24 October 2008

PELANCONG ANGKASA DAN ANGKASAWAN MALAYSIA..



Richard Garriott :PELANCONG ANGKASA


Syed Muzzafar : ANGKASAWAN MALAYSIA

Hari ini Richard Garriott, jutawan permainan video dari Amerika Syarikat selamat kembali ke bumi. Media seluruh dunia menggelarnya sebagai pelancong angkasa.

Dia pergi angkasa lepas di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa ( ISS ) menggunakan roket Soyuz milik Russia selama 12 hari. dengan segala perbelajaan sebanyak AS$ 35 juta ( RM 119 juta ) dengan menggunakan duit poket sendiri. Di samping itu,sepanjang di ISS dia turut melakukan beberapa kajian terutama berkaitan tekonologi permainan video yang dihasilkan oleh syarikatnya. Tak de pulak dengar dia dipanggil angkasawan atau astronaut.

Berbeza dengan Syed Muzzafar yang turut ke stesen ISS selama 10 hari juga dengan Roket Soyuz milik Russia.Berlepas dari stesen yang sama dan kembali ke bumi di tempat yang hampir sama dengan Garriott! Perbelanjaan mencecah hampir RM 120 juta yang turut membuat beberapa eksperimen, balik-balik je terus dapat gelaran angkasawan atau astronaut. Sehingga hari ini diusung ke hulu ke hilir menceritakan pengalamannya sebagai angkasawan.

Kenapa Richard Garriott dipanggil pelancong angkasa dan Syed Muzzafar dapat gelaran angkasawan. Bila fikir-fikir balik, barulah saya faham Syed Muzzafar dapat gelaran angkasawan sebab dia pergi ke ISS guna duit negara, duit rakyat! Manakala Richard Garriott pergi guna duit sendiri sebab itu dia tak layak dipanggil angkasawan !

23 October 2008

ISU TAPAK PELUPUSAN SAMPAH :BUKAN TUTUP LAGI BESAR RUPANYA


Dalam lawatan ke Pusat Pelupusan Sampah Krubong di Melaka pada 7 September lalu Ketua Menteri, Datuk Ali Rustam menyalahkan kelewatan Kementerian Alam Sekitar dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai punca kelewatan pembinaan Insinerator moden di Sungai Udang yang telah tertangguh sekian lama bagi menggantikan tapak berkenaan.

Hari ini lain pula jadinya, bukan nak ditutup malah tapak sedia ada akan dibesarkan lagi dari 54 ekar kepada 76 ekar, bertambah 22 ekar !( Sila rujuk dalam akhbar Melaka Hari ini bertarikh 23 Oktober 2008, mukasurat 2 )

Rakyat Melaka khususnya penduduk di Taman angkasanuri, Taman Merdeka, Taman Tambi Chik Karim dan penduduk sekitar Durian Tunggal nampaknya di tipu hidup-hidup oleh Ali Rustam.

Masalah bau busuk dari pusat pelupusan berkenaan mungkin terpaksa ditanggung tujuh keturunan lagi penduduk di kawasan berhampiran. Inilah sikap talam dua muka yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri yang kononnya menjaga dan memperjuangkan masalah rakyat.

Saya menyeru pengundi di kawasan berkenaan agar terus menolak pemimpin sebegini seperti yang ditunjukkan dalam PRU ke 12 yang lalu untuk memberi peringatan agar tidak menipu dan mempelekehkan rakyat.Kepada bakal pembeli rumah di taman perumahan yang berhampiran pusat pelupusan sampah ini anda mungkin belum terlambat untuk membatalkan hasrat membeli rumah di kawasan berkenaan.

ALI RUSTAM SURUH PILIH PEMIMPIN YANG MEMPUNYAI REKOD BAIK


Ali Rustam semalam menyarankan agar perwakilan Umno untuk memilih pemimpin yang mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. Persoalannya siapa dalam Umno yang mempunyai rekod baik ? Najib ?Ali Rustam ? Md. Taib ? Rahim Tamby Chik ? Rafidah Aziz ?

Sekadar beberapa nama...Anda pilihlah sendiri...sebelum ini dalam posting yang lalu saya ada meminta agar dicadangkan pemimpin yang bersih dalam Umno. Setakat ini tak ada lagi calon yang sesuai. Adalah seorang penjenguk blog ini mencadangkan Pak Lah, kira ok lah tu orang pun panggil MR Clean. Tapi Mr Clean pun tak diterima dalam Umno....didesak supaya menyerahkan kuasa pada Najib...Najib Mr Clean yang seterusnya ? Jawabnya punah ranah negara ini nanti. Jika Najib menjadi PM, beliau merupakan PM yang diselubungi paling banyak kontroversi...Altantuya, komisyen pembelian jet Sukhoi, kapal selam Scorpene, Eurocopter dan terbaru pengeluaran Dana KWSP lebih RM 5 Bilion semuanya berkait rapat dengan Najib.

Ali Rustam mempunyai rekod baik ? Anda fikirlah sendiri....Isu banjir kilat yang tak sudah-sudah akibat pembangunan tidak terancang, projek gajah putih yang semakin banyak di Melaka dan Isu babi di Paya Mengkuang yang berlanjutan merupakan sebahagian dari rekod 'baik' Ali Rustam sepanjang menerajui Melaka...

HARGA MINYAK DAH BAWAH $US 72...


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk sharil Samad sebelum ini berkata kerajaan akan menurunkan harga minyak seperti pada jun lalu iaitu RM 1.92 untuk petrol jika harga minyak di bawah US $ 72 setong.

Hari ini harga minyak dah mencecah $ US 67.42 ! Bila lagi nak turunkan harga minyak ?

Sekarang adalah masa yang tidak sesuai bagi pemilik kenderaan mengisi penuh tangki minyak kenderaan masing-masing kerana harga minyak yang semakin susut dari semasa ke semasa di pasaran global. Kemungkinan kerajaan akan menurunkan harga minyak pada bila-bila masa tetap ada. Walau bagaimanapun kerajaan masih membisu dengan penurunan harga minyak di negara ini dan menyebabkan rakyat ternanti-nanti apa yang sedang berlaku dalam kerajaan sehingga payah sangat untuk menurunkan harga minyak.

Esok, kerajaan akan mengumumkan penurunan beberapa harga barang, tetapi perlu diingat bahawa harga yang boleh diturunkan adalah harga barang kawalan sahaja seperti gula, tepung, beras dan minyak masak. Langkah ini dijangka tidak banyak membantu orang ramai menghadapi kesan inflasi dan kenaikan harga barang melainkan kerajaan mengambil sikap lebih bertanggungjawab dengan menurunkan harga minyak pada kadar yang lebih munasabah berdasarkan pasaran semasa.

22 October 2008

RM 12 UNTUK BANDUAN : RM 8 UNTUK MANGSA BANJIR

Itulah nilai dan perbezaan serta layanan yang diberikan oleh kerajaan terhadap OKT ( Orang Kena Tahan ) di lokap-lokap polis yang setaraf banduan dan mangsa banjir di negara ini.Setiap OKT diberi peruntukan RM 12 sehari untuk kemudahan makan minum sepanjang ditahan di lokap. Berbeza mangsa banjir hanya mendapat peruntukan RM 8 sehari kemudahan makan minum sekiranya ditempatkan di pusat pemindahan banjir.

Golongan OKT yang terlibat dengan pelbagai tuduhan, jenayah dan kesalahan mendapat layanan lebih istimewa berbanding mangsa banjir yang mengalami musibah serta kerosakan dan kemusnahan harta benda akibat banjir.

Dalam hal ini, kerajaan wajar mengkaji semula peruntukan yang disediakan untuk mangsa banjir. Mereka yang menjadi mangsa banjir bukan minta disediakan makanan yang enak dan lazat tetapi sekurang-kurangnya mereka disediakan makanan yang berkhasiat dan sesuai.

Berdasarkan pengalaman sebagai mangsa banjir besar di Melaka pada 26 Disember 2006 lalu menu yang disediakan di pusat pemindahan banjir memang ala kadar sahaja serta makanan yang disediakan adalah agak terhad.

Kerajaan sepatutnya lebih serius dalam menjaga kebajikan dan menyediakan kemudahan dan peruntukan yang mencukupi untuk mangsa banjir daripada membazirkan wang kepada projek kroni dan pembangunan yang tidak dapat dinikmati oleh semua rakyat. Apa yang lebih membimbangkan terutama di Melaka akhir-akhir ini banjir berlaku tanpa mengira musim.

BALING KERUSI DALAM MESYUARAT UMNO ! BIASALAH TU...

Sabtu lalu, Persidangan Wanita Umno Bahagian Kuala Selangor kecoh dengan insiden baling kerusi dan tindakan keluar dewan oleh beberapa perwakilan cawangan berpunca daripada bantahan mereka terhadap tindakan Pengerusi Tetap bahagian itu, Zaini Khalid yang tidak memberi peluang kepada perwakilan terbabit untuk mencadangkan 10 nama perwakilan cawangan bagi menghadiri mesyuarat bahagian.


Sehari sebelum itu, persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang turut menyaksikan tindakan agresif sekumpulan individu dengan menjerit dan melaungkan rasa tidak puas hati mereka membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah hingga menyebabkan pihak polis terpaksa menggunakan Unit Tindakan Ringan Antirusuhan untuk mententeramkan keadaan.

Biasalah tu, kalau tidak ada adegan baling-baling kerusi maka hilanglah seri dan tidak sempurna agenda dalam mesyuarat-mesyuarat Umno. Mungkin selepas ini akan menyusul adegan yang lebih dasyat dalam mesyuarat Umno akan datang.

Inilah akibatnya apabila perjuangan asal membela nasib Melayu telah menyimpang. Apa yang diperjuangkan hari ini adalah kerana kuasa dan nama. Sudahlah Islam semakin terpinggir dalam Umno, perjuangan membela nasib Melayu pun sudah semakin terpesong. Sebab itulah agaknya Datuk Rais Yatim mencadangkan agar semua jawatan dalam Umno dibuat secara tender. Semuanya kerana wang dan harta, yang menjadi mangsa adalah orang Melayu yang terus tertipu dengan sandiwara dan lakonan Umno membela nasib orang Melayu.

APA NAK JADI JADILAH...MELAKA TETAP BERI DATUK PADA SHAH RUKH KHAN


Walaupun menerima pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak, Ali Rustam tetap dengan pendirian bahawa kerajaan Melaka akan tetap memberi gelaran Darjah Mulia Seri Melaka ( DMSM ) yang membawa gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan.

Katanya, kerajaan Melaka serius dengan penganugerahan itu sebagai satu pengiktirafan kepada Shah Rukh Khan yang telah mempromosikan Melaka secara percuma melalui filem lakonannya bertajuk One 2 Ka 4 yang difilemkan di A'Famosa, Alor Gajah beberapa tahun lepas.

"Beliau (Shah Rukh Khan) pun dah setuju, satu dunia pun sudah tahu, jadi kalau ditarik balik tak elok bagi kerajaan negeri dan bagi Shah Rukh Khan, macam kita tak fikir dulu sebelum beri, dah beri kemudian tarik balik, tak elok, buruk siku.


Shah Rukh Khan dikatakan telah bersetuju untuk datang ke Melaka pada bulan depan untuk menerima gelaran tersebut walaupun sebelum ini artis yang banyak berjasa kepada Melaka ini dikatakan turut terkejut dengan anugerah yang bakal diterima.Hal ini kerana walaupun lebih banyak menjadikan negara sendiri dan negara lain terutamanya di Eropah sebagai lokasi penggambaran filem beliau namun jasa dan sumbangan beliau mempromosi dan mengharumkan negara sendiri dan negara lain tidak mendapat pengiktirafan seperti yang diberi oleh kerajaan Melaka.

Maka selepas in pasti Shah Rukh Khan dan pengeluar filem Bollywood yang lain akan berpusu-pusu datang ke Melaka untuk membuat penggambaran filem untuk mendapat lebih banyak anugerah dan darjah dari kerajaan Melaka.

Selepas ini kita akan dapat menyaksikan dominasi filem dan drama Indonesia yang selama ini menguasai stesen TV tempatan akan dikuasai dan diambil alih oleh filem dan drama Bollywood pula kerana banyaknya penggambaran filem Bollywood di negara ini khususnya di Melaka.

Tak sabar rasanya nak menonton Shah Rukh Khan dan pelakon Bollywood lain selepas ini akan menari terkinja-kinja di Pulau Melaka atau di dalam Melaka Digital Mall, berguling-guling menyanyi di atas Bukit Cina dan berpusing-pusing di dalam 'Eye On Malaysia'di Bandar Hilir. Secara tak langsung seluruh dunia tahu betapa banyaknya projek gajah putih di Melaka.

21 October 2008

UMNO UNTUK DILELONG ?

Datuk Rais Yatim hari ini secara sinis mencadangkan agar jawatan Umno dibuat secara tender. Sesiapa yang banyak duit boleh kemuka tender untuk mendapat jawatan yang dipertandingkan. Beliau berkata demikian kerana telah muak dengan gejala rasuah dan lobi melobi yang berlaku dalam Umno.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_28.htm

Cadangan baik juga tu…macam mana kalau tender tak laku ? Mungkin ada pula cadangan bukan sahaja jawatan dalam Umno ditender tetapi dengan Umno dan pemimpin-pemimpinnya sekali dilelong. Agak-agaknya ada tak yang berminat ?Rasanya mungkin ramai yang tak setuju tetapi tak mustahil lebih-lebih lagi dalam keadaan Umno yang makin tenat.Apabila Umno sudah hilang kuasa, taring telah dicabut dan sumber kewangan semakin terhad pada masa itu tak ada siapa lagi nak bersama dengan Umno. Masa itu mungkin jawatan dalam Umno terpaksa dilelong kerana tidak ada lagi yang berminat.

LETAK JAWATAN : SYABAS KEPADA WARTAWAN MALAYSIAKINI

Wartawan Malaysiakini yang menulis berita mengenai 'manifesto' Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanding jawatan presiden Umno, yang dikatakan dikeluarkan oleh "kumpulan sokongan Najib", telah meletak jawatan sebagai bertanggungjawab terhadap kesilapan membuat laporan tersebut.

"Ia adalah kesilapan saya dan saya bertanggungjawab sepenuhnya dan meletak jawatan," jelas wartawan berkenaan, Wong Choon Mei.

Wong, yang menyertai Malaysiakini tiga bulan lalu, berkhidmat sebagai wartawan selama 10 tahun, dan pernah bertugas dengan The Edge, Reuters dan Channel News Asia.

Ketua pengarang Malaysiakini, Steven Gan said berkata, pihaknya kesal dengan insiden tersebut, sambil menambah bahawa laporan itu tidak sepatutnya disiarkan.

"Ia adalah salah pertimbangan yang serius dan kami menerima peletakan jawatannya," kata Gan.

Saya mengucapakan tahniah dan syabas kepada wartawan berkenaan kerana mengambil tanggungjawab atas kesilapan yang dilakukan. Langkah ini sudah pasti akan mengangkat imej kewartawanan yang selama ini ditonjolkan oleh Malaysiakini yang sering menjadi bahan rujukan berita dan maklumat.

Berbeza dengan wartawan akhbar pengampu yang sentiasa menerbitkan berita berunsur fitnah dan menipu tetapi masih tidak malu dan enggan mengaku kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan. Akibatnya imej kewartawanan dan kebebasan akhbar di negara ini semakin tercemar dan imej media massa utama yang dikawal atau dimiliki oleh kerajaan merudum pada tanggapan umum.

Bahan berita mereka dianggap sebagai sampah yang tidak bernilai hanya layak untuk dikitar semula sebagai surat khabar lama atau alas tempat duduk semasa majlis ceramah.

Sehingga ada lawak yang mengatakan hanya ada dua perkara aja yang boleh dipercayai akhbar seperti ini iaitu cetakan bilangan muka surat dan keputusan empat nombor ekor. Wallhu'alam.

PAKATAN RAKYAT SEMAKIN ERAT : BN MENUJU PENGHUJUNG HAYAT...


Akhir-akahir ini hubungan erat jelas terserlah hubungan erat dalam Pakatan Rakyat. Kemesraan dan keharmonian jelas terserlah melalui budaya kunjung mengujung terutamanya sepanjang bulan Syawal ini.

Apa yang menarik, tidak ada lagi sebarang kenyataan yang dianggap kontroversi dan menyinggung mana-mana pihak dalam Pakatan Rakyat tersiar dalam media massa. Media-media pengampu yang selama ini hanya menunggu peluang dengan memutar belitkan kenyataan pimpinan Pakatan Rakyat tidak lagi dapat menghidu sebarang peluang yang wujud.

Sebaliknya setiap ucapan dan kenyataan hanya fokus kepada keyakinan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan pada bila-bila masa.Semoga situasi ini berkekalan sehingga harapan mewujudkan sebuah kerajaan yang telus, amanah dan berkebajikan dapat diterjemahkan.,

Berbeza dalam BN, ibarat cuba menutup bangkai gajah dengan pelepah kelapa, bau busuknya sentiasa menusuk hidung. Setiap hari kita dihidangkan dengan pelbagai kemelut dan pergeseran dan perbalahan yang tak sudah -sudah dalam BN. Semua pihak dalam BN seperti MCA dan Gerakan mula mempersoalkan layanan yang diterima dalam BN.

Manakala dalam Umno pula orang ramai sudah semakin muak dengan pertelingkahan dan pergolakan yang berlaku. Pergeseran yang berlaku melibatkan dari peringkat bawahan di cawangan hinggalah ke jawatan tertinggi yang melibatkan mereka yang bertanding jawatan nombor satu dan nombor dua. Cuba cari dalam sepanjang sejarah penubuhan PAS, DAP dan PKR pernah tak berlaku dalam mesyuarat parti berlaku pergaduhan sehingga pihak polis dan FRU terpaksa campur tangan? Mungkin UMNO satu-satunya parti dalam dunia, pergaduhan di peringkat bahagian terpaksa dileraikan oleh polis pencegah rusuhan. Mujur tidak ada adegan bom asap dan semburan dari trak 'water canon'.

Malahan mantan presiden mereka turut sama melontarkan kecaman dan kritikan pedas yang menyebabkan Pak Lah kepanasan. Tindakan Pak Lah menyerang kembali Dr. Mahathir yang dilabelkan berlagak seperti pengarah pilihanraya tidak pula mendapat sokongan orang di sekelilingnya. Terbaru Datuk Rais Yatim mempertahankan tindakan Dr. Mahathir.

Ali Rustam dan Md. Taib juga semakin terasa bahang apabila sokongan daripada perwakilan untuk merebut jawatan nombor dua semakin kelam apabila Muhyidin terus menjadi calon favorite untuk merebut jawatan nombor dua. Sudah terdapat tanda-tanda penyesalan dan putus harapan dengan peluang yang ada dari riak wajah dan ucapan mereka berdua. Semua ini memungkinkan mereka terpaksa menggunakan bom C4 sebagai senjata terakhir untuk kembali meraih sokongan atau mereka terpaksa mengira dan menghitung nasib kerjaya politik mereka semakin pudar jika hajat mereka tidak kesampaian.Semua ini memungkinkan pelbagai aksi menarik akan terus dihidangkan menjelang tarikh akhir pemilihan bahagian Umno yang berakhir pada 9 November nanti.

Apa yang berlaku menunjukkan bahawa BN khususnya UMNO semakin menuju penghujung hayat hanya menunggu masa untuk ditalkinkan. Kepada Pakatan Rakyat, semoga tidak leka dan asyik dengan apa yang berlaku dalam BN dan UMNO sebaliknya memfokuskan usaha dan mengembeling tenaga dan kekuatan untuk terus membela hak rakyat dan menyelamatkan negara dari terus ditimpa pelbagai musibah dan malapetaka kesan daripada kerakusan,ketamakan dan penindasan yang dilakukan oleh kerajaan yang diterajui oleh UMNO dan Barisan Nasional selama lebih setengah abad memerintah negara.