ditunjukkan tidak mencerminkan akhlak yang sebenar. Isu kalimah Allah isu yang sengaja dipolemik untuk kepentingan politik dan bukan dalam erti kata memperjuangkan Islam yang sebenar. Bila berhujah gunakan hujah berdasarkan Al Quran dan hadis dan pandangan ulama muktabar. Kalau sekadar hujah dengan terjemahan yang tidak betul bersandarkan akal serta ditambah dengan pandangan ulama terompah kayu dan ulama upahan dalam Umno baik tak payah.

Bagi saya kehadiran Zulkifli Nordin dalam Pakatan Rakyat ibarat barah yang jika terus dibiarkan akan menyebabkan penyakit yang lebih kronik kepada Pakatan Rakyat. Biar hilang satu kerusi parlimen daripada menyimpan seorang wakil rakyat yang tidak faham konsep musyawarah dan berorganisasi serta tidak menghormati ketua. Saya cadangkan beliau masuk sahaja Umno atau menjadi ahli parlimen bebas seperti Ibrahim Ali yang tidak mempunyai maruah dan harga diri.

Dalam isu ini Zulkifli Nordin kena jelaskan benarkah wujud 'perjanjian' selepas Datuk Aziz Kadir Syeikh Kadir, calon Umno parlimen Kulim Bandar Baru yang 'bersetuju' tidak meneruskan petisyen di mahkamah selepas pilihannraya umum ke 12 kerana kegagalan Zulkifli Nordin menyediakan laporan kewangan kepada SPR semasa bertanding dalam pilihanraya 2004 yang menyebabkan beliau kehilangan kerusi parlimen berkenaan?

24 January 2010

TAHNIAH KERAJAAN PR KEDAH

Tahniah dan syabas kepada kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Azizan Razak kerana telah berjaya memenuhi 80 % janji dalam manifesto yang dijanjikan dalam pilihanraya umum 2008.

Walaupun belum 24 bulan mengambil alih pemerintahan Kedah dari Umno-BN kejayaan mencapai 80% janji manifesto adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Lebih-lebih lagi kerajaan PR Kedah sering diasak dan diserang dari pelbagai penjuru oleh pihak Umno-BN. Kalau markah periksa di sekolah atau universiti kerajaan PR Kedah sudah dapat A! Perkara itu diumumkan oleh exco Kerajaan Negeri, Siti Aishah Ghazali semasa berucap merasmikan Pasti Al Munnawarah Taman Lagenda Padang Serai Kedah.

Di antara janji dalam manifesto yang telah ditunaikan ialah :

1. Memperuntukkan sebanyak RM600 ribu setahun kepada sekolah agama rakyat. Disamping itu sebanyak 12.5 juta telah diperuntukkan kepada guru KAFA dan juga guru-guru Quran di kampung-kampung.

2.Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak 8.75 juta kepada Universiti Insaniah bagi pengurusan dan pentadbiran supaya institusi ini akan menjadi salah sebuah institusi yang terbaik setanding dengan IPT yang lain

3. Pada tahun 2009 yang lalu peruntukan sebanyak 26.5 juta kepada Maktab Mahmud telah ditambah kepada 28.5 juta pada tahun 2010 bagi menambahbaikkan institusi pendidikan agama tersebut di negeri ini.

Semoga kecemerlangan kerajaan PR Kedah akan turut menjadi contoh kepada kerajaan PR di negeri lain untuk membuktikan kepada pengundi dan rakyat di negara ini PR boleh menerajui dan mentadbir negara dengan baik seterusnya membuka langkah dalam persiapan mengambil alih Putrajaya selepas pilihanraya umum akan datang.

22 January 2010

SURAU DIBAKAR DI MUAR BAKAL DAPAT SETENGAH JUTA?


Selepas reda sekejap isu bakar gereja, semalam dua buah surau di Muar pula dibakar pada awal pagi. Dalam kejadian bakar gereja yang pertama di ibu kota, Perdana Menteri Dato Seri Najib yang membuat lawatan ke gerejaMetro Tabernacle Church Taman Malawati mengumumkan bantuan sebanyak RM 500,000 untuk memindahkan gereja berkenaan ke tapak baru.

Bagi saya tindakan bakar gereja dan bakar surau mempunyai agenda yang sama. Membuat khianat untuk mewujudkan suasana panik dan huru hara dalam negara. Cuma saya berharap kerajaan 1Malaysia tidak bersikap double standard dalam menyalurkan bantuan. Jika gereja diberi setengah juta maka surau juga boleh mendapat bantuan yang sama. Kalau tak RM setengah juta RM 50 ribu pun ok juga. Kalau tak boleh juga RM 5 ribu pun boleh untuk tabung surau. Lebih-lebih lagi surau yang dibakar dan dikhianati itu terletak dalam kawasan parlimen Timbalan Perdana Menteri.