Tahukah anda bahawa permulaan hari baru anda dipengaruhi oleh sikap anda sewaktu anda mula terkejut dari tidur.,
Tidur merupakan mati yang sementara di mana sewaktu kita tidur Allah memegang nyawa kita dan Dia kembalikannya nyawa kita lalu kita terjaga dari tidur
Apakah sikap anda sewaktu terjaga dari tidur? Adakah anda bangun dalam keadaan lesu, atau tiba-tiba terfikirkan masalah dan bebanan yang digalas tiada berkesudahan?
Apabila anda bangkit dengan perasaan yang tidak bersemangat maka situasi ini akan menggangu mood dan emosi sepanjang hari dan berlanjutan sepanjang hidup anda.
Bermula hari anda dengan rasa tertekan , sedih dan tidak bersemangat menyebabkan keadaan ini akan terbawa-bawa sepanjang hari anda pada hari tersebut dan anda benar-benar rasa tidak bersemangat, rasa malas dan rasa hidup yang penuh kebosanan yang mana sikap ini akan sering menjadikan anda adalah dalam golongan orang yang gagal.
Apa yang patut anda lakukan untuk kehidupan yang lebih ceria, bahagia dan penuh bermakna ialah apabila bangkit dari tidur anda perlu mengucapkan rasa bersyukur yang amat sangat kerana anda terlalu istimewa pada hari itu kerana anda masih lagi bernyawa dan sihat tubuh badan.
Doa bangun tidur mesti dilafazkan yang bermaksud Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku dari mati dan padanya jua aku dikembalikan.
Apa perasaan anda jika anda berada di tengah-tengah lautan tiba-tiba kapal yang anda tumpangi dihempas badai yang amat kuat dan kapal anda hampir-hampir akan tenggelam. Dalam keadaan huru hara dan malapetaka yang besar anda benar-benar bermohon pada Allah memohon diri anda diselamatkan. Akhirnya doa anda dimakbulkan dan anda terselamat dari badai dan akhirnya anda berada di daratan...masih lagi dapat meneruskan kehidupan.. ah ..alangkah indahnya suatu perasaan kesyukuran yang amat sangat. Begitulah anda benar-benar menghargai sebuah kehidupan!
Begitulah yang patut anda rasa setiap kali terkejut dari tidur kerana anda masih lagi berpeluang untuk meneruskan kehidupan bagi perjuangan anda untuk berlumba-lumba melakukan kebajikan dan memohon keampunan pada Allah kerana apabila nyawa telah sampai ke halkum maka pintu taubat telah tertutup.
Senyumlah sewaktu anda bangun dari tidur dan genggamlah kedua-dua tangan anda berazam untuk melakukan yang terbaik untuk diri anda pada hari itu Bangunlah dengan penuh motivasi dan bersemangat.Mandikanlah minda anda dengan kata-kata positif. Emosi yang positif akan mengecas tubuh badan anda seterusnya mengalirkan bendalir penawar dalam tubuh anda.
Rasakan kehebatan dapat memiliki nyawa (kehidupan) itu. Setiap hari adalah hari yang baru penuh dengan sinar dari Allah yang memancar ke dalam jiwa anda.
Selepas menunaikan solat subuh hendaklah anda menikmati hidangan bagi roh anda iaitu zikir, istiqfar dan membaca ayat-ayat suci Al Quraan. Rasakanlah nikmat hidangan dari Allah yang akan membuatkan roh anda kenyang dan kuat dan hari tersebut menjadikan anda benar-benar bersemangat, ceria dan yang penting anda menjadi INSAN YANG TAHU BERSYUKUR KERANA ANDA AKAN KEMBALI ke TEMPAT ASAL DALAM MEMPEROLEHI KEREDHAAN ALLAH. jumpa lagi salam penuh kasih sayang dari hati kerdil ini
26 July 2008
Jadikan Hari Anda Hari Yang Hebat
BERMULANYA HARI YANG MENYIBUKKAN…
Hari ini merupakan hari yang agak sibuk berbanding hari – hari biasa. Sebelum ini semua urusan rumah tangga kebanyakannya disediakan oleh 'bibik'. Tetapi, kini tidak lagi. Saya terpaksa menghantarnya pulang ke Indonesia disebabkan beberapa perkara yang dilakukannya sukar untuk diterima. Untuk mengambil 'bibik' baru ? Saya kata pada isteri, biar dahulu. Tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Bayangkan selama 20 bulan dia berada bersama kami, bila celik mata dan pulang dari kerja semuanya telah siap sedia. Termasuklah urusan anak – anak dan rumah tangga. Walau bagaimanapun saya melihat hal ini dari sudut positif. Seperti dalam 'posting' sebelum ini sebagai manusia biasa dan hamba-Nya, kita kena melihat apa juga yang berlaku dalam hidup ini sudah pasti ada hikmah di sebaliknya.
Hal menguruskan anak – anak dan rumah tangga bukanlah asing bagi saya dan isteri. Kami telah menguruskannya bersama lebih sepuluh tahun tanpa ada bantuan ' bibik'. Dalam situasi ini pengurusan masa dan pengurusan diri serta emosi penting walaupun banyak kerja perlu dilakukan, supaya kehidupan kekal bahagia dan ceria. Cuma kena ubah sedikit 'gaya hidup'. Misalnya untuk akses internet dan memikirkan 'posting' baru, kena cari masa yang sesuai. Kalau dulu lepas solat subuh , boleh terus terpaku depan komputer.Kini mungkin kena cari waktu lewat malam ketika anak – anak sudah tidur dan segalanya sudah beres. Insyallah ini akan terus memberi kekuatan kepada saya. Seperti yang saya katakana sebelum ini, saya sukakan cabaran dan tidak tunduk pada cabaran. Semoga Allah terus memberi kekuatan dan tubuh badan yang sihat waalafiat untuk menghadapi semua ini…
25 July 2008
CARILAH KETENANGAN….
Tidak ada tempat lebih baik di bumi ini selain rumah-rumah Allah yang dikenali sebagai masjid ataupun surau. Ini kerana di situlah terbit segala ketenangan yang diimpikan oleh segenap insan, iaitu insan yang berusaha membentuk dirinya menjadi hamba Allah yang terbaik sepanjang hidup dengan amalan-amalan yang bersifat peribadatan hanya kepada-Nya.
Tidak ada tempat di bumi ini yang mampu menjanjikan ketenangan dan kedamaian hidup, melainkan rumah Allah. Justeru terdapat sebuah hadis Nabi s.a.w. menegaskan bahawa rumah Allah menjanjikan bukan sekadar ketenangan, malah beberapa nikmat lain sebagai dorongan berbuat kebaikan.
Hal ini telah disebut menerusi hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah maksudnya: "Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid/surau), membaca kitab Allah (al-Quran) dan berdiskusi mengenainya sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, mereka diselubungi dengan rahmat Allah, dikelilingi dengan para Malaikat (menulis segala kebaikan mereka) dan Allah akan sentiasa mengingati mereka (kerana mereka juga mengingati-Nya)."
Segala janji yang ditaburkan oleh baginda Rasulullah dalam hadis di atas, bukanlah satu perkara retorik seperti janji-janji dalam pilihan raya, ia janji yang akan ditunaikan sendiri oleh Allah SWT, iaitu agar umat Islam menjadi umat terbaik dengan mengecapi ketenangan, kedamaian hidup, rahmat Allah serta yang paling penting mereka diingati oleh Allah selaku Pencipta manusia.
Janji-janji tersebut diberikan apabila ada di kalangan insan Muslim yang memiliki ciri-ciri kebaikan seperti membaca dan mendiskusikan al-Quran, dalam erti kata mereka bersedia untuk mengkaji isi-isi kandungannya untuk dijadikan bahan rujukan, pegangan, kefahaman menuju jalan sempurna.
Justeru, Allah SWT menegaskan bahawa golongan Muslim yang sanggup memakmurkannya rumah-Nya adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar memiliki kualiti iman yang sempurna.
Hal ini ditegaskannya menerusi ayat 18 surah at-Taubah maksudnya: "Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat Yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa keimanan yang kental, kepercayaan teguh berpegang kepada hari akhirat, melaksanakan tugas utama dengan bersolat, mengeluarkan zakat serta takut hanya kepada Allah dan tidak yang lain selain-Nya, adalah senjata utama bagi mengekalkan seseorang yang beriman itu menjadi pemakmur rumah Allah yang setia.
Di mana remaja dalam hal ini?
Remaja Muslim pada hari ini lebih tersohor dengan kumpulan 'mat/minah rempit', menjadi golongan yang suka membuang masa seperti terlibat dalam budaya lepak di sana sini, terlibat dengan program-program hiburan melampau, menjadi penyokong kelab bola sepak negeri dan bermacam-macam lagi.
Remaja Muslim hari ini tidak berusaha meningkatkan prestasi kefahaman mereka dengan Islam, sehingga sanggup menjadi golongan penagih dadah, golongan perosak agama dengan penampilan yang tidak sama sekali memperlihatkan 'Islamik', malah ada ketikanya memalukan Islam itu sendiri.
Ada di antara mereka sanggup menjadi golongan yang membuat angkara terhadap program-program masjid, dengan bertindak liar menghalang mereka yang mahu ke masjid atau surau, atau pun terdapat di kalangan mereka yang bersukan berhampiran dengan masjid, tetapi tidak mengendahkan azan yang berkumandang pada waktu Maghrib, berhenti apabila ada teguran daripada pihak tertentu.
Inilah yang dikatakan tindakan bagaikan meroboh masjid, banyak pihak merasa bimbang dengan tindakan seumpama itu, apatah jika tindakan itu boleh dikaitkan dengan firman Allah menerusi ayat 114 surah al-Baqarah yang membawa maksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara apa mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar."
Itu semua tidak melambangkan mereka hidup dengan Islam secara serius, malah hala tuju hidup mereka pun masih kabur, justeru apa yang amat diharapkan dari golongan remaja muslim ini adalah tercetus rasa kesedaran yang amat mendalam terhadap Islam, di ketika Islam diinjak, difitnah, dimahkamahkan, dituduh dengan pelbagai pendekatan negatif, oleh itu remaja seluruhnya disaran agar menjadi remaja seperti yang pernah disebut oleh al-Quran dengan istilah 'Ashabul Kahfi' dan 'Ashabul Ukhdud'.
Ketahuilah bahawa pada usia remaja ini juga tidak akan terlepas daripada dibuat perhitungan di sisi Allah pada hari akhirat. Ia pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang bermaksud: "Sebelum kedua-kedua kaki anak Adam (manusia) tergelincir untuk dimasukkan dalam syurga atau pun neraka, maka dia akan ditanya dengan empat perkara: Waktu remajanya apa yang telah dia habiskan, seluruh umurnya apa yang telah dibuat (untuk kebaikan dirinya), tentang hartanya daripada mana sumber ia diperolehi dan bagaimana pula ia dibelanjakan, tentang ilmunya, apa yang telah dia lakukan." (Hadis riwayat Mu'az Bin Jabal).
Remaja hari perlu mencontohi remaja-remaja silam khususnya di kalangan para sahabat dan lain-lain, mereka juga ada perasaan untuk bersuka-ria, rasa nak 'enjoy', tetapi semuanya dikekang kerana ia tidak memberi apa-apa kepada Islam, justeru remaja hari ini juga perlu mentelaah sejarah itu untuk mengembalikan keyakinan diri dengan Islam.
23 July 2008
Mercedes VS Proton Perdana : Percayakah Anda ?

Kos menyenggara Proton Perdana V6 Executive yang dibayar oleh kerajaan Terengganu pernah mencecah RM175,229.97 dan RM132,357.76 sebuah untuk tempoh empat tahun.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Menteri Besar di sini hari ini, ia merupakan kos tertinggi yang terpaksa dibayar oleh kerajaan negeri untuk servis sebuah kereta model itu sejak tahun 2004 hingga sekarang.
Harga sebuah kereta Perdana V6 Executive dianggarkan dalam lingkungan RM130,000.
"Kerajaan Terengganu tidak mampu lagi membiayai kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive.
"Sekiranya diperlukan, kerajaan negeri sedia mengemukakan bukti terperinci kos penyenggaraan dan kerosakan sejak mula Proton Perdana V6 Executive digunakan sebagai kereta rasmi," kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah memberitahu Utusan Malaysia, semua kereta Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri Terengganu dibeli terus daripada syarikat pengedar kereta Edaran Otomobil Nasional (EON).
"Penyenggaraan kereta-kereta itu terbuka untuk dilakukan di mana-mana bengkel kerana tidak semua daerah di Terengganu mempunyai pusat servis Proton," katanya.
Menurut kenyataan pejabat Menteri Besar, pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor bagi menggantikan kereta Proton Perdana V6 sedia ada selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (II).
Pekeliling itu mensyaratkan penggunaan kenderaan rasmi hanya terdiri kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD). Kenyataan itu menyebut, penggunaan Mercedes E200 Kompressor memenuhi syarat berkenaan kerana model CKD itu dipasang di kilang di Pekan, Pahang.
Kerajaan negeri baru-baru ini telah membeli 14 buah kereta mewah tersebut dengan kos RM3.43 juta sebagai menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang baru sahaja dibeli pada tahun 2004.
Pembelian itu dipertahankan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menjadikan kualiti kereta keluaran Proton sebagai alasan pembelian tersebut.
Kereta-kereta Mercedes itu bakal digunakan oleh Menteri Besar, Exco dan para pegawai kanan kerajaan negeri.
"Pembelian kereta Mercedes ini adalah telus serta wajar dan tidak sekali-kali menggunakan wang royalti minyak. Kewajaran pembeliannya adalah berdasarkan kelasakan serta kos penyenggaraan yang rendah," ujar kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan negeri berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan Mercedes E200 Kompressor. Setiap sebuah Mercedes yang dibeli berharga RM 245,00
Dalam kegawatan ekonomi dan pengenalan langkah berjimat cermat ekoran kenaikan harga minyak, pembelian mewah seperti ini merupakan langkah yang kurang bijak. Persoalannya lagi, kenapa kos membaiki yang terlalu mahal ? Adakah wujud unsur penyelewengan dan rasuah ? Pihak Badan Pencegah Rasuah ( BPR ) perlu beri perhatian kepada isu ini. Hal ini penting supaya rakyat yang cukup terbeban dengan kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang tidak rasa terpedaya dan teraniaya.
‘PULAU’ VS ‘SEKETUL BATU’

Hampir semua akhbar utama memaparkan isu tuntutan terkini singapura terhadap Zon Ekonomi Ekslusif ( EEZ ) di perairan Pulau Batu Putih yang telah menjadi milik Singapura seperti yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa ( ICJ ).
Menteri kanan republik itu, Balaji Sadasivan berkata, Singapura mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga maksimum 12 batu nautika dan EEZ yang konsisten dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pada 10 Disember 1982, di mana Singapura adalah salah satu pihak yang menandatangani konvensyen berkenaan
Ramai yang melenting dan menyatakan rasa terkilan dan tidak berpuas hati kerana Singapura tidak berbincang terlebih dahulu dengan Malaysia sebelum mengutarakan tuntutan itu. Di antara pihak yang melahirkan kembimbangan ini ialah golongan nelayan tempatan yang sering mencari rezeki di perairan berhampiran Pulau Batu Putih.
Persatuan Nelayan Kawasan Pengerang tidak bersetuju dengan tindakan Singapura untuk menuntut kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) di sekitar Batu Puteh.
Pengerusinya Abu Bakar Mohamad menyifatkan hasrat republik itu sebagai langkah terdesak, seolah-olah mahu meluaskan kawasan sempadannya dan nelayan di Pengerang yang akan menerima kesannya.
"Jika dilihat, perairan (di situ) lebih kepada kita. Kalau terpesong sedikit, mereka (Singapura) akan masuk perairan kita.
"Kalau ia (Singapura) tuntut, ia tidak bimbang masuk perairan Malaysia," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurutnya, terdapat kira-kira 2,000 nelayan yang berdaftar di bawah persatuan nelayan kawasan tersebut.
Tuntutan tersebut, kata Abu Bakar, dilihat sebagai usaha untuk memonopoli kawasan itu dan berat sebelah.
"Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan, cukup strategik kerana sumber perikanan banyak di kawasan itu," tambah Abu Bakar.
Di samping itu, terdapat juga pimpinan kerajaan yang melahirkan kebimbangan dan meluahkan rasa kurang senang serta melenting dengan tuntutan terbaru Singapura.
Persoalannya kenapa perlu marah – marah atau nak melenting dengan tuntutan terbaru Singapura ini ? Malah ada usaha untuk mengheret institusi beraja agar campur tangan dalam isu ini. Bukankah dulu seorang Menteri memberitahu bahawa keputusan ICJ adalah situasi 'menang – menang'. Singapura dapat sebuah pulau dan Malaysia dapat 'seketul batu'. Adil namanya. Adakah kita semua tidak sedar implikasi daripada keputusan ICJ tempoh hari ? Mana ada pulau atau Negara yang berada di lautan yang tidak memiliki hak Zon Ekonomi Ekslusif ( EEZ ).
Kesimpulannya,pada pandangan saya, kehilangan sebuah pulau yang digantikan dengan 'seketul batu' akan meneruskan polemik dan perdebatan pada masa akan datang. Bukan soal pulau atau 'seketul batu'. Tetapi ia lebih kepada soal kedaulatan dan maruah. Melainkan kita rakyat yang tidak bermaruah dan tidak memiliki harga diri.Natijahnya, mungkin terpaksa ditanggung tujuh generasi berikutnya.
22 July 2008
KENAPA ‘GOYANG GERUDI’ HARAM ?
Alhamdulillah buat masa ini konsert goyang gerudi Inul Daratista tidak berjaya diadakan di Johor Bahru melainkan mungkin ditunda ataupun digantikan di Stadium Bukit Jalil hujung minggu ini.
Inul Darastista atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah 29 tahun, telah dilabelkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) sebagai penari lucah pada Ogos 2002 kerana tarian gelek gerudinya.
Yang peliknya disini Inul berkata "Saya merasakan usaha saya hanya sia-sia. Apa salah saya hingga diperlakukan seperti ini? Mungkin dugaan Tuhan untuk menguji keimanan saya. Pun begitu, saya tetap ingin mendengar penjelasan sebenar. Saya tidak pasti sama ada akan menerus konsert melainkan mampu berkata Insya Allah," kata Inul lagi.
Inul terpaksa pulang ke Jakarta dan berjanji akan kembali ke Kuala Lumpur untuk menghiburkan peminatnya di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 27 Julai ini.
Apa yang kita lihat sekarang ini ialah manusia begitu ghairah berhibur sehinggakan lupa persoalan dan batas halal haram sesuatu perbuatan itu. Menurut Pengarah Urusan IMS Prima, Nasir Abu Bakar beliau sendiri kerugian kira-kira RM 300,000 gara-gara Majlis Bandaraya Johor Bahru yang tidak mengeluarkan permit.
Selepas ini rakyat negeri Selangor mesti bertindak, apa logiknya memindahkan sesuatu kemungkaran itu dari satu negeri ke negeri yang lain? Adakah itu akan menunjukkan orang Selangor lebih liberal dari Johor?
Perkataan InsyaAllah begitu mudah keluar dari ahli maksiat dan tidak mustahil perogol dan perompak sendiri dengan mudahnya akan mengucapkan InsyaAllah dalam melakukan maksiat dan mungkar.
Inul pernah dikecam di Indonesia gara-gara kenyataan beliau yang ingin bergambar untuk majalah Playboy dan pernah ditegur oleh penyanyi dangdut veteran Indonesia, Rhoma Irama yang mengganggap aksi goyang pinggul Inul erotik dan berbaur pornografi.
Akhirnya, perbuatan manusia lambat laun semakin jauh dari rahmat Allah lantaran kealpaan manusia dalam mencegah kemungkaran.
GURU DISIPLIN DIPUKUL DI KL : SALAH SIAPA ?
Saya bersimpati dengan nasib seorang guru disipilin di sebuah sekolah di Kuala Lumpur yang dilaporkan ditampar oleh seorang bapa murid. Kejadian berlaku adalah lanjutan dari seorang guru wanita yang cuba melaksanakan peraturan sekolah yang telah ditetapkan kepada semua murid termasuklah anak-anak kepada bapa tersebut.
Tindakan guru disiplin yang cuba mempertahankan guru wanita tersebut atas alasan menguatkuasakan peraturan sekolah akhirnya menjadi mangsa 'libasan tangan' bapa murid bertindak samseng. Kesan kecederaan yang dialami, guru disiplin tersebut membuat laporan polis selanjutnya.
Guru disiplin seumpama ketua penguatkuasa dalam sebuah sekolah. Beliau dibantu oleh guru-guru lain yang berada dalam jawatankuasa disiplin yang dilantik oleh Pengetua/Guru Besar.
Tugas guru disiplin cukup mencabar dan cukup memeningkan kepala untuk dipikul. Saya yakin, tidak semua guru yang sanggup dan bersedia untuk menjadi guru disiplin melainkan atas amanah dan kepercayaan yang diberi oleh pihak sekolah.
Lebih-lebih lagi jika bilangan murid yang terlalu ramai dan berbagai bangsa serta latar belakang, tentunya mengundang banyak masalah yang sukar diatasi.
Tapi sayangnya, pengorbanan guru dalam mendisiplin anak-anak tidak pula dihargai. Selain guru disiplin ditampar atau dicederakan, mereka juga turut dicemuh dan kenderaan mereka dibakar, dirosak, digores dan macam-macam lagi.
Siapa yang perlu disalahkan?
Adakah kurikulum yang masih tak menepati kerana gagal membentuk insan yang berilmu dan berakhlak ?
Adakah kerana masyarakat yang mengamal hidup bebas dan tidak lagi menggunakan 'social control' sebagai kaedah membentuk akhlak anak-anak.
Adakah media-massa atau dunia terlalu global dalam meneroka maklumat sehingga sukar dibendung kesannya terutama kepada anak-anak remaja?
Adakah guru-guru yang diamanahkan dalam mendidik murid gagal memainkan peranannya yang sebenar?
Adakah ibubapa/penjaga murid sememangnya belum bersedia memberi kepercayaan sepenuhnya kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka?
18 July 2008
MACAM – MACAM….

TANAH MERAH - Tertekan dengan kenaikan harga minyak, seorang penduduk bertindak meletakkan kereta Toyota miliknya di atas gelong di hadapan rumah di Kampung Bukit Nangka, Jeli.
Mohd. Yusuff Mamat, 45, yang berniaga kecil-kecilan memberitahu, beliau terpaksa berbuat demikian lantaran tidak mampu lagi mengisi minyak dan kini bertukar menggunakan motosikal sahaja.
Beliau mengambil keputusan mengupah jentolak menggantung keretanya dua minggu selepas kenaikan harga petrol diumumkan.
Sebelum ini, beliau sering berulang-alik dari rumah ke bandar Tanah Merah sejauh 40 kilometer sehala untuk membeli barangan keperluan untuk gerai makanannya dan mengakui kos perjalanan itu kini semakin tinggi.
Semoga selepas ini kita tidak mendengar lagi perkara yang pelik seperti ini. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi , berita seperti ini mungkin sesuatu yang melucukan. Namun bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana kenaikkan harga minyak dan seterusnya membawa kepada peningkatan kadar inflasi sesuatu yang memeritkan.
Rakan saya yang bertugas di Kementerian Pelajaran di Putrajaya, sebelum kenaikan harga minyak beliau berulang seminggu sekali menjenguk keluarga di Melaka dengan berkereta. Tetapi, bila harga minyak naik melambung, dia tak mampu lagi berulang dengan kereta sebaliknya memilih menaiki motorsikal berulang seminggu sekali dari Putrajaya ke Melaka. Baru – baru ini, bapa mertuanya meninggal dunia. Bayangkan dia beritahu saya, terpaksa meredah hujan lebat sepanjang perjalanan dari Putrajaya untuk sampai ke Melaka.
Mungkin ini yang dikatakan oleh orang atasan supaya mengubah gaya hidup. Mungkin selepas ini mereka akan mencadangkan agar rakyat pergi bekerja dengan menaiki basikal pula.
16 July 2008
ANALISIS DEBAT PERDANA…D.S. ANWAR VS DATUK SHABERY CHEK

TEPAT seperti mana kata Presiden Pas, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang debat antara Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan, Ahmad Shaberry Chik tidak sepadan. Anwar sepatutnya tidak layan Shaberry, beliau sepatutnya berdebat dengan Perdana Menteri ataupun Timbalan Perdana Menteri, baru padan kata Abdul Hadi.
Sepanjang kira-kira 50 minit perdebatan antara kedua mereka tadi ternyata tidak membawa penyelesaian kepada masalah ekonomi negara hari ini. Ia tidak memberi apa-apa kesan kepada rakyat atau memberi tip untuk melegakan rakyat ekoran kenaikan harga minyak tertinggi di dunia. Debat itu walaupun nampak ilmiah tetapi ia lebih kepada hiburan dalam sitkom Senerio.
Formula yang diharap akan dibentangkan Anwar untuk menurunkan harga minyak dan diharap akan digunapakai oleh kerajaan juga kabur. Anwar tidak memperincikan formulanya. Mungkin itu adalah rahsianya yang akan dikemukakan selepas Pakatan Rakyat membentuk kerajaan 16 September depan.
Bagaimana pun perdebatan itu memberi keuntungan kepada kedua tokoh berkenaan. Ia mempopularkan mereka. Anwar yang sudah popular menjadi semakin popular dan penampilan tadi juga menaikkan saham dirinya yang agak mendung sehari dua ini. Dengan bersedia memenuhi janjinya (hadir berdebat) walaupun dalam keadaan dirinya ditimpa musibah menjadikan orang yakin kepadanya.
Seperti dikatakan tadi walaupun ia tidak memberi banyak faedah, tetapi perdebatan tadi menyeronokkan. Pastinya ia lebih bermanfaat dari rancangan Akademi Fantasia atau pun Jom Heboh. Bagi Shaberry dapat berganding dengan Anwar atas pentas satu tuah sepertilah orang kampung dapat bergambar dengan artis yang hadir di tempat kenduri. Kesempatan itu diambil sebaik mungkin untuk Shaberry meletakkan dirinya sebagai hebat dan akan dijaja kepada orang kampungnya di Kemaman, Terengganu.
Begitu juga, saya percaya penyokong Anwar dan Pakatan Rakyat yang rindu untuk menatap wajah Anwar di skrin televisyen terubat. Sejak dipecat dari Umno 10 tahun lalu itulah tempoh terlama Anwar muncul di kaca tv dan secara langsung.
Jelas sekali pada semua pusingan Shaberry tewas dalam perdebatan tadi. Ada kalanya beliau terpaksa mengungkitkan soal peribadi Anwar yang terkeluar daripada mauduk perbahasan untuk menyelamatkan dirinya. Apabila beliau membangkitkan soal peribadi Anwar, menyebabkan beliau menerima tepukan daripada penyokongnya dan menjadikan beliau seolah-olah setanding dengan Anwar yang terus mendapat tepukan, termasuk dari penyokong Shaberry sendiri.
Bagaimana pun sekalung tahniah perlu dihulurkan kepada Shaberry. Walaupun sampai berbueh mulutnya untuk mematahkan hujah Anwar dan mempertahankan tindakan Perdana Menteri dan bosnya Abdullah Ahmad Badawi yang menaikkan harga minyak, namun beliau mampu juga memberanikan dirinya. Kesanggupan itu satu kehebatan Shaberry sebenarnya.
Ternyata baik dari segi umur, pengalaman, hubungan kemanusiaan dan cara berhujah Anwar jauh lebih matang dan bijak berbanding dengan Shabrry. Anwar tidak menjawab hal peribadi yang dilemparkan Shaberry berkali-kali kepadanya. Dan Anwar juga menunjukkan semangat profesional dan bukan emosi berbanding Shaberry yang nampak ego dan besar diri kerana jawatannya itu.
Shaberry merujuk Anwar sebagai sdr, sebaliknya Anwar merendahkan diri dengan memanggil Shaberry Datuk Shaberry. Di akhir perdebatan Anwar yang melangkah berjabat salam dengan Shaberry yang terkaku di rostrumnya kerana masih teruja dengan apa yang berlaku. Dari segi bintang perdebatan tadi Anwar bolehlah diberi enam bintang (******) manakala Shaberry hanya dua (**) saja.
15 July 2008
BICARA MALAM
Malam ni berlangsung Debat Perdana yang menemukan 2 tokoh politik tanah air yang ditunggu – tunggu seluruh rakyat Malaysia. 2 tokoh yang datang dari latar politik yang berbeza iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat dan Datuk Shabery Chik, Menteri Penerangan yang mewakili UMNO.Walau pun banyak spekulasi tentang debat berkenaan, saya yakin ramai yang tidak akan melepaskan peluang untuk menonton debat berkenaan yang akan disiarkan secara langsung di saluran TV 9 dan Astro Awani jam 9 malam ini.Kira – kira 10 minit lagi ketika artikel ini ditulis.
Saya tidak bercadang atau meramalkan siapa yang menang dan siapa yang kalah dalam debat perdana malam ini. Bagi saya, harga minyak dah pun melambung naik walaupun siapa yang menang malam ini.( Maaflah jika ada yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ). Dalam senario politik di Malaysia ala 'filem Hindustan' saya tidak nampak Pakatan Rakyat yang tunjangi oleh Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS untuk mendapat laluan mudah untuk memegang tampuk kuasa pemerintahan Negara, walaupun ini tidak mustahil.
Saya mendapat maklumat dari rakan – rakan di Petronas Penapisan harga minyak akan naik tidak lama lagi disebabkan kenaikan harga minyak global di pasaran dunia dan kesan daripada spekulasi harga akibat kelemahan matawang dollar Amerika serta berita bahawa rejim pengganas Israel akan melancarkan serangan keatas rektor tenaga nuklear milik Republik Iran yang merupakan pengeluar minyak yang keempat besar di dunia.
Saya sebenarnya suka untuk mengimbas zaman semasa menjadi pimpinan pelajar lebih 10 tahun dulu. Saya berpeluang mendengar pembentangan dan ucapan penuh bersemangat Datuk Shabery Chik( ketika itu belum bergelar Datuk ) semasa perhimpunan pertama pertama Gabungan Pelajar Islam Malaysia ( GAMIS ) di Dewan Kompleks Haji Kelana Jaya semasa beliau berada dalam Parti Semangat 46. Beliau telah mengajar saya agar bersikap kritis dan berfikiran kritikal terhadap sesuatu isu semasa. Tidak hanya membuta tuli dan menurut sahaja seperti kerbau dicucuk hidung. Pimpinan pelajar mesti berani memperjuangkan hak dan isu rakyat.Menurut beliau sifat itu perlu ada sebagai pimpinan pelajar. Tetapi… hari ini kata – kata itu semakin jauh tersasar dan hanya tinggal memori. Kesimpulan ini semakin kuat tersemat dan terpaku rapi bila berakhirnya debat perdana pada malam ini.
