02 July 2010

DAKWAT DALAM BORANG UMNO BELUM KERING SUDAH MENIPU?

Sudah beberapa kali saya mengulas isu 40 'ulama' muda yang didakwa menyertai Umno. Belum apa-apa lagi sudah banyak kontroversi yang wujud. Dari segi bilangan 40 yang didakwa datang pun sudah tak betul. Ada yang kata 40 dan ada yang kata tak sampai 40. Ada yang yang kata dijemput dan ada pula yang kata mereka tak ada dalam senarai untuk jadi 'ulama Umno'.

Jurucakap kumpulan 40 ulama itu, Fadlan Mohd Othman dan Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid kini saling nafi menafi serta saling tuduh menuduh di antara satu sama lain tentang cerita '40 ulama masuk Umno'. Saya tak pasti siapa yang betul, tetapi yang saya cukup pasti di antara keduanya ada yang jadi ulama penipu! Sehingga hari ini Mohd Hosni yang juga pensyarah Maahad Tahfiz Integrasi Sains Teknologi Selangor tampil di pentas terbuka menafikan bahawa beliau mengisi borang Umno. Katanya 'saya memang tiada niat untuk masuk Umno... belajar agama tinggi nak masuk Umno buat apa?”.

“Saya hadir ke program ini kerana diberitahu oleh seorang tokoh agama Umno bahawa Perdana Menteri mahu menemui pelajar-pelajar yang pernah belajar di Timur Tengah.

“Jadi apabila diberitahu begitu saya tanpa syak wasangka bersetuju untuk mengikut tokoh agama menghadiri program itu.


Manakala Fadlan pula melalui media terus menafikan bahawa empat orang yang mempertahankan dijemput ke majlis berkenaan termasuk dalam senarai masuk Umno.

Pening juga dibuatnya, mungkin inilah hasil tarbiyyah pertama bila menjadi ahli Umno. Kalau ya pun tunggulah dakwat dalam borang Umno tu kering dulu....

30 June 2010

TAKUT DITIMPA BALA, PERTEMUAN SPRM-BALA BATAL


Saya awal-awal lagi tidak meyakini bahawa SPRM akan bertemu dengan penyiasat persendirian P Balasubramaniam di Kota London berkaitan isu pembunuhan Altantuya.Sejak kes ini tercetus SPRM seperti bersandiwara seolah-olah ada sesuatu yang menghalang badan berkenaan melaksanakan tugas dan melakukan siasatan secara telus dan bebas.

Maka hari ini tak semena-mena tanpa ada hujan dan ribut SPRM membatalkan pertemuan untuk merakamkan kenyataan Balasubramsniam tentang kes pembunuhuhan berkenaan.

Alasan yang diberi oleh SPRM berkaitan implikasi undang-undang menimbulkan tanda tanya dan kemusykilan. Sebelum ini SPRM begitu beria-ia akan mengadakan pertemuan tersebut pada minggu depan. Saya yakin segala urusan seperti tempahan tiket kapal terbang dan penginapan telah diuruskan di Kota London. Mengapa secara tiba-tiba pertemuan yang dicadang dibatalkan secara tiba-tiba.

Adakah sebelum ini pihak SPRM begitu naif tentang segala kemungkinan atau implikasi undang-undang seperti yang didakwa? Semua ini menguatkan spekulasi bahawa ada sesuatu yang berlaku di sebalik tragedi pembunuhan ini. Walaupun dua tertuduh telah didakwa dan dijatuhkan hukuman itu semua belum cukup untuk menyakinkan rakyat di negara ini tidak ada tangan-tangan ghaib yang terlibat.

Mungkinkah ada pihak tertentu yang mula terasa bahang dan menghidu bala yang menimpa jika pertemuan Balasubramniam dan SPRM menjadi kenyataan? Maka jika telahan ini benar maka buat seketika pihak yang terbabit boleh menarik nafas lega buat seketika tetapi tidak bermakna akan selamat daripada bala buat selama-lamanya.Apa yang pasti kebenaran akan terserlah dan kebatilan akan lenyap dan hancur binasa.

27 June 2010

PAS ADA BERPULUH RIBU ULAMA

Tak habis-habis lagi Umno menjaja cerita tentang penyertaan 40 'ulama' muda yang masuk ke parti itu. Sebenarnya tak sampai 40 pun, ada yang datang kerana tertipu dengan helah Dato Shahidan Kassim kononnya untuk membersihkan nama mereka dari senarai golongan militan. Digelar pun 'ulama muda',masih mentah dengan sepak terajang politik.

Ada pemimpin Umno kata, Umno kini terbukti perjuangkan Islam. Ada yang kata dasar Umno betul. Paling tak masuk akal ada yang kata penyertaan itu satu tamparan kepada Pas. Pas tergugat ke? Untuk makluman pemimpin Umno, dalam Pas penyertaan Ulama muda atau ulama tua tidak pernah surut. Bukan hanya di peringkat kawasan, malah di peringkat cawangan tidak pernah ketandusan Ulama. Di cawangan tertentu seperti di Kedah, Kelantan dan Terangganu ada cawangan memiliki limpahan ulama yang silih berganti. Tak bising-bising pun!

Kalau nak dikira jumlah mereka yang bertaraf 'ulama' sama ada dari aliran pendidikan pondok, para huffaz, graduan IPTA dan IPTS aliran agama dari dalam atau luar negara saya jangka bukan berpuluh tetapi berpuluh ribu. Mereka memainkan peranan tertentu sama ada secara tidak langsung dengan menjawat jawatan penting di masjid dan surau atau secara langsung bergiat aktif dalam Pas.

Penyertaan ulama dalam Pas menyebabkan tertubuhnya sayap parti yang memainkan peranan penting iaitu Dewan Ulama Pas. Mampukah Umno menubuhkan Dewan Ulama Umno? Masalah yang timbul siapa pulak akan jadi Mursyidul am Dewan Ulama Umno? Dato Hamid Othman atau Dato Yusof Noor? Mungkin juga ustaz yang tendang tong sampah dalam pilihanraya umum di Permatang Pauh dulu boleh dipertimbangkan.Mungkin Dato Jamil Khir yang senyap membisu dalam isu lesen judi bola boleh jadi timbalannya.

Jika era Pak Lah yang dianggap keturunan ulama Umno dikatakan mendapat sokongan 'ulama' mampukah zaman 1Malaysia yang diselubungi pelbagai isu dan skandal untuk membawa imej kepimpinan Islam?

26 June 2010

40 'ULAMA' UMNO AKAN SENASIB SEPERTI KISAH ALI BABA DAN 40 PENYAMUN?

4O 'ulama' masuk Umno. Itu antara tajuk utama muka depan akhbar yang menjadi pengampu nombor 1 Umno. Tak tahulah apa kriteria yang digunakan oleh media atau pemimpin Umno untuk menggelar mereka ulama.

Presiden Umno kata itu bukti Umno tegakkan Islam. Ohhh.. patutlah lulus lesen judi sebelum ini untuk menegakkan Islam rupanya. Tetapi kenapa ramai isteri pemimpin parti yang mendakwa tegakkan Islam rambut terjulur keluar? Hukum dan kitab fekah mana yang mereka pakai? Harap-harap 'ulama' dalam Umno dapat keluar fatwa.

Seorang kawan saya yang ada hubungan saudara sebelah isteri yang balik dari Jordan kini jadi YB Umno pernah beritahu tak pe lah isteri pemimpin Umno tak tutup aurat sebab katanya zaman Nabi ada isteri Nabi yang kufur. Nauzubillah...sedar tak apa dia cakap? Tapi inilah contoh hasil tarbiyyah yang dia dapat hasil usaha untuk membersihkan Umno. YB ni kalau bersalam dengan perempuan bukan mahram dah tak jadi kudis gatal....Pemimpin Umno yang lain sama je 2 X 5...Inilah contoh Islam ala Umno.

Sepanjang zaman Umno disertai oleh 'ulama-ulama' hebat tetapi apa yang berlaku pada mereka?Contohnya Dr Hamid Othman (bekas Prof Madya UKM BA Azhar, Phd UK) , Dr Abdullah Mohd Zin (bekas Prof Universiti Sains Islam Malaysia USIM, BA Madinah, Phd UK), Dr Yusof Nor (bekas Prof Madya UKM, Phd Mesir), Brg Jeneral Hamid Zainal Abidin, Dr Ismail Mat (UKM), Ustaz Nakhaei Haji Ahmad. Berjayakah mereka mengislamkan Umno. Terbukti mereka akhirnya tenggelam dan karam dengan dunia politik Umno.

Kita tunggu apa yang berlaku pada 40 'ulama' muda ini. Adakah mereka juga akan menerima nasib yang sama seperti dalam cerita Ali Baba dan 40 penyamun....sama-samalah kita tunggu.

24 June 2010

UMNO HANYA MAMPU LAHIRKAN ULAMA COPY & PASTE


Copy & paste istilah yang cukup popular terutamanya kepada pelajar kolej dan universiti yang memilih jalan singkat untuk menghasilkan tugasan. Bermakna karya atau tulisan orang lain diciplak tanpa izin serta membuktikan pelakukanya seorang yang kering idea serta memiliki pemikiran dan ilmu yang dangkal.

Inilah yang berlaku daripada 'ulama' hasil produk keluaran Umno. Setelah teruk diasak tentang keceluparannya mengaitkan tokoh negara dan pimpinan Pas terlibat dengan Jemaah Islamiah akhirnya Zamihan Mat Zin - penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) mengakui bahawa beliau hanya copy paste berdasarkan tulisan Ustaz Dr Asri Zainal Abidin. Beliau juga menafikan mengaitkan Tuan Guru Dato seri Hj. Hadi Awang dengan JI.

Katanya, tafsiran itu dibuat berdasarkan tulisan Dr Asri melalui sebuah buku Bid'ah: Istilah yang disalahfahami yang diterbitkan beberapa tahun lalu. “Saya hanya copy and paste (salin dan tampal) pandangannya yang menyamakan (sambutan) Maulud Nabi dengan amalan orang Kristian,” jelasnya.

Maka kita berharap agar Umno akan melahirkan lebih ramai ulama copy paste seperti Zamihan.

BILA DR MAHATHIR TAK BELAJAR SEJARAH


Saya tak pasti kitab sejarah mana yang Tun Dr. Mahathir baca apabila beliau berkata Pas yang tertubuh hari ini diasaskan oleh bekas ulama yang sebelum ini berada di dalam Umno. Beliau berkata demikian sebagai menghangatkan spekulasi penyertaan 100 'ulama' yang akan masuk secara borong ke dalam Umno esok.

Untuk makluman Dr. Mahathir sewaktu mengambil subjek sejarah di sekolah dahulu saya tidak pernah dapat gred A- ke bawah. Minat dalam subjek sejarah menyebabkan saya membuat pengkhususan dalam subjek sejarah semasa di universiti walaupun kerjaya saya sekarang tidak lagi berkaitan dengan subjek sejarah. Bukan nak bangga diri tetapi sekadar nak beritahu bahawa beliau mungkin boleh kelentong penyokong Umno tegar tetapi bukan generasi seperti saya.

Tidak pernah pun saya terbaca dalam mana-mana kitab sejarah bahawa tokoh-tokoh terulung yang mengasaskan penubuhan Pas seperti Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Dr. Burhanudin Al Helmy,Dr. Hj Abbas Alias Ustaz Ahmad Fuad dan ramai lagi yang mengisi borang menjadi ahli Umno.

Mereka terdiri daripada golongan yang mendapat didikan di Timur Tengah yang digelar sebagai Kaum Muda yang berjuang secara konsisten menentang penjajah British. Mereka mengasaskan institusi pendidikan untuk mendidik anak bangsa tentang Islam sebenar seperti Ehya Al sharif di Gunung semanggol yang disifatkan oleh British sebagai 'bahaya dari gunung'.

Kronologi kisahnya panjang tetapi sehingga hari ini tokoh-tokoh ulama yang mengasaskan Pas tidak sama sekali 'kebulur' untuk menjadi ahli Umno.

Apa yang saya tahu adalah beberapa pimpinan dan tokoh Pas yang menyertai Umno seperti Ustaz Nakhaie Ahmad yang kini menjadi 'ulama besar' bertaraf mursyidul am dalam Umno.

Hari ini 'ulama-ulama' yang ada dalam Umno merupakan golongan yang tercicir dari jalan dakwah serta mereka yang terpesona atau terpedaya dengan habuan yang ditawarkan oleh Umno dengan cuba mencari jalan pintas dalam perjuangan tanpa memahami sirah sebenar perjuangan yang dibawa Nabi SAW.

Pas memang dikenali tidak pernah tandus tokoh-tokoh ulama yang sentiasa bersilih ganti untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Islam. Maka Umno yang gerun dengan sokongan padu ulama-ulama muda cuba mencari jalan untuk 'mengislamkan' Umno. Antaranya ditubuhkan ILIM ( Institut latihan Islam Malaysia). Tetapi sayangnya pusat latihan seperti ILIM ini gagal menyaingi sistem tarbiyyah sudah bertapak sekian lama dalam Pas. Maka lahirlah golongan 'ulama' dari ILIM yang hanya pandai membodek dan mengampu pemimpin Umno seperti Zamihan Mat Zin yang membuat tuduhan bangang bahawa Presiden Pas terlibat dengan JI.

Sebenarnya 'ulama-ulama' Umno seperti Zamihan dan yang sewaktu dengannya bukan akan menguatkan dan membawa imej Islam dalam Umno tetapi sebenarnya menyebabkan Umno terus dipersenda dengan imej Islam 1Malaysia misalnya 'fatwa' menghalakan kerjasama dengan APCO milik Yahudi dan begitu kemaruk hendak meluluskan lesen judi bola

23 June 2010

KERAJAAN UMNO-BN TERDESAK TUDUH PRESIDEN PAS DENGAN JI


Kerajaan Umno-BN sudah tandus dan hilang modal untuk berhadapan dengan pengaruh dan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Isu Jemaah Islamiah (JI) adalah cubaan terkini Umno-BN untuk mengkaburi pandangan umum untuk mengaitkan tokoh Pakatan Rakyat dengan anasir JI.

Memetik laporan Malaysiakini berdasarkan taklimat Keselamatan yang dihadiri oleh pegawai tertinggi polis di sebuah hotel di Sepang malam semalam mengaitkan Presiden Pas Tuan Guru Dato Hj. Abdul Hadi Awang dengan JI. Turut disenaraikan ialah bekas Menteri Besar Perlis,Datuk Seri Shahidan Kassim. Manakala Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan bekas mufti negeri itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin dikaitkan dengan penyebaran fahaman wahabi.

Patutlah Perdana Menteri 1Malaysia beria-ia mempertahankan bahawa anasir JI wujud di negara ini. Rupa-rupanya seperti dijangka tokoh Pakatan Rakyat khususnya Pas akan dijadikan sasaran untuk mengkaburi dan mengelirukan rakyat bahawa Pas terlibat dan menaja aktiviti keganasan.

Tuduhan ini merupakan satu penghinaan dan tindakan yang begitu memalukan apabila Umno-BN cukup terdesak dengan menggunakan taktik keji dan kotor mengaitkan tokoh ulama dalam negara yang terkenal dengan ketokohan ilmu serta disegani kawan dan lawan dengan tuduhan yang tidak berasas.

Ternyata, piliuhanraya umum yang semakin hampir menjadikan Umno-BN hilang pedoman dan cuba bertindak di luar batas kemanusiaan serta bertentangan dengan prinsip dan lunas demokrasi.

Walau bagaimanapun saya menyeru semua pimpinan, ahli dan penyokong pakatan Rakyat agar bertenang serta tidak terpengaruh dengan fitnah dan propaganda yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN untuk memastikan strategi kotor Umno-BN akan memerangkap diri mereka kembali.Saya cukup yakin rakyat di negara ini cukup matang dan boleh menilai situasi terkini yang berlaku dalam negara.

20 June 2010

ISU JI DAN MILITAN ITU TANDANYA PILIHANRAYA DAH DEKAT

Saya agak pelik dan keliru dengan pengumuman Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan perdana Menteri tentang kewujudan anasir Jemaah Islamiah JI dan militan di IPT dalam negara dan di Timur Tengah.

Pertama, mengapa kerajaan beria-ia mengumumkan dan mempertahankan ada pelajar dan pensyarah terlibat dengan JI? Sepatutnya kerajaan melalui pihak keselamatan bertindak dengan menangkap pihak yang terlibat. Bukankah Malaysia ada pihak polis yang cepat dan pantas bertindak? Bukankah Kerajaan 1Malaysia ada ISA yang sering digunakan kononnya dalam menangani kegiatan pengganas?

Mengapa kena dedahkan pada media tentang anasir JI yang didakwa wujud? Bukankah jika dakwaan tersebut benar maka pihak yang terlibat akan bertindak untuk menutup aktiviti yang dilakukan ataupun menghapuskan bukti. Jika ada bom c4 misalnya pastinya bom itu telah disorok atau dibuang.Jika tidak pun seolah-olah memberi ruang kepada pihak yang mungkin terlibat untuk melarikan diri.Maka sekarang menjadi tanggungjawab Menteri Dalam Negeri untuk membuktikan dan mengheret mereka yang terlibat dengan JI seperti yang didakwa.

Sekaligus pendedahan anasir JI yang didakwa satu tindakan tidak bijak dan menimbulkan 1001 persoalan. Maka kerajaan 1Malaysia tidak boleh melenting seperti reaksi yang ditunjukkan Dato Hishamudin yang marah-marah apabila Dato Seri Anwar berkata isu JI adalah usaha Umno-BN untuk mengalih isu dalam negara. Spekulasi bahawa isu JI ada motif tertentu semakin hangat apabila Perdana Menteri 1Malaysia terpaksa berusaha meyakinkan rakyat di negara ini bahawa anasir JI memang wujud. Umpama cerita Panglima Bujang Lapuk...Ini betul-betul...bukan cubaan...

Maka saya turut berspekulasi adakah pilihanraya umum ke 13 sudah semakin hampir? Skrip dan dialog yang macam sama. Apabila ada isu militan seperti Tragedi Bukit Jenalek tidak lama dahulu maka tak lama kemudian parlimen dibubarkan....Lebih-lebih lagi kajian Merdeka Centre yang sering menjadi alat Umno-BN mengumumkan populariti Najib meningkat 70 %....Jika betul itu angkanya maka istiharkan pilihanraya kecil di Parlimen Batu dan Kota Siputeh..Kita ltunggu ihat nanti siapa yang dapat 70% sokongan rakyat.Setakat ini saya melihat Umno-BN cukup bermadah dan berhelah untuk menghadapi pilihanraya kecil. Tetapi saya menjangkakan selewat-lewatnya selepas perbicaraan Liwat 2 DSAI berakhir. Kenapa dan mengapa....anda pasti ada jawapannya.


1BERITA, 1PERISTIWA JUMLAH TAK SAMA

Saya yakin ramai yang tidak setuju apabila saya sering melabelkan media dikuasai oleh Umno sebagai media penipu dan pengampu. Bagi saya akhbar dikuasai oleh Umno-BN hanya boleh dipercayai dari segi nombor bilangan muka surat, waktu solat dan keputusan empat nombor ekor. Lain-lain tu boleh baca nak percaya kena tapis 10 kali dulu.

Misalnya berita tentang Majlis Penutupan Sukma ke 13 di Melaka malam tadi. Cuba kita lihat dua edisi berita daripada Bernama. Pertama di bawah tajuk 'Sukan akan dijadikan Agenda Pembangunan Utama Negara'

....Berucap di hadapan kira-kira 50,000 hadirin, Perdana Menteri berkata penglibatan dalam bidang sukan boleh melahirkan modal insan cemerlang dan seimbang daripada segi kerohanian dan fizikal.

Dalam media yang sama bawah tajuk 'Acara Penuh Tradisi Negeri Iringi Majlis Penutup SUKMA Melaka

Majlis berkenaan disaksikan lebih 30,000 penonton, yang datang dari seluruh pelosok negeri Melaka membanjiri Stadium Hang Jebat, Kompleks Sukan Hang Jebat seawal pukul 5 petang.

Banyak sangat beza tu 50,000 dan 30,000 kalau akhbar atau media berbeza saya tak pelik. Tetapi ini media yang sama..memang sah pengampu dan penipu.

Jumlah penonton sebenar tak lebih pun 10,000 yang ramai-ramai tu ialah budak-budak sekolah dan kolej yang dikerah dari seluruh Melaka termasuk puteri dan wanita Umno yang diangkut dengan bas percuma serta diberi hadiah air sekotak dan roti sebungkus. Termasuklah pasukan kompang seramai kira 5,000 orang dan atlit dan pegawai yang terlibat dengan Sukma sekitar 10,000 orang.Itu belum termasuk peserta 'joget lambak' yang terkinja-kinja di tengah padang.

17 June 2010

SETELAH KIKIS DUIT PETRONAS DANA FELDA PULA JADI MANGSA

Saya tidak terkejut apabila kerajaan 1Malaysia mengumumkan bahawa dana Felda merosot kira-kira RM 2 bilion. Mungkin ramai yang tak menyedari bahawa, Felda merupakan GLC kedua terkaya selepas Petronas. Jadi tak pelik kenapa dan mengapa Perdana Menteri 1Malaysia begitu tertarik dan teruja dengan Felda.

Salah seorang ahli keluarga saya yang merupakan top 5 di Felda memberitahu pentadbiran dan pengurusan Felda selama ini merasa kurang senang apabila dana Felda sering digunakan kononnya untuk menyuntik aliran modal dan membantu ekonomi negara.

Perdana Menteri selama ini dilihat kononnya sentiasa memberi perhatian dan mengambil berat dengan Felda. Malah media sering menggambarkan bahawa beliau merupakan penerus kesinambungan bapanya yang bertanggungjawab untuk mengasaskan dan menubuhkan Felda. Rupa-rupanya itu semua cuma lakonan untuk mengkaburi pandangan umum.

Pilihanraya kecil Hulu Selangor menjadi contoh terdekat bagaimana dana Felda digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan politik Umno dan Barisan Nasional untuk merasuah pengundi.

Situasi ini sebenarnya sudah lama berlaku tetapi cuma baru kini didedahkan, itupun apabila melibatkan penyusutan jumlah dana yang bernilai bilion ringgit. Jika Umno BN dibiarkan terus berkuasa Dana Felda bukan hanya akan susut RM 2 bilion mungkin selepas ini habis segala aset harta dan tanah milik Felda akan tergadai dan dijual.